Hadanah (Bhg.1)

Hadanah (Bhg.1)

Apakah pengertian hadanah?
Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.
Siapakah yang paling berhak terhadap hadanah?
Sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas berlakunya perceraian, ibu ialah orang yang paling berhak daripada orang lain bagi menjaga anak kecilnya sehingga anak kecil itu mencapai umur mumaiyiz (kecerdikan).
Seksyen 81, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303],
(1) Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen,

(3) hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan iaitu:
(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari:
Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

Siapakah yang akan menentukan hadanah dan apakah pertimbangan yang diambil kira?

Jika timbul perselisihan berkenaan hadanah, Mahkamah Syariah merupakan pihak yang mempunyai autoriti dalam memutuskan hadanah dan pertimbangan utama yang diberikan oleh Mahkamah Syariah ialah kebajikan kanak-kanak itu. Selain itu, Mahkamah Syariah juga memberi perhatian kepada perkara yang berikut:
(a) kebajikan kanak-kanak tersebut;
(b) kemahuan ibu bapa kanak-kanak;
(c) kemahuan kanak-kanak itu sekiranya dia dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya.

Apakah syarat-syarat yang dikenakan oleh Mahkamah semasa membuat perintah hadanah?

Semasa membuat perintah hadanah, Mahkamah Syariah boleh mengenakan syarat-syarat yang hendaklah dipatuhi oleh pihak-pihak. Antara syarat tersebut ialah –
(a) tempat kanak-kanak itu akan tinggal dan pelajarannya;
(b) mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu berada buat sementara dalam pemeliharaan dan kawalan seseorang yang lain daripada orang yang diberi jagaan kanak-kanak itu;
(c) mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu untuk melawat ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu yang telah mati atau bapa yang tidak diberi jagaan dalam masa yang difikirkan munasabah;
(d) memberi ibu atau bapa yang tidak diberi hak jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau yang tidak diberi jagaan untuk berjumpa dan melawati kanak-kanak itu pada masa-masa dan seberapa kerap yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah;
(e) melarang orang yang diberi jagaan itu daripada membawa kanak-kanak itu keluar dari Malaysia.

Apakah perintah lain yang boleh dikeluarkan oleh Mahkamah?

Sekiranya ibu atau bapa seseorang anak mendapat jagaan anak memohon kepada Mahkamah Syariah untuk suatu perintah tegahan bagi menahan pihak yang tidak diberi jagaan anak, membawa anak itu keluar Malaysia, pihak Mahkamah Syariah boleh mengarahkan demikian sekiranya terdapat alasan yang munasabah. Pihak-pihak boleh memohon perintah tegahan daripada membawa keluar kanak-kanak dalam penjagaan pihak-pihak dengan alasan-alasan yang munasabah atau wajar untuk sesuatu tujuan yang berfaedah kepada kebajikan kanak-kanak.

Disediakan oleh: Munibah Azraai 

Tetuan Sumaiyah Nadra & Partners

Persoalan lazim mengenai ‘Harta Sepencarian’

Persoalan lazim mengenai ‘Harta Sepencarian’

Terdapat beberapa persoalan lazim apabila membincangkan mengenai soal ‘Harta Sepencarian’. Antaranya ialah:

1) Adakah perlu melantik peguam di dalam membuat
tuntutan ‘Harta Sepencarian’?

Tidak semestinya. Jika pihak-pihak mahu membuat tuntutan sendiri di Mahkamah Tinggi, boleh sahaja. Akan tetapi, peguam syarie lebih arif dan berpengalaman di dalam tuntutan sebegini. Bagi memudahkan dan melancarkan proses tuntutan ‘Harta Sepencarian’ dilakukan, adalah amat digalakkan agar dilantik peguam syarie yang bertauliah. Ramai yang risau akan kos yang perlu ditanggung jika melantik peguam namun jika dokumen tuntutan lengkap, proses dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah dan tidak memakan kos yang tinggi.

2) Adakah terdapat kategori cerai yang menidakkan satu
pihak untuk menuntut ‘Harta Sepencarian’?

Tidak. Tuntutan ‘Harta Sepencarian’ boleh dilakukan tidak mengira kepada apa jenis perceraian yang berlaku. Tebus talak, talak satu atau sebagainya.

3) Layakkah suri rumah menuntut ‘Harta Sepencarian’?

Ya. Suri rumah mempunyai hak di dalam menuntut ‘Harta Sepencarian’ walaupun tidak menyumbang dari segi kewangan kepada sebarang harta yang diperoleh semasa masih berkahwin dengan bekas suami. Banyak mana yang akan diperoleh oleh bekas isteri akan ditentukan oleh pihak mahkamah, kebiasaannya, bekas isteri akan diberikan satu pertiga atau kurang berdasarkan sumbangan tidak langsung seperti menjaga keluarga dan rumah tangga. Enakmen yang sama seksyen 122(1) yang memperuntukkan:
“Mahkamah hendaklah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintahkan supaya apa-apa yang diperoleh oleh pihak-pihak sewaktu perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan antara pihak-pihak.

4) Bilakah tuntutan ‘Harta Sepencarian’ boleh dilakukan?

Tuntutan ‘Harta Sepencarian’ boleh dilakukan pada bila-bila masa selepas berlakunya perceraian. Tiada had masa bagi membuat tuntutan ini, walaupun perceraian sudah berlaku 10 atau 15 tahun kemudian. Tuntutan ‘Harta Sepencarian’ juga masih boleh dilakukan jika salah satu pihak sudah meninggal dunia.

Credit fb : Rabiatul Adawiyah Ramli

Disediakan oleh: Munibah Azraai 

Tetuan Sumaiyah Nadra & Partners

Harta Sepencarian

Harta Sepencarian

APA?
Harta yang dikumpul oleh suami dan isteri semasa tempoh perkahwinan bagi manfaat perkahwinan. Harta di sini adalah harta alih (cth wang simpanan di dalam bank, kwsp dsb) dan harta tak alih (cth tanah, rumah dsb).
Harta yang dikumpulkan sebelum berlakunya perkahwinan, tetapi untuk tujuan perkahwinan adalah dikira harta sepencarian.
Harta pusaka atau harta bawaan bukan dan tidak boleh jadi harta sepencarian kerana bukan dimiliki oleh suami/isteri semasa tempoh perkahwinan atau untuk untuk manfaat perkahwinan tersebut.

SIAPA?
Siapa yang boleh menuntut harta sepencarian? Bekas isteri atau bekas suami boleh menuntut. Balu juga boleh menuntut. Di dalam situasi seorang suami berpoligami, seorang isteri yang dimadukan juga boleh menuntut harta sepencarian, walaupun masih berkahwin dengan suami tersebut.

Suri rumah berhak menuntut walaupun tidak memberi sumbangan secara langsung terhadap perkahwinan. Pihak mahkamah akan menentukan sumbangan tidak langsung yang diberikan oleh suri rumah seperti menjaga rumah, membesarkan anak dan sebagainya.

Anak-anak tidak boleh menuntut bagi pihak ibu atau ayah kerana mereka bukan di dalam kategori suami atau isteri, walaupun jika berlaku kematian semasa proses perbicaraan di mahkamah sedang berjalan.

BILA?
Tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan setelah berlakunya perceraian di dalam sebuah rumahtangga. Tiada had masa diperlukan untuk membuat tuntutan harta sepencarian, walaupun perceraian sudah berlaku 10 atau 15 tahun sekalipun, tetap boleh menuntut. Namun, bagi mengelakkan perkara tidak diingini, dan memudahkan pihak mahkamah membuat keputusan, adalah amat digalakkan untuk membuat tuntutan sejurus selepas berlakunya perceraian.

BAGAIMANA?
Tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi di tempat di mana lafaz cerai dilakukan. Pihak-pihak boleh memilih untuk membuat tuntutan sendiri tetapi adalah amat digalakkan untuk melantik peguam yang bertauliah untuk memudahkan proses permohonan harta sepencarian agar dapat berjalan dengan lancar kerana banyak pihak yang akan terlibat seperti Pejabat Tanah, pihak bank dan lain-lain.

ISU-ISU
Adakah perniagaan boleh dikira sebagai harta sepencarian?
Jika perniagaan tersebut adalah milik suami dan isteri semasa perkahwinan, boleh dikira sebagai harta sepencarian. Jika perniagaan adalah milik suami dan rakan-rakan kongsi, ia tidak boleh dikatakan sebagai harta sepencarian, maka bekas isteri tidak berhak menuntutnya.
Jika pihak mahkamah sudah memberikan keputusan sesuatu kes harta sepencarian, bilakah pihak-pihak akan mendapat wang tersebut?
Pihak mahkamah biasanya akan meletakkan tempoh masa bagi pihak untuk menerima wang yang ditetapkan, namun, pihak-pihak dinasihatkan agar meletakkan tempoh masa yang munasabah di dalam permohonan harta sepencarian yang dilakukan.

Credit fb : Rabiatul Adawiyah Ramli
Disediakan oleh: Munibah Azraai

Kejelasan Tanggungjawab Asas Kesejahteraan Keluarga

Kejelasan Tanggungjawab Asas Kesejahteraan Keluarga

Laporan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Nasional ke-5 menyatakan bahawa perceraian berlaku adalah disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

Sebab Perceraian Lelaki Wanita
Tidak bersefahaman 56.2% 38%
Curang @ khianat kepada pasangan 11.8% 20.5%
Campurtangan keluarga pasangan 10% 6%
Pasangan tidak bertanggungjawab   15.2%
Tidak menerima poligami   2.8%
Kewangan   4.7%
Ketiadaan zuriat, perjudian, kesihatan, penderaan dan lain-lain 22% 12.8%

Kajian kadar perceraian ini meliputi semua bangsa di Malaysia dan hasil dapatannya adalah sangat membimbangkan. Keutuhan institusi keluarga adalah penting bagi semua kaum, kerana ianya dapat memberi sokongan dan tonggak ketahanan setiap individu dalam masyarakat.  Peningkatan bilangan perceraian setiap tahun terutama di kalangan pasangan muda, menunjukkan bahawa betapa rapuhnya sistem perkahwinan bagi membangunkan keluarga yang harmoni. Perancangan yang rapi untuk mengelakkan lebih banyak berlakunya perceraian dan membantu pasangan muda melalui fasa kritikal lima tahun pertama perkahwinan adalah amat penting.

Antara perkara yang perlu ditekankan dalam kursus perkahwinan adalah kesedaran akan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap pasangan suami dan isteri setelah mendirikan rumah tangga. Setiap pasangan perlu memahaminya dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Bekalan ilmu pengetahuan berkaitan tanggungjawab sebagai isteri atau suami, ibu atau bapa, dan anak atau menantu perlulah difahami dan dipraktikkan. Termasuklah mengambil iktibar pengalaman pahit dan manis alam berumah tangga yang dilalui oleh generasi ibu bapa mereka.

Dalam melaksanakan tanggungjawab rumah tangga, sebahagian kaum lelaki kurang menghayati makna sebenar istilah “qauwaamun” seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nisa ayat 34.  Mereka beranggapan bahawa lelaki adalah pemimpin yang memerintah dan berkuasa ke atas wanita secara mutlak. Tetapi sebaliknya, “qauwaamun” bermaksud pemimpin,  pemelihara dan pelindung kepada wanita. Islam telah memerintahkan supaya wanita dimuliakan baik sebagai ibu, isteri atau pun anak perempuan. Ini bermaksud lelaki bertanggunjawab untuk memastikan kebahagiaan kepada ahli keluarganya dan tidak mengasari serta tidak mengabaikan tuntutan dan hak mereka.

Sebaliknya, wanita bertanggungjawab menyokong dan membantu suami dalam membangunkan keluarga. Wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata menjaga pengurusan rumah tangga yang baik, menjaga keperluan suami dan memelihara kesihatan keluarga, bahkan untuk mendidik, mengasuh dan membimbing anak-anak. Bagi wanita yang bekerja, perlulah mengimbangi antara kerjaya dan keluarga kerana pelbagai peranan ini boleh menggugat kestabilan dan kesejahteraan seorang wanita.

Persefahaman dengan amalan musyawarah antara suami isteri tentang kaedah menguruskan rumah tangga dan pendidikan anak-anak adalah perlu. Ini bagi mengurangkan berlakunya perselisihan pendapat tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam pengurusan rumah tangga. Oleh itu, kejelasan akan tanggungjawab serta peranan pasangan suami isteri dalam sesebuah keluarga amatlah  penting bagi mengelakkan berlakunya perceraian.

Dihasilkan oleh,

Zarina Bt Azhari

Unit Keluarga

Wanita, Pertubuhan IKRAM Malaysia

Bolehkah isteri mohon cerai?

Bolehkah isteri mohon cerai?

Semua pernikahan tentulah mengharapkan bahagia bersama hingga ke akhir hayat. Namun kadangkala harapan itu tidak kesampaian, di mana bahtera itu boleh karam di tengah lautan.

Dalam keadaan rumah tangga bermasalah, seorang wanita, walaupun merasa sangat lemah tanpa lelaki yang bernama suami di sisi, akan terfikir “bolehkah saya mohon dilepaskan oleh suami?”. Dalam masa yang sama ia tertanya-tanya..“benarkah jika saya memohon cerai maka haram bagi saya bau syurga?”

Seorang isteri harus (boleh) meminta cerai dari suaminya dengan sebab atau alasan yang jelas dan dibenarkan syara’.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan seorang sahabiah yang takut kufur karena ia tidak menyukai suaminya meski lelaki itu berakhlak baik tetapi kerana tidak menyukai parasnya.
Maksud hadis : “Dari Ibnu ‘Abbas, bahwasanya isteri Tsâbit bin Qais mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: “Wahai, Rasulullah. Aku tidak mencela Tsâbit bin Qais pada akhlak dan agamanya, namun aku takut berbuat kufur dalam Islam,” maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apakah engkau mau mengembalikan kepadanya kebunnya?” Ia menjawab,”Ya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ,” lalu beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ambillah kebunnya, dan ceraikanlah ia”. [HR al-Bukhari].

Jelas dalam hadis ini Nabi SAW membenarkan kehendak sahabiah itu dan mereka pun bercerai, dengan alasan seperti di atas.

Namun di sana ada syarat yang membolehkan wanita mohon cerai. Jika ada sebab-sebab berikut, maka harus memohon cerai. Alasan-alasan tersebut di antaranya :
1. Suami membenci isteri, nyata kebencian itu, tapi suami tidak menceraikannya.
2. Suami menganiaya isteri samada secara mental seperti selalu mencaci maki, bercakap dengan bahasa kasar, atau menyakiti fizikalnya.
3. Suami tidak menjalankan kewajiban agama seperti tidak solat, tidak puasa dan seumpamanya. Atau melakukan maksiat seperti berzina, homoseks, hisap dadah dan sebagainya.
4. Suami tidak membiayai nafkah isteri seperti tempat tinggal yang sesuai, makan minum dan pakaian dan lain-lain keperluan isteri, samada suami itu memiliki harta atau tidak, isteri berhak mohon cerai.
5. Suami tidak memenuhi keperluan biologi (seks) isteri, samada suami enggan atau tidak mampu kerana cacat atau sakit.
6. Suami hilang atau tidak jelas khabar dan keberadaannya dalam tempoh yang lama.
7. Isteri tidak menyukai suami dan takut berbuat kufur seperti akan berlaku ingkar kepada suami atau tidak boleh memenuhi kewajipannya sebagai isteri dengan baik.

Mohon Cerai Tanpa Alasan

Wanita yang menuntut cerai dari suaminya tanpa alasan syarie (selain sebab di atas), maka haramlah baginya bau syurga, sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW berikut:
Maksudnya: “Siapa saja wanita yang meminta (menuntut) cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan maka diharamkan bau surga atas wanita tersebut.” (HR. Abu Dawud, Al-Tirmidzi, dan Ibnu Majah. Disahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Abi Dawud).
Dalam hadis lain Rasulullah SAW mencela isteri yang demikian dengan menggolongkan mereka dalam golongan munafiq. Maksud hadis : “Wanita-wanita yang meminta khulu’ dan cerai adalah wanita munafiq. (Riwayat Imam Ahmad)

Dapat disimpulkan bahwa hukum wanita menuntut cerai dari suaminya adalah boleh atau harus asalkan isteri itu memiliki alasan yang jelas. Meskipun demikian, ada baiknya jika isteri yang mengalami masalah dalam rumah tangga bersabar dan tetap menerima dan mendoakan suaminya agar rumah tangganya tetap terjaga dengan baik. Ada baiknya juga beliau mencari ikhtiar yang lain sebelum membuat tuntutan cerai.

Adapun cara perpisahan itu ada 3 iaitu mohon talaq dari suami, mohon fasakh di mahkamah atau mohon khulu’ dari suaminya atau dari mahkamah.
Semoga bermanfaat.

Rujukan :
Fatwa Masakini, Dr. Yusuf al Qaradhawi, jilid 7, hal.64.
Fatwa-fatwa Komtemporari, Syeikh Ali Jum’ah, Jilid 1, hal. 489.
Fiqh Islam, H. Sulaiman Rasyid, hal. 380.