Kejelasan Tanggungjawab Asas Kesejahteraan Keluarga

Kejelasan Tanggungjawab Asas Kesejahteraan Keluarga

Laporan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Nasional ke-5 menyatakan bahawa perceraian berlaku adalah disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

Sebab Perceraian Lelaki Wanita
Tidak bersefahaman 56.2% 38%
Curang @ khianat kepada pasangan 11.8% 20.5%
Campurtangan keluarga pasangan 10% 6%
Pasangan tidak bertanggungjawab   15.2%
Tidak menerima poligami   2.8%
Kewangan   4.7%
Ketiadaan zuriat, perjudian, kesihatan, penderaan dan lain-lain 22% 12.8%

Kajian kadar perceraian ini meliputi semua bangsa di Malaysia dan hasil dapatannya adalah sangat membimbangkan. Keutuhan institusi keluarga adalah penting bagi semua kaum, kerana ianya dapat memberi sokongan dan tonggak ketahanan setiap individu dalam masyarakat.  Peningkatan bilangan perceraian setiap tahun terutama di kalangan pasangan muda, menunjukkan bahawa betapa rapuhnya sistem perkahwinan bagi membangunkan keluarga yang harmoni. Perancangan yang rapi untuk mengelakkan lebih banyak berlakunya perceraian dan membantu pasangan muda melalui fasa kritikal lima tahun pertama perkahwinan adalah amat penting.

Antara perkara yang perlu ditekankan dalam kursus perkahwinan adalah kesedaran akan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap pasangan suami dan isteri setelah mendirikan rumah tangga. Setiap pasangan perlu memahaminya dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Bekalan ilmu pengetahuan berkaitan tanggungjawab sebagai isteri atau suami, ibu atau bapa, dan anak atau menantu perlulah difahami dan dipraktikkan. Termasuklah mengambil iktibar pengalaman pahit dan manis alam berumah tangga yang dilalui oleh generasi ibu bapa mereka.

Dalam melaksanakan tanggungjawab rumah tangga, sebahagian kaum lelaki kurang menghayati makna sebenar istilah “qauwaamun” seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nisa ayat 34.  Mereka beranggapan bahawa lelaki adalah pemimpin yang memerintah dan berkuasa ke atas wanita secara mutlak. Tetapi sebaliknya, “qauwaamun” bermaksud pemimpin,  pemelihara dan pelindung kepada wanita. Islam telah memerintahkan supaya wanita dimuliakan baik sebagai ibu, isteri atau pun anak perempuan. Ini bermaksud lelaki bertanggunjawab untuk memastikan kebahagiaan kepada ahli keluarganya dan tidak mengasari serta tidak mengabaikan tuntutan dan hak mereka.

Sebaliknya, wanita bertanggungjawab menyokong dan membantu suami dalam membangunkan keluarga. Wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata menjaga pengurusan rumah tangga yang baik, menjaga keperluan suami dan memelihara kesihatan keluarga, bahkan untuk mendidik, mengasuh dan membimbing anak-anak. Bagi wanita yang bekerja, perlulah mengimbangi antara kerjaya dan keluarga kerana pelbagai peranan ini boleh menggugat kestabilan dan kesejahteraan seorang wanita.

Persefahaman dengan amalan musyawarah antara suami isteri tentang kaedah menguruskan rumah tangga dan pendidikan anak-anak adalah perlu. Ini bagi mengurangkan berlakunya perselisihan pendapat tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam pengurusan rumah tangga. Oleh itu, kejelasan akan tanggungjawab serta peranan pasangan suami isteri dalam sesebuah keluarga amatlah  penting bagi mengelakkan berlakunya perceraian.

Dihasilkan oleh,

Zarina Bt Azhari

Unit Keluarga

Wanita, Pertubuhan IKRAM Malaysia

Bolehkah isteri mohon cerai?

Bolehkah isteri mohon cerai?

Semua pernikahan tentulah mengharapkan bahagia bersama hingga ke akhir hayat. Namun kadangkala harapan itu tidak kesampaian, di mana bahtera itu boleh karam di tengah lautan.

Dalam keadaan rumah tangga bermasalah, seorang wanita, walaupun merasa sangat lemah tanpa lelaki yang bernama suami di sisi, akan terfikir “bolehkah saya mohon dilepaskan oleh suami?”. Dalam masa yang sama ia tertanya-tanya..“benarkah jika saya memohon cerai maka haram bagi saya bau syurga?”

Seorang isteri harus (boleh) meminta cerai dari suaminya dengan sebab atau alasan yang jelas dan dibenarkan syara’.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan seorang sahabiah yang takut kufur karena ia tidak menyukai suaminya meski lelaki itu berakhlak baik tetapi kerana tidak menyukai parasnya.
Maksud hadis : “Dari Ibnu ‘Abbas, bahwasanya isteri Tsâbit bin Qais mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan berkata: “Wahai, Rasulullah. Aku tidak mencela Tsâbit bin Qais pada akhlak dan agamanya, namun aku takut berbuat kufur dalam Islam,” maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apakah engkau mau mengembalikan kepadanya kebunnya?” Ia menjawab,”Ya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ,” lalu beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Ambillah kebunnya, dan ceraikanlah ia”. [HR al-Bukhari].

Jelas dalam hadis ini Nabi SAW membenarkan kehendak sahabiah itu dan mereka pun bercerai, dengan alasan seperti di atas.

Namun di sana ada syarat yang membolehkan wanita mohon cerai. Jika ada sebab-sebab berikut, maka harus memohon cerai. Alasan-alasan tersebut di antaranya :
1. Suami membenci isteri, nyata kebencian itu, tapi suami tidak menceraikannya.
2. Suami menganiaya isteri samada secara mental seperti selalu mencaci maki, bercakap dengan bahasa kasar, atau menyakiti fizikalnya.
3. Suami tidak menjalankan kewajiban agama seperti tidak solat, tidak puasa dan seumpamanya. Atau melakukan maksiat seperti berzina, homoseks, hisap dadah dan sebagainya.
4. Suami tidak membiayai nafkah isteri seperti tempat tinggal yang sesuai, makan minum dan pakaian dan lain-lain keperluan isteri, samada suami itu memiliki harta atau tidak, isteri berhak mohon cerai.
5. Suami tidak memenuhi keperluan biologi (seks) isteri, samada suami enggan atau tidak mampu kerana cacat atau sakit.
6. Suami hilang atau tidak jelas khabar dan keberadaannya dalam tempoh yang lama.
7. Isteri tidak menyukai suami dan takut berbuat kufur seperti akan berlaku ingkar kepada suami atau tidak boleh memenuhi kewajipannya sebagai isteri dengan baik.

Mohon Cerai Tanpa Alasan

Wanita yang menuntut cerai dari suaminya tanpa alasan syarie (selain sebab di atas), maka haramlah baginya bau syurga, sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW berikut:
Maksudnya: “Siapa saja wanita yang meminta (menuntut) cerai kepada suaminya tanpa alasan yang dibenarkan maka diharamkan bau surga atas wanita tersebut.” (HR. Abu Dawud, Al-Tirmidzi, dan Ibnu Majah. Disahihkan Syaikh Al-Albani dalam Shahih Abi Dawud).
Dalam hadis lain Rasulullah SAW mencela isteri yang demikian dengan menggolongkan mereka dalam golongan munafiq. Maksud hadis : “Wanita-wanita yang meminta khulu’ dan cerai adalah wanita munafiq. (Riwayat Imam Ahmad)

Dapat disimpulkan bahwa hukum wanita menuntut cerai dari suaminya adalah boleh atau harus asalkan isteri itu memiliki alasan yang jelas. Meskipun demikian, ada baiknya jika isteri yang mengalami masalah dalam rumah tangga bersabar dan tetap menerima dan mendoakan suaminya agar rumah tangganya tetap terjaga dengan baik. Ada baiknya juga beliau mencari ikhtiar yang lain sebelum membuat tuntutan cerai.

Adapun cara perpisahan itu ada 3 iaitu mohon talaq dari suami, mohon fasakh di mahkamah atau mohon khulu’ dari suaminya atau dari mahkamah.
Semoga bermanfaat.

Rujukan :
Fatwa Masakini, Dr. Yusuf al Qaradhawi, jilid 7, hal.64.
Fatwa-fatwa Komtemporari, Syeikh Ali Jum’ah, Jilid 1, hal. 489.
Fiqh Islam, H. Sulaiman Rasyid, hal. 380.

“Penulis Posting Menghina Wanita Mesti Dihukum”

“Penulis Posting Menghina Wanita Mesti Dihukum”

Kenyataan Media

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

“Penulis Posting Menghina Wanita Mesti Dihukum”

1.         Hasil kajian Indeks Kesopanan Digital (DCI) yang dijalankan oleh Microsoft, pada tahun 2017 di 23 negara termasuk Malaysia, mendapati bahawa hampir separuh pengguna media sosial di negara ini berdepan dengan pelbagai risiko berbeza termasuk menerima mesej berunsur lucah dan gangguan seksual. Gangguan seksual atau serangan seksual antara lain bermaksud buli yang bersifat seksual dan tidak disenangi oleh mangsa.

2.         Satu posting di media sosial yang mengandungi kata-kata yang menghinakan dan celupar jelas menunjukkan ianya satu gangguan seksual ditujukan kepada YB Nurul Izzah Anwar. Perbuatan tidak bermaruah tersebut menggunakan bahasa yang sangat melampaui batas akhlak insan menyentuh secara terus fizikal seorang wanita dan sangat mengaibkan maruah serta merendahkan martabat seorang wanita yang seharusnya dihormati.

3.         Wanita IKRAM ingin melahirkan kekesalan terhadap kata-kata nista tersebut yang ditujukan kepada seorang wanita yang juga bergelar ibu sedangkan Islam memberikan posisi yang istimewa terhadap seorang ibu.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W:

“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” HR Bukhari.

Penghormatan terhadap ibu yang disarankan dalam Islam bukan sahaja merupakan tanggungjawab seorang anak malahan meliputi seluruh masyarakat. Ini adalah kerana seorang wanita yang bergelar ibu memberikan sumbangan yang besar dan langsung dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara melalui didikan mereka terhadap anak-anak mereka. 

4.         Walau apa pun motif asal dan siapa sebenarnya penulis kepada penulisan tersebut, ia sebenarnya menunjukkan kedangkalan pemikiran dan moral seorang yang tidak berakhlak dan tidak bertamadun, serta satu usaha politik yang kotor. Sikap buruk dan jijik yang ditunjukkan oleh seorang rakyat Malaysia sebegini tidak boleh diterima oleh mana-mana ahli masyarakat yang berakal waras.

5.         Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan tegas menyarankan perkara berikut:

a.         Menuntut permohonan maaf secara terbuka oleh penulis.

b.         Menyeru pengguna media sosial agar bersifat prihatin dan segera mengecam mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan tidak bermoral sebegini.

c.          Menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membawa penulis ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.

d.         Menyeru pihak kerajaan untuk menyegerakan pembentangan Akta Gangguan Seksual serta meluluskannya bagi melindungi masyarakat daripada terus diasak dengan perbuatan terkutuk ini dan seterusnya pelaku dapat dihukumi setimpalnya.  

Ustazah Hajjah Sallawahiu Mohd Salleh

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

20 Jun 2020 bersamaan 28 Syawal 1441 H