Hukum wanita Islam mendedahkan aurat kepada wanita bukan Islam

Saya sering ditanyakan masalah ini, terutamanya melibatkan mahasiswa dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam, lantaran sedikit sebanyak mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.

Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan suatu yang diwajibkan oleh syarak. Ia merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran di surah an-Nur ayat 31,

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini. Allah tidak menyebut lafaz ‘an-nisa’ (النِسَاء) bermaksud wanita-wanita, tetapi disebut ‘nisaaihinna’ ( نِسَائِهِن )  bermaksud wanita-wanita mereka.(sila rujuk ayat al Quran). Lafaz ‘nisaaihinna’ bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama.

Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita muslimah membuka aurat hanya kepada wanita muslimah. Pendapat ini dari mazhab Syafii yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim katanya:

“Firman Allah SWT ‘nisaaihinna’, maksudnya adalah, seorang muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari oleh semua wanita, akan tetapi ia lebih ditekankan kepada wanita ahlu zimmah.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim atau Tafsir Ibnu Kathir, Juz 6, halaman 48).

Pendapat ini juga dipegang oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-athar (kata-kata sahabat) daripada Umar r.a. yang bermaksud:

“Dan Umar r.a. menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahlu zimmah memasuki tempat mandian wanita Islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahlu zimmah).” Pendapat ini merupakan pendapat jumhur ulama.

Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan ulama ini, mereka mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan kepada adanya alasan tertentu. ‘Illah (alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’. Menurut kaedah fiqah, ia dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah, iaitu hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan ‘illah. Apabila ‘illah/alasan tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut. Namun apabila ‘illah/alasan itu kembali, maka hukum asal digunapakai semula.

Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan menceritakan aurat wanita muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi wanita muslimah menampakkan aurat kepada mereka. Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan muslimah membuka aurat di hadapan wanita bukan Islam di atas keperluan dan syarat-syarat tertentu. Antara syarat-syaratnya adalah dipastikan wanita bukan Islam tersebut dapat dipercayai yang ia tidak menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu mereka membahagikan wanita bukan Islam itu sama ada ia boleh dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.

Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan daripada pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki di dalam kitab beliau Ahkamul Qur’an, Jilid 3, halaman 326, yang mengatakan bahawa adalah boleh bagi wanita muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin hubungan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam Fakhrurrazzi dan ahli tafsir kontemporari dari Arab Saudi iaitu Syeikh Ali Al-Shabuni.

Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka di sini adalah, aurat atau tidak bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan akhlak dan budi pekerti. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi, Juz 3, halaman 211 mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain.

Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita muslimah dilarang mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak. Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut mampu merahsiakan aurat wanita muslimah dari dihebahkan kepada lelaki lain. Namun harus diingat bahawa anggota zahir sahaja yang boleh dibuka seperti lengan, kaki, rambut, leher dan sebagainya. Bagaimanapun tidak boleh membuka yang sulit-sulit kepada mereka. Ini adalah juga untuk menjaga maruah diri wanita muslimah.

Islam tidak menyusahkan wanita. Namun Islam memuliakan dan memelihara maruah wanita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *