PIAGAM WANITA IKRAM

Piagam ini bertujuan menghuraikan prinsip asas yang memberi pengiktirafan terhadap peranan, tanggungjawab dan hak wanita dan lelaki dalam semua aspek pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara bagi mewujudkan umat pertengahan (ummatan wasatan). Ianya menjelaskan secara khusus asas perjuangan kaum wanita masa kini, dengan memartabatkan peranan dan sumbangan kaum wanita dalam sebuah keluarga yang merupakan unit penting dalam masyarakat. 

Selaras dengan pengiktirafan Islam akan kepentingan peranan wanita dan lelaki dalam pembangunan sesebuah masyarakat dan Negara, “Piagam Wanita Islam” ini menyatakan pendirian Wanita IKRAM terhadap peranan, tanggungjawab dan hak wanita dan lelaki di dalam sebuah umat pertengahan (ummatan wasatan) yang menegakkan keadilan, bersikap sederhana dan melaksanakan yang terbaik selaras dengan Firman Allah Ta’ala: 

Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) ’umat pertengahan’ (wasathan) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”  Al-Baqarah: 143

Piagam ini mengandungi TIGA penegasan seperti berikut: 

Pertama
Mengiktiraf kepentingan peranan wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang mana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi dalam usaha mewujudkan umat pertengahan. 

Kedua
Mengiktiraf prinsip kesamarataan dan kesaksamaan lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam dengan mengambil kira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat. 

Ketiga
Mengiktiraf dan menuntut lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga.