MOHON KERJASAMA ANDA[SURVEI] Gangguan Seksual: Pengalaman Anda

MOHON KERJASAMA ANDA[SURVEI] Gangguan Seksual: Pengalaman Anda

Isu lawak lucah bukanlah suatu perkara baharu dalam kalangan masyarakat hari ini. Baru-baru ini dunia seni tanah air gempar selepas tular sedutan temu bual seorang pelakon yang telah berkongsi secara terperinci tentang pembikinan babak rogol melibatkan seorang pelakon lain, yang disifatkan agak keterlaluan dan melampau. Ini berikutan perbuatan melawak yang mengandungi unsur lucah melampau seolah-olah sesuatu yang normal dan diterima pada hari ini. Normalkah situasi ini?

Jika sebelum ini seorang pelajar sekolah tampil membuat laporan polis terhadap gurunya yang membuat lawak lucah, kini giliran atlet penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong berkongsi kisah serupa. Persoalannya, pernahkah anda berhadapan dengan keadaan ini? Apakah tindakan anda? Bagaimana stigma dan penerimaan masyarakat terhadap suara anda?

📌

Maka, satu survei sedang dilaksanakan oleh Wanita IKRAM Malaysia, (Sayap wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia, sebuah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan kehidupan masyarakat umum), bagi melihat sejauh mana isu ini membarah dalam masyarakat dan seterusnya merangka program susulan mendidik masyarakat bagi membendung dan membasmi isu ini.

📌

Survei ini mengandungi 2 muka surat dan akan mengambil masa lebih kurang 5 minit. Sila klik pautan di bawah untuk maklumat lanjut dan seterusnya mengisi survei ini:

http://bit.do/surveigangguanseksual

Terima kasih atas kesudian anda menjayakan survei ini. Kami juga menghargai jika anda boleh menguar-uar survei ini kepada ahli keluarga dan kenalan anda.

#rapejokeisnotfunny

Fb: www.facebook.com/wanitaikrammalaysia

IG: www.instagram.com/wanitaikrammalaysia

Twitter: www.twitter.com/wanitaikrammy

Kurangnya Penghayatan Ilmu, Hanyut Kita Dibawa Arus

Kurangnya Penghayatan Ilmu, Hanyut Kita Dibawa Arus

Budaya ilmu merupakan amalan yang menjadi rutin bagi masyarakat seluruh dunia. Tanpa budaya ilmu hidup ini tidak bermakna. Kita diajar membaca sejak kita masih kecil lagi. Bermula seawal empat tahun kita telah diajar mengenal huruf Hijaiyah untuk membaca muqaddam dan seterusnya al-Quran. Kita juga diajar mengenal huruf Rumi bagi tujuan untuk membaca tulisan Roman yang banyak digunakan di seluruh dunia.

Tahukah anda, saat Rasulullah SAW diberi amanah sebagai pembawa risalah, baginda ialah seorang yang ummi bermaksud buta huruf. Buta huruf yang dimaksudkan adalah buta mengenai ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan pada saat itu. Ia sangat berbeza dengan bahasa Arab sedia ada. Rasulullah SAW menjawab, beliau tidak tahu apabila disuruh membaca. Apabila malaikat Jibril AS memintanya membaca ayat pertama al-Alaq ayat 1:

اِقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِيْ خَلَق

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (al-Alaq:1).

Lalu Malaikat Jibril AS memeluk Rasulullah SAW sehingga sangat sukar untuk bernafas. Keadaan ini berulang selama tiga kali. Akhirnya, dengan izin Allah SWT, Rasulullah SAW boleh membaca ayat tersebut dengan baik dan terus menanti wahyu-wahyu seterusnya.

Apa yang boleh diambil iktibar dari peristiwa ini? Usaha! Percubaan pertama belum tentu kita berjaya. Apa yang perlu, teruskan usaha dan melangkah ke hadapan. Membaca dengan maklumat yang membawa manfaat kepada kita semua.

Dewasa ini, ramai yang kerap membaca tetapi kurang memahami apa yang dibaca. Kita hanya membaca dan terus menghebahkan tanpa menyelidik kesahihan maklumat tersebut. Terlalu banyak mesej berantai yang dihebahkan tanpa bukti yang nyata. Agak-agaknya kenapa ya perkara ini berlaku? 

Kita tidak buta, tidak sama sekali. Kita sangat celik kerana kita boleh membaca. Tetapi sebahagian kita terlalu alpa mengejar populariti, memberikan maklumat tanpa memahami dan menyelidiki maklumat tersebut. Dalam minda, ‘Bukan kerja kita pun nak sahkan maklumat ni. Dah dihebahkan. Betullah maklumat itu. Kalau tak, takkan tersebar.’ Fikir mereka. 

Kesannya, wujud satu aplikasi yang diberi nama ‘sebenarnya.com.’ Medium pencarian kesahihan maklumat di hujung jari namun kita lebih gemar mengharapkan orang lain membantu mencari kesahihan maklumat tersebut. Kita lihat orang, kita ikut trend. Ramai memberikan suka dan ikut, kita pun ikut juga. Pada saat ini, kita seumpama lalang. Angin bertiup ke kanan, maka ke kananlah kita, angin bertiup ke kiri, maka ke kirilah kita. Kita hilang jati diri. 

Budaya ilmu juga menjadikan seseorang sentiasa berfikir tentang kebaikan dan keburukan sesuatu tindakan. Membaca membuka mata hati untuk menilai sesuatu perkara. Tetapi, atas pengaruh penjajahan yang telah diterapkan dalam pendidikan tanpa kita sedar, kecemerlangan pencapaian menjadi nilaian bukannya kecemerlangan akhlak. 

Kecemerlangan pencapaian menjadi rebutan kerana penempatan universiti yang ditawarkan. Akhlak yang baik hadirnya bersama dengan penghayatan ilmu yang benar. Ini dipersetujui oleh penulis buku ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ tulisan Stephen R. Covey. Bukunya mencatatkan tujuh akhlak yang benar akan membawa kepada pembinaan kecemerlangan akademik dan sahsiah. Anak-anaknya juga mengakui, apa yang ayah mereka terapkan kepada mereka sehingga mereka berjaya.

Budaya ilmu semakin luntur seumpama air hujan yang mengalir. Kita bukan tiada buku yang bermanfaat, kita bukan tiada tokoh yang berkualiti, tetapi mentaliti budaya dan penerapan ilmu yang kurang mendalam merosakkan jati diri kita tanpa sedar. Kita hanyut dan leka dengan kejayaan silam dan ketaksuban tanpa kesudahan.

Jati diri seorang muslim semakin berkurangan kerana pengamalan Islam semakin larut antara benar dan batil. Al-Quran dan al-Sunnah digunakan atas kepentingan peribadi. Ramai semakin lesu dalam berfikir dan dalam membuat keputusan dan tindakan.

Imam Syafie menyatakan ilmu itu seumpama binatang buruan. Perlu dicari dan dipilih yang terbaik. Apabila diperolehi, perlu diikat dengan tali supaya tidak terlepas. Begitulah ilmu, perlu dicari dan dipilih yang terbaik. Apabila dapat, perlu diamalkan dan dijaga kerapiannya supaya tidak lupa dan luput dari ingatan. Moga kita tidak terleka dengan hamparan dan permainan palsu dunia, moga kita terpelihara daripada fitnah akhir zaman. 

Penulis: Intan Nurulamalia Binti Ahmad Sapar (Inas)

Daripada: Ikram Kuala Selangor

  • Ini adalah pandangan penulis
Nasib Anak Pandemik

Nasib Anak Pandemik

Termangu Sakinah di jendela. Angin sepoi bahasa menghembus perlahan menyentuh wajah. Seolah sedang menyapa hatinya yang sedih.

Fikiran Sakinah melayang teringatkan kata-kata Dr. Fairuz, seorang Pakar Perkembangan Kanak-Kanak, semasa mengikuti webinar tempohari. Katanya ibu bapa perlu sentiasa cakna dengan perkembangan anak-anak terutamanya dalam era pandemik ini.

“Carta Perbatuan Perkembangan Kanak-Kanak perlu dirujuk agar intervensi awal boleh dibuat kerana di situ ibu bapa boleh membandingkan tahap perkembangan anak-anak mengikut umur dari segi tumbesaran fizikal anak, perkembangan kognitif yang melibatkan IQ, perkembangan komunikasi dan pertuturan anak-anak, sosial emosi yang melibatkan pergaulan serta tingkah laku adaptif mereka seperti kebolehan anak-anak mengurus diri.” Begitu panjang lebar penerangan Dr. Fairuz dalam webinar tersebut.

Mendengar saranan Dr. Fairuz, Sakinah mula merujuk carta tersebut melalui aplikasi google sebelum membawa anaknya, Aiman yang berusia tiga tahun bertemu dengan pakar tempohari.Bukan dia tidak sedar tentang kelewatan perkembangan komunikasi Aiman jika dibandingkan dengan anak rakan baiknya, Aina dan Kak Long. Namun, Sakinah masih meyakinkan dirinya bahawa semuanya baik-baik sahaja.

“Alah mak, Aiman kan anak sulung Kak Ngah. Dia tiada kawan nak bersembang. Sebab itu dia lambat sikit bercakap.” Sakinah cuba meyakinkan emaknya apabila emaknya menyuarakan kerisauan tentang Aiman yang masih bertutur sepatah demi sepatah sedangkan umurnya sudah melepasi tiga tahun. Memang pun ada benarnya. Aiman jarang-jarang ada masa untuk bermain. Sakinah dan suami juga jarang bersembang dengannya kerana sangat sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

“Jika aku dengar nasihat emak sebelum ini, tentu awal-awal lagi aku sudah bawa Aiman berjumpa pakar,” getus hatinya.Lagi empat bulan umur Aiman akan menginjak ke empat tahun. Namun, pertuturannya jauh ketinggalan berbanding anak-anak yang sebaya dengannya. Sepatutnya dia sudah boleh menuturkan ayat-ayat mudah serta mampu bertanya itu dan ini. Namun, Aiman hanya mampu berkomunikasi dengannya hanya dengan beberapa patah perkataan asas sahaja.

Pandemik ini memburukkan lagi keadaan. Sakinah dan suami sering sibuk dengan mesyuarat sehingga tidak sempat meluangkan masa bersama anak tunggal mereka. Kebanyakan masa Aiman diberi ipad lamanya supaya dia tidak mengganggu mesyuarat dan urusan kerja mereka. Aiman asyik menghadap video-video yang telah dimuat turun. Sakinah dan suaminya menganggap Aiman seorang anak yang baik kerana tidak mengganggu mereka menyelesaikan tuntutan kerja. Tanpa mereka sedar, masalah besar bakal muncul.

“Inilah hasilnya kerana mendedahkan Aiman dengan gajet pada awal usia tanpa kawalan,” getus hati Sakinah lagi. Sakinah sering melihat di media sosial saranan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh American Paediatric Association agar anak-anak di bawah usia dua tahun tidak diberikan gajet. Ini kerana mereka belum mempunyai kawalan kendiri. Tanpa kawalan ibu bapa, ia boleh menyebabkan ketagihan melampau kepada anak-anak.

Interaksi yang berterusan dengan gajet ini boleh menyebabkan anak-anak kurang berinteraksi dengan orang sekeliling dan tiada eye contact. Inilah punca kepada masalah lewat perkembangan komunikasi, emosi, kognitif dan adaptasi anak-anak.

Sebenarnya, mereka memerlukan layanan, perhatian serta belaian daripada kedua ibu bapa. Sentuhan dan komunikasi secara langsung daripada ibu bapa dapat mempercepatkan lagi perkembangan anak-anak pada usia begini.

Bagi Sakinah, apa yang sudah berlaku memberi pengajaran kepadanya dan suami untuk terus belajar tentang perkembangan awal kanak-kanak. Sakinah juga bersemangat mencari ilmu-ilmu berkaitan pendidikan keibubapaan melalui pembacaan dan sebagainya. Sekarang Sakinah sedar, mendidik anak adalah seni yang perlu dipelajari, bukan kurniaan semulajadi.

Pada hari ini, bukan isu kanak-kanak sahaja yang perlu diberi perhatian. Baru-baru ini terpampang di dada-dada akhbar tentang isu bunuh diri di kalangan remaja. Mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada 1700 kes bunuh diri yang dilaporkan sepanjang pandemik ini, 800 daripadanya adalah daripada kalangan remaja.

Sakinah mengurut dada membaca berita itu. Dia teringat anaknya Aiman. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar anak dan keturunannya tidak terjerumus dalam situasi seperti itu. “Kasihan apabila seawal usia remaja mereka telah diuji dengan masalah kesihatan mental. Pelbagai tekanan yang mereka terpaksa terima.” Fikir Sakinah sendirian.

Antara yang disebut di dalam artikel yang dibaca oleh Sakinah tempohari, faktor yang menyumbang kepada berlakunya perkara ini adalah seperti faktor persekitaran, faktor kecelaruan psikiatri sedia ada dan faktor peribadi seperti rendahnya harga diri (self esteem), faktor ketahanan diri serta keupayaan mengatasi pelbagai masalah dan cabaran.

“Beratnya amanah ini, ya Allah,” Sakinah mengeluh perlahan. Dia sedar anak yang berupaya mengatasi masalah dan cabaran dengan baik mempunyai risiko yang rendah menghadapi masalah kesihatan mental kelak.

“Aku mesti bantu Aiman dari sekarang agar dia mempunyai bekalan yang ampuh dalam menguruskan emosinya,” azam Sakinah. “Dari sekarang aku perlu bertindak dengan emosi yang sedar agar apa jua tindakan aku hari ini bakal menjadi cerminan tindakan Aiman kerana aku dan ayahnya adalah ‘role model’.” Gumamnya perlahan.

Sakinah menyimpul kemas azam itu. Azam yang bakal diterjemahkan dengan sebaik mungkin bersama suaminya demi kebaikan Aiman kelak. Terdengar derap kaki suami dan Aiman menghampirinya. Sakinah mendepakan tangan mahu memeluk Aiman yang sedang berlari ke arahnya.

“Ibu akan pastikan yang terbaik buatmu nak,” bisik hati Sakinah sambil mencium pipi gebu Aiman.

Hasil nukilan:

Roselinee

Wanita IKRAM Selangor

Salam Maulidur Rasul

Salam Maulidur Rasul

Sempena Maulidur Rasul, mari kita sama-sama buktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dan ikutan kita.

Rasulullah SAW memiliki akhlak mulia dan sentiasa sangat lembut dan berhikmah dalam kata-kata baginda.

Marilah kita mencontohi Rasul SAW dalam berbicara dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk dan kesat termasuk dalam penulisan.

Firman Allah: لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

(Al-Ahzaab 33:21)

INSIGHT: Episod 6: Kasih Bapa

INSIGHT: Episod 6: Kasih Bapa

Ada tanggapan bahawa tugas mendidik anak bukanlah tugas bapa, sebaliknya ia adalah tugas ibu. Ini menyebabkan ada sebilangan golongan bapa yang ‘berlepas tangan’ dan menyerahkan sepenuhnya urusan mendidik ini kepada si ibu. 

Bagaimana bapa mampu mencorak peribadi anak-anak? 

Saksikan Episod Keenam INSIGHT – SALAM  bersama mengupas tentang peranan bapa dalam pendidikan anak-anak.  

INSIGHT: Episod 6: Kasih Bapa

🧕🏻Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan (Pensyarah, Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, UPSI)

🧕🏻Ustaz Zainal Abidin Abd Rahim (Hos Insight-Salam)

🗓️ Jumaat, 15 Oktober 2021

⏰ 9.00 Malam

🎦 TV IKRAM

🎥 FB Wanita IKRAM Malaysia

https://www.facebook.com/296975890384137/posts/4404809492934069/

LIKE dan SHARE!

Subscribe >> https://youtube.com/c/ikrammalaysiaTV