Kepentingan Emosi
Sebagaimana dinyatakan di dalam hadis
Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, yang bermaksud:
“Daripada Amir telah berkata, aku
mendengar al-Nu’man bin Basyir katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya
di dalam jasad manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik maka
baiklah seluruh jasad, tetapi jika ia rosak, maka rosaklah juga jasad. Daging
yang dimaksudkan itu ialah hati”.
Hadis di atas menjadi asas utama
keimanan di mana kebaikan seseorang bergantung kepada hati yang mulia. Peribadi
yang baik berpunca dari hati yang baik. Di dalam hati inilah terbitnya emosi
yang menjadi nadi kepada peribadi seseorang yang dilahirkan kepada bentuk
tingkah laku. Jika qalbu penting untuk menentukan baiknya peribadi, maka begitulah
juga emosi adalah penting untuk kita mengetahui tentang keadaan hati .
Apakah itu emosi? Emosi adalah perasaan
yang tercetus, hasil dari reaksi kepada suatu fikiran yang timbul disebabkan
oleh suatu rangsangan sama ada berbentuk dalaman atau luaran. Di sini terdapat
perkaitan antara emosi dan pemikiran. Emosi dan tingkah laku juga saling
berkaitan.
Mengikut pandangan Al Ghazali (Salasiah,
2016), spritual dan kerohanian terdiri
daripada 4 elemen, iaitu an nafs, al
qalb, al ruh dan al ‘aqal. Perkataan al qalb adalah yang paling banyak diulang
di dalam buku Ihya karangan beliau.
Terdapat dua pengertian tentang al
qalb. Pertamanya, bermaksud segumpal daging yang berbentuk bulat panjang dan
terletak di sebelah kiri dada manusia di kenali juga dengan hati jasmani. Ianya
mempunyai rongga darah dan berperanan sebagai sumber roh.
Keduanya, bermaksud
hati yang halus bersifat ketuhanan (rabbaniyah) dan ruhaniyah (hati
rohani). Hati rohani ini berkait rapat dengan hati jasmani.
Kepentingan mengetahui tentang emosi
adalah untuk memahami bagaimana emosi itu terjadi dan bagaimana mengurusnya, untuk
diri sendiri dan untuk orang lain. Memahami
aspek-aspek emosi mendatangkan manfaat untuk diri sendiri, keluarga,
kerja dan komuniti. Selain itu ianya penting untuk membina kekuatan dalaman, perhubungan
yang baik, kepimpinan berkesan, dan
meningkatkan motivasi.
Al
Ghazali mengatakan, “Jika sekiranya
taufik itu membantu kamu dan terbit dalam diri kamu dorongan ke arah
kesempurnaan, kamu akan boleh mencapainya menerusi mujahadah dan tidak mungkin
kamu mengetahui apa yang kamu kehendaki tanpa mengenali diri kamu terlebih
dahulu dari segi potensi dan kekuatannya. Mujahadah adalah proses rawatan
kepada jiwa dengan cara menyucikannya (tazkiyah) bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan”.
Oleh
itu mengenali diri amat penting sebelum bermujahadah ke arah kesempurnaan. Bermujahadah pula bertujuan untuk menjadi
orang yang berjaya seperti di dalam firman Allah didalam surah As Syam, ayat 9
dan 10.
“Berjaya
lah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah bersih (dengan
iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampa lah orang yang sedia bersih itu
susut dan terbenam kebersihannya (dengan segala sebab kekotoran maksiat)”.
Terdapat
juga contoh pada hadis Rasulullah SAW tentang
bagaimana beliau mengetahui keadaan emosi
saidatina Aisyah.
Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Aku tahu apabila kamu gembira denganku,
dan apabila kamu marah padaku”. Aku bertanya: “Bagaimana kamu mengetahuinya?”
Baginda SAW menjawab: “Apabila kamu gembira, kamu akan berkata ‘Tidak, demi
Tuhan Muhammad’, dan apabila kamu marah, kamu akan berkata ‘Tidak, demi Tuhan
Ibrahim’. Lalu aku berkata: “Benar, wahai Rasulullah, aku tidak menyebut namamu
sewaktu aku marah padamu” (Sahih Muslim, 2439).
Kecerdasan Emosi
Mengikut pandangan Wicks dan
rakan-rakannya (Salem Press Encyclopedia of Health, 2020), kecerdasan
emosi adalah kebolehan untuk memantau perasaan dan emosi diri dan orang lain
dan menggunakan pengetahuan tersebut untuk membimbing tingkah laku seseorang.
Ianya juga bermakna kemampuan untuk mengenalpasti dan mengawal emosi dalam diri
dan orang lain.
Penulisan oleh Wendy (Everything
You Need to Know about Emotional Intelligence & Leadership, 2012)
memberikan maksud kecerdasan emosi sebagai kebolehan intelek untuk
mengenalpasti, memahami dan mengawal emosi. Intelek membawa maksud kemampuan
belajar dan menggunakan ilmu, kemahiran, dan mendapat kefahaman. Mereka yang
mempunyai kecerdasan emosi mampu menggunakan kemahiran ini untuk menguruskan
perhubungan dengan rakan sebaya, rakan sekerja, ahli keluarga, pemimpin dan
pengikut.
Carolyn Saarni (1999) mengusulkan 8
keterampilan yang menjadi dasar kepada kecerdasan emosi:
- Kesedaran tentang status
emosi, termasuk kemungkinan mengalami berbagai emosi.
- Kemampuan mengenali dan
memahami emosi orang lain menggunakan situasi dan isyarat yang terlihat.
- Kemampuan untuk
menggunakan kosa kata emosi dan istilah untuk mengungkapkannya.
- Kapasiti untuk empati dan
simpati dalam pengalaman emosi orang lain.
Simpati –
memahami emosi orang lain dan turut rasa sedih, kecewa, dan lain-lain nya.
Empati – lebih mendalam, menerima perspektif orang lain , di samping memahami
situasi yang dilalui.
- Kemampuan menyedari bahawa
emosi di dalam tidak selalu berhubungan dengan ekspresi luar. Tidak kongruen
(tidak harmoni) berlaku jika terdapat kelainan yang ketara antara identiti diri
pada umum, ideal dan diri sebenar.
- Kapasiti untuk
menyesuaikan diri dengan emosi yang menekan melalui regulasi diri.
- Kesedaran bahawa hubungan sejati
didefinisikan oleh bagaimana emosi dikomunikasikan dalam perhubungan, dan wujudkah
ruang dan kefahaman?
- Kapasiti untuk efikasi-diri
emosional: pandangan tentang diri bahwa ia mampu menerima pengalaman emosi.
Efikasi diri adalah satu kepercayaan diri pada kemampuan untuk mengurus dan
melaksanakan tindakan yang diperlukan ketika menghadapi sesuatu isu dan
kepercayaan untuk berjaya dalam tindakan tersebut (Albert Bandura). Elemen
utama pada efikasi-diri adalah kesedaran diri, konsep diri, harga diri dan
persepsi diri.
Kecerdasan Emosi dan Kepimpinan
Wendy Morton memetik satu tulisan tentang
pemimpin yang mempunyai kecerdasan emosi tinggi selalunya lebih berkesan
daripada pemimpin yang mempunyai kecerdasan emosi yang rendah; lebih mudah
menggerakkan aspek sosial dalam organisasi dan warga organisasi (Goleman, 1998).
Pandangan tradisi tentang pemimpin
dan pengikut yang perlu melepaskan emosi dan respon pada emosi ketika masuk
kerja tidak lagi menjadi norma dalam pekerjaan. Kepercayaan yang lebih
realistik ialah emosi mempunyai pengaruh positif ke atas suasana kerja, khusus
dalam aspek motivasi dan kepimpinan. Kecerdasan emosi yang tinggi dan
kepimpinan berkesan mempunyai jalinan yang kuat. Seseorang itu perlu membina
kemampuan dan kemahiran untuk mencapai tahap emosi yang cerdas.
Kepimpinan adalah berkenaan pembinaan
pengaruh dalam kalangan pengikut untuk mencapai matlamat yang sama. Dalam
suasana kerja, pemimpin berusaha memberikan motivasi kepada pengikut untuk
membina komitmen, dedikasi dan pencapaian kepada matlamat organisasi.
Kepimpinan adalah berkenaan perhubungan kemanusiaan. Membina dan mengekalkan
perhubungan yang positif dan kukuh adalah
konsep utama kecerdasan emosi. Pemimpin
semestinya menggunakan kuasa dengan rasa tanggungjawab, dan mempamerkan rasa
peka dan prihatin terhadap pengikut. Selain kecerdasan emosi, aspek membuat
keputusan, kebebasan, pemerkasaan, agresif dan pembinaan perhubungan dituntut
daripada suatu kepimpinan.
Bagaimana kecerdasan emosi sangat
penting kepada pemimpin yang berkuasa? Apabila memahami dan menguruskan emosi
dengan cerdas, seorang pemimpin itu mengamalkan etika dan prinsip yang bagus. Pertamanya,
pemimpin akan dapat menghalakan emosi kearah positif dan menghapuskan pengaruh emosi
yang toksik. Keduanya, pemimpin menggunakan emosi positif sebagai motivasi pengikut
untuk mencapai perolehan yang optimum. Jika pemimpin menafikan aspek emosi
pengikut, ia menghalang kemampuan pengikut untuk menjadi cemerlang dan berjaya
dalam pekerjaan. Dalam kata lain pemimpin yang cerdas emosi memberikan sinar
dan pemimpin yang tidak, membantutkan diri pengikut. Seterusnya Wendy
memberikan garis panduan bagaimana untuk menguruskan emosi sendiri dan orang
lain.
Cara menguruskan emosi sendiri
- Mengenal pasti emosi
negatif yang boleh mengesani pekerjaan – contohnya pergaduhan dengan pasangan
menghasilkan emosi negatif dan kenal pasti kesedaran ini sebelum berhadapan
dengan pengikut dan rakan sekerja.
- Meluahkan perasaan dengan
cara yang sesuai. Tidak wajar diluahkan kekecewaan kepada orang bawahan, tetapi
gunakan peluang ini untuk memberikan pengajaran dan membangunkan skil kepada
individu.
- Kawal lintasan yang tidak
wajar – contohnya, ruangkan masa untuk reflek dan kawal semula emosi ketika situasi menjadi
emosional.
- Tanamkan kesedaran kendiri
– contohnya ambil masa untuk mengenal pasti emosi yang terbit dengan tepat dan
fahami kenapa emosi itu yang dialami.
- Kekalkan penyesuaian diri
– contohnya perubahan situasi menuntut anda mengenal pasti apakah respon emosi yang sepatutnya wujud
terhadap perubahan itu.
Cara menguruskan emosi orang lain.
- Gunakan empati – contohnya
tunjukkan kepada orang bawahan,
pengikut, rakan sekerja dan penyelia bahawa
anda faham emosi mereka dan hargai perspektif mereka.
- Bina perhubungan yang
kukuh dan bermanfaat dengan orang bawahan, pengikut, rakan sekerja dan penyelia
berdasarkan kepercayaan, hormat dan
integriti.
- Kerja secara bersepadu dan
bekerjasama. Unjurkan partisipasi dan rasa hormat dalam perhubungan antara
individu dan dalam kumpulan.
- Bangunkan orang lain. Menjadi
mentor, jurulatih dan tunjuk ajar pengikut untuk membina kepimpinan masa hadapan
dalam organisasi.
- Membina resilien. Hadapi
keadaan stres dengan sifat toleransi dan kawal lintasan untuk menghalang emosi
negatif daripada menghapuskan rasa optimis dan yakin pada diri.
Kenali diri untuk menjadi hamba yang
tawadu’
Kenalilah diri sendiri, terutamanya
bagi mereka yang menjadi pemimpin kerana apabila seseorang itu mengenali dirinya
secara hakiki, dia akan mampu pula menyedari bahawa dirinya adalah seorang
hamba Allah SWT yang hina. Justeru itu, tiada sikap yang layak baginya kecuali
tawadu’. Apabila dia telah mengenali Tuhannya, dia akan insaf bahawa
kesombongan dan kebesaran itu tidak layak bagi dirinya kecuali Allah SWT (al
Ghazali, 2000).
Oleh sebab emosi sangat terkait rapat
dengan hati atau spiritual pada diri seseorang insan, maka peliharalah emosi
kerana faktor dalaman lebih berpengaruh dalam membentuk tingkah laku seseorang
yang menjadi punca permasalahan manusia. Hal ini berlaku kerana hati mempunyai
hubungan rapat dengan anggota badan. Tingkah laku yang baik atau buruk adalah
merupakan pilihan manusia kerana Allah SWT telah mengurniakan akal fikiran dan
kebebasan sepenuhnya kepada manusia (Surah Al-Insan 76:3).
Maksudnya: Sesungguhnya kami telah
menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan
salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan
taat) ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
Di tulis oleh,
Zarina binti Azhari
AJK Wanita IKRAM Pusat
Mei 2021