Persoalan Mengenai Nafkah Isteri

Apa itu Nafkah bagi seorang isteri?

Nafkah merupakan hak isteri yang dipertanggungjawabkan ke atas suami, sama ada ia berbentuk wang ringgit, makanan, tempat tinggal dan sebagainya yang dianggap sebagai keperluan bagi seorang isteri.

Nafkah isteri yang diwajibkan ke atas suami berdasarkan nas syarak hanya meliputi makanan, pakaian dan tempat tinggal. Walau bagaimanapun dalam perbincangan para ahli fekah, nafkah bukanlah terhad kepada tiga perkara asas di atas. Termasuk juga dalam pengertian nafkah segala keperluan sampingan isteri yang lain seperti pembantu rumah, perkakas rumah, alat kebersihan dan rawatan kesihatan. Ia hendaklah datang dari sumber yang halal dan hanya dikeluarkan untuk perkara-perkara yang memberi manfaat dan berfaedah sahaja.

“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan” Maksud ayat:(At-Talaq : 7)

Apa Itu Nafkah Tertunggak?

Nafkah tertunggak ialah apabila suami gagal menjalankan tanggungjawabnya dalam memberikan nafkah kepada isteri, dalam bentuk zahir mahupun batin, semasa tempoh perkahwinan tersebut.

Bagi menilai sama ada wujud atau tidak tunggakan kepada nafkah isteri/bekas isteri, terdapat dua perkara yang akan diberi perhatian oleh Mahkamah iaitu ;

  1. Bentuk keperluan nafkah isteri/bekas isteri ; dan
  2. Kemampuan Suami

Dalam membuat permohonan menuntut nafkah tertunggak, isteri/bekas isteri hendaklah menunjukkan bukti-bukti bahawa segala keperluannya telah diuruskan sendiri seperti mengemukakan resit-resit pembayaran, bil-bil, sewa rumah, tunggakan kereta dan sebagainya yang gagal diselesaikan oleh suami. Suami pula boleh menyangkal tuntutan isteri/bekas isteri dengan membuktikan bahawa dia telah menyelesaikan segala keperluan isteri selaras dengan kemampuannya dan persetujuan mereka semasa perkahwinan dan mengemukakan bukti-buktinya sendiri seperti ‘online transfer’, resit-resit dan sebagainya. Suami juga boleh menyatakan mengapa beliau gagal memberikan nafkah kepada isteri, dengan membuktikan isterinya itu nusyuz kerana isteri yang nusyuz hilang kelayakan untuk menerima nafkah.

Bilakah Isteri Boleh Menuntut Nafkah Tertunggak?

Seorang isteri boleh menuntut nafkah tertunggak ketika masih berkahwin dengan suaminya ataupun ketika sudah bercerai, bekas isteri boleh menuntut nafkah tertunggak daripada bekas suaminya. Pihak Mahkamah boleh memerintahkan suami/bekas suami membayar nafkah tertunggak kepada isteri/bekas isteri mengikut kemampuan suami/bekas suami dan keperluan isteri/bekas isteri tersebut kerana ianya dikira sebagai hutang yang wajib dibayar oleh suami/bekas suami. Seorang isteri tidak perlu menunggu proses penceraian berlaku untuk menuntut nafkah tertunggak daripada suaminya.

Bagaimanakah Seorang Isteri Hendak Menuntut Nafkah Tertunggak Daripada Suaminya?

Isteri boleh menuntut nafkah tertunggak di Mahkamah Syariah di kawasan berdekatan dengan mereka dengan melantik peguam syarie sebagai wakil mereka atau dengan memfailkan tuntutan sendiri tanpa bantuan peguam syarie. Namun, adalah amat digalakkan untuk seorang isteri melantik peguam syarie atau biro bantuan guaman kerana mereka lebih kenal dan biasa dengan sistem di Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah akan membuat keputusan berdasarkan tuntutan yang dilakukan. Menurut Seksyen 59. Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (AKTA303),

(1) Tertakluk kepada Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintahkan seseorang lelaki membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.

Seksyen 69. Menuntut tunggakan nafkah

(1) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan boleh dituntut sebagai suatu hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya.

(2) Tunggakan nafkah yang tanpa jaminan yang terkumpul kena dibayar sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu hutang oleh wakil diri orang itu di sisi undang-undang orang itu.

Tunggakan nafkah mesti lah dibayar oleh suami sebelum kematiannya kerana ianya dikira sebagai hutang. Sekiranya sudah mati, hendaklah dibayar daripada harta pusaka suami tersebut.

Bagaimanakah Pihak Mahkamah Menentukan Jumlah Nafkah yang Perlu Diberikan?

Seksyen 61. (AKTA303), Pentaksiran nafkah.

Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak dibayar, Mahkamah hendaklah mengasaskan pentaksirannya terutama sekali atas kemampuan dan keperluan pihak-pihak itu, dengan mengira kadar nafkah itu berbanding dengan pendapatan orang yang terhadapnya perintah itu dibuat.

Menurut Seksyen ini, Mahkamah akan menilai jumlah nafkah yang perlu diberikan oleh suami berdasarkan keperluan isterinya sahaja, bukan yang berlebih-lebihan, serta tahap kemampuan suami itu berdasarkan pendapatannya. Jika telah terbukti pendapatan suami sebanyak itu sahaja, maka Mahkamah akan menilai keperluan isteri tidak melebihi apa yang mampu diberikan oleh suaminya. Sebagai contoh, isteri menuntut sebanyak RM1500 sebulan, namun suaminya hanya mampu memberikan RM700 sebulan, maka pihak Mahkamah akan menilai dan memberikan keputusan berdasarkan apa yang si suami itu mampu dan si isteri itu perlu.


Adakah Isteri yang Bekerja Berhak Menerima Nafkah Daripada suami?

Ya. Tinggi mana pun gaji si isteri berbanding suaminya, beliau tetap berhak menerima nafkah daripada suaminya, mengikut kemampuan suami tersebut. Kecuali di atas persetujuan suami isteri tersebut di dalam bab perbelanjaan seisi rumah atau jika isteri itu berlaku nusyuz, maka gugur haknya untuk menerima nafkah. Seksyen 59 Akta 303 menyatakan bahawa:-

(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain—

(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;

(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;

(c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,

tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.

(3) Selepas sahaja isteri itu bertaubat dan menurut kemahuan dan perintah sah suaminya, maka isteri itu tidaklah lagi menjadi nusyuz.

Namun, nusyuz itu hanyalah apabila isteri tersebut disabitkan sebagai nusyuz oleh mana-mana pihak Mahkamah, jika tiada pensabitan tersebut, maka seorang isteri/bekas isteri itu tidak lah dikira sebagai telah nusyuz dan berhak menerima nafkah daripada suami/bekas suaminya. Perlu ditekankan di sini bahawa kebenaran untuk isteri keluar bekerja bukan lah satu pelepasan kepada suami untuk tidak memberikan nafkah kepada isterinya. Namun, jika suami jelas tidak membenarkan isterinya keluar bekerja, maka isteri itu telah pun melanggar perintah suaminya, ini adalah salah satu sebab yang menggugurkan haknya ke atas nafkah kerana dia telah berlaku nusyuz terhadap suaminya.

Perlu juga diberi penekanan bahawa jenis pekerjaan isteri juga memainkan peranan penting di dalam menentukan haknya ke atas nafkah oleh suami, sebagai contoh, jika isteri bekerja di dalam bidang yang dilarang oleh syarak, maka adalah lebih baik dia berada di rumah dan tidak keluar bekerja. Atau isteri bekerja di dalam bidang yang amat memerlukan seorang wanita berada di situ seperti bidang kesihatan wanita, maka sekalipun suami tidak membenarkan isterinya keluar bekerja, ia tidak menggugurkan haknya ke atas nafkah kerana melanggar perintah suaminya itu dan terus keluar bekerja.

Bagaimana Pula Jika Si Suami Perlu Menanggung Keluarganya juga?

Terdapat suami-suami yang gagal atau kurang memberikan nafkah kepada isterinya atas alasan perlu menanggung keluarganya juga. Namun perlu diingatkan bahawa tanggung jawab seorang anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya tidak berakhir setelah berkahwin. Cuma berbeza dengan ketika sebelum berkahwin, keutamaan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab barunya sebagai seorang suami. Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami kerana terlalu sibuk dengan ibu bapa sendiri sehingga mengabaikan isteri juga suatu yang dilarang agama.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

“Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.”

Imam al-Syaukani juga menyebut: Nafkah kepada keluarga tetap wajib meskipun ketua keluarga jatuh miskin, manakala nafkah kepada ibu bapa hanya wajib jika anak mampu. Para ulama’ telah sepakat akan wajibnya mendahulukan nafkah anak isteri sebelum ibu bapa.

Mafhum daripada hadis di atas menunjukkan keutamaan lebih kepada isteri dan anak-anak. Justeru, selama mana ia menjadi tanggungjawab terhadapnya, maka tanggungjawab kepada isteri adalah diutamakan kecuali dalam keadaan darurat, ibu memerlukan bantuan, maka ketika itu hendaklah diberikan kepadanya.

Para ulama’ menyebut, memberi nafkah kepada ibu bapa adalah tidak wajib atas seorang anak kecuali dalam dua keadaan berikut:

  • Ibu bapanya miskin dan memerlukan bantuan.
  • Anak tersebut mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya. Syarat ini disepakati oleh para ulama’. 

Wallahuaklam.

Dipetik daripada beberapa artikel, Akta & kes-kes yang dilaporkan.

Disediakan oleh:

Munibah Mohd Azraai daripada Tetuan Marzila & Munibah (Peguambela & Peguamcara, Peguam Syarie)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *