Islam sangat menekankan kewajipan berbakti kepada ibu bapa baik semasa mereka masih hidup atau setelah mereka meninggal dunia. Hubungan antara anak dan ibu bapa ini telah dirakamkan di dalam pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
1. “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selainNya dan hendaklah berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan “ah!” dan janganlah kamu membentak mereka, ucapkanlah perkataan yang baik-baik (qaulan kareema) kepada mereka. Dan berbaktilah (wakhfid) kepada kedua-duanya dengan penuh kasih sayang (min rahmah) dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah kedua-dua ibu bapaku sebagaimana mereka mendidikku ketika kecil.” (Al-Isra’ (17): 23-24)
Asas kepada hubungan dan pergaulan anak dengan ibu bapa adalah rasa kasih sayang dan rasa hormat: ihsan, qaulan kareema, min rahmah.
2. “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah (ihsan) kepada kedua-dua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanga diri.” (An-Nisa (4): 36)
3. “Dan Kami wajibkan kepada manusia agar (membuat) kebaikan (husna) kepada kedua orang tuanya. Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau patuhi keduanya. Hanya kepadaKu tempat kembalimu, dan akan Aku beritahu kepada mu apa yang telah kamu lakukan.” (Al-Ankabut (29): 8)
Ketaatan kepada ibu bapa adalah pada perkara kebaikan yang tidak membawa kepada syirik atau melanggar syariatNya.
4. “Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat kebaikan) kepada kedua orang tuanya. Ibunya mengandungkannya dalam keadaan lemah yang tersangat-sanagt dan menyusukannya ketika usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, tetapi layanlah (sahibhuma) keduanya di dunia dengan baik (ma’rufa), dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Hanya kepadaKu tempat kembalimu, maka akan Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Luqman (31): 14-15)
Tidak mentaati ibu bapa ketika di suruh menyekutukan Allah, tetapi masih melayani mereka dengan baik.
4. “Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya: Saya telah bertanya kepada Nabi s.a.w: Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah? Baginda s.a.w menjawab: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian amalan manakah pula? Baginda menjawab: Kemudian berbakti (birr) kepada ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian amalan manakah pula? Baginda menjawab: Berjihad di jalan Allah. Beliau berkata lagi: Baginda telah berbicara kepada sya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda menambah lagi, pasti Baginda menambah untuk saya.”
Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari.
Kepentingan berbakti kepada ibu bapa diletakkan selepas solat dan sebelum berjihad di jalan Allah.
5. “Berbaktilah kepada orang tua kalian, nescaya anak-anak kalian berbakti kepada kalian. Jagalah kehormatan isteri orang lain, nescaya isteri kalian terjaga kehormatannya.”
Diriwayatkan oleh At- Tabrani dengan sanad hasan dari Ibnu Umar r.a. Berbakti kepada ibu bapa mendapat balasan sama daripada anak-anak.