Kebahagiaan dalam pernikahan adalah suatu anugerah yang tidak ternilai oleh mata benda. Itulah harapan bagi setiap pasangan yang diaqad secara bersyariat. Namun jika ia gagal diraih, maka suami isteri harus mencari solusi lain untuk mendapatkan kebahagiaan dengan memperbaiki hubungan suami isteri, mendapatkan nasihat dan sebagainya.
Jika semua usaha telah dibuat namun tiada jalan pembaikan maka jalan terakhir ialah membubarkan pernikahan tersebut.
Islam memberikan jalan keluar melalui beberapa cara (5 cara: talak, fasakh, khulu’, li’an dan ta’liq). Dalam siri ini akan dibincangkan cara yang pertama yaitu cerai secara talak.
Pembubaran Melalui Talak
Talak dari segi syarak ialah melepaskan ikatan perkahwinan dengan perkataan yang jelas atau perkataan kinayah (sindiran).
Perpisahan
secara talak berlaku apabila suami dan isteri bersetuju untuk bercerai samada secara
baik atau tidak, atau suami membuat keputusan untuk menceraikan isteri dengan
lafaz talak.
Talak dibahagi kepada dua jenis iaitu:
i) Talak
sharih (jelas/langsung)
Talak sharih adalah ucapan talak secara jelas yang apabila diucapkan kepada
isteri, tidak membawa maksud kecuali talak atau cerai, maka jatuhlah talak
walaupun suami tidak berniat untuk cerai. Seperti contoh apabila suami berkata,
“Aku ceraikan kau.” atau “Kamu diceraikan.” kepada isterinya.
ii)
Talak kinayah (sindiran/tidak langsung)
Talak kinayah adalah lafaz yang mengandungi makna perceraian yang tersirat
tetapi tidak secara langsung. Contohnya suami berkata “Pulanglah ke rumah
orang tuamu” yang dilafaz oleh suami kepada isteri.
Juga termasuk dalam talak kinayah adalah talak sharih (langsung) yang dibuat secara
tertulis atau melalui ‘handphone’, e-mail dan yang seumpamanya.
Talak jenis ini memerlukan pengesahan kepada niat suami samada memang bermaksud menceraikan atau sebaliknya.
Bahagian Talak
Talak dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu
- Talak Raj’i dan
- Talak Ba’in.
Talak raj’i ialah seorang suami yang menceraikan isterinya dan masih boleh rujuk tanpa akad nikah dengan syarat isterinya masih berada dalam tempoh iddah.
Talak bai’in dibahagikan kepada dua iaitu talak ba’in sughra dan talak ba’in kubra.
- Talak ba’in sughra ialah talak yang jatuh serta-merta pada masa lafaz talak dilafazkan.
Semua hak-hak isteri terputus apabila dijatuhkan talak. Sekiranya suami ingin kembali bersama isterinya, suami perlu menikahinya dengan mahar (mas kahwin) yang baharu. Contohnya talak satu atau dua yang habis tempoh idah, talak khulu’(tebus talak), talak isteri yang belum disetubuhi atau talak yang difasakhkan.
- Talak ba’in kubra pula adalah talak tiga yang dilafazkan suami yang mana semua perhubungan suami isteri terputus selepas talak dijatuhkan.
Suami tidak boleh rujuk melainkan bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain, bersetubuh dengan suami baru dan menceraikannya. Maka, baru dia boleh berkahwin dengan bekas isterinya selepas tempoh iddah tamat.
Lafaz talak hendaklah dilakukan dengan kebenaran
mahkamah Syariah. Kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam di negara kita
ini adalah lafaz cerai atau lafaz talak luar mahkamah atau dengan lebih tepat
lagi dengan istilah mahkamah adalah lafaz cerai tanpa kebenaran mahkamah.
Lafaz talak luar mahkamah ini menjadi kesalahan yang di kategorikan sebagai
jenayah syariah, di Negeri Kelantan, mana-mana suami yang didapati bersalah
melakukan kesalahan lafaz cerai luar mahkamah boleh di dakwa melalui enakmen
Undang-undang Keluarga Islam 2005, seksyen 125 yang akan dikenakan hukuman
denda sebanyak RM 1000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya
denda dan penjara.
(Rujuk : enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2005, seksyen 125).
Wallahu a’lam.
Rujukan :
Fiqh Islam, H. Sulaiman Rasyid.
Fatwa Fiqh, Ibnu Uthaimin.