Vape kepada bayi; abai & cuai yang perlu diatasi

1,000 hari pertama emas kanak kanak

1,000 hari pertama kanak kanak ialah fasa emas bermula dari dalam kandungan seorang ibu diikuti  sehingga umur 2 tahun pertama kelahiran. Memanfaatkan tempoh keemasan ini mampu membina asas kesihatan dan kesejahteraan seseorang kanak-kanak yang optimum apabila dewasa.  Antara aspek penting yang diketengahkan dalam 1,000 hari pertama ialah perkembangan otak yang sihat dan kecukupan nutrisi. Kedua-dua aspek ini berkait rapat dan dibuktikan oleh kajian saintiifk.

Rajah 1 – Sumber ; The Science of Early Childhood Development by Center on Developing Child, Harvard University

Perkembangan otak bayi dan kanak-kanak adalah sangat sensitif dalam fasa 1,000 hari pertama dan mesti diberi perhatian penuh kerana kebolehan untuk dilentur dan dicorakkan adalah sangat tinggi. Kebolehan ini dipanggil ‘neuroplasticity’. Mereka mudah menyimpan memori dari perilaku atau keadaan persekitaran serta meniru semula dalam seluruh fasa perkembangan mereka.

Rangsangan  dalam pelbagai bentuk seperti perbualan, perkataan yang digunakan, emosi dan perbuatan fizikal yang ditunjukkan atau disampaikan kepada kanak-kanak dalam kumpulan umur ini adalah penting dan kritikal, ianya di istilahkan sebagai ‘serve & return’ ( Rajah 1)

Dalam kata lain; pendedahan dan ransangan positif kepada kanak kanak dalam fasa ini menyumbang kepada perkembangan yang positif untuk kanak-kanak pada masa hadapan. Banyak kajian saintifik membuktikan bahawa kemudaratan (adversity) atau pengalaman negatif sebagai contoh malnutrisi ,ekspresi emosi atau tabiat ketagihan ibubapa atau penjaga yang negatif  memberi impak terus kepada perkembangan kanak-kanak.

Oleh itu, tindakan awal memperbaiki interaksi negatif kepada positif terhadap mereka seawal yang mungkin  mampu meningkatkan potensi perkembangan dan tumbesaran seluruh yang positif untuk kanak-kanak pada masa hadapan. (Rajah 2)

Berpandukan konsep yang terbukti inilah, sebarang bentuk rangsangan negatif terhadap kanak-kanak di Malaysia mestilah diperbaiki seawalnya.

Pendedahan tular seorang bayi 2 tahun yang menghidu vape oleh ibunya haruslah membuka mata minda semua pihak terhadap berlakunya pengabaian dan cuai dalam menyediakan persekitaran pembesaran yang memberansangkan dengan positif.  

Rajah 2- Sumber; Brain Architecture, The interactions of genes and experience shape the developing brain.

Impak ransangan negatif pada awal perkembangan kanak-kanak.

Pendedahan vape yang berlaku terhadap kanak-kanak berumur 2 tahun itu adalah tindakan tidak bertanggungjawab semestinya bukan gurauan yang patut di mulakan.

Risiko masalah kesihatan paru – paru utamanya adalah tinggi buat mana-mana kanak-kanak yang terdedah awal dengan asap rokok atau vape (second hand smoker) apatah lagi sekiranya berlaku pendedahan  berterusan dengan menghisap vape itu sendiri. Paru-paru kanak-kanak yang secara fisiologi masih belum matang, cenderung untuk diserang penyakit asma , jangkitan paru-paru dan telinga. Oleh itu mereka sepatutnya diberikan perlindungan serius dan proaktif.

Perbuatan tersebut juga meningkatkan risiko normalisasi ketagihan rokok dan bahan rekrerasi lain. Memori menghisap vape boleh tertanam dalam otak kanak-kanak yang sensitif, menjadikannya cenderung untuk terlibat dalam ketagihan rokok atau vape apabila meningkat dewasa.

Kanak-kanak di peringkat umur ini seharusnya di rangsang dengan interaksi positif penuh kasih sayang mesra seperti dibacakan buku cerita untuk pemerkasaan perkembangan bahasa dan literasi, dirangsang dengan permainan bongkah untuk rangsangan motor halus, di ajak berlari atau berjalan, memanjat dengan selamat untuk perkembangan fizikal yang kuat, dan paling paling interaksi penuh kasih sayang ; ‘serve & return’ setiap masa sedaya mungkin.

Sekiranya tabiat menghidu vape ini berterusan tanpa tindakan proaktif dan positif; mana-mana anak yang terlibat adalah berisiko tinggi untuk masalah kesihatan yang kerap, pembantutan perkembangan fizikal akan terkesan kerana kekerapan masalah kesihatan dan perkembangan cognitif, sosioemosi yang tidak optimum sekaligus cenderung untuk permasalahan interaksi sosial di masa dewasa kelak.

Pengabaian terhadap kesihatan dan perkembangan mental yang sihat wajar dilabelkan sebagai penderaan. Ini termaktub dalam Dasar Perlindungan Kanak-kanak mendifinasikan penderaan sebagai satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

Anak – anak mesti dilindung!

Peristiwa tular bayi diberi hisap vape ini seharusnya menggegarkan diri setiap individu. Siasatan mesti dilakukan untuk mengenal pasti tujuan, punca dan potensi berterusannya tabiat negatif ibu ini terhadap anaknya  bagi memastikan unsur pengabaian kronik terhadap anak tidak berlaku. Sekiranya terdapat bukti pengabaian terhadap kesihatan dan perkembangan mental yang sihat, situasi ini wajarlah dilabelkan sebagai penderaan. Perkara ini termaktub dalam Dasar Perlindungan Kanak-kanak  yang mendifinasikan penderaan sebagai satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

Semua anak anak yang dikenal pasti mengalami pengabaian seharusnya diberi perlindungan dan intervensi mencegah isu kesihatan kemudian hari dapat dimulakan seawall mungkin.  Akta 611; akta kanak kanak 2001 pindaan 2016 menyediakan panduan  undang-undang yang boleh digunapakai untuk melindungi kanak-kanak yang terancam dengan penderaan dan pengabaian. Perincian akta kanak-kanak 2001 pindaan 2016 terhadap peranan ahli keluarga, pegawai perubatan dan pengasuh dalam melaporkan sebarang bentuk penderaan dan pengabaian memberi gambaran jelas bahawa setiap pihak dalam lapisan masyarakat memainkan peranan penting melindungi kanak-kanak yang diamanahkan kepadanya.

Selamatkan dan lindungi anak – anak kita!

Sabda Rasulullah s.a.w ; Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap penanggungjawab akan tanggungjawabnya, apakah dia telah memeliharanya atau mensia-siakannya. Riwayat ibnu Hiban.

Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak telah diterima dengan rasminya oleh Perhimpunan Bangsa-bangsa Bersatu yang ke – 44 pada 20 November 1989 secara konsensus. Konvensi mengenai Hak Anak telah dikuatkuasakan pada 2 September 1990 selepas 30 hari ianya diiktiraf oleh 20 negara.

Empat hak kanak-kanak yang perlu dipenuhi oleh orang dewasa adalah hak kehidupan, hak perkembangan, hak perlindungan dan hak penyertaan.

Hak anak untuk kehidupan yang sihat sejahtera sebaiknya bebas asap pencemar udara, rokok dan vape,  hak peluang pemerkasaan perkembangan emosi mental yang optimum bebas kemurungan, hak perlindungan dari eksploitasi dalam pelbagai bentuk termasuklah pendedahan vape di awal 2 tahun dan hak penyertaan untuk bebas bermain sambil belajar dalam kalangan rakan sebaya sesuai mengikut umur sebagai latihan interaksi sosial yang positif mesti diberi perhatian serius.

Hak kanak kanak di atas mestilah diamati dan digerakkan langkah proaktif dan praktikal oleh pembuat polisi , agensi perundangan, golongan pendidik dalam pelbagai peringkat, ketua masyarakat/komuniti yang prihatin dan paling dekat dan penting pada kanak-kanak, tunjang utama sesebuah unit masyarakat iaitu ibu bapa sesuatu keluarga.

Kanak-kanak adalah aset & amanah penting negara. Jabatan Perangkaan Negara pada tahun 2019 menyatakan dianggarkan terdapat 9.3 juta kanak-kanak yang berusia 18 tahun ke bawah bersamaan hampir 30% dari penduduk di negara ini. Kanak-kanak ini lah yang bakal mencorakkan kesejahteraan kepimpinan negara seterusnya. Gandingan bahu seluruh lapisan masyarakat ke arah pembinaan generasi yang lebih baik adalah pelaburan terbaik yang masing-masing kita mesti kita usahakan.

Dr Nur Athira Binti Muhamad Yunus

Pegawai Perubatan

Pelajar tahun pertama Sarjana Pendidikan Awal Kanak-kanak,

OUM ( kampus Seremban )

Sukarelawan Sayangi & Lindungi Anak-Anak Malaysia (SALAM)

18/2/2021

Rujukan:

  1. 1,000 hari pertama kehidupan; https://anakmalaysiasihat.my. 17/5/2021
  2. Vape ; anak itu amanah ollen Roselinee Mohammad Radzi Jawatankuasa Pembangunan dan Pembelaan Kanak-Kanak, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)Negeri Selangor; https://malaysiagazette.com/2021/05/17/vape-anak-itu-amanah/
  3. INBRIEF | THE SCIENCE OF EARLY CHILDHOOD DEVELOPMENT by Center for developing child, Harvard University ; https://devhcdc.wpengine.com/resources/inbrief-the-science-of-early-childhood-development/
  4. Brain architecture; early intervention. https://devhcdc.wpengine.com/science/key-concepts/brain-architecture/
  5. Analisis terhadap Statistik Kanak-Kanak yang Memerlukan Pemeliharaan & Perlindungan di Malaysia , http://wanita.ikram.org.my/2021/05/09/analisis-terhadap-statistik-kanak-kanak-yang-memerlukan-pemeliharaan-perlindungan-di-malaysia/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *