Hadanah (Bhg.1)

Apakah pengertian hadanah?
Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.
Siapakah yang paling berhak terhadap hadanah?
Sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas berlakunya perceraian, ibu ialah orang yang paling berhak daripada orang lain bagi menjaga anak kecilnya sehingga anak kecil itu mencapai umur mumaiyiz (kecerdikan).
Seksyen 81, Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 [Akta 303],
(1) Tertakluk kepada Seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak daripada segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.

(2) Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan di bawah Hukum Syarak daripada mempunyai hak terhadap hadanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu, tertakluk kepada subseksyen,

(3) hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan iaitu:
(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari:
Dengan syarat penjagaan orang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.

Siapakah yang akan menentukan hadanah dan apakah pertimbangan yang diambil kira?

Jika timbul perselisihan berkenaan hadanah, Mahkamah Syariah merupakan pihak yang mempunyai autoriti dalam memutuskan hadanah dan pertimbangan utama yang diberikan oleh Mahkamah Syariah ialah kebajikan kanak-kanak itu. Selain itu, Mahkamah Syariah juga memberi perhatian kepada perkara yang berikut:
(a) kebajikan kanak-kanak tersebut;
(b) kemahuan ibu bapa kanak-kanak;
(c) kemahuan kanak-kanak itu sekiranya dia dalam peringkat umur yang boleh menyatakan pendapatnya.

Apakah syarat-syarat yang dikenakan oleh Mahkamah semasa membuat perintah hadanah?

Semasa membuat perintah hadanah, Mahkamah Syariah boleh mengenakan syarat-syarat yang hendaklah dipatuhi oleh pihak-pihak. Antara syarat tersebut ialah –
(a) tempat kanak-kanak itu akan tinggal dan pelajarannya;
(b) mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu berada buat sementara dalam pemeliharaan dan kawalan seseorang yang lain daripada orang yang diberi jagaan kanak-kanak itu;
(c) mengadakan peruntukan bagi kanak-kanak itu untuk melawat ibu atau bapa yang tidak diberi jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu yang telah mati atau bapa yang tidak diberi jagaan dalam masa yang difikirkan munasabah;
(d) memberi ibu atau bapa yang tidak diberi hak jagaan atau seseorang daripada keluarga ibu atau bapa yang telah mati atau yang tidak diberi jagaan untuk berjumpa dan melawati kanak-kanak itu pada masa-masa dan seberapa kerap yang difikirkan munasabah oleh Mahkamah;
(e) melarang orang yang diberi jagaan itu daripada membawa kanak-kanak itu keluar dari Malaysia.

Apakah perintah lain yang boleh dikeluarkan oleh Mahkamah?

Sekiranya ibu atau bapa seseorang anak mendapat jagaan anak memohon kepada Mahkamah Syariah untuk suatu perintah tegahan bagi menahan pihak yang tidak diberi jagaan anak, membawa anak itu keluar Malaysia, pihak Mahkamah Syariah boleh mengarahkan demikian sekiranya terdapat alasan yang munasabah. Pihak-pihak boleh memohon perintah tegahan daripada membawa keluar kanak-kanak dalam penjagaan pihak-pihak dengan alasan-alasan yang munasabah atau wajar untuk sesuatu tujuan yang berfaedah kepada kebajikan kanak-kanak.

Disediakan oleh: Munibah Azraai 

Tetuan Sumaiyah Nadra & Partners

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *