Isteri yang diharamkan mencium bau syurga

Tidak layak mencium bau syurga yang harumnya dapat dihidu dari jarak yang jauh. Ada beberapa hadis yang menyebut ia dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan (Al-Bukhari), 70 tahun (Al-Tirmizi), 100 tahun (Al-Tabrani), 500 tahun (Ahmad).

Kalau menghidu pun diharamkan, apa lagilah memasukinya. Jauh panggang dari api!

Dosa apakah yang dilakukan oleh wanita yang malang itu sehinggakan mencium bau syurga pun haram baginya?

Itulah dosa yang paling ditakuti oleh wanita yang bergelar isteri, iaitu MEMINTA CERAI! Kerana takut tidak dapat mencium bau syurga, ramai isteri yang terpaksa menanggung sengsara menghadapi kerenah suami yang tidak bertanggungjawab, berperangai jahat, suka mendera dengan pelbagai cara, sama ada dalam bentuk fizikal, mental, emosi, seksual dan sebagainya berpuluh-puluh tahun lamanya. Semua itu ditanggung dengan penuh rasa sakit, perit dan pedih. Hendak minta cerai takut tidak dapat mencium bau syurga.

Begitukah ajaran Islam?

Begitukah layanan terhadap wanita bergelar isteri yang dianjurkan oleh Islam?

Perkahwinan adalah satu aqad yang menghalalkan pergaulan antara seorang lelaki yang digelar suami dengan seorang wanita yang digelar isteri. Dengan aqad itu juga melahirkan hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Suami mempunyai tanggungjawab terhadap isteri sebagaimana isteri mempunyai tanggungjawab terhadap suami.

Maksud:

 “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang makruf…” (Al-Baqarah 2:228)

Kalau suami dibenarkan menceraikan isteri yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami, apakah munasabah jika isteri tidak boleh meminta cerai dari suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri? Adilkah begitu?

Mungkin yang menjadi sandaran mereka yang mengatakan isteri yang meminta cerai tidak mencium syurga adalah hadis yang diriwayatkan daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Mana-mana isteri yang meminta cerai dengan suaminya tanpa sebab yang mengharuskan (min ghairi ba’s), haram ke atasnya bau syurga.”

Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Albani mengkategorikannya sebagai sahih.

Hadis itu menyebut “meminta cerai tanpa sebab yang mengharuskan”. Maknanya tanpa apa-apa sebab yang munasabah dan diterima di sisi syarak. Jika ada sebab, ia tidak haram dan tidak diharamkan bau syurga.

Untuk lebih jelas, ikuti kisah yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w. ini:

Isteri Thabit bin Qais r.a. datang bertemu Rasulullah s.aw. Beliau mengadu:

“Ya Rasulullah, Thabit bin Qais, aku tidak mencela akhlak dan agamanya, tetapi aku benci kufur selepas Islam. (Di dalam riwayat Ibn Majah, ada tambahan:) “aku tidak mampu tanggung kebencian.”

“Adakah engkau mahu pulangkan kebunnya?” Tanya Rasulullah s.a.w.

“Ya” jawabnya.

Rasulullah s.a.w. perintahkan suaminya, Thabit, “Ambillah kebunmu dan ceraikanlah dia satu talaq.”

(Al-Bukhari, Muslim dan Ibn Majah)

Ulamak mentafsirkan ungkapan “benci kufur selepas Islam” dengan maksud: “takut melakukan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum Islam seperti benci suami, derhaka, tidak tunai hak-haknya (Fath al-Bari)

Kalaulah minta cerai itu haram, tidak dapat mencium bau syurga, tentu Nabi s.a.w. akan menegur isteri Thabit ini dan mengingatkannya akibat buruk yang akan menimpanya. Namun apa yang berlaku baginda bukan sahaja tidak menegur, malah melayani kehendaknya. Walhal sebab yang mendorongnya meminta cerai bukan kerana didera atau tidak diberikan haknya sebagai isteri. Tetapi sebabnya dia tidak suka kepada suaminya dan bimbang dengan sebab itu dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya terhadap suaminya.

Kesimpulan:

Tulisan ini tidak bertujuan untuk menggalakkan isteri segera meminta cerai apabila berlaku perkara yang tidak menyenangkan dengan suami.

Tujuannya hanyalah untuk menjelaskan hak-hak isteri yang dijamin oleh Islam berdasarkan apa yang diajar dan diamalkan oleh Nabi kita s.a.w.

Rumah tangga bukan penjara bagi wanita. Suami tidak pernah diberi lesen untuk menyakiti dan mendera isteri sama ada secara fizikal, mental, seksual, emosi dan apa saja cara. Dan isteri tidak pernah dipaksa menanggung derita akibat didera atas alasan mengharap menghidu haruman syurga.

Jangan biarkan diri menanggung sengsara akibat kejahilan sendiri. Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap umat Nabi Muhammad s.a.w.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *