Kenyataan Media: Ibu dan Covid-19

Kenyataan Media sempena Hari Ibu
10 Mei 2020
Ibu dan Covid-19.
“Bagi dunia, anda adalah seorang ibu, tetapi bagi keluarga, anda adalah dunia mereka”.
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Ibu” kepada semua wanita yang bergelar ‘ibu’. Sesungguhnya anda adalah individu yang amat berharga buat keluarga, masyarakat dan negara.
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini, telah mengakibatkan berlakunya perubahan kepada seluruh sistem kehidupan manusia. Perubahan ini bukan hanya kepada aspek fizikal kehidupan, seperti kesan ekonomi keluarga dan cara kita berinteraksi, tetapi ia juga mengesani aspek psikologi dan ibadah kita.
Ia menuntut kepada adaptasi segera dan kreatif, agar perubahan ini dapat diharungi dengan penuh keyakinan dan tidak membawa kemudaratan kepada diri dan keluarga di kemudian hari.
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (Surah Al-Insyirah: 5-6).
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung wabak Covid-19 ini, telah menyaksikan betapa pentingnya peranan seorang ibu dalam memastikan kesejahteraan keluarga 24 jam sehari selama berminggu-minggu di rumah. Seorang ibu merupakan:
1. Tonggak kestabilan hidup berkeluarga

Setiap ahli keluarga pasti mempunyai sedikit sebanyak tekanan akibat terperangkap dalam ruang terhad di rumah. Rutin harian keluarga berubah sama sekali. Emosi lebih mudah terguris, dan mungkin juga, “tempers fly high”.

Semua ahli keluarga, terutamanya ayah sebagai ketua keluarga, perlu mengambil peranan memastikan dinamika keluarga kekal tenang dan sejahtera. Anak-anak juga perlu menghormati dan memainkan peranan sebagai ahli keluarga.

Yang mengingatkan dan menggalakkan ayah untuk berperanan dan mendorong serta menyuburkan sikap positif anak-anak di rumah, semestinya daripada seorang ibu.

Namun, walaupun ibu merupakan tonggak kestabilan keluarga, pastikan diri sendiri juga sihat dari segi fizikal, emosi dan spiritual. Kenal pasti aktiviti yang menenangkan anda, dan sekumpulan individu positif yang boleh memberi sokongan kepada anda.

Bagi yang terkesan dengan keganasan rumahtangga, carilah kekuatan daripada sesiapa yang boleh membantu. Pelbagai agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan serta individu yang prihatin sedia membantu anda.

2. Pakar dalam mengimbangi ‘work-life-balance’ dalam suasana ‘working-from-home’ (WFH)

Bagi ibu-ibu yang bekerjaya, tidak keluar ke tempat kerja semasa PKP tidak bererti mereka tidak perlu melakukan tugasan pejabat. Sekali lagi, kekentalan seseorang wanita dan ibu dicabar apabila mereka terpaksa “bersilat” di rumah bagi memenuhi tuntutan sebagai seorang isteri, ibu dan juga pekerja. Hal ini benar terutamanya jika mereka mempunyai anak kecil dan suaminya juga bekerja.

Mesyuarat secara maya berterusan dari jam ke jam yang lain, tanpa putus. Dan bagi ibu-ibu yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, perlu pula memantau penggunaan gajet anak-anak yang mengikuti kelas maya dan ‘up-to-date’ dengan kerja rumah yang diberi oleh guru-guru.

Bagi yang tiada pembantu rumah, perlu pula memastikan makanan tersedia, rumah dan pakaian ahli keluarga bersih dan terurus.

Di sinilah kemahiran mengurus oleh seseorang wanita terbukti. Sepertimana wanita mengurus staf di tempat kerja untuk memastikan kelangsungan sesuatu tugasan, di rumah juga suami dan anak-anak perlu juga diberdayakan untuk membantunya memastikan suasana rumah kemas dan sejahtera.

Apatah lagi, sekiranya wanita tersebut merupakan ibu tunggal atau ‘ibu tinggal’ (wanita yang digantung tidak bertali oleh suami). Semestinya cabaran bagi mereka lebih besar dan amat perlu dibantu.

3. Ibu sebagai perisai keselamatan keluarga

Dalam memastikan ahli keluarga selamat dari pandemik ini, ibu-ibulah yang memastikan perisai keluarga tetap utuh.

Apabila ketua keluarga atau dirinya perlu keluar rumah kerana kerja atau membeli keperluan harian, ibu-ibulah yang mengingatkan untuk menjaga keselamatan diri. Memakai ‘face mask’, kerap membasuh tangan dan melakukan penjarakan sosial.

Ibu-ibulah yang memujuk anak-anak untuk tidak keluar bermain di luar rumah. Ibu-ibulah yang kerap menelefon datuk dan nenek di kampung dan bertegas untuk tidak pulang ke kampung jika tindakan itu akan memberi risiko jangkitan kepada mereka.

Bagi ibu-ibu yang turut bertugas di barisan hadapan (frontliners), mereka terpaksa menghadkan masa, sentuhan dan pergaulan dengan suami dan anak-anak. Bayangkan sekiranya ada yang mempunyai bayi yang masih menyusu dan memerlukan belaian kasih seorang ibu. Namun, demi memelihara keselamatan keluarga, ibu-ibu ini terus cekal melaluinya.
Peranan para ibu dalam mengharungi pandemik ini amatlah penting walau ianya mencabar. Hari Ibu yang disambut pada tahun ini dalam suasana yang masih tiada kepastian akan kesan dan pengakhirannya, adalah satu pengalaman yang sungguh unik.
Wanita IKRAM mengajak semua warga Malaysia untuk menghargai pengorbanan para ibu setiap masa dan seterusnya prihatin dan peka akan segala masalah yang mereka hadapi. Penghargaan kepada jasa dan pengorbanan seorang ibu adalah disarankan seperti berikut:
1- Pihak kerajaan dan majikan terus peka terhadap keperluan seorang ibu bekerja. Konsep ‘WFH’ perlu diperhebat dan diperkemaskan agar pilihan wanita untuk bekerja dari rumah dapat menjamin produktiviti kerja yang cemerlang di samping memastikan kesejahteraan keluarga.

2- Setiap ahli masyarakat cakna akan keperluan ahli dalam komuniti masing-masing. Sekiranya ada keluarga, terutamanya ibu tunggal atau ibu tinggal yang memerlukan bantuan, atau sekiranya mensyaki berlaku jenayah keganasan rumahtangga, hulurkan bantuan dan sokongan. Jangan biarkan mereka terkapai kelemasan dalam masalah yang menyelubungi mereka.

3- Titipkan doa dan zahirkan kasih sayang anda kepada wanita yang melahirkan anda atau/dan anak-anak anda. Baik yang masih hidup atau yang sudah pergi.
Ingatan dan penghargaan itu adalah tidak ternilai harganya bagi seorang ibu.
Semoga Allah merahmati dan mengganjari segala jasamu wahai ibu.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *