PERBINCANGAN MEJA BULAT: ISU NAFKAH ISTERI DAN ANAK

PERBINCANGAN MEJA BULAT: ISU NAFKAH ISTERI DAN ANAK

SERI KEMBANGAN – Jawatankuasa Advokasi dan Polisi, Wanita IKRAM Malaysia telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bertajuk “Isu Nafkah Isteri dan Anak” di Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 8 Januari 2023, Ahad lalu.

Program ini telah dikendalikan oleh Tuan Zulsyahmi Hussaini bin Kamarulzaman yang merupakan ahli Jawatankuasa Advokasi dan Polisi sebagai moderator, dan disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa penganjur dan golongan pakar dari pelbagai bidang.

Antara matlamat utama perbincangan meja bulat ini diadakan adalah untuk menyediakan ruang kepada golongan pakar mengetengahkan pandangan, pengalaman, penglibatan dan cadangan berkaitan isu nafkah terutamanya di Malaysia.

“Perbincangan ini sebagai langkah permulaan untuk mengenal pasti isu utama yang perlu ditangani dalam konteks pemberian nafkah kepada isteri dan anak,” kata Dr. Roohaida Othman sebagai Pengerusi JK Advokasi & Polisi, Wanita IKRAM Malaysia. Tambahnya lagi, ia bagi membincangkan langkah intervensi kepada pihak yang berkaitan bagi menangani isu pengabaian nafkah isteri dan anak.

Sesi tersebut diteruskan dengan pembentangan daripada Pensyarah Jabatan Amalan Guaman, Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof. Dr. Hajah Najibah binti Md Zain.

“Daripada sudut perundangan, isu nafkah ini sudah sangat baik cuma dari segi kefahaman dan pelaksanaan dalam kalangan masyarakat sendiri tentang pemberian nafkah ini perlu diberikan perhatian,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr Najibah turut menerangkan secara terperinci tentang nafkah daripada sudut dalil agama, peruntukan undang-undang, tanggungjawab membayar nafkah, tatacara pelaksanaan nafkah dalam undang-undang serta khidmat Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

Slot seterusnya merupakan sesi perbincangan bersama golongan pakar yang hadir daripada Institusi Keluarga Utuh (IKU) En. Rozalli Hashim dan Puan Zarina Azhari, Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Dr. Amer Hudhaifah Hamzah dan Dr. Zaiton Ismail, wakil Jawatankuasa Asatizah IKRAM Ustaz Burhanuddin Lukman dan Ustazah Maznah Daud.

Turut bersama Ketua Masyarakat Progresif IKRAM En. Ainullotfi Abdul Latif, Peguam Syarie Pn. Raihan Mustafa Kamal, dan Muhammad Hanif Yahaya, Perancang Kewangan & ahli Malaysian Financial Planning Council (MFP).

Program seterusnya dirancakkan lagi dengan sesi perbincangan bersama pakar yang menjawab persoalan-persoalan daripada senario sebenar tentang isu nafkah ini.

“Nafkah tidak mutlak untuk anak sekiranya suami tidak mampu, isteri juga wajib menanggung anak itu sekiranya isteri mampu,” ujar Ustaz Burhanuddin Lukman.

Dalam pada itu, Pn. Raihan pula menerangkan bahawa jumlah nafkah isteri adalah subjektif dan peguam akan melihat dari sudut keperluan dan kemampuan suami.

“Walaupun isteri turut serta dalam membantu ekonomi keluarga, pihak suami tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab kerana ia boleh menimbulkan konflik dalam rumah tangga tersebut,” jelas Pn. Zarina.

Menurut Dr. Zaiton kepentingan pasangan untuk memahami tentang asas nafkah seperti kewajipan dalam memberikan nafkah adalah kepada suami.

“Sebelum berkahwin lagi perlu ada perbincangan untuk mencapai kesefahaman tentang bahagian kewangan yang boleh dikongsi bersama pasangan demi mencapai kesejahteraan rumah tangga tersebut,” tegas Dr. Zaiton.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Ketua Wanita IKRAM Malaysia Dr Sabariah Baharun menjelaskan bahawa sedar atau tidak, isu nafkah merupakan antara faktor besar yang menyumbang kepada perceraian berpunca daripada kurangnya kefahaman daripada kedua-dua belah pihak.

“Semoga perbincangan meja bulat yang diadakan bersama peguam syarie, pakar kewangan dan kaunselor ini dapat membina momentum serta meneruskan usaha advokasi untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat tentang isu nafkah ini,” harapannya.

 

Nor Shahirah Shaik Amir

Pegawai Media, Jabatan Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kepimpinan wanita pasca Covid 19 : Sumbangan dan Cabaran

Kepimpinan wanita pasca Covid 19 : Sumbangan dan Cabaran

Konsep dan syarat kepimpinan menurut Islam

Kepimpinan adalah satu amanah yang perlu ditunaikan oleh semua manusia. Ianya adalah satu perkara yang sangat dipentingkan oleh Islam agar kehidupan mereka dapat dipandu dengan baik.

Setiap manusia perlu menyedari bahawa  semua dalam kalangan kita adalah pemimpin tanpa mengira gender atau saiz tanggungan mereka. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang menyatakan bahawa setiap manusia adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin tanpa mengira ringan atau berat tanggungjawab tersebut.

Kuat dan amanah pula adalah antara indikator utama dalam mengangkat seseorang untuk menjadi pemimpin. Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 26 menyatakan dengan jelas syarat tersebut. Mereka yang diangkat menjadi pemimpin semestinya orang yang mampu (kuat) untuk memikul beban tugas yang dipertanggungjawabkan serta hendaklah kompeten dan berintegriti dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Sumbangan wanita dalam memimpin

Sesiapa sahaja yang menepati syarat dan mampu untuk menjalankan tugasan dengan baik boleh menjadi pemimpin, tanpa mengira jantina atau had umur. Wanita juga boleh menjadi pemimpin yang baik dan perkara tersebut telah terbukti melalui sirah Islam dahulu serta bukti nyata daripada pencapaian wanita masa kini.

Perkembangan masa kini menyaksikan ramai wanita yang berjaya menjadi  pemimpin yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Malahan kepimpinan beberapa ketua negara wanita dalam mendepani masalah global akibat pandemik Covid-19 telah terbukti berkesan dan diakui oleh dunia. 

Kita perhatikan, gaya kepimpinan ketua-ketua negara wanita ini, adalah berteraskan hubungan dan bukan bersifat mengarah tanpa mengambil kira situasi rakyat. Cara ini memastikan pemimpin mendengar segala permasalahan dan seterusnya akan mampu mengenal pasti serta menyelesaikan masalah rakyat.

Cabaran kepimpinan masa kini

Di sebalik semua kecemerlangan yang telah berjaya dicapai oleh para wanita dalam pelbagai bidang, secara realitinya ianya masih tidak menepati sasaran komposisi sebenar penglibatan wanita dalam membuat dasar untuk negara. Masih terdapat perbezaan yang ketara antara sasaran dan kedudukan semasa wanita dalam peringkat membuat keputusan.

Kerajaan telah menetapkan sasaran 30 peratus wanita akan terlibat sebagai pembuat dasar negara. Namun sasaran ini masih belum dapat dicapai sepenuhnya. Pelbagai faktor menjadi penyebab kepada senario ini. Antara faktor utama adalah budaya dan stigma masyarakat yang memandang rendah kepada kemampuan para wanita. Stigma ini  sukar untuk dibuang dari masyarakat kita. Merendah taraf kemampuan wanita dengan beranggapan bahawa tugas utama wanita hanyalah untuk rumahtangga, anak-anak dan suami sahaja adalah satu penyakit yang perlu segera diubati.

Lebih penting lagi, para wanita sendiri harus membuang stigma ini  dari pemikiran mereka kerana sekiranya wanita juga turut terpengaruh dengan tanggapan bahawa mereka tidak mampu melaksanakan tugas memimpin, maka usaha untuk meningkatkan bilangan pemimpin dalam kalangan wanita tidak akan mampu direalisasi.

Dalam situasi pandemik sekarang, ramai wanita telah mengambil alih peranan untuk menyara keluarga, terutamanya apabila suami kehilangan pekerjaan dan hilang mata pencarian. Oleh itu wanita bekerja  tidak boleh lagi dilihat sebagai sekadar membantu keluarga. Peranan mereka menjadi lebih besar dan berat. Jadi seharusnya pandangan lebih adil diberikan kepada kaum wanita  untuk menghargai peranan mereka dalam keluarga dan masyarakat.

Selain dari pandangan masyarakat terhadap kemampuan wanita, faktor peluang juga adalah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh para wanita. Wanita perlu menghadapi persaingan gender yang agak sengit dengan kaum lelaki sehingga menyukarkan mereka untuk menonjolkan kemampuan diri mereka. Wanita tidak akan ditawarkan sesuatu jawatan utama selagi mana kemampuan  mereka tidak diiktiraf oleh kaum lelaki, namun peluang yang tersedia untuk mereka untuk menyerlahkan tidak disediakan dengan sebaiknya.

Perkara begini tidak seharusnya berlaku terutama dalam masyarakat Islam. Ini  kerana dalam Islam, lelaki dan wanita bukanlah pesaing tetapi mereka adalah penolong antara satu sama lain. Oleh itu sekiranya seseorang wanita  didapati layak dan  kompeten maka dia boleh diangkat menjadi pemimpin yang diikuti bukan yang didengki.

Saranan dan Penutup

Bagi mengiktiraf kemampuan kepimpinan wanita, terutamanya  pasca Covid-19 ini beberapa anjakan paradigma perlu dilakukan. Antaranya:

i. Mengiktiraf dan menerima kemampuan reproduktif wanita sebagai satu sumbangan besar untuk melahirkan generasi pewaris negara pada masa hadapan.

ii. Membuka lebih peluang kepada wanita untuk menonjolkan diri mereka dalam konteks yang sesuai dengan hak kesamarataan gender.

iii. Membetulkan salah tanggapan masyarakat terhadap fungsi wanita dengan memberikan peranan yang lebih besar dalam perjawatan atau kepimpinan sekiranya wanita menepati syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.

iv. Mengiktiraf wanita sebagai pemberi solusi  yang baik terhadap kesan-kesan pasca covid terutama dari segi sifat empati, kolaborasi dan kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemimpin wanita.

Apabila anjakan paradigma ini berjaya dilakukan maka sudah pasti ianya akan mendorong wanita untuk terus maju. Mereka  juga akan mampu menerajui setiap bidang yang mereka ceburi dengan lebih baik. Oleh itu para wanita pasti akan dapat menghasilkan corak kepimpinan yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Norshahidah Zakaria

Wanita IKRAM Sabah

Sedutan: Bicara Bina Negara TV IKRAM

BBN17 | KEPIMPINAN WANITA MENDEPANI CABARAN MALAYSIA PASCA COVID-19

Tahniah kepada Pemenang

Tahniah kepada Pemenang

Tahniah kepada pemenang ‘Pertandingan Menulis Artikel Informatif Sempena Kempen “Gangguan Seksual, KATAKAN TIDAK” 2021.

Tahniah dan terima kasih juga kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian.

Berikut adalah keputusan pertandingan:

Pertama: NUR FARHANA BINTI MOHD FADHIL

SEGALANYA BERMULA DI RUMAH

Tema Pilihan : Gangguan Seksual: Peranan Kita

Kedua: NUR FARAH HANIM BINTI MUHAMAD IDRIS

KEGAWATAN NEGARA: JENAYAH BULI SIBER

Tema Pilihan : Buli Siber

Ketiga: UMI SAWIYAH AHAMAD

GANGGUAN SEKSUAL: PERANAN KITA

Tema Pilihan : Gangguan Seksual: Peranan Kita

Saguhati: SITI NURHAYATI BINTI MAT SAAD

BULI SIBER

Tema Pilihan : Buli Siber

Saguhati: AMIRA NUR NAJIHAH BINTI OTHMAN

BULI SIBER SEMAKIN MENJADI-JADI DALAM KALANGAN NETIZEN MALAYSIA. SEJAUH MANAKAH BUDAYA INI TELAH MENYEBABKAN MANGSA BULI MENGALAMI MASALAH MENTAL.

Tema Pilihan : Buli Siber

Majlis Penutup Kempen “Gangguan Seksual Katakan TIDAK!”

Majlis Penutup Kempen “Gangguan Seksual Katakan TIDAK!”

Majlis Penutup Kempen “Gangguan Seksual Katakan TIDAK!” anjuran bersama Wanita IKRAM, Gerakan Tampil Bersuara dan Harmoni Malaysia telah berlangsung pada Sabtu 8 Januari 2022, 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Program telah disiarkan secara ‘Live’ di YouTube TV IKRAM, Facebook Wanita IKRAM Malaysia, Facebook IKRAM Malaysia dan Facebook Tampil Bersuara.Acara yang telah dijalankan adalah:

i) Ucapan dari penganjur bersama:

PM Dr Roohaida Othman, Pengarah Kempen (Naib Ketua Wanita 1, Wanita IKRAM Malaysia)

Cik Nur Najihah Muhaimin, Pengarah Bersama (Tampil Bersuara)

Cik Nur Syakirah Romli, Naib Presiden 2 (Ketua Siswi, Harmoni Malaysia)

ii) Temubual “Kempen Gangguan Seksual Katakan Tidak” bersama Puan Dzilal Abd Aziz (Kaunselor, Pengurus Rumah Teratai)

iii) Pengumuman Pemenang Pertandingan Menulis Artikel Informatif

iv) Pengumuman Jumlah Langkah #virtualtealwalkchallenge yang bersama menyokong Kempen Gangguan Seksual Katakan Tidak!

Kempen Gangguan Seksual Katakan TIDAK  

Kempen Gangguan Seksual Katakan TIDAK  

Jom Sertai Teal Challenge sempena Kempen Gangguan Seksual Katakan TIDAK anjuran Wanita IKRAM Malaysia.

1. Cetak plakad dan ambil gambar anda dengan berpakaian warna teal bersama plakad Gangguan Seksual Katakan TIDAK!

atau 

 2. Ambil gambar dengan memakai baju warna teal bersama 

kertas A4. Muat turun plakad dan edit plakad dalam gambar.

atau

 3. Ambil gambar dengan memakai pakaian berwarna teal. 

 Muat naik gambar tersebut ke media sosial anda.

Tag Wanita IKRAM Malaysia dan gunakan hashtag #gskatakantidak dan #gangguanseksual. 

Jom “Teal” kan wall kita dengan post gambar anda dan tunjukkan sokongan untuk kempen ini bersama. 

#gskatakantidak

#gangguanseksual

Jom Sertai Teal Challenge

Jom Sertai Teal Challenge

|| Kempen Gangguan Seksual Katakan TIDAK || 

Jom Sertai Teal Challenge sempena Kempen Gangguan Seksual Katakan TIDAK anjuran Wanita IKRAM Malaysia.

1. Cetak plakad dan ambil gambar anda dengan berpakaian warna teal bersama plakad Gangguan Seksual Katakan TIDAK!

atau 

 2. Ambil gambar dengan memakai baju warna teal bersama 

kertas A4. Muat turun plakad dan edit plakad dalam gambar.

atau

 3. Ambil gambar dengan memakai pakaian berwarna teal. 

 Muat naik gambar tersebut ke media sosial anda.

Tag Wanita IKRAM Malaysia dan gunakan hashtag #gskatakantidak dan #gangguanseksual. 

 Jom “Teal” kan wall kita dengan post gambar anda dan tunjukkan sokongan untuk kempen ini bersama. 

#gskatakantidak

#gangguanseksual