Sambutan 10 Tahun Sayap Wanita IKRAM: Satu Dekad Bersama Membina Malaysia Rahmah

Sambutan 10 Tahun Sayap Wanita IKRAM: Satu Dekad Bersama Membina Malaysia Rahmah

Seri Kembangan – Tanggal 5 Jun 2021 telah melakarkan sejarah dengan terlaksananya Sambutan 10 Tahun Sayap Wanita IKRAM, dengan tema Satu Dekad Bersama Membina Malaysia Rahmah. Majlis yang bermula jam 10.00 pagi itu telah berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom serta siaran langsung dari YouTube.

Bacaan al-Quran surah al-Ankabut dari ayat 1 sehingga 11 yang dilantunkan oleh Ustazah Datin Hamidah Ibrahim diharap dapat menambah keberkatan majlis ukhuwah ini.

Majlis Sambutan 10 Tahun Wanita IKRAM diteruskan dengan ucapan aluan daripada Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu binti Mohd Salleh. Beliau menyeru Wanita IKRAM agar terus mencetak pahlawan-pahlawan agar Malaysia tidak kepupusan para pahlawan dalam membina Malaysia rahmah. Beliau turut mengingatkan semua ahli Wanita agar sentiasa ikhlas dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah dalam usaha membina Malaysia rahmah, seterusnya meraih kedudukan paling terhormat di sisi Allah s.w.t.

Majlis gilang-gemilang yang julung-julung kali diadakan ini telah dapat disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Presiden IKRAM, Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Ahmad. Beliau mendoakan agar sayap Wanita IKRAM terus maju jaya dalam melaksanakan misi membina negara rahmah yang gemilang. Majlis seterusnya disajikan dengan pelancaran video khas 10 tahun Sayap Wanita IKRAM, diikuti dengan pemasyhuran logo 10 tahun Sayap Wanita IKRAM dan pelancaran buku sempena 10 tahun Sayap Wanita IKRAM.

Penubuhan Sayap Wanita IKRAM Malaysia pada 3 Oktober 2010 yang lalu pastinya menjadi memori indah yang akan terus diingati. Majlis yang diadakan ini adalah bertujuan untuk meraikan sambutan 10 tahun penubuhan sayap Wanita IKRAM bersama mantan pimpinan Wanita IKRAM sesi 2010 sehingga 2020 khasnya, dan Wanita IKRAM secara umumnya tidak kira di mana mereka berada. Perkongsian pengalaman suka duka para pimpinan terdahulu dalam membina negara rahmah adalah antara slot yang dinantikan oleh ahli wanita.

Majlis yang dijalankan secara santai ini juga diharap dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli Wanita IKRAM seluruh dunia. Sesi pertama majlis sambutan ini diakhiri dengan sesi fotografi dalam platform Zoom bersama para jemputan dalam kalangan barisan Jawatankuasa IKRAM Pusat, barisan mantan pimpinan Wanita IKRAM dan Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat.

Sesi kedua majlis ini diteruskan lagi secara eksklusif buat para Wanita IKRAM seluruh dunia dengan menyaksikan persembahan khas daripada Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat sesi 2018 hingga 2022.

Majlis diteruskan lagi dengan perkongsian bersama mantan pimpinan iaitu Ustazah Maznah binti Daud (Ketua Wanita, Sesi 2010-2014) mewakili syaikhah dan Puan Anfaal binti Saari (Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat, Sesi 2014-2018) mewakili generasi muda.  Selain itu, Datin Dr. Amalina Abdullah (Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat, Sesi 2012 – 2014) turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam persembahan deklamasi sajak. Seterusnya, majlis dimeriahkan dengan sesi kuiz bersama seluruh ahli Wanita IKRAM.

Majlis diteruskan dengan penampilan khas daripada Pn. Iman binti Dzulkefly melalui nyanyian dua buah lagu. Selain itu, Pn. Zul’aini binti Zainal Abidin bersama Zila turut memeriahkan majlis melalui paduan nyanyian dan alat instrumen daripada mereka.

Majlis yang dipenuhi dengan suasana ukhuwah ini diteruskan dengan sesi perkongsian bersama mantan pimpinan Wanita IKRAM Malaysia. Ucapan demi ucapan merupakan azimat yang akan terus tersemat di hati seluruh ahli Wanita IKRAM.

Majlis ini pastinya akan menjadi majlis yang akan terus dikenang kerana pelaksanaannya dalam norma baharu di waktu negara sedang dilanda pandemik Covid-19. Penangguhan demi penangguhan terpaksa dibuat memandangkan usaha untuk melaksanakan majlis ini dalam keadaan bertemu fizikal tidak dapat dicapai. Walaupun majlis ini dijalankan secara dalam talian, ia tetap meriah dengan pengendalian hebat daripada pasangan pengacara majlis, Ustazah Nur Salisa binti Ali dan Pn. Norlizayati binti Ramlan.

Majlis anjuran Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat dengan Kerjasama Wanita IKRAM Kuala Lumpur ini akhirnya melabuhkan tirainya. Bacaan doa penutup telah disempurnakan oleh Ustazah Zaimah binti Yaha.

Sebagai penutup tirai, video penghormatan kepada 15 pimpinan Wanita IKRAM pusat, negeri dan kawasan (Sesi 2010 sehingga 2020) yang telah terlebih dahulu dijemput Ilahi dipaparkan. Mudah-mudahan Allah memilih dan menempatkan mereka bersama para syuhada’ dalam perjuangan agamaNya. Perkongsian ini juga adalah sebagai usaha mengingati perjuangan mereka dalam usaha-usaha pembinaan negara rahmah.

Pembangunan Anak Perempuan

Pembangunan Anak Perempuan

Islam sangat menekankan kewajipan berbakti kepada ibu bapa baik semasa mereka masih hidup atau setelah mereka meninggal dunia. Hubungan antara anak dan ibu bapa ini telah dirakamkan di dalam pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

1. “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selainNya dan hendaklah berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan “ah!” dan janganlah kamu membentak mereka, ucapkanlah perkataan yang baik-baik (qaulan kareema) kepada mereka. Dan berbaktilah (wakhfid) kepada kedua-duanya dengan penuh kasih sayang (min rahmah) dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah kedua-dua ibu bapaku sebagaimana mereka mendidikku ketika kecil.” (Al-Isra’ (17): 23-24)

Asas kepada hubungan dan pergaulan anak dengan ibu bapa adalah rasa kasih sayang dan rasa hormat: ihsan, qaulan kareema, min rahmah.

2. “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah (ihsan) kepada kedua-dua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanga diri.” (An-Nisa (4): 36)

3. “Dan Kami wajibkan kepada manusia agar (membuat) kebaikan (husna) kepada kedua orang tuanya. Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau patuhi keduanya. Hanya kepadaKu tempat kembalimu, dan akan Aku beritahu kepada mu apa yang telah kamu lakukan.” (Al-Ankabut (29): 8)

Ketaatan kepada ibu bapa adalah pada perkara kebaikan yang tidak membawa kepada syirik atau melanggar syariatNya.

4. “Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat kebaikan) kepada kedua orang tuanya. Ibunya mengandungkannya dalam keadaan lemah yang tersangat-sanagt dan menyusukannya ketika usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, tetapi layanlah (sahibhuma) keduanya di dunia dengan baik (ma’rufa), dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Hanya kepadaKu tempat kembalimu, maka akan Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Luqman (31): 14-15)

Tidak mentaati ibu bapa ketika di suruh menyekutukan Allah, tetapi masih melayani mereka dengan baik.

4. “Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya: Saya telah bertanya kepada Nabi s.a.w: Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah? Baginda s.a.w menjawab: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian amalan manakah pula? Baginda menjawab: Kemudian berbakti (birr) kepada ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian amalan manakah pula? Baginda menjawab: Berjihad di jalan Allah. Beliau berkata lagi: Baginda telah berbicara kepada sya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda menambah lagi, pasti Baginda menambah untuk saya.”

Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari.

Kepentingan berbakti kepada ibu bapa diletakkan selepas solat dan sebelum berjihad di jalan Allah.

5. “Berbaktilah kepada orang tua kalian, nescaya anak-anak kalian berbakti kepada kalian. Jagalah kehormatan isteri orang lain, nescaya isteri kalian terjaga kehormatannya.”

Diriwayatkan oleh At- Tabrani dengan sanad hasan dari Ibnu Umar r.a. Berbakti kepada ibu bapa mendapat balasan sama daripada anak-anak.

Vape kepada bayi; abai & cuai yang perlu diatasi

Vape kepada bayi; abai & cuai yang perlu diatasi

1,000 hari pertama emas kanak kanak

1,000 hari pertama kanak kanak ialah fasa emas bermula dari dalam kandungan seorang ibu diikuti  sehingga umur 2 tahun pertama kelahiran. Memanfaatkan tempoh keemasan ini mampu membina asas kesihatan dan kesejahteraan seseorang kanak-kanak yang optimum apabila dewasa.  Antara aspek penting yang diketengahkan dalam 1,000 hari pertama ialah perkembangan otak yang sihat dan kecukupan nutrisi. Kedua-dua aspek ini berkait rapat dan dibuktikan oleh kajian saintiifk.

Rajah 1 – Sumber ; The Science of Early Childhood Development by Center on Developing Child, Harvard University

Perkembangan otak bayi dan kanak-kanak adalah sangat sensitif dalam fasa 1,000 hari pertama dan mesti diberi perhatian penuh kerana kebolehan untuk dilentur dan dicorakkan adalah sangat tinggi. Kebolehan ini dipanggil ‘neuroplasticity’. Mereka mudah menyimpan memori dari perilaku atau keadaan persekitaran serta meniru semula dalam seluruh fasa perkembangan mereka.

Rangsangan  dalam pelbagai bentuk seperti perbualan, perkataan yang digunakan, emosi dan perbuatan fizikal yang ditunjukkan atau disampaikan kepada kanak-kanak dalam kumpulan umur ini adalah penting dan kritikal, ianya di istilahkan sebagai ‘serve & return’ ( Rajah 1)

Dalam kata lain; pendedahan dan ransangan positif kepada kanak kanak dalam fasa ini menyumbang kepada perkembangan yang positif untuk kanak-kanak pada masa hadapan. Banyak kajian saintifik membuktikan bahawa kemudaratan (adversity) atau pengalaman negatif sebagai contoh malnutrisi ,ekspresi emosi atau tabiat ketagihan ibubapa atau penjaga yang negatif  memberi impak terus kepada perkembangan kanak-kanak.

Oleh itu, tindakan awal memperbaiki interaksi negatif kepada positif terhadap mereka seawal yang mungkin  mampu meningkatkan potensi perkembangan dan tumbesaran seluruh yang positif untuk kanak-kanak pada masa hadapan. (Rajah 2)

Berpandukan konsep yang terbukti inilah, sebarang bentuk rangsangan negatif terhadap kanak-kanak di Malaysia mestilah diperbaiki seawalnya.

Pendedahan tular seorang bayi 2 tahun yang menghidu vape oleh ibunya haruslah membuka mata minda semua pihak terhadap berlakunya pengabaian dan cuai dalam menyediakan persekitaran pembesaran yang memberansangkan dengan positif.  

Rajah 2- Sumber; Brain Architecture, The interactions of genes and experience shape the developing brain.

Impak ransangan negatif pada awal perkembangan kanak-kanak.

Pendedahan vape yang berlaku terhadap kanak-kanak berumur 2 tahun itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab semestinya bukan gurauan yang patut di mulakan.

Risiko masalah kesihatan paru – paru utamanya adalah tinggi buat mana-mana kanak-kanak yang terdedah awal dengan asap rokok atau vape (second hand smoker) apatah lagi sekiranya berlaku pendedahan  berterusan dengan menghisap vape itu sendiri. Paru-paru kanak-kanak yang secara fisiologi masih belum matang, cenderung untuk diserang penyakit asma , jangkitan paru-paru dan telinga. Oleh itu mereka sepatutnya diberikan perlindungan serius dan proaktif.

Perbuatan tersebut juga meningkatkan risiko normalisasi ketagihan rokok dan bahan rekrerasi lain. Memori menghisap vape boleh tertanam dalam otak kanak-kanak yang sensitif, menjadikannya cenderung untuk terlibat dalam ketagihan rokok atau vape apabila meningkat dewasa.

Kanak-kanak di peringkat umur ini seharusnya di rangsang dengan interaksi positif penuh kasih sayang mesra seperti dibacakan buku cerita untuk pemerkasaan perkembangan bahasa dan literasi, dirangsang dengan permainan bongkah untuk rangsangan motor halus, di ajak berlari atau berjalan, memanjat dengan selamat untuk perkembangan fizikal yang kuat, dan paling paling interaksi penuh kasih sayang ; ‘serve & return’ setiap masa sedaya mungkin.

Sekiranya tabiat menghidu vape ini berterusan tanpa tindakan proaktif dan positif; mana-mana anak yang terlibat adalah berisiko tinggi untuk masalah kesihatan yang kerap, pembantutan perkembangan fizikal akan terkesan kerana kekerapan masalah kesihatan dan perkembangan cognitif, sosioemosi yang tidak optimum sekaligus cenderung untuk permasalahan interaksi sosial di masa dewasa kelak.

Pengabaian terhadap kesihatan dan perkembangan mental yang sihat wajar dilabelkan sebagai penderaan. Ini termaktub dalam Dasar Perlindungan Kanak-kanak mendifinasikan penderaan sebagai satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

Anak – anak mesti dilindung!

Peristiwa tular bayi diberi hisap vape ini seharusnya menggegarkan diri setiap individu. Siasatan mesti dilakukan untuk mengenal pasti tujuan, punca dan potensi berterusannya tabiat negatif ibu ini terhadap anaknya  bagi memastikan unsur pengabaian kronik terhadap anak tidak berlaku. Sekiranya terdapat bukti pengabaian terhadap kesihatan dan perkembangan mental yang sihat, situasi ini wajarlah dilabelkan sebagai penderaan. Perkara ini termaktub dalam Dasar Perlindungan Kanak-kanak  yang mendifinasikan penderaan sebagai satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

Semua anak anak yang dikenal pasti mengalami pengabaian seharusnya diberi perlindungan dan intervensi mencegah isu kesihatan kemudian hari dapat dimulakan seawall mungkin.  Akta 611; akta kanak kanak 2001 pindaan 2016 menyediakan panduan  undang-undang yang boleh digunapakai untuk melindungi kanak-kanak yang terancam dengan penderaan dan pengabaian. Perincian akta kanak-kanak 2001 pindaan 2016 terhadap peranan ahli keluarga, pegawai perubatan dan pengasuh dalam melaporkan sebarang bentuk penderaan dan pengabaian memberi gambaran jelas bahawa setiap pihak dalam lapisan masyarakat memainkan peranan penting melindungi kanak-kanak yang diamanahkan kepadanya.

Selamatkan dan lindungi anak – anak kita!

Sabda Rasulullah s.a.w ; Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya atau mensia-siakannya. Riwayat ibnu Hiban.

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak telah diterima dengan rasminya oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu yang ke – 44 pada 20 November 1989 secara konsensus. Konvensi mengenai Hak Anak telah dikuatkuasakan pada 2 September 1990 selepas 30 hari ianya diiktiraf oleh 20 negara.

Empat hak kanak-kanak yang perlu dipenuhi oleh orang dewasa adalah hak kehidupan, hak perkembangan, hak perlindungan dan hak penyertaan.

Hak anak untuk kehidupan yang sihat sejahtera sebaiknya bebas asap pencemar udara, rokok dan vape,  hak peluang pemerkasaan perkembangan emosi mental yang optimum bebas kemurungan, hak perlindungan dari eksploitasi dalam pelbagai bentuk termasuklah pendedahan vape di awal 2 tahun dan hak penyertaan untuk bebas bermain sambil belajar dalam kalangan rakan sebaya sesuai mengikut umur sebagai latihan interaksi sosial yang positif mesti diberi perhatian serius.

Hak kanak kanak di atas mestilah diamati dan digerakkan langkah proaktif dan praktikal oleh pembuat polisi , agensi perundangan, golongan pendidik dalam pelbagai peringkat, ketua masyarakat/komuniti yang prihatin dan paling dekat dan penting pada kanak-kanak, tunjang utama sesebuah unit masyarakat iaitu ibu bapa sesuatu keluarga.

Kanak-kanak adalah aset & amanah penting negara. Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2019 menyatakan dianggarkan terdapat 9.3 juta kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah bersamaan hampir 30% dari penduduk di negara ini. Kanak-kanak ini lah yang bakal mencorakkan kesejahteraan kepimpinan negara seterusnya. Gandingan bahu seluruh lapisan masyarakat ke arah pembinaan generasi yang lebih baik adalah pelaburan terbaik yang masing-masing kita mesti kita usahakan.

Dr Nur Athira Binti Muhamad Yunus

Pegawai Perubatan

Pelajar tahun pertama Sarjana Pendidikan Awal Kanak-kanak,

OUM ( kampus Seremban )

Sukarelawan Sayangi & Lindungi Anak-Anak Malaysia (SALAM)

18/2/2021

Rujukan:

  1. 1,000 hari pertama kehidupan; https://anakmalaysiasihat.my. 17/5/2021
  2. Vape ; anak itu amanah ollen Roselinee Mohammad Radzi Jawatankuasa Pembangunan dan Pembelaan Kanak-Kanak, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)Negeri Selangor; https://malaysiagazette.com/2021/05/17/vape-anak-itu-amanah/
  3. INBRIEF | THE SCIENCE OF EARLY CHILDHOOD DEVELOPMENT by Center for developing child, Harvard University ; https://devhcdc.wpengine.com/resources/inbrief-the-science-of-early-childhood-development/
  4. Brain architecture; early intervention. https://devhcdc.wpengine.com/science/key-concepts/brain-architecture/
  5. Analisis terhadap Statistik Kanak-Kanak yang Memerlukan Pemeliharaan & Perlindungan di Malaysia , https://wanita.ikram.org.my/2021/05/09/analisis-terhadap-statistik-kanak-kanak-yang-memerlukan-pemeliharaan-perlindungan-di-malaysia/

Kecerdasan Emosi Asas Utama kepada Pemimpin Berjaya

Kecerdasan Emosi Asas Utama kepada Pemimpin Berjaya

Kepentingan Emosi

Sebagaimana dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, yang bermaksud:

“Daripada Amir telah berkata, aku mendengar al-Nu’man bin Basyir katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik maka baiklah seluruh jasad, tetapi jika ia rosak, maka rosaklah juga jasad. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati”.

Hadis di atas menjadi asas utama keimanan di mana kebaikan seseorang bergantung kepada hati yang mulia. Peribadi yang baik berpunca dari hati yang baik. Di dalam hati inilah terbitnya emosi yang menjadi nadi kepada peribadi seseorang yang dilahirkan kepada bentuk tingkah laku. Jika qalbu penting untuk menentukan baiknya peribadi, maka begitulah juga emosi adalah penting untuk kita mengetahui  tentang keadaan hati .

Apakah itu emosi? Emosi adalah perasaan yang tercetus, hasil dari reaksi kepada suatu fikiran yang timbul disebabkan oleh suatu rangsangan sama ada berbentuk dalaman atau luaran. Di sini terdapat perkaitan antara emosi dan pemikiran. Emosi dan tingkah laku juga saling berkaitan.

Mengikut pandangan Al Ghazali (Salasiah, 2016),  spritual dan kerohanian terdiri daripada  4 elemen, iaitu an nafs, al qalb, al ruh dan al ‘aqal. Perkataan al qalb adalah yang paling banyak diulang di dalam buku Ihya karangan beliau.

Terdapat dua pengertian tentang al qalb. Pertamanya, bermaksud segumpal daging yang berbentuk bulat panjang dan terletak di sebelah kiri dada manusia di kenali juga dengan hati jasmani. Ianya mempunyai rongga darah dan berperanan sebagai sumber roh.

Keduanya,  bermaksud  hati yang halus bersifat ketuhanan (rabbaniyah) dan ruhaniyah (hati rohani). Hati rohani ini berkait rapat dengan hati jasmani.

Kepentingan mengetahui tentang emosi adalah untuk memahami bagaimana emosi itu terjadi dan bagaimana mengurusnya, untuk diri sendiri dan untuk orang lain. Memahami  aspek-aspek emosi mendatangkan manfaat untuk diri sendiri, keluarga, kerja dan komuniti. Selain itu ianya penting untuk membina kekuatan dalaman, perhubungan yang baik, kepimpinan berkesan, dan  meningkatkan motivasi.

Al Ghazali  mengatakan, “Jika sekiranya taufik itu membantu kamu dan terbit dalam diri kamu dorongan ke arah kesempurnaan, kamu akan boleh mencapainya menerusi mujahadah dan tidak mungkin kamu mengetahui apa yang kamu kehendaki tanpa mengenali diri kamu terlebih dahulu dari segi potensi dan kekuatannya. Mujahadah adalah proses rawatan kepada jiwa dengan cara menyucikannya (tazkiyah) bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan”.

Oleh itu mengenali diri amat penting sebelum bermujahadah ke arah kesempurnaan.  Bermujahadah pula bertujuan untuk menjadi orang yang berjaya seperti di dalam firman Allah didalam surah As Syam, ayat 9 dan 10.

Berjaya lah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampa lah orang yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan segala sebab kekotoran maksiat)”.

Terdapat  juga contoh pada hadis Rasulullah SAW tentang  bagaimana beliau mengetahui keadaan emosi saidatina Aisyah.

Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Aku tahu apabila kamu gembira denganku, dan apabila kamu marah padaku”. Aku bertanya: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Baginda SAW menjawab: “Apabila kamu gembira, kamu akan berkata ‘Tidak, demi Tuhan Muhammad’, dan apabila kamu marah, kamu akan berkata ‘Tidak, demi Tuhan Ibrahim’. Lalu aku berkata: “Benar, wahai Rasulullah, aku tidak menyebut namamu sewaktu aku marah padamu” (Sahih Muslim, 2439).

Kecerdasan Emosi

Mengikut pandangan Wicks dan rakan-rakannya (Salem Press Encyclopedia of Health, 2020), kecerdasan emosi adalah kebolehan untuk memantau perasaan dan emosi diri dan orang lain dan menggunakan pengetahuan tersebut untuk membimbing tingkah laku seseorang. Ianya juga bermakna kemampuan untuk mengenalpasti dan mengawal emosi dalam diri dan orang lain.

Penulisan oleh Wendy (Everything You Need to Know about Emotional Intelligence & Leadership, 2012) memberikan maksud kecerdasan emosi sebagai kebolehan intelek untuk mengenalpasti, memahami dan mengawal emosi. Intelek membawa maksud kemampuan belajar dan menggunakan ilmu, kemahiran, dan mendapat kefahaman. Mereka yang mempunyai kecerdasan emosi mampu menggunakan kemahiran ini untuk menguruskan perhubungan dengan rakan sebaya, rakan sekerja, ahli keluarga, pemimpin dan pengikut.

Carolyn Saarni (1999) mengusulkan 8 keterampilan yang menjadi dasar kepada kecerdasan emosi:

  1. Kesedaran tentang status emosi, termasuk kemungkinan mengalami berbagai emosi.
  2. Kemampuan mengenali dan memahami emosi orang lain menggunakan situasi dan isyarat yang terlihat.
  3. Kemampuan untuk menggunakan kosa kata emosi dan istilah untuk mengungkapkannya.
  4. Kapasiti untuk empati dan simpati dalam pengalaman emosi orang lain.

Simpati – memahami emosi orang lain dan turut rasa sedih, kecewa, dan lain-lain nya. Empati – lebih mendalam, menerima perspektif orang lain , di samping memahami situasi yang dilalui.

  • Kemampuan menyedari bahawa emosi di dalam tidak selalu berhubungan dengan ekspresi luar. Tidak kongruen (tidak harmoni) berlaku jika terdapat kelainan yang ketara antara identiti diri pada umum, ideal dan diri sebenar.
  • Kapasiti untuk menyesuaikan diri dengan emosi yang menekan melalui regulasi diri.
  • Kesedaran bahawa hubungan sejati didefinisikan oleh bagaimana emosi dikomunikasikan dalam perhubungan, dan wujudkah ruang dan kefahaman?
  • Kapasiti untuk efikasi-diri emosional: pandangan tentang diri bahwa ia mampu menerima pengalaman emosi. Efikasi diri adalah satu kepercayaan diri pada kemampuan untuk mengurus dan melaksanakan tindakan yang diperlukan ketika menghadapi sesuatu isu dan kepercayaan untuk berjaya dalam tindakan tersebut (Albert Bandura). Elemen utama pada efikasi-diri adalah kesedaran diri, konsep diri, harga diri dan persepsi diri.

Kecerdasan Emosi dan Kepimpinan

Wendy Morton memetik satu tulisan tentang pemimpin yang mempunyai kecerdasan emosi tinggi selalunya lebih berkesan daripada pemimpin yang mempunyai kecerdasan emosi yang rendah; lebih mudah menggerakkan aspek sosial dalam organisasi dan warga organisasi (Goleman, 1998).

Pandangan tradisi tentang pemimpin dan pengikut yang perlu melepaskan emosi dan respon pada emosi ketika masuk kerja tidak lagi menjadi norma dalam pekerjaan. Kepercayaan yang lebih realistik ialah emosi mempunyai pengaruh positif ke atas suasana kerja, khusus dalam aspek motivasi dan kepimpinan. Kecerdasan emosi yang tinggi dan kepimpinan berkesan mempunyai jalinan yang kuat. Seseorang itu perlu membina kemampuan dan kemahiran untuk mencapai tahap emosi  yang cerdas.

Kepimpinan adalah berkenaan pembinaan pengaruh dalam kalangan pengikut untuk mencapai matlamat yang sama. Dalam suasana kerja, pemimpin berusaha memberikan motivasi kepada pengikut untuk membina komitmen, dedikasi dan pencapaian kepada matlamat organisasi. Kepimpinan adalah berkenaan perhubungan kemanusiaan. Membina dan mengekalkan perhubungan yang positif dan kukuh adalah  konsep utama  kecerdasan emosi. Pemimpin semestinya menggunakan kuasa dengan rasa tanggungjawab, dan mempamerkan rasa peka dan prihatin terhadap pengikut. Selain kecerdasan emosi, aspek membuat keputusan, kebebasan, pemerkasaan, agresif dan pembinaan perhubungan dituntut daripada suatu kepimpinan.

Bagaimana kecerdasan emosi sangat penting kepada pemimpin yang berkuasa? Apabila memahami dan menguruskan emosi dengan cerdas, seorang pemimpin itu mengamalkan etika dan prinsip yang bagus. Pertamanya, pemimpin akan dapat menghalakan emosi kearah positif dan menghapuskan pengaruh emosi yang toksik. Keduanya, pemimpin menggunakan emosi positif sebagai motivasi pengikut untuk mencapai perolehan yang optimum. Jika pemimpin menafikan aspek emosi pengikut, ia menghalang kemampuan pengikut untuk menjadi cemerlang dan berjaya dalam pekerjaan. Dalam kata lain pemimpin yang cerdas emosi memberikan sinar dan pemimpin yang tidak, membantutkan diri pengikut. Seterusnya Wendy memberikan garis panduan bagaimana untuk menguruskan emosi sendiri dan orang lain.

Cara menguruskan emosi sendiri

  1. Mengenal pasti emosi negatif yang boleh mengesani pekerjaan – contohnya pergaduhan dengan pasangan menghasilkan emosi negatif dan kenal pasti kesedaran ini sebelum berhadapan dengan pengikut dan rakan sekerja.
  2. Meluahkan perasaan dengan cara yang sesuai. Tidak wajar diluahkan kekecewaan kepada orang bawahan, tetapi gunakan peluang ini untuk memberikan pengajaran dan membangunkan skil kepada individu.
  3. Kawal lintasan yang tidak wajar – contohnya, ruangkan masa untuk reflek dan kawal semula emosi ketika situasi  menjadi  emosional.
  4. Tanamkan kesedaran kendiri – contohnya ambil masa untuk mengenal pasti emosi yang terbit dengan tepat dan fahami kenapa emosi itu yang dialami.
  5. Kekalkan penyesuaian diri – contohnya perubahan situasi menuntut anda mengenal pasti  apakah respon emosi yang sepatutnya wujud terhadap perubahan itu.

Cara menguruskan emosi orang lain.

  1. Gunakan empati – contohnya  tunjukkan kepada orang bawahan, pengikut, rakan sekerja dan penyelia bahawa  anda faham emosi mereka dan hargai perspektif mereka.
  2. Bina perhubungan yang kukuh dan bermanfaat dengan orang bawahan, pengikut, rakan sekerja dan penyelia berdasarkan  kepercayaan, hormat dan integriti.
  3. Kerja secara bersepadu dan bekerjasama. Unjurkan partisipasi dan rasa hormat dalam perhubungan antara individu dan dalam kumpulan.
  4. Bangunkan orang lain. Menjadi mentor, jurulatih dan tunjuk ajar pengikut untuk membina kepimpinan masa hadapan dalam organisasi.
  5. Membina resilien. Hadapi keadaan stres dengan sifat toleransi dan kawal lintasan untuk menghalang emosi negatif daripada menghapuskan rasa optimis dan yakin pada diri.

Kenali diri untuk menjadi hamba yang tawadu’

Kenalilah diri sendiri, terutamanya bagi mereka yang menjadi pemimpin kerana apabila seseorang itu mengenali dirinya secara hakiki, dia akan mampu pula menyedari bahawa dirinya adalah seorang hamba Allah SWT yang hina. Justeru itu, tiada sikap yang layak baginya kecuali tawadu’. Apabila dia telah mengenali Tuhannya, dia akan insaf bahawa kesombongan dan kebesaran itu tidak layak bagi dirinya kecuali Allah SWT (al Ghazali, 2000).

Oleh sebab emosi sangat terkait rapat dengan hati atau spiritual pada diri seseorang insan, maka peliharalah emosi kerana faktor dalaman lebih berpengaruh dalam membentuk tingkah laku seseorang yang menjadi punca permasalahan manusia. Hal ini berlaku kerana hati mempunyai hubungan rapat dengan anggota badan. Tingkah laku yang baik atau buruk adalah merupakan pilihan manusia kerana Allah SWT telah mengurniakan akal fikiran dan kebebasan sepenuhnya kepada manusia (Surah Al-Insan 76:3).

Maksudnya: Sesungguhnya kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat) ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

Di tulis oleh,

Zarina binti Azhari

AJK Wanita IKRAM Pusat

Mei 2021