Kenyataan Media: Ibu dan Covid-19

Kenyataan Media: Ibu dan Covid-19

Kenyataan Media sempena Hari Ibu
10 Mei 2020
Ibu dan Covid-19.
“Bagi dunia, anda adalah seorang ibu, tetapi bagi keluarga, anda adalah dunia mereka”.
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua wanita yang bergelar ‘ibu’. Sesungguhnya anda adalah individu yang amat berharga buat keluarga, masyarakat dan negara.
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini, telah mengakibatkan berlakunya perubahan kepada seluruh sistem kehidupan manusia. Perubahan ini bukan hanya kepada aspek fizikal kehidupan, seperti kesan ekonomi keluarga dan cara kita berinteraksi, tetapi ia juga mengesani aspek psikologi dan ibadah kita.
Ia menuntut kepada adaptasi segera dan kreatif, agar perubahan ini dapat diharungi dengan penuh keyakinan dan tidak membawa kemudaratan kepada diri dan keluarga di kemudian hari.
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah Al-Insyirah: 5-6).
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19 ini, telah menyaksikan betapa pentingnya peranan seorang ibu dalam memastikan kesejahteraan keluarga 24 jam sehari selama berminggu-minggu di rumah. Seorang ibu merupakan:
1. Tonggak kestabilan hidup berkeluarga

Setiap ahli keluarga pasti mempunyai sedikit sebanyak tekanan akibat terperangkap dalam ruang terhad di rumah. Rutin harian keluarga berubah sama sekali. Emosi lebih mudah terguris, dan mungkin juga, “tempers fly high”.

Semua ahli keluarga, terutamanya ayah sebagai ketua keluarga, perlu mengambil peranan memastikan dinamika keluarga kekal tenang dan sejahtera. Anak-anak juga perlu menghormati dan memainkan peranan sebagai ahli keluarga.

Yang mengingatkan dan menggalakkan ayah untuk berperanan dan mendorong serta menyuburkan sikap positif anak-anak di rumah, semestinya daripada seorang ibu.

Namun, walaupun ibu merupakan tonggak kestabilan keluarga, pastikan diri sendiri juga sihat dari segi fizikal, emosi dan spiritual. Kenal pasti aktiviti yang menenangkan anda, dan sekumpulan individu positif yang boleh memberi sokongan kepada anda.

Bagi yang terkesan dengan keganasan rumahtangga, carilah kekuatan daripada sesiapa yang boleh membantu. Pelbagai agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan serta individu yang prihatin sedia membantu anda.

2. Pakar dalam mengimbangi ‘work-life-balance’ dalam suasana ‘working-from-home’ (WFH)

Bagi ibu-ibu yang bekerjaya, tidak keluar ke tempat kerja semasa PKP tidak bererti mereka tidak perlu melakukan tugasan pejabat. Sekali lagi, kekentalan seseorang wanita dan ibu dicabar apabila mereka terpaksa “bersilat” di rumah bagi memenuhi tuntutan sebagai seorang isteri, ibu dan juga pekerja. Hal ini benar terutamanya jika mereka mempunyai anak kecil dan suaminya juga bekerja.

Mesyuarat secara maya berterusan dari jam ke jam yang lain, tanpa putus. Dan bagi ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, perlu pula memantau penggunaan gajet anak-anak yang mengikuti kelas maya dan ‘up-to-date’ dengan kerja rumah yang diberi oleh guru-guru.

Bagi yang tiada pembantu rumah, perlu pula memastikan makanan tersedia, rumah dan pakaian ahli keluarga bersih dan terurus.

Di sinilah kemahiran mengurus oleh seseorang wanita terbukti. Sepertimana wanita mengurus staf di tempat kerja untuk memastikan kelangsungan sesuatu tugasan, di rumah juga suami dan anak-anak perlu juga diberdayakan untuk membantunya memastikan suasana rumah kemas dan sejahtera.

Apatah lagi, sekiranya wanita tersebut merupakan ibu tunggal atau ‘ibu tinggal’ (wanita yang digantung tidak bertali oleh suami). Semestinya cabaran bagi mereka lebih besar dan amat perlu dibantu.

3. Ibu sebagai perisai keselamatan keluarga

Dalam memastikan ahli keluarga selamat dari pandemik ini, ibu-ibulah yang memastikan perisai keluarga tetap utuh.

Apabila ketua keluarga atau dirinya perlu keluar rumah kerana kerja atau membeli keperluan harian, ibu-ibulah yang mengingatkan untuk menjaga keselamatan diri. Memakai ‘face mask’, kerap membasuh tangan dan melakukan penjarakan sosial.

Ibu-ibulah yang memujuk anak-anak untuk tidak keluar bermain di luar rumah. Ibu-ibulah yang kerap menelefon datuk dan nenek di kampung dan bertegas untuk tidak pulang ke kampung jika tindakan itu akan memberi risiko jangkitan kepada mereka.

Bagi ibu-ibu yang turut bertugas di barisan hadapan (frontliners), mereka terpaksa menghadkan masa, sentuhan dan pergaulan dengan suami dan anak-anak. Bayangkan sekiranya ada yang mempunyai bayi yang masih menyusu dan memerlukan belaian kasih seorang ibu. Namun, demi memelihara keselamatan keluarga, ibu-ibu ini terus cekal melaluinya.
Peranan para ibu dalam mengharungi pandemik ini amatlah penting walau ianya mencabar. Hari Ibu yang disambut pada tahun ini dalam suasana yang masih tiada kepastian akan kesan dan pengakhirannya, adalah satu pengalaman yang sungguh unik.
Wanita IKRAM mengajak semua warga Malaysia untuk menghargai pengorbanan para ibu setiap masa dan seterusnya prihatin dan peka akan segala masalah yang mereka hadapi. Penghargaan kepada jasa dan pengorbanan seorang ibu adalah disarankan seperti berikut:
1- Pihak kerajaan dan majikan terus peka terhadap keperluan seorang ibu bekerja. Konsep ‘WFH’ perlu diperhebat dan diperkemaskan agar pilihan wanita untuk bekerja dari rumah dapat menjamin produktiviti kerja yang cemerlang di samping memastikan kesejahteraan keluarga.

2- Setiap ahli masyarakat cakna akan keperluan ahli dalam komuniti masing-masing. Sekiranya ada keluarga, terutamanya ibu tunggal atau ibu tinggal yang memerlukan bantuan, atau sekiranya mensyaki berlaku jenayah keganasan rumahtangga, hulurkan bantuan dan sokongan. Jangan biarkan mereka terkapai kelemasan dalam masalah yang menyelubungi mereka.

3- Titipkan doa dan zahirkan kasih sayang anda kepada wanita yang melahirkan anda atau/dan anak-anak anda. Baik yang masih hidup atau yang sudah pergi.
Ingatan dan penghargaan itu adalah tidak ternilai harganya bagi seorang ibu.
Semoga Allah merahmati dan mengganjari segala jasamu wahai ibu.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Seimbang Untuk Sejahtera 2020

Seimbang Untuk Sejahtera 2020

KENYATAAN MEDIA
WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
Sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2020

“Seimbang Untuk Sejahtera”

Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Wanita” kepada semua wanita di mana sahaja anda berada.
Tarikh 8 Mac setiap tahun adalah sambutan Hari Wanita Sedunia bertujuan untuk memberi sokongan dan pengiktirafan kepada sumbangan dan peranan wanita dalam pembangunan masyarakat dunia. Pada tahun ini, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menetapkan tema sambutan Hari Wanita Sedunia sebagai “Seimbang Untuk Sejahtera”. Tema ini telah dipilih untuk mengangkat kepentingan bergerak secara kolektif ke arah mewujudkan keseimbangan dalam pelbagai aspek yang membantu meningkatkan kesejahteraan wanita.

Usaha pemberdayaan wanita untuk setiap lapisan masyarakat merentasi usia dan sempadan geografi, perlu dijayakan oleh semua pihak. Mengikut data daripada World Economic Forum (WEF), Malaysia menduduki tangga ke-104 (daripada 155 negara) dalam Global Gender Gap Report 2020 (Indeks Jurang Gender Global 2020) iaitu skor 0.67, berbanding Singapura di tangga ke-54 (skor 0.724) dan Indonesia di tangga ke-80 (skor 0.70). Indeks ini menilai kedudukan wanita Malaysia berbanding lelaki dalam 4 domain terpilih iaitu Peluang dan Penyertaan Ekonomi (skor 0.639), Peluang Pendidikan (0.989), Kesihatan dan Kelangsungan Hidup (0.974) serta Pemberdayaan Wanita dalam Politik (0.108). Secara kasarnya, wanita Malaysia mempunyai peluang pendidikan dan akses kepada kesihatan yang hampir sama dengan lelaki, namun sangat kurang dalam penyertaan bidang ekonomi dan politik. Statistik ini menunjukkan masih banyak ruang penglibatan wanita yang perlu diperkasakan di negara ini, baik di peringkat pembuat dasar mahupun di peringkat pelaksanaan.

Wanita IKRAM yakin dengan meningkatnya penglibatan wanita dalam semua bidang khususnya dalam peringkat pembuat keputusan dapat membantu menyelesaikan isu-isu wanita. Namun, kami berpendirian bahawa dalam kerangka perjuangan membela nasib wanita, perlu dilihat bukan sahaja daripada prinsip kesamarataan atau kesetaraan (equality) iaitu bukan hanya memastikan bahawa lelaki dan wanita diberi peluang dan hak yang sama dalam semua perkara tetapi ianya juga perlu dilihat dari sudut kesaksamaan dan keadilan (equity). Prinsip asas ini mengaitkan peranan, tanggungjawab dan hak lelaki dan wanita dengan mengambil kira kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Lelaki dan wanita yang terbaik ialah mereka yang paling tinggi keimanannya dan paling baik di dalam menjalankan tanggungjawabnya di sisi Allah tanpa sebarang diskriminasi. Pada masa yang sama, Islam mengiktiraf perbezaan biologi lelaki dan wanita dalam menentukan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Pendekatan ini akan memberi lebih keadilan kepada kaum wanita berbanding perjuangan berasaskan kesamarataan gender semata.

Naratif pertengahan inilah yang dibawa oleh Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia di mana setiap lelaki dan wanita perlu sokong menyokong antara satu sama lain bagi mengimbangi segala urusan samada di dalam keluarga, masyarakat dan juga dalam pembangunan negara agar dapat mencapai kesejahteraan bersama.

Oleh yang demikian, bertepatan dengan tema “Seimbang Untuk Sejahtera” sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2020, Wanita IKRAM menyeru agar:

1. Wanita Malaysia berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berterusan untuk pemberdayaan diri di samping membantu wanita-wanita lain yang terpinggir. Wanita ke hadapan bukan bertujuan untuk mengambil alih tugas dan tanggungjawab asas kaum lelaki, sebaliknya untuk saling melengkapkan dalam menyumbang kepada kesejahteraan ummat dan negara.

2. Semua pihak perlu terus mendorong dan mengingatkan kaum lelaki, suami dan bapa akan peranan dan tanggungjawab mereka terhadap wanita walau apa pun keadaan mereka. Konsep kewalian di dalam Islam perlu difahami dan diperkasakan. Suami bertanggungjawab ke atas kebajikan isteri dan anak-anak perempuannya. Jika suami telah tiada (sama ada melalui kematian atau penceraian), tanggungjawab ini perlu dipikul oleh samada ayah, adik-beradik lelaki, anak lelaki, ayah saudara dan seterusnya.

3. Masyarakat perlu terus dididik untuk menghormati wanita dan menghargai perbezaan gender dalam menentukan peranan dan tanggungjawab masing-masing samada di dalam keluarga, tempat kerja dan masyarakat.

4. Pembentukan dasar dan polisi yang melibatkan pembangunan dan pembelaan wanita perlu dibuat dengan mengambil kira peranan, tanggungjawab dan hak wanita khususnya bagi memelihara kestabilan institusi keluarga yang merupakan unit terpenting dalam masyarakat.

5. Memperkasakan (empowered) ekosistem sokongan untuk mencapai kesejahteraan dalam kehidupan;

a. Mewujudkan sistem sokongan sosial daripada keluarga, masyarakat, institusi dan kerajaan bagi membantu wanita yang memerlukan.

b. Mempelbagaikan skim kerja dan sokongan ekonomi yang mesra wanita dan keluarga seperti penyediaan waktu kerja anjal, elaun pusat jagaan anak-anak, khususnya ibu muda.

c. Meningkatkan kesejahteraan hidup wanita dengan penambahbaikan infrastruktur, yang mengutamakan keselamatan, kesihatan, emosi dan fizikal wanita.

6. Wanita harus mengambil peranan dalam memastikan pimpinan negara adalah yang terbaik dan komited untuk menggerakkan agenda pembelaan kaum wanita. Wanita perlu memahami bahawa pengaruh dan sokongan mereka mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara harmoni.

Usaha padu daripada semua pihak dalam menghayati dan merealisasikan pengertian tema “Seimbang Untuk Sejahtera” yang dibawa oleh wanita IKRAM ini, pasti akan mencetuskan kebahagiaan dan kesejahteraan bagi semua InsyaAllah.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Wanita Untuk Disayangi Dan Dilindungi

Wanita Untuk Disayangi Dan Dilindungi

Kenyataan Media
Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita

25 November 2019

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam satu resolusi telah menetapkan 25 November setiap tahun sebagai ‘Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita’. Sambutan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran bahawa terlalu ramai wanita yang menjadi mangsa pelbagai bentuk keganasan di seluruh dunia dan keganasan tehadap wanita dan kanak-kanak perempuan perlu dihentikan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita di Malaysia dilaporkan antara 2010 sehingga 2018. Angka ini menunjukkan ianya di tahap membimbangkan.

Tindakan keganasan seperti rogol, sumbang mahram, ragut, pemerdagangan manusia, gangguan seksual serta keganasan rumahtangga merupakan kes jenayah dan melanggar hak asasi seorang manusia. Kejadian-kejadian seperti ini boleh mengakibatkan kecederaan fizikal, kesan psikologi, kemurungan, kehamilan yang dipaksa, keguguran, dan tingkah laku membunuh diri. Amat sukar bagi mangsa keganasan untuk melupakan peristiwa yang menimpa mereka dan berkemungkinan menghadapi trauma atau tekanan emosi yang berpanjangan.

Keganasan rumah tangga atau gangguan di tempat kerja boleh memberi tekanan emosi yang melampau kepada kaum wanita dan boleh menyebabkan wanita tidak dapat memberi tumpuan kepada tanggungjawab mereka di tempat kerja maupun di rumah. Statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencatatkan 3,573 kes keganasan rumah tangga secara keseluruhan dari 2015 hingga 2018.

Fenomena keganasan ini amat meluas, berterusan disebabkan kebanyakan kes-kes tidak dilaporkan pada pihak berkuasa. Langkah-langkah perlu diambil untuk melindungi dan membantu mereka yang tidak melaporkan samada disebabkan faktor peribadi, paksaan atau persekitaran.

Bersempena hari ini, Wanita IKRAM mengajak semua rakyat Malaysia agar:

1. Meningkatkan kesedaran dalam diri dan berani melaporkan kepada
pihak berkuasa andai menjadi mangsa atau mengetahui sesiapa yang menjadi mangsa.

2. Penguatkuasa bertanggungjawab untuk terus membanteras kes berkaitan keganasan terhadap wanita. Sentiasa peka dengan setiap aduan yang dibuat selain perlu aktif, cepat dan mengendalikan kes tanpa kepentingan peribadi.

3. Pihak kerajaan menyediakan tempat atau ‘rumah selamat’ untuk melindungi mangsa dan ahli keluarga supaya tidak dapat dijejaki oleh pemangsa.

4. Menggunakan inisiatif Talian Nur, Talian Kasih dan Child Care dengan sebaiknya untuk melaporkan sebarang kes.

5. Mangsa atau keluarga mangsa dinasihatkan untuk hadir ke “Pusat Krisis Bersepadu atau ‘One Stop Crisis Centre’ (OSCC) supaya mendapat perlindungan sebaiknya.

6. Pihak yang bertanggungjawab hendaklah prihatin dan memastikan mangsa keganasan mendapat pembelaan undang-undang dan pelaku mendapat hukuman yang setimpal. Selain itu sistem kehakiman juga perlu lebih mesra wanita.

7. Kaum lelaki perlu dididik dan diberi kesedaran bahawa mereka adalah pelindung kepada wanita. Firman Allah yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)……” Surah Al Hujuraat:13

Ayat ini menunjukkan bahawa posisi wanita dalam Islam adalah pendamping laki-laki bukan untuk dipijak atau dihina dan diperlakukan sesuka hati.

Kita inginkan masyarakat yang penuh belas kasihan, kasih sayang, kedamaian, hormat-menghormati antara satu sama lain dan selamat untuk semua.

Akhir kata, kami ingin menyeru semua agar keganasan ini dibasmi sehingga ke akar umbi lantas mengangkat status wanita dan kanak-kanak perempuan sebaiknya bagi membentuk masyarakat yang selamat dan bertamadun.

Ustazah Hjh Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
25 November 2019

Kanak-Kanak Terbela Negara Sejahtera

Kanak-Kanak Terbela Negara Sejahtera

Kenyataan Media sempena Hari Kanak-kanak Sedunia
20 November 2019
Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar”. (Surah At-Taghabun: 15)

Kanak-kanak adalah amanah dari Allah SWT dan perlu dijaga serta dipelihara dengan sempurna agar menjadi permata yang sentiasa bersinar apabila dewasa kelak. Kepentingan golongan kanak-kanak ini sering diberi keutamaan dan ia sudah terbukti sejak dahulu apabila pada tahun 1959, Hari Kanak-kanak Sedunia telah mula disambut di Malaysia. Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia diadakan di negara kita adalah bagi memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada kanak-kanak dengan harapan agar masyarakat keseluruhannya sedar akan peranan dan tanggungjawab mereka untuk memelihara hak serta masa depan kanak-kanak di negara ini.

Namun begitu, kita menyaksikan amanah itu tidak dijalankan dengan sebaik-baiknya apabila ada segelintir pihak yang mengabaikan kebajikan kanak-kanak malah peningkatan kes-kes pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak semakin kerap dilaporkan. Seringkali kita mendengar dan menyaksikan salah laku terhadap kanak-kanak seperti pengabaian dan penderaaan kanak-kanak, sumbang mahram, pemerdagangan kanak-kanak, ditinggalkan ibu bapa, tidak mendapat pendidikan sempurna dan berbagai lagi penganiayaan ke atas kanak-kanak.

Kesemua ketidakadilan ini harus diberi perhatian dan tindakan sewajarnya mesti diambil kerana kanak-kanak adalah pewaris masa depan.

Sehubungan dengan itu, sempena Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2019, Wanita IKRAM menyarankan agar:

1. Setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan secara holistik merangkumi fizikal, mental, spiritual dan sosial bagi melahirkan generasi yang sihat, cergas, dinamik, berilmu, berdaya saing dan punya jati diri yang tinggi. Kanak-kanak yang kurang upaya juga harus mendapat hak pendidikan dan kesihatan yang saksama dengan rakan-rakan mereka yang lain selaras dengan hasrat Zero Reject Policy oleh Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik.

2. Ibu bapa menginsafi bahawa mereka adalah model terawal dan terpenting dalam pembentukan akhlak dan minda kanak-kanak. Oleh itu ibu bapa harus melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan kemahiran keibubapaan masakini termasuk memahami hak kanak-kanak dan keperluan psikologi perkembangan mereka.

3. Semua aspek penjagaan dan perlindungan kanak-kanak perlu diperhalusi, diperbaiki dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa oleh setiap pihak yang bertanggungjawab di semua peringkat samada di rumah, sekolah, pusat jagaan dan komuniti.

4. Keselamatan kanak-kanak perlu menjadi keutamaan dan dipandang serius oleh semua pihak bermula dari rumah, taska, tadika, sekolah dan komuniti.

5. Agensi kerajaan, NGO dan anggota masyarakat perlu berganding bahu dan berperanan untuk memastikan setiap isu melibatkan kanak-kanak ditangani sebaiknya dan diberi pembelaan sewajarnya. Polisi yang mesra kanak-kanak dan mengambilkira kebajikan mereka harus diwujudkan di setiap peringkat.

6. Pihak kerajaan mesti memastikan bahawa segala dasar, perancangan ekonomi dan pembangunan infrastruktur negara mesti mesra kanak-kanak agar mereka boleh membesar dalam persekitaran yang sejahtera dan seimbang.

Akhir kata, saya mengajak kita semua bersama-sama berusaha melaksanakan tanggungjawab terhadap kanak-kanak serta memelihara keperluan-keperluan mereka bagi membentuk sebuah negara yang sejahtera.

Ustazah Hjh. Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Ketatkan Kawalselia Penggunaan Internet Kanak-Kanak

Ketatkan Kawalselia Penggunaan Internet Kanak-Kanak

Seluruh masyarakat Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan berita yang cukup meresahkan apabila media melaporkan satu insiden malang membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun merogol kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun pada minggu lalu.

Amat mendukacitakan kerana kedua-duanya adalah kanak-kanak dalam lingkungan umur yang perlu dilindungi. Lebih menyedihkan lagi apabila pelaku kesalahan merupakan anak kepada pengasuh yang diamanahkan untuk memberi perlindungan sementara kepada mangsa semasa ketiadaan ibu bapanya.

Sebagaimana yang dilaporkan media, perlakuan tersebut berlaku akibat terangsang selepas menonton video lucah di telefon bimbit. Bagaimana kanak-kanak berusia 12 tahun boleh terdedah kepada gajet dan video lucah yang mendorongnya melakukan perbuatan jijik dan terkutuk itu?

Namun kanak-kanak yang melakukan perbuatan tersebut tidak boleh didakwa sebagai merogol kerana mengikut undang-undang, kanak-kanak lelaki di bawah 13 tahun tidak berupaya melakukan kesalahan rogol. Bagaimana pula perlakuan tersebut boleh berlaku terhadap seorang kanak-kanak kecil sebanyak tiga kali tanpa disedari oleh penjaganya? Bagaimana emosi kanak-kanak mangsa berumur 4 tahun itu?

Hakikatnya ialah kedua-duanya adalah mangsa dari kecuaian orang dewasa dan kedua-duanya memerlukan bantuan segera dan sewajarnya.

Dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menyeru agar:

1) Setiap individu dewasa dalam masyarakat perlu bersikap prihatin dan menyedari bahawa tanggungjawab melindungi kanak-kanak berada di atas bahu setiap mereka tanpa boleh disangkal lagi

2) Tindakan untuk melindungi kedua-dua kanak-kanak tersebut perlu diambil dengan segera. Kanak-kanak yang didakwa dan yang menjadi mangsa perlu menjalani proses pemulihan dan kaunseling oleh pakar-pakar yang berkaitan.

3) Media perlu memainkan peranan yang berkesan bukan sekadar melapor malah mendidik masyarakat dengan maklumat yang berguna agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.

4) Ibu bapa perlu peka dan mengambil peranan utama dalam memberikan pendidikan seksual dan kesihatan reproduktif kepada kanak-kanak sesuai dengan usia mereka. Justeru, ibu bapa perlu sentiasa memerhatikan aktiviti anak-anak, perubahan tingkah laku dan tabiat supaya intervensi awal dapat dilakukan sebelum terjadinya ketagihan dan mendorong kepada perbuatan keji ini.

5) Institusi keluarga perlu diperkasakan melalui pendidikan holistik dan menitikberatkan pendidikan agama. Penggunaan gajet seperti telefon bimbit yang mudah kepada akses internet perlu dikawal dan dipantau secara ketat.

6) Tindakan tegas perlu diambil ke atas ibu bapa atau penjaga pelaku sepertimana termaktub dalam Akta Kanak-kanak 2001 di mana ibu bapa mesti bertanggungjawab dan tidak akan terlepas sekiranya anak di bawah jagaan mereka melakukan sebarang perlakuan jenayah. Ini adalah satu cara bagi memastikan kanak-kanak yang telah melakukan jenayah atau yang menjadi mangsa tidak terus hanyut dan menderita.

7) Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui agensinya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu mengenakan kawalan yang sepatutnya terhadap laman-laman web dan portal pornografi daripada dapat diakses di atas talian.

Masalah yang berakar umbi dari ketagihan pornografi ini adalah masalah kita bersama. Setiap kita perlu berperanan mencetuskan kesedaran tentang permasalahan ini dan membantu mengekangnya dari terus merebak. Jika peranan penting ini dipandang serius, dijiwai dan dilaksanakan bersama di semua peringkat, tabiat buruk ini tidak mustahil dapat di kekang hingga akhirnya dapat menjamin masa depan yang sejahtera bagi generasi kanak-kanak kita.

Ustazah Hjh Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita,
Pertubuhan IKRAM Malaysia.
5 Julai 2019

Tingkatkan Usaha Basmi Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak

Tingkatkan Usaha Basmi Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak

KENYATAAN MEDIA
WANITA PERTUBUHAN IKRAM MALAYSIA
30 OGOS 2019

Baru-baru ini, tular kes seorang warga Malaysia yang dijatuhi hukuman penjara 5 tahun oleh Mahkamah United Kingdom atas 17 tuduhan pemilikan bahan-bahan pornografi kanak-kanak dalam pelbagai kategori termasuk kategori ekstrim. Beliau telah dibebaskan selepas 9 bulan dan seterusnya pulang ke Malaysia dan menyambung pengajian PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kebimbangan masyarakat adalah berasas, kerana isu keselamatan kanak-kanak adalah sesuatu yang sangat besar dan harus diberikan perhatian serius oleh semua pihak. Pedofilia ialah sejenis penyakit mental yang boleh bermula sejak zaman kanak-kanak. Pesakit yang mengidap pedofilia (Pedofil) mempunyai kecenderungan syahwat yang tidak normal dan tidak wajar terhadap kanak-kanak terutamanya kanak-kanak di bawah umur 14 tahun. Ia melibatkan fantasi, rangsangan dan tingkah laku seksual terhadap kanak-kanak pada peringkat umur tersebut.

Menurut kajian antarabangsa, lebih kurang 80% pedofil mengaku tidak menyentuh kanak-kanak, namun mereka mempunyai fantasi seksual terhadap kanak-kanak. Kajian mendapati pedofil banyak menonton pornografi kanak-kanak serta video penderaan seksual kanak-kanak untuk mendapatkan kepuasan seksual mereka sendiri. Sumber utama bahan pornografi dan video ini adalah daripada internet dan media sosial.

Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 telah memperuntukkan hukuman yang jelas terhadap jenayah pedofila. Namun, tindakan pemantauan dan rawatan selepas hukuman dijalankan tidak digariskan dengan jelas. Oleh kerana pedofilia merupakan penyakit mental, pengidapnya boleh kembali semula (relapse) mengalami ketagihan tersebut. Pesakit perlu menjalani proses rawatan dan pemulihan psikiatri dalam jangka masa panjang untuk memastikan pesakit benar-benar pulih dan tidak lagi merupakan ancaman kepada kanak-kanak.

Oleh itu, kami menuntut dan menyarankan agar:

1. Usaha untuk memastikan rawatan dan kawalan berterusan ke atas pedofil yang telah menjalani hukuman undang-undang diteruskan secara terancang, seperti yang diperkatakan oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Satu Majlis Tindakan Khas yang dianggotai pakar-pakar bidang perlu diwujudkan untuk mencadangkan rawatan berterusan dan garis panduan melibatkan majikan dan keluarga bagi pesalah-pesalah jenayah seksual kanak-kanak yang telah menjalani hukuman. Majlis yang dicadangkan ini boleh memberi input kepada pihak berwajib terhadap tindakan-tindakan susulan yang sesuai tanpa menghilangkan hak pesalah pedofil yang telah benar-benar sembuh untuk kembali menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab.

2. Daftar Pesalah Seksual dikembangkan dengan memasukkan maklumat semua pesalah seksual sebelum tahun 2017, walaupun mereka tidak melakukan jenayah di negara ini. Pelancong asing yang mempunyai rekod salahlaku seksual di negara mereka tidak wajar dibenarkan masuk ke negara ini. Usaha untuk menyelaraskan maklumat Daftar Pesalah Seksual Malaysia dengan Daftar Pesalah Seksual dari negara-negara lain di peringkat jabatan-jabatan imigresen setiap negara perlu diperincikan dengan mengambil kira peruntukan undang-undang terkait.

3. Mahkamah Jenayah Khas bagi mengendalikan prosiding jenayah seksual terhadap kanak-kanak diperbanyakkan di seluruh negara. Mahkamah ini dianggotai pegawai perundangan yang dilatih untuk memiliki kepakaran untuk megendalikan kes-kes berkaitan jenayah seksual kanak-kanak.

4. Mekanisma untuk memantau gajet, komputer dan segala peralatan elektronik pesalah perlu diwujudkan untuk memastikan mereka tidak lagi terlibat memiliki, menyimpan, menghasilkan, mengedar dan menyebarkan bahan-bahan pornografi kanak-kanak. Selain itu, usaha untuk membanteras penghasilan dan penyebaran bahan-bahan pornografi kanak-kanak oleh mana-mana pihak perlu ditingkatkan.

5. Usaha memberi kesedaran jenayah seksual terhadap kanak-kanak di dalam masyarakat dipergiatkan oleh semua pihak, baik di peringkat kerajaan, swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Pihak sekolah, ibubapa dan komuniti setempat perlu diberi kefahaman tentang bahaya pornografi dan kesannya terhadap masyarakat. Masyarakat harus menyedari bahawa kita semua bertanggungjawab untuk mewujudkan persekitaran yang sejahtera, selesa, selamat dan bermanfaat kepada kanak-kanak.

Semoga Malaysia terus maju dan aman sejahtera untuk anak-anak kita.

Ustazah Hjh Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita,
Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Disokong oleh:
1. Malaysians Against Pornography
2. Yayasan Atfal Jannah
3. Psikospiritual Ikram (PSI)