Dialog Profesion Kerja Sosial “Melindungi Kanak-Kanak: Era Digital”

Kanak-kanak di era digital kini lebih mudah terdedah dengan pengaruh yang tidak baik dan memerlukan akta yang boleh melindungi mereka seperti akta Kanak-kanak 2001 atau akta 611 dan akta ini merangkumi  pemeliharaan, perlindungan, pemulihan, penyertaan dan perkembangan kanak-kanak.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kanak-Kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Encik Mohamad Ali Taib berkata, statistik bilangan kanak-kanak di Malaysia sehingga Disember 2021 iaitu sebanyak 4.71 juta adalah kanak-kanak lelaki dan 4.42 juta kanak-kanak perempuan.

“Walaubagaimanapun, peranan JKM sahaja tidak cukup bagi membantu kanak-kanak yang terjebak dengan jenayah tidak kira mangsa atau pelakunya kerana isu ini memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak seperti pegawai akhlak, pekerja sosial, pembantu pelindung dan pekerja kesihatan bagi memastikan kesejahteraan perkembangan serta perlindungan kanak-kanak ini,” demikian kata Mohamad Ali, dalam sesi Dialog Profesion Kerja Sosial “Melindungi Kanak-Kanak: Era Digital” anjuran Institut Sosial Malaysia dan Persatuan Pekerja Sosial Malaysia,  bertempat di Auditorium Institut Sosial Malaysia (ISM) yang diadakan secara dalam talian pada 20 Julai 2022, yang mana Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia berpeluang menghadirinya.

Terdapat Undang-Undang am dan khas

Sesi diteruskan dengan perkongsian Penolong Setiausaha (Advokasi & Undang-Undang, Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, SUHAKAM) YBrs. Sitti Najihah Md Rusli, yang menjelaskan bahawa terdapat undang-undang am dan khas yang diwujudkan bagi melindungi kanak-kanak daripada jenayah amang seksual, pornografi, buli siber serta hacking.

“Sebanyak 47% daripada pengguna internet adalah kanak-kanak berusia 5-17 tahun, 70% mangsa pornografi kanak-kanak adalah berusia dari 11-13 tahun termasuk kanak-kanak lelaki dan 164 laporan jenayah pornografi kanak-kanak diterima dari Malaysia,” ujarnya yang mengejutkan para peserta.

Beliau turut menggalakkan masyarakat untuk menjadi lebih prihatin dan membuat aduan melalui laman web rasmi SUHAKAM jika melihat hak asasi kanak-kanak dicabul.

Jenayah seksual kanak-kanak adalah isu global

Seterusnya, sesi dirancakkan lagi dengan perkongsian oleh Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Siasatan Seksual, Wanita & Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, PDRM Bukit Aman, ACP Siti Kamsiah Hassan.

“Sebanyak 70% jenayah seksual melibatkan kanak-kanak perempuan dan keselamatan kanak-kanak di era digital ini merupakan isu global.”

Menurutnya, antara faktor yang mempengaruhi kanak-kanak untuk terjebak dengan jenayah child pornography, child grooming dan sextortion adalah berdasarkan aktiviti peer-to-peer seperti gaming, pengaruh media sosial dan penggunaan aplikasi digital tanpa pengawasan dan pemerhatian daripada kedua ibu bapa.”

“Namun, harus difahami bahawa kanak-kanak ini merupakan mangsa kerana ciri-ciri pemangsa selalunya merupakan orang yang mempunyai kedudukan, kuasa, diberi amanah dan dikenali seperti bapa, warden, pendakwah, paderi dan sebagainya.”

Selain itu, beliau juga menasihati orang ramai supaya tidak menyebarluaskan gambar kanak-kanak yang merupakan mangsa kerana ia akan memberikan kesan terhadap psikologi mangsa dan masa depannya.

Kanak-kanak mempunyai hak menggunakan media

“Dalam era digital kini, kanak-kanak mempunyai hak untuk menggunakan media digital bagi mendapatkan maklumat, pendidikan dan penyertaan. Namun tidak dinafikan bahawa mereka juga berisiko tinggi untuk terdedah dengan kandungan media yang tidak sesuai dan dihubungi oleh pemangsa jika mereka terlampau banyak berkongsi tentang diri mereka,” jelas Timbalan Pengarah, Program Komuniti, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) En. Ts. Md Tahir Musa.

Selain itu, beliau menyarankan ibu bapa agar memainkan peranan dengan lebih aktif dan celik siber supaya dapat memantau aktiviti anak mereka dalam dunia digital dengan menggunakan perisian keselamatan penapisan tambahan, mengelakkan daripada berkongsi tentang profiling kanak-kanak (seperti makanan kegemaran anak dan sebagainya) juga mendidik kanak-kanak tentang perkara yang boleh serta tidak boleh dikongsikan dalam media sosial. 

Menurut Pengarah Childline Foundation YBhg. Datin Wong Poai Hong pula, setiap 1 daripada 3 kanak-kanak menggunakan internet, 92% kanak-kanak berusia dari 13-17 mempunyai akaun di media sosial dan 2 daripada 5 kanak-kanak mempunyai pengalaman buruk dengan internet.

“Dalam konteks buli siber, Malaysia merupakan negara ke-2 tertinggi selepas India di Asia Tenggara yang memberikan kesan negatif terhadap kanak-kanak yang berusia dari 11-13 tahun,” ujarnya mendedahkan tentang penggunaan singkatan perkataan dalam kalangan kanak-kanak supaya ibu bapa lebih cakna terhadap aktiviti anak mereka.

Enam Strategi keselamatan dan kesejahteraan

Beliau turut berkongsi 6 strategi yang boleh digunakan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak iaitu:

1) Mendidik kanak-kanak untuk memahami dunia digital dan cara untuk melindungi maklumat peribadi mereka

2) Menggunakan perisian keselamatan bagi peranti yang digunakan

3) Membina kemahiran mendengar secara aktif semasa berbual dengan anak

4) Melayan anak dengan baik dan penuh hormat

5) Mendidik anak untuk berfikir secara kritikal dalam membuat keputusan yang terbaik dan

6) Meminta bantuan jika menghadapi sebarang masalah. 

Memberikan sokongan kepada mangsa

Dalam sesi tersebut, Pengurus Perkhidmatan, Pusat Perkhidmatan Wanita (WCC) YBrs. Puan Mangleswary Subramaniam pula menerangkan tentang perkhidmatan yang mereka sediakan bagi membantu wanita dan kanak-kanak dalam memperkasakan hak serta melindungi mereka daripada sebarang bentuk keganasan dan ketidakadilan.

“Antaranya, kami menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma dan tempat perlindungan bagi wanita serta kanak-kanak yang sedang berada dalam krisis,” kata Mangleswary.

Jelasnya lagi, WCC juga bekerjasama dengan hospital kerajaan dan memberikan sokongan mahkamah kepada mangsa, membuat kolaborasi dengan komuniti untuk mendidik kanak-kanak tentang penderaan seksual dan pencegahan keganasan siber dan sebagainya. 

Sesi dialog tersebut diakhiri dengan peringatan kepada semua agar sentiasa prihatin dengan isu yang berkaitan dengan kanak-kanak di sekitar kita serta lebih proaktif membina kerjasama yang baik bersama badan kerajaan dan bukan kerajaan juga institusi dalam melindungi hak kanak-kanak Malaysia. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *