Apa itu Nafkah bagi seorang isteri?
Nafkah merupakan hak isteri yang
dipertanggungjawabkan ke atas suami, sama ada ia berbentuk wang ringgit,
makanan, tempat tinggal dan sebagainya yang dianggap sebagai keperluan bagi
seorang isteri.
Nafkah isteri yang diwajibkan ke atas
suami berdasarkan nas syarak hanya meliputi makanan, pakaian dan tempat
tinggal. Walau bagaimanapun dalam perbincangan para ahli fekah, nafkah bukanlah
terhad kepada tiga perkara asas di atas. Termasuk juga dalam pengertian nafkah
segala keperluan sampingan isteri yang lain seperti pembantu rumah, perkakas
rumah, alat kebersihan dan rawatan kesihatan. Ia hendaklah datang dari sumber
yang halal dan hanya dikeluarkan untuk perkara-perkara yang memberi manfaat dan
berfaedah sahaja.
“Hendaklah orang yang
mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan
rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah
kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan
(sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam
kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah
berlakunya kesusahan” Maksud ayat:(At-Talaq : 7)
Apa Itu Nafkah Tertunggak?
Nafkah tertunggak ialah apabila suami
gagal menjalankan tanggungjawabnya dalam memberikan nafkah kepada isteri, dalam
bentuk zahir mahupun batin, semasa tempoh perkahwinan tersebut.
Bagi menilai sama ada wujud atau
tidak tunggakan kepada nafkah isteri/bekas isteri, terdapat dua perkara yang akan
diberi perhatian oleh Mahkamah iaitu ;
- Bentuk keperluan nafkah isteri/bekas isteri ; dan
- Kemampuan Suami
Dalam membuat permohonan menuntut
nafkah tertunggak, isteri/bekas isteri hendaklah menunjukkan bukti-bukti bahawa
segala keperluannya telah diuruskan sendiri seperti mengemukakan resit-resit
pembayaran, bil-bil, sewa rumah, tunggakan kereta dan sebagainya yang gagal
diselesaikan oleh suami. Suami pula boleh menyangkal tuntutan isteri/bekas
isteri dengan membuktikan bahawa dia telah menyelesaikan segala keperluan
isteri selaras dengan kemampuannya dan persetujuan mereka semasa perkahwinan dan
mengemukakan bukti-buktinya sendiri seperti ‘online transfer’, resit-resit dan
sebagainya. Suami juga boleh menyatakan mengapa beliau gagal memberikan nafkah
kepada isteri, dengan membuktikan isterinya itu nusyuz kerana isteri yang
nusyuz hilang kelayakan untuk menerima nafkah.
Bilakah Isteri Boleh Menuntut Nafkah
Tertunggak?
Seorang isteri boleh menuntut nafkah
tertunggak ketika masih berkahwin dengan suaminya ataupun ketika sudah
bercerai, bekas isteri boleh menuntut nafkah tertunggak daripada bekas
suaminya. Pihak Mahkamah boleh memerintahkan suami/bekas suami membayar nafkah
tertunggak kepada isteri/bekas isteri mengikut kemampuan suami/bekas suami dan
keperluan isteri/bekas isteri tersebut kerana ianya dikira sebagai hutang yang
wajib dibayar oleh suami/bekas suami. Seorang isteri tidak perlu menunggu proses
penceraian berlaku untuk menuntut nafkah tertunggak daripada suaminya.
Bagaimanakah Seorang Isteri Hendak Menuntut
Nafkah Tertunggak Daripada Suaminya?
Isteri boleh menuntut nafkah
tertunggak di Mahkamah Syariah di kawasan berdekatan dengan mereka dengan
melantik peguam syarie sebagai wakil mereka atau dengan memfailkan tuntutan
sendiri tanpa bantuan peguam syarie. Namun, adalah amat digalakkan untuk seorang
isteri melantik peguam syarie atau biro bantuan guaman kerana mereka lebih
kenal dan biasa dengan sistem di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah akan
membuat keputusan berdasarkan tuntutan yang dilakukan. Menurut Seksyen
59. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984
(AKTA303),
(1) Tertakluk kepada Hukum
Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada
isteri atau bekas isterinya.
Seksyen 69. Menuntut tunggakan nafkah
(1) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.
(2) Tunggakan nafkah yang
tanpa jaminan yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya
itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri orang itu di sisi
undang-undang orang itu.
Tunggakan nafkah mesti lah dibayar
oleh suami sebelum kematiannya kerana ianya dikira sebagai hutang. Sekiranya
sudah mati, hendaklah dibayar daripada harta pusaka suami tersebut.
Bagaimanakah Pihak Mahkamah Menentukan
Jumlah Nafkah yang Perlu Diberikan?
Seksyen 61. (AKTA303), Pentaksiran nafkah.
Pada menentukan jumlah
sesuatu nafkah yang hendak dibayar, Mahkamah hendaklah mengasaskan
pentaksirannya terutama sekali atas kemampuan dan keperluan pihak-pihak itu,
dengan mengira kadar nafkah itu berbanding dengan pendapatan orang yang
terhadapnya perintah itu dibuat.
Menurut Seksyen ini, Mahkamah akan
menilai jumlah nafkah yang perlu diberikan oleh suami berdasarkan keperluan
isterinya sahaja, bukan yang berlebih-lebihan, serta tahap kemampuan suami itu
berdasarkan pendapatannya. Jika telah terbukti pendapatan suami sebanyak itu
sahaja, maka Mahkamah akan menilai keperluan isteri tidak melebihi apa yang
mampu diberikan oleh suaminya. Sebagai contoh, isteri menuntut sebanyak RM1500
sebulan, namun suaminya hanya mampu memberikan RM700 sebulan, maka pihak Mahkamah
akan menilai dan memberikan keputusan berdasarkan apa yang si suami itu mampu
dan si isteri itu perlu.
Adakah Isteri yang Bekerja Berhak Menerima Nafkah Daripada suami?
Ya. Tinggi mana pun gaji si isteri
berbanding suaminya, beliau tetap berhak menerima nafkah daripada suaminya,
mengikut kemampuan suami tersebut. Kecuali di atas persetujuan suami isteri
tersebut di dalam bab perbelanjaan seisi rumah atau jika isteri itu berlaku nusyuz,
maka gugur haknya untuk menerima nafkah. Seksyen 59 Akta 303 menyatakan
bahawa:-
(2) Tertakluk kepada Hukum
Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat
nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan
atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain—
(a) apabila dia
menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia
meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
(c) apabila dia
enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang
sah mengikut Hukum Syarak.
(3) Selepas sahaja isteri
itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu
tidaklah lagi menjadi nusyuz.
Namun, nusyuz itu hanyalah apabila
isteri tersebut disabitkan sebagai nusyuz oleh mana-mana pihak Mahkamah, jika
tiada pensabitan tersebut, maka seorang isteri/bekas isteri itu tidak lah
dikira sebagai telah nusyuz dan berhak menerima nafkah daripada suami/bekas
suaminya. Perlu ditekankan di sini bahawa kebenaran untuk isteri keluar bekerja
bukan lah satu pelepasan kepada suami untuk tidak memberikan nafkah kepada
isterinya. Namun, jika suami jelas tidak membenarkan isterinya keluar bekerja,
maka isteri itu telah pun melanggar perintah suaminya, ini adalah salah satu
sebab yang menggugurkan haknya ke atas nafkah kerana dia telah berlaku nusyuz
terhadap suaminya.
Perlu juga diberi penekanan bahawa
jenis pekerjaan isteri juga memainkan peranan penting di dalam menentukan
haknya ke atas nafkah oleh suami, sebagai contoh, jika isteri bekerja di dalam
bidang yang dilarang oleh syarak, maka adalah lebih baik dia berada di rumah
dan tidak keluar bekerja. Atau isteri bekerja di dalam bidang yang amat
memerlukan seorang wanita berada di situ seperti bidang kesihatan wanita, maka
sekalipun suami tidak membenarkan isterinya keluar bekerja, ia tidak
menggugurkan haknya ke atas nafkah kerana melanggar perintah suaminya itu dan
terus keluar bekerja.
Bagaimana Pula Jika Si Suami Perlu Menanggung
Keluarganya juga?
Terdapat suami-suami yang gagal atau
kurang memberikan nafkah kepada isterinya atas alasan perlu menanggung
keluarganya juga. Namun perlu diingatkan bahawa tanggung jawab seorang anak
lelaki terhadap kedua ibu bapanya tidak berakhir setelah berkahwin. Cuma
berbeza dengan ketika sebelum berkahwin, keutamaan berbuat baik terhadap kedua
ibu bapa perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab barunya sebagai seorang
suami. Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami kerana terlalu
sibuk dengan ibu bapa sendiri sehingga mengabaikan isteri juga suatu yang
dilarang agama.
Di dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:
“Mulakan nafaqah dengan
dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki,
berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi,
berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”
Imam al-Syaukani juga menyebut:
Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin,
manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah
sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibu bapa.
Mafhum daripada hadis di atas
menunjukkan keutamaan lebih kepada isteri dan anak-anak. Justeru, selama mana
ia menjadi tanggungjawab terhadapnya, maka tanggungjawab kepada isteri adalah
diutamakan kecuali dalam keadaan darurat, ibu memerlukan bantuan, maka ketika
itu hendaklah diberikan kepadanya.
Para ulama’ menyebut, memberi nafkah
kepada ibu bapa adalah tidak wajib atas seorang anak kecuali dalam dua keadaan
berikut:
- Ibu bapanya miskin dan memerlukan bantuan.
- Anak tersebut mempunyai lebihan harta selepas nafkah
yang diberikan kepada keluarganya. Syarat ini disepakati oleh para
ulama’.
Wallahuaklam.
Dipetik daripada beberapa artikel, Akta & kes-kes yang dilaporkan.
Disediakan oleh:
Munibah Mohd Azraai daripada Tetuan Marzila & Munibah (Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie)