MUZAKARAH PIMPINAN WANITA IKRAM PUSAT & NEGERI 2022

Muzakarah Pimpinan Wanita IKRAM Pusat & Negeri bagi sesi 2022-2026 dengan julung kalinya telah diadakan pada 9 April 2022 bertempat di Dewan Utama Kompleks IKRAM Pusat. 

Sesi muzakarah kali ini mengumpulkan empat wakil Wanita IKRAM dari setiap negeri dari seluruh Malaysia. Majlis yang bermula pada jam 9.00 pagi itu telah dilangsungkan secara fizikal dan juga dalam talian melalui Zoom dan dimulakan dengan bacaan al-Quran; surah al-Baqarah, ayat 183-187 oleh Ustazah Anizah binti Shamsudin.

Muzakarah tersebut diteruskan dengan ucapan aluan daripada Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu binti Mohd Salleh yang menegaskan bahawa beban kepimpinan ini bukan suatu yang mudah namun, keyakinan dan kesediaan memikul amanah harus dibentuk dari awal walaupun kita tahu bahawa ada ramai di luar sana yang lebih mampu daripada kita. 

Sesi pertama muzakarah dimulakan dengan sesi taaruf yang dikendalikan oleh Puan Hafsah Syakirah binti Ahmad Kamil, Penolong Setiausaha JKWIP bagi mengenali barisan kepimpinan Wanita IKRAM Pusat & Negeri sesi 2022-2026 dan juga mengeratkan ukhuwah sesama semua wakil Wanita IKRAM dari seluruh Malaysia.

Sesi diteruskan dengan perkongsian daripada JKWIP tentang struktur organisasi JKWIP bagi sesi 2022-2026 serta teras strategi yang akan menjadi fokus utama bagi pelaksanaan rancangan Wanita IKRAM. 

Sesi ketiga merupakan sesi perbincangan oleh setiap JKWIP bersama wakil negeri Wanita IKRAM mengikut bidang tugas jawatankuasa kepimpinan masing-masing diikuti dengan sesi bengkel bagi setiap negeri mengikut zon yang telah ditetapkan oleh JKWIP. 

Kemuncak program adalah pada sesi keempat iaitu sesi perkongsian hasil perbincangan oleh wakil Wanita dari setiap zon. Melalui slot ini, kerjasama dan penglibatan secara aktif oleh semua wakil Wanita dari setiap negeri dapat dilihat berdasarkan senarai cadangan program yang boleh dilaksanakan bagi meneruskan usaha melindungi dan memelihara hak-hak wanita dan kanak-kanak Malaysia. 

Pengarah program muzakarah merupakan Setiausaha Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat iaitu Puan Susilawati binti Hamzah dan dianjurkan oleh Wanita IKRAM Pusat. Muzakarah telah diakhiri dengan sesi fotografi bagi semua JKWIP dan wakil Wanita IKRAM dari setiap negeri seluruh Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *