Sambutan 10 Tahun Sayap Wanita IKRAM: Satu Dekad Bersama Membina Malaysia Rahmah

Seri Kembangan – Tanggal 5 Jun 2021 telah melakarkan sejarah dengan terlaksananya Sambutan 10 Tahun Sayap Wanita IKRAM, dengan tema Satu Dekad Bersama Membina Malaysia Rahmah. Majlis yang bermula jam 10.00 pagi itu telah berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom serta siaran langsung dari YouTube.

Bacaan al-Quran surah al-Ankabut dari ayat 1 sehingga 11 yang dilantunkan oleh Ustazah Datin Hamidah Ibrahim diharap dapat menambah keberkatan majlis ukhuwah ini.

Majlis Sambutan 10 Tahun Wanita IKRAM diteruskan dengan ucapan aluan daripada Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu binti Mohd Salleh. Beliau menyeru Wanita IKRAM agar terus mencetak pahlawan-pahlawan agar Malaysia tidak kepupusan para pahlawan dalam membina Malaysia rahmah. Beliau turut mengingatkan semua ahli Wanita agar sentiasa ikhlas dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah dalam usaha membina Malaysia rahmah, seterusnya meraih kedudukan paling terhormat di sisi Allah s.w.t.

Majlis gilang-gemilang yang julung-julung kali diadakan ini telah dapat disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Presiden IKRAM, Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Ahmad. Beliau mendoakan agar sayap Wanita IKRAM terus maju jaya dalam melaksanakan misi membina negara rahmah yang gemilang. Majlis seterusnya disajikan dengan pelancaran video khas 10 tahun Sayap Wanita IKRAM, diikuti dengan pemasyhuran logo 10 tahun Sayap Wanita IKRAM dan pelancaran buku sempena 10 tahun Sayap Wanita IKRAM.

Penubuhan Sayap Wanita IKRAM Malaysia pada 3 Oktober 2010 yang lalu pastinya menjadi memori indah yang akan terus diingati. Majlis yang diadakan ini adalah bertujuan untuk meraikan sambutan 10 tahun penubuhan sayap Wanita IKRAM bersama mantan pimpinan Wanita IKRAM sesi 2010 sehingga 2020 khasnya, dan Wanita IKRAM secara umumnya tidak kira di mana mereka berada. Perkongsian pengalaman suka duka para pimpinan terdahulu dalam membina negara rahmah adalah antara slot yang dinantikan oleh ahli wanita.

Majlis yang dijalankan secara santai ini juga diharap dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli Wanita IKRAM seluruh dunia. Sesi pertama majlis sambutan ini diakhiri dengan sesi fotografi dalam platform Zoom bersama para jemputan dalam kalangan barisan Jawatankuasa IKRAM Pusat, barisan mantan pimpinan Wanita IKRAM dan Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat.

Sesi kedua majlis ini diteruskan lagi secara eksklusif buat para Wanita IKRAM seluruh dunia dengan menyaksikan persembahan khas daripada Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat sesi 2018 hingga 2022.

Majlis diteruskan lagi dengan perkongsian bersama mantan pimpinan iaitu Ustazah Maznah binti Daud (Ketua Wanita, Sesi 2010-2014) mewakili syaikhah dan Puan Anfaal binti Saari (Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat, Sesi 2014-2018) mewakili generasi muda.  Selain itu, Datin Dr. Amalina Abdullah (Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat, Sesi 2012 – 2014) turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam persembahan deklamasi sajak. Seterusnya, majlis dimeriahkan dengan sesi kuiz bersama seluruh ahli Wanita IKRAM.

Majlis diteruskan dengan penampilan khas daripada Pn. Iman binti Dzulkefly melalui nyanyian dua buah lagu. Selain itu, Pn. Zul’aini binti Zainal Abidin bersama Zila turut memeriahkan majlis melalui paduan nyanyian dan alat instrumen daripada mereka.

Majlis yang dipenuhi dengan suasana ukhuwah ini diteruskan dengan sesi perkongsian bersama mantan pimpinan Wanita IKRAM Malaysia. Ucapan demi ucapan merupakan azimat yang akan terus tersemat di hati seluruh ahli Wanita IKRAM.

Majlis ini pastinya akan menjadi majlis yang akan terus dikenang kerana pelaksanaannya dalam norma baharu di waktu negara sedang dilanda pandemik Covid-19. Penangguhan demi penangguhan terpaksa dibuat memandangkan usaha untuk melaksanakan majlis ini dalam keadaan bertemu fizikal tidak dapat dicapai. Walaupun majlis ini dijalankan secara dalam talian, ia tetap meriah dengan pengendalian hebat daripada pasangan pengacara majlis, Ustazah Nur Salisa binti Ali dan Pn. Norlizayati binti Ramlan.

Majlis anjuran Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat dengan Kerjasama Wanita IKRAM Kuala Lumpur ini akhirnya melabuhkan tirainya. Bacaan doa penutup telah disempurnakan oleh Ustazah Zaimah binti Yaha.

Sebagai penutup tirai, video penghormatan kepada 15 pimpinan Wanita IKRAM pusat, negeri dan kawasan (Sesi 2010 sehingga 2020) yang telah terlebih dahulu dijemput Ilahi dipaparkan. Mudah-mudahan Allah memilih dan menempatkan mereka bersama para syuhada’ dalam perjuangan agamaNya. Perkongsian ini juga adalah sebagai usaha mengingati perjuangan mereka dalam usaha-usaha pembinaan negara rahmah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *