Kenyataan Media
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
“Penulis Posting Menghina Wanita Mesti Dihukum”
1. Hasil kajian Indeks Kesopanan Digital (DCI) yang dijalankan oleh Microsoft, pada tahun 2017 di 23 negara termasuk Malaysia, mendapati bahawa hampir separuh pengguna media sosial di negara ini berdepan dengan pelbagai risiko berbeza termasuk menerima mesej berunsur lucah dan gangguan seksual. Gangguan seksual atau serangan seksual antara lain bermaksud buli yang bersifat seksual dan tidak disenangi oleh mangsa.
2. Satu posting di media sosial yang mengandungi kata-kata yang menghinakan dan celupar jelas menunjukkan ianya satu gangguan seksual ditujukan kepada YB Nurul Izzah Anwar. Perbuatan tidak bermaruah tersebut menggunakan bahasa yang sangat melampaui batas akhlak insan menyentuh secara terus fizikal seorang wanita dan sangat mengaibkan maruah serta merendahkan martabat seorang wanita yang seharusnya dihormati.
3. Wanita IKRAM ingin melahirkan kekesalan terhadap kata-kata nista tersebut yang ditujukan kepada seorang wanita yang juga bergelar ibu sedangkan Islam memberikan posisi yang istimewa terhadap seorang ibu.
Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W:
“Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?’’. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab: “Ibu kamu (adalah manusia yang paling berhak untuk kamu berbuat baik kepadanya), kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” HR Bukhari.
Penghormatan terhadap ibu yang disarankan dalam Islam bukan sahaja merupakan tanggungjawab seorang anak malahan meliputi seluruh masyarakat. Ini adalah kerana seorang wanita yang bergelar ibu memberikan sumbangan yang besar dan langsung dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara melalui didikan mereka terhadap anak-anak mereka.
4. Walau apa pun motif asal dan siapa sebenarnya penulis kepada penulisan tersebut, ia sebenarnya menunjukkan kedangkalan pemikiran dan moral seorang yang tidak berakhlak dan tidak bertamadun, serta satu usaha politik yang kotor. Sikap buruk dan jijik yang ditunjukkan oleh seorang rakyat Malaysia sebegini tidak boleh diterima oleh mana-mana ahli masyarakat yang berakal waras.
5. Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan tegas menyarankan perkara berikut:
a. Menuntut permohonan maaf secara terbuka oleh penulis.
b. Menyeru pengguna media sosial agar bersifat prihatin dan segera mengecam mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan tidak bermoral sebegini.
c. Menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membawa penulis ke muka pengadilan dan diberikan hukuman yang setimpal.
d. Menyeru pihak kerajaan untuk menyegerakan pembentangan Akta Gangguan Seksual serta meluluskannya bagi melindungi masyarakat daripada terus diasak dengan perbuatan terkutuk ini dan seterusnya pelaku dapat dihukumi setimpalnya.
Ustazah Hajjah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia
20 Jun 2020 bersamaan 28 Syawal 1441 H