Hukum mengiringi jenazah suami ke masjid atau ke kubur

Hukum mengiringi jenazah suami ke masjid atau ke kubur

Persoalan:

Haruskah wanita yang kematian suami keluar ke kubur mengiringi jenazah dan melihat pengkebumian?

Haruskah wanita itu ke masjid untuk menunggu jenazah dimandikan, solat jenazah atau menerima lawatan rakan-rakan dan keluarga di sana?

Kematian suami sebagai teman perkongsian sudah tentu satu peristiwa besar bagi seorang isteri. Perasaan berat untuk melepaskan suami yang akan disemadikan untuk selamanya, naluri ingin melihat peristiwa bersejarah itu sangat kuat, namun wanita solehah pasti akan lebih mengutamakan keredhaan Allah Taala daripada kehendak jiwanya.

Seorang isteri yang kematian suami dilarang keluar rumah tanpa keperluan mendesak.
Berikut ialah petikan Perkara-perkara larangan bagi wanita dalam tempoh iddah kematian suami seperti yang terdapat dalam Fatwa al Kafi #977 terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 23 Disember 2018 (c):

“Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.  Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk  menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.”

Mengiringi jenazah pada hari pengkebumian bukanlah perkara kepentingan mendesak. Bahkan mungkin akan mengakibatkan keburukan yang lain seperti bercampur dengan lelaki ajnabi ketika itu, atau ditakuti wanita yang sedang mengalami kesedihan itu akan meratapi kepergian suaminya, sedang ini dilarang oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Demikian juga wanita tidak dibenarkan ke masjid untuk solat jenazah atau menerima lawatan rakan-rakan dan keluarga. Bahkan ia boleh solat di rumahnya dan menerima lawatan di rumah.

DALIL

Hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (307) dan Muslim (938), daripada Ummu `Atiyyah radhiallahu anha, katanya:

كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلَا نَكْتَحِلَ وَلَا نَطَّيَّبَ وَلَا نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ وَكُنَّا نُنْهَى عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ

“Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni melainkan ‘asbun (sejenis pakaian wanita arab). Ketika mandi setelah suci daripada haid, kami dibenar menggunakan sedikit minyak wangi. Kami juga dilarang mengiringi jenazah.”

Wanita solehah yang menyintai suaminya memahami bahawa dalam tempoh iddahnya dia wajib menjaga batas hukum halal haram kerana ia tahu sebarang perlanggaran hukum yang dilakukannya akan mengakibatkan suaminya disiksa di dalam kubur. Na’uzubillah.

Walaubagaimanapun ada juga yang berpendapat makruh.

Daripada Umm Atiyyah R.Anha bahawa dia berkata:

نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا

Maksudnya: Kami (kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke kuburan) dan Baginda (SAW) tidak melarang dengan keras (hal demikian) ke atas kami.

Hadis riwayat al-Bukhari (1278)

Menurut Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ (5/277-278)  larangan ini bersifat makruh tanzih (perkara yang dibenci dan menyalahi adab tetapi tidak mendatangkan dosa, contoh makan bawang mentah dan minum berdiri. Ulama fiqih menyebut, perbuatan makruh tanzih ini sebagai perbuatan khilaful aula yang bermaksud perbuatan menyalahi yang utama atau afdhal).

Inilah mazhab Syafie dan jumhur, manakala dalam Mazhab Malik tidak menganggap makruh kecuali bagi bagi wanita muda. Diceritakan daripada al-Abdari bahawa Imam Malik menganggapnya makruh kecuali jika jenazah itu ialah anaknya, ibu ayahnya, dan suaminya.

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1792-hukum-isteri-mengiringi-jenazah-suami-pada-waktu-iddah

Wallahu ‘a’lam.

(Ustzh. Shahidah bt Sheikh Ahmad)

Isteri yang diharamkan mencium bau syurga

Isteri yang diharamkan mencium bau syurga

Tidak layak mencium bau syurga yang harumnya dapat dihidu dari jarak yang jauh. Ada beberapa hadis yang menyebut ia dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan (Al-Bukhari), 70 tahun (Al-Tirmizi), 100 tahun (Al-Tabrani), 500 tahun (Ahmad).

Kalau menghidu pun diharamkan, apa lagilah memasukinya. Jauh panggang dari api!

Dosa apakah yang dilakukan oleh wanita yang malang itu sehinggakan mencium bau syurga pun haram baginya?

Itulah dosa yang paling ditakuti oleh wanita yang bergelar isteri, iaitu MEMINTA CERAI! Kerana takut tidak dapat mencium bau syurga, ramai isteri yang terpaksa menanggung sengsara menghadapi kerenah suami yang tidak bertanggungjawab, berperangai jahat, suka mendera dengan pelbagai cara, sama ada dalam bentuk fizikal, mental, emosi, seksual dan sebagainya berpuluh-puluh tahun lamanya. Semua itu ditanggung dengan penuh rasa sakit, perit dan pedih. Hendak minta cerai takut tidak dapat mencium bau syurga.

Begitukah ajaran Islam?

Begitukah layanan terhadap wanita bergelar isteri yang dianjurkan oleh Islam?

Perkahwinan adalah satu aqad yang menghalalkan pergaulan antara seorang lelaki yang digelar suami dengan seorang wanita yang digelar isteri. Dengan aqad itu juga melahirkan hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Suami mempunyai tanggungjawab terhadap isteri sebagaimana isteri mempunyai tanggungjawab terhadap suami.

Maksud:

 “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang makruf…” (Al-Baqarah 2:228)

Kalau suami dibenarkan menceraikan isteri yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami, apakah munasabah jika isteri tidak boleh meminta cerai dari suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri? Adilkah begitu?

Mungkin yang menjadi sandaran mereka yang mengatakan isteri yang meminta cerai tidak mencium syurga adalah hadis yang diriwayatkan daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Mana-mana isteri yang meminta cerai dengan suaminya tanpa sebab yang mengharuskan (min ghairi ba’s), haram ke atasnya bau syurga.”

Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Albani mengkategorikannya sebagai sahih.

Hadis itu menyebut “meminta cerai tanpa sebab yang mengharuskan”. Maknanya tanpa apa-apa sebab yang munasabah dan diterima di sisi syarak. Jika ada sebab, ia tidak haram dan tidak diharamkan bau syurga.

Untuk lebih jelas, ikuti kisah yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w. ini:

Isteri Thabit bin Qais r.a. datang bertemu Rasulullah s.aw. Beliau mengadu:

“Ya Rasulullah, Thabit bin Qais, aku tidak mencela akhlak dan agamanya, tetapi aku benci kufur selepas Islam. (Di dalam riwayat Ibn Majah, ada tambahan:) “aku tidak mampu tanggung kebencian.”

“Adakah engkau mahu pulangkan kebunnya?” Tanya Rasulullah s.a.w.

“Ya” jawabnya.

Rasulullah s.a.w. perintahkan suaminya, Thabit, “Ambillah kebunmu dan ceraikanlah dia satu talaq.”

(Al-Bukhari, Muslim dan Ibn Majah)

Ulamak mentafsirkan ungkapan “benci kufur selepas Islam” dengan maksud: “takut melakukan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum Islam seperti benci suami, derhaka, tidak tunai hak-haknya (Fath al-Bari)

Kalaulah minta cerai itu haram, tidak dapat mencium bau syurga, tentu Nabi s.a.w. akan menegur isteri Thabit ini dan mengingatkannya akibat buruk yang akan menimpanya. Namun apa yang berlaku baginda bukan sahaja tidak menegur, malah melayani kehendaknya. Walhal sebab yang mendorongnya meminta cerai bukan kerana didera atau tidak diberikan haknya sebagai isteri. Tetapi sebabnya dia tidak suka kepada suaminya dan bimbang dengan sebab itu dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya terhadap suaminya.

Kesimpulan:

Tulisan ini tidak bertujuan untuk menggalakkan isteri segera meminta cerai apabila berlaku perkara yang tidak menyenangkan dengan suami.

Tujuannya hanyalah untuk menjelaskan hak-hak isteri yang dijamin oleh Islam berdasarkan apa yang diajar dan diamalkan oleh Nabi kita s.a.w.

Rumah tangga bukan penjara bagi wanita. Suami tidak pernah diberi lesen untuk menyakiti dan mendera isteri sama ada secara fizikal, mental, seksual, emosi dan apa saja cara. Dan isteri tidak pernah dipaksa menanggung derita akibat didera atas alasan mengharap menghidu haruman syurga.

Jangan biarkan diri menanggung sengsara akibat kejahilan sendiri. Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap umat Nabi Muhammad s.a.w.

Hukum wanita Islam mendedahkan aurat kepada wanita bukan Islam

Hukum wanita Islam mendedahkan aurat kepada wanita bukan Islam

Saya sering ditanyakan masalah ini, terutamanya melibatkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam, lantaran sedikit sebanyak mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.

Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan suatu yang diwajibkan oleh syarak. Ia merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran di surah an-Nur ayat 31,

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini. Allah tidak menyebut lafaz ‘an-nisa’ (النِسَاء) bermaksud wanita-wanita, tetapi disebut ‘nisaaihinna’ ( نِسَائِهِن )  bermaksud wanita-wanita mereka.(sila rujuk ayat al Quran). Lafaz ‘nisaaihinna’ bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama.

Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita muslimah membuka aurat hanya kepada wanita muslimah. Pendapat ini dari mazhab Syafii yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim katanya:

“Firman Allah SWT ‘nisaaihinna’, maksudnya adalah, seorang muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari oleh semua wanita, akan tetapi ia lebih ditekankan kepada wanita ahlu zimmah.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim atau Tafsir Ibnu Kathir, Juz 6, halaman 48).

Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-athar (kata-kata sahabat) daripada Umar r.a. yang bermaksud:

“Dan Umar r.a. menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahlu zimmah memasuki tempat mandian wanita Islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahlu zimmah).” Pendapat ini merupakan pendapat jumhur ulama.

Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan ulama ini, mereka mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan kepada adanya alasan tertentu. ‘Illah (alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’. Menurut kaedah fiqah, ia dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah, iaitu hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan ‘illah. Apabila ‘illah/alasan tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut. Namun apabila ‘illah/alasan itu kembali, maka hukum asal digunapakai semula.

Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat wanita muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi wanita muslimah menampakkan aurat kepada mereka. Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan muslimah membuka aurat di hadapan wanita bukan Islam di atas keperluan dan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syaratnya adalah dipastikan wanita bukan Islam tersebut dapat dipercayai yang ia tidak menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu sama ada ia boleh dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.

Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan daripada pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki di dalam kitab beliau Ahkamul Qur’an, Jilid 3, halaman 326, yang mengatakan bahawa adalah boleh bagi wanita muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubungan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Fakhrurrazzi dan ahli tafsir kontemporari dari Arab Saudi iaitu Syeikh Ali Al-Shabuni.

Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka di sini adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi, Juz 3, halaman 211 mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain.

Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Namun harus diingat bahawa anggota zahir sahaja yang boleh dibuka seperti lengan, kaki, rambut, leher dan sebagainya. Bagaimanapun tidak boleh membuka yang sulit-sulit kepada mereka. Ini adalah juga untuk menjaga maruah diri wanita muslimah.

Islam tidak menyusahkan wanita. Namun Islam memuliakan dan memelihara maruah wanita.

Merungkai Ikatan Pernikahan

Merungkai Ikatan Pernikahan

Kebahagiaan dalam pernikahan adalah suatu anugerah yang tidak ternilai oleh mata benda. Itulah harapan bagi setiap pasangan yang diaqad secara bersyariat. Namun jika ia gagal diraih, maka suami isteri harus mencari solusi lain untuk mendapatkan kebahagiaan dengan memperbaiki hubungan suami isteri, mendapatkan nasihat dan sebagainya.

Jika semua usaha telah dibuat namun tiada jalan pembaikan maka jalan terakhir ialah membubarkan pernikahan tersebut.

Islam memberikan jalan keluar melalui beberapa cara (5 cara: talak, fasakh, khulu’, li’an dan ta’liq). Dalam siri ini akan dibincangkan cara yang pertama yaitu cerai secara talak.

Pembubaran Melalui Talak

Talak dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas atau perkataan kinayah (sindiran).

Perpisahan secara talak berlaku apabila suami dan isteri bersetuju untuk bercerai samada secara baik atau tidak, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan lafaz talak.

Talak dibahagi kepada dua jenis iaitu:

i) Talak sharih (jelas/langsung)

Talak sharih adalah ucapan talak secara jelas yang apabila diucapkan kepada isteri, tidak membawa maksud kecuali talak atau cerai, maka jatuhlah talak walaupun suami tidak berniat untuk cerai. Seperti contoh apabila suami berkata, “Aku ceraikan kau.” atau “Kamu diceraikan.” kepada isterinya.

ii) Talak kinayah (sindiran/tidak langsung)

Talak kinayah adalah lafaz yang mengandungi makna perceraian yang tersirat tetapi tidak secara langsung. Contohnya suami berkata “Pulanglah ke rumah orang tuamu” yang dilafaz oleh suami kepada isteri.

Juga termasuk dalam talak kinayah adalah talak sharih (langsung) yang dibuat secara tertulis atau melalui ‘handphone’, e-mail dan yang seumpamanya.

Talak jenis ini memerlukan pengesahan kepada niat suami samada memang bermaksud menceraikan atau sebaliknya.

Bahagian Talak

Talak dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu

  1. Talak Raj’i dan
  2. Talak Ba’in.

Talak raj’i ialah seorang suami yang menceraikan isterinya dan masih boleh rujuk tanpa akad nikah dengan syarat isterinya masih berada dalam tempoh iddah.

Talak bai’in dibahagikan kepada dua iaitu talak ba’in sughra dan talak ba’in kubra.

  1. Talak ba’in sughra ialah talak yang jatuh serta-merta pada masa lafaz talak dilafazkan.

Semua hak-hak isteri terputus apabila dijatuhkan talak. Sekiranya suami ingin kembali bersama isterinya, suami perlu menikahinya dengan mahar (mas kahwin) yang baharu. Contohnya talak satu atau dua yang habis tempoh idah, talak khulu’(tebus talak), talak isteri yang belum disetubuhi atau talak yang difasakhkan.

  • Talak ba’in kubra pula adalah talak tiga yang dilafazkan suami yang mana semua perhubungan suami isteri terputus selepas talak dijatuhkan.

Suami tidak boleh rujuk melainkan bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain, bersetubuh dengan suami baru dan menceraikannya. Maka, baru dia boleh berkahwin dengan bekas isterinya selepas tempoh iddah tamat.

Lafaz talak hendaklah dilakukan dengan kebenaran mahkamah Syariah. Kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di negara kita ini adalah lafaz cerai atau lafaz talak luar mahkamah atau dengan lebih tepat lagi dengan istilah mahkamah adalah lafaz cerai tanpa kebenaran mahkamah. Lafaz talak luar mahkamah ini menjadi kesalahan yang di kategorikan sebagai jenayah syariah, di Negeri Kelantan, mana-mana suami yang didapati bersalah melakukan kesalahan lafaz cerai luar mahkamah boleh di dakwa melalui enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005, seksyen 125 yang akan dikenakan hukuman denda sebanyak RM 1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.
(Rujuk : enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005, seksyen 125).

Wallahu a’lam.

Rujukan :

Fiqh Islam, H. Sulaiman Rasyid.

Fatwa Fiqh, Ibnu Uthaimin.

Bolehkah isteri mohon cerai?

Bolehkah isteri mohon cerai?

Semua pernikahan tentulah mengharapkan bahagia bersama hingga ke akhir hayat. Namun kadangkala harapan itu tidak kesampaian, di mana bahtera itu boleh karam di tengah lautan.

Dalam keadaan rumah tangga bermasalah, seorang wanita, walaupun merasa sangat lemah tanpa lelaki yang bernama suami di sisi, akan terfikir “bolehkah saya mohon dilepaskan oleh suami?”. Dalam masa yang sama ia tertanya-tanya..“benarkah jika saya memohon cerai maka haram bagi saya bau syurga?”

Seorang isteri harus (boleh) meminta cerai dari suaminya dengan sebab atau alasan yang jelas dan dibenarkan syara’.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan seorang sahabiah yang takut kufur karena ia tidak menyukai suaminya meski lelaki itu berakhlak baik tetapi kerana tidak menyukai parasnya.
Maksud hadis : “Dari Ibnu ‘Abbas, bahwasanya isteri Tsâbit bin Qais mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: “Wahai, Rasulullah. Aku tidak mencela Tsâbit bin Qais pada akhlak dan agamanya, namun aku takut berbuat kufur dalam Islam,” maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apakah engkau mau mengembalikan kepadanya kebunnya?” Ia menjawab,”Ya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ,” lalu beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ambillah kebunnya, dan ceraikanlah ia”. [HR al-Bukhari].

Jelas dalam hadis ini Nabi SAW membenarkan kehendak sahabiah itu dan mereka pun bercerai, dengan alasan seperti di atas.

Namun di sana ada syarat yang membolehkan wanita mohon cerai. Jika ada sebab-sebab berikut, maka harus memohon cerai. Alasan-alasan tersebut di antaranya :
1. Suami membenci isteri, nyata kebencian itu, tapi suami tidak menceraikannya.
2. Suami menganiaya isteri samada secara mental seperti selalu mencaci maki, bercakap dengan bahasa kasar, atau menyakiti fizikalnya.
3. Suami tidak menjalankan kewajiban agama seperti tidak solat, tidak puasa dan seumpamanya. Atau melakukan maksiat seperti berzina, homoseks, hisap dadah dan sebagainya.
4. Suami tidak membiayai nafkah isteri seperti tempat tinggal yang sesuai, makan minum dan pakaian dan lain-lain keperluan isteri, samada suami itu memiliki harta atau tidak, isteri berhak mohon cerai.
5. Suami tidak memenuhi keperluan biologi (seks) isteri, samada suami enggan atau tidak mampu kerana cacat atau sakit.
6. Suami hilang atau tidak jelas khabar dan keberadaannya dalam tempoh yang lama.
7. Isteri tidak menyukai suami dan takut berbuat kufur seperti akan berlaku ingkar kepada suami atau tidak boleh memenuhi kewajipannya sebagai isteri dengan baik.

Mohon Cerai Tanpa Alasan

Wanita yang menuntut cerai dari suaminya tanpa alasan syarie (selain sebab di atas), maka haramlah baginya bau syurga, sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW berikut:
Maksudnya: “Siapa saja wanita yang meminta (menuntut) cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan maka diharamkan bau surga atas wanita tersebut.” (HR. Abu Dawud, Al-Tirmidzi, dan Ibnu Majah. Disahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Abi Dawud).
Dalam hadis lain Rasulullah SAW mencela isteri yang demikian dengan menggolongkan mereka dalam golongan munafiq. Maksud hadis : “Wanita-wanita yang meminta khulu’ dan cerai adalah wanita munafiq. (Riwayat Imam Ahmad)

Dapat disimpulkan bahwa hukum wanita menuntut cerai dari suaminya adalah boleh atau harus asalkan isteri itu memiliki alasan yang jelas. Meskipun demikian, ada baiknya jika isteri yang mengalami masalah dalam rumah tangga bersabar dan tetap menerima dan mendoakan suaminya agar rumah tangganya tetap terjaga dengan baik. Ada baiknya juga beliau mencari ikhtiar yang lain sebelum membuat tuntutan cerai.

Adapun cara perpisahan itu ada 3 iaitu mohon talaq dari suami, mohon fasakh di mahkamah atau mohon khulu’ dari suaminya atau dari mahkamah.
Semoga bermanfaat.

Rujukan :
Fatwa Masakini, Dr. Yusuf al Qaradhawi, jilid 7, hal.64.
Fatwa-fatwa Komtemporari, Syeikh Ali Jum’ah, Jilid 1, hal. 489.
Fiqh Islam, H. Sulaiman Rasyid, hal. 380.