Adakah wajib ke atas isteri melaksanakan kerja-kerja rumah
dan menyediakan segala keperluan suami
seperti memasak, membasuh, menggosok baju dan sebagainya?
Ulamak berbeza pendapat mengenai hal ini. Jumhur berpendapat
tidak wajib. Sebahagian ulamak berpendapat wajib.
Perinciannya adalah seperti berikut:
Pertama: Mazhab Hanafi
Imam ‘Alaa’ ad-Din al-Kasani berkata: “Sekiranya suami
membawa balik bahan-bahan makanan yang perlu dimasak tetapi isteri enggan
memasak, suami tidak ada hak untuk memaksanya. Sebaliknya suami hendaklah
membawa balik makanan yang telah sedia untuk dimakan.”
Al-Faqih Abu al-Laits berkata: “Ini sekiranya isteri itu
tidak mampu untuk memasak atau dia daripada keluarga yang berkedudukan. Adapun
sekiranya dia daripada keluarga yang biasa mengurus diri sendiri, dia boleh
dipaksa untuk memasak. Dan sekiranya isteri mempunyai pembantu maka nafkah
serta pakaian pembantu wajib ke atas suami menanggungnya.”
Dan kerja-kerja mengurus rumah, menurut “Al-Fatawa Al-Hindiyyah”
di dalam Fiqh Mazhab Hanafi, wajib ke atas isteri dari sudut keagamaan sekalipun
dari sudut undang-undang hakim tidak boleh memaksa isteri melakukannya.
Ini bermakna, suami tidak harus mengupah isteri untuk masak
dan membuat roti. Dan jika isteri melakukannya dia tidak harus mengambil upah
untuk itu. Imam ‘Alaa’ ad-Din al-Kasani memberikan alasan kenapa isteri tidak
harus mengambil upah ialah kerana pekerjaan itu wajib ke atasnya dari sudut
keagamaan. Jika dia mengambilnya maka ia seumpama rasuah. Jadi, tidak halal
baginya.
Kedua: Mazhab Maliki
Di dalam kitab “Asy-Syarh Al-Kabir”, kitab fiqh Mazhab
Maliki dinyatakan: “Sekiranya suami berkemampuan, dan isteri pula dari kalangan
orang atasan yang pada kebiasaannya tidak membuat kerja rumah, atau suami orang
berkedudukan dan tidak selesa isteri berkhidmat untuknya walaupun isteri dari
kalangan mereka yang biasa melakukan kerja rumah, maka wajib ke atas suami
menyediakan khadam (pembantu) kepada
isterinya.
Jika suami fakir, dan isteri sama ada dari kalangan mereka
yang berkedudukan atau tidak, wajib ke atas isteri melakukan kerja rumah
seperti menguli tepung, menyapu rumah, memasak dan seumpamanya di dalam
rumahnya untuk suami sahaja, bukan untuk tetamunya. Termasuklah perkara-perkara
yang termasuk di dalam adat kebiasaan seperti membasuh baju.”
Ketiga: Mazhab Syafi’ei
Di dalam kitab “Al-Muhazzab”, kitab fiqh Mazhab Syafi’ei
karangan Abu Ishaq Asy-Syirazi
dinyatakan: “Tidak wajib ke atas isteri berkhidmat kepada suami dengan
melakukan kerja mengisar, memasak, membasuh dan lain-lain. Ini kerana aqad
nikah adalah aqad untuk mengahalalkan pergaulan dan kemesraan. Maka isteri
tidak diwajibkan lebih daripada itu.”
Lanjutan daripada itu, Imam an-Nawawi mengulas di dalam
kitab al-Majmu’: “Tidak wajib ke atas wanita berkhidmat untuk lelaki atau untuk
rumah kerana aqad (perkahwinan) adalah untuk menghalalkan pergaulan. Tetapi
khidmatnya adalah sesuatu yang diperakui syara’ berdasarkan hadis riwayat
Ahmad, Bukhari dan Muslim daripada Jabir r.a.
Jabir berkata: Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku: “Adakah
engkau telah berkahwin?”
Aku menjawab: “Sudah!”
Baginda bertanya: “Gadis atau janda?”
Aku menjawab: “Janda.”
Baginda bersabda: “Kenapa tidak mengahwini gadis? Lebih
pantas untuk kalian bergurau senda?”
Aku menjelaskan: “Ya Rasulullah, ayahku terbunuh di dalam
peperangan Uhud dan dia meninggalkan sembilan orang anak perempuan. Aku tidak
suka menambah perempuan sebaya yang sama tidak mahir seperti mereka. Tetapi aku
memilih wanita yang boleh menyikat rambut mereka dan mengurus mereka.”
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Engkau betul.”
Kata Imam an-Nawawi: maka sesiapa yang mempunyai anak, adik
beradik serta keluarga, tidak salah bagi lelaki berkahwin dengan tujuan
mengharap khidmat isterinya sekalipun hal itu tidak wajib ke atas seorang
isteri. Tetapi ia boleh diambil kira daripada adat dan kebiasaan yang berlaku.
Kerana itu Nabi s.a.w. tidak membantah apa yang dilakukan oleh Jabir.
Keempat: Mazhab Hanbali
Fuqaha’ Mazhab Hanbali berkata: “Tidak wajib ke atas wanita berkhidmat
untuk suami dengan melakukan kerja-kerja seperti membuat roti, memasak, menyapu
rumah, mengisi air di dalam kolah dan seumpamanya. Ini ditegaskan oleh Ahmad.
Kerana tujuan aqad ialah halal pergaulan. Maka isteri tidak boleh diwajibkan
yang lain daripada itu seperti membela haiwan dan menuai hasil tanaman.”
Sungguhpun begitu, mereka berkata: “Namun lebih utama
baginya (isteri) melakukan kerja-kerja yang pada kebiasaannya dilakukan oleh
wanita. Kerana ia merupakan satu adat di mana urusan kehidupan tidak teratur
dan hal rumahtangga tidak berjalan lancar tanpanya.”
Kelima: pilihan Ibn Taimiah
Syeikhul Islam Ibn Taimiah berkata: “Wajib ke atas isteri
berkhidmat kepada suami dengan makruf sepadan dengan kedudukan kedua-duanya. Ia
berbeza mengikut keadaan dan tempat. Penduduk kampung tidak sama dengan
penduduk bandar, orang kuat tidak sama dengan orang lemah.” Pendapat ini
dipersetujui oleh Abu Bakar bin Syaibah dan Abu Ishaq al-Juzjani. Kedua-duanya
berhujjah dengan kisah Ali dan Fatimah di mana Nabi s.a.w. memutuskan Fatimah
melakukan kerja-kerja di rumah, Ali melakukan kerja-kerja di luar rumah.
Setelah mengemukakan pendapat para fuqaha’ pelbagai mazhab,
Dr Abdul Karim Zaidan cenderung kepada pendapat Ibn Taimiah, iaitu isteri wajib
menjalankan kerja rumah dengan makruf mengikut keadaan dan adat sesuatu tempat.
Dalil-dalilnya:
Dalil Pertama:
Fatimah binti Rasulullah s.a.w. berjumpa Nabi meminta
seorang khadam. Maka baginda berkata kepada puterinya itu: “Mahukah aku
beritahumu apa yang lebih baik daripada itu? Engkau bertasbih ketika hendak
tidur 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertabir 34 kali…” Riwayat al-Bukhari.
Pengajarannya, Nabi tidak perintahkan Ali mengambil alih
tugas itu sama ada dengan dia gantikan Fatimah atau carikan khadam atau upah
orang lain melakukan. Jika sekiranya urusan itu tugas Ali, tentu baginda akan
perintahkan Ali berbuat demikian.
Dalil Kedua:
Hadis Asmaa’ binti Abu Bakar r.a. yang diriwayatkan oleh
al-Bukhari. Asmaa’ r.a. berkata: “Ketika Zubair mengahwiniku, dia tidak mempunyai
apa-apa harta di muka bumi ini selain daripada seekor binatang untuk menjirus
tanaman dan seekor kuda. Akulah yang memberi makan kudanya, aku menjirus
tanaman dan menguli tepung. Aku tidak begitu mahir membuat roti. Beberapa orang
jiranku dari kalangan wanita Ansar membuat roti untukku. Mereka adalah
wanita-wanita yang jujur. Aku juga menjunjung benih dari tanah yang disewakan
Rasulullah s.a.w. kepada Zubair sejauh 2/3 farsakh. (Ukuran 1 farsakh adalah 3
batu)
Pada suatu hari, sedang aku sedang berjalan sambil
menjunjung benih di atas kepala, aku terserempak dengan Rasulullah s.a.w.
bersama beberapa orang sahabat dari kalangan Ansar. Rasulullah s.a.w.
menawarkan aku naik di atas unta di belakangnya. Tetapi aku malu untuk berjalan
bersama kaum lelaki. Dan ingat sikap cemburu Zubair. Rasulullah s.a.w. faham
bahawa aku malu untuk menerima pelawaannya. Lalu baginda berlalu pergi. Bila
bertemu Zubair, aku ceritakan apa yang berlaku. Dia berkata: “Sesunguhnya kamu
menjunjung benih itu lebih berat bagiku daripada kamu menaiki unta bersama
Rasulullah s.a.w..”
Selanjutnya Asmaa’ berkata: “Aku berterusan melakukan
kerja-kerja tersebut sehinggalah Abu Bakar menghantar kepadaku seorang khadam
yang menguruskan kuda. Ia benar-benar seperti telah memerdekakanku.” Riwayat
Al-Bukhari.
Ibn al-Qayyim berkata, manakala Nabi s.a.w. melihat Asmaa’
menjunjung benih di atas kepalanya, baginda tidak membantah dan tidak menegur
Zubair yang membiarkan Asmaa’ melakukan kerja-kerja tersebut. Ini menjadi dalil
baginda memperakui isteri melakukan pekerjaan untuk suami.
Dalil ketiga:
Hadis Jabir yang telah disebutkan di atas.
Dalil keempat:
Aqad yang dilakukan merupakan aqad yang mutlaq, iaitu tidak
dikaitkan dengan sebarang penentuan tugas tertentu. Maka ia berjalan mengikut
adat dan uruf. Dari segi uruf masyarakat, isteri melayani keperluan suami dan
melakukan pekerjaan yang berkaitan dengan pengurusan rumah tangga. Dalam hal
ini, Imam al-Qurtubi berkata: “Perkara ini merupakan sesuatu yang berkaitan
dengan uruf. Dan uruf adalah satu daripada asas dalam menentukan hukum Syarak.
Kaum wanita Arab yang tinggal di desa dan kampung berkhidmat kepada suami
dengan menyediakan air dan mengurus binatang ternakan.”
KESIMPULAN
Selepas mengemukakan hujjah-hujjah di atas, Dr Abdul Karim
membuat kesimpulan:
Dalam masyarakat sekarang, kebanyakan isteri berkhidmat
kepada suami dengan menyediakan keperluannya dan mengurus hal-hal berkaitan
dengan rumah yang pelbagai. Kadang-kadang semua urusan itu dilakukan sendiri,
kadang-kadang dibantu oleh orang gaji jika suami berkemampuan. Jadi, ada
baiknya jika suami mengetahui bahawa jumhur fuqahak berpendapat bahawa tidak
wajib ke atas isteri berkhidmat kepada suami dan melakukan kerja-kerja rumah.
Aku berkata bahawa ada faedah untuk suami mengetahui hal itu
supaya dia tidak menekan dan membebankan isteri dengan pelbagai permintaan yang
banyak dan menuntut itu dan ini. Supaya dia tidak mudah menghukum dan
menyalahkan isteri jika terdapat kelemahan dan kekurangan di pihaknya kerana
perkara itu tidak wajib ke atasnya di sisi jumhur ulamak sekalipun ada
sebahagian ulamak berpendapat ia adalah wajib, termasuk aku sendiri.
Dengan adanya perselisihan pendapat seperti ini, maka suami
seharusnya melihat apa yang dilakukan oleh isteri di rumah itu sebagai sesuatu
yang lebih dekat kepada amalan sunat dan bakti sukarela yang tidak wajib ke
atasnya, ataupun dia melakukan pekerjaan yang khilaf di sisi ulamak dari segi
hukumnya sama ada wajib atau tidak.
Maka suami mestilah berlaku lemah lembut terhadap isteri, memberi galakan kepada ister agar melakukan yang terbaik dan membantu meringankan bebanannya yang berat. Petikan daripada Al-Muafassol fi Ahkam al-Mar’ah, juz 7 hal 302-308.
Oleh: Ustazah Maznah Daud
Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM