Ketika rumah tidak lagi selamat untuk wanita

Ketika rumah tidak lagi selamat untuk wanita

Ruang yang selama ini disangka selamat, rupa-rupanya adalah ruang yang paling bahaya untuk wanita. Pada ketika semua berharap rumah adalah pertahanan terakhir wanita, ia menjadi medan pembantaian nombor satu.

Kes keganasan terhadap wanita di dalam rumah semakin meningkat sejak pandemik covid 19. Langkah membendung penyebaran virus dengan mewajibkan tinggal di rumah, membawa bencana baru.

Statistik menunjukkan penderaan rumah tangga meningkat di semua negara yang ‘lock down’, dari 10 peratus sehingga 33 peratus. Di seluruh dunia termasuk Malaysia. Angka peratusan semakin meningkat sekiranya di kota-kota besar yang kebanyakan rumah mereka sudah sedia sempit, seperti rumah flat.

Untuk yang mempunyai suami ataupun ayah yang penyayang, ‘lock down’ adalah satu kebahagian. Namun untuk yang punyai suami yang sudah dibuang kerja, yang sudah tidak tahu daripada mana mendapatkan wang, tekanan akan menyebabkan wanita menjadi pelepas geram.

Apatah lagi sekiranya sebelum ini memang lelaki yang tinggal di rumah itu seorang yang panas baran, pemabuk, dan tidak punya kasih sayang. Kesannya berganda-ganda.

Wanita perlu dilindungi daripada keganasan ini, tetapi bagaimana? Bagaimana mahu melindungi sesuatu yang pada mata ‘sudah terlindungi’, tinggal di rumah bersama keluarga?

Berani membuat laporan kepada pihak berkuasa adalah langkah pertama. Memang seeloknya ia bermula daripada diri wanita itu sendiri. Mereka perlu berani berkata tidak kepada kekerasan. Sekiranya tidak, bukan sahaja mereka yang akan menjadi mangsa, malah anak-anak akan turut terlibat.

Namun, tidak semua punya keberanian itu. Di sinilah peranan jiran-jiran yang baik hati. Sekiranya nampak apa sahaja yang mencurigakan, jangan terus bersangka baik. Simpan sedikit rasa curiga. Pepatah jaga tepi kain sendiri tidak sesuai dalam keadaan begini, keadaan di mana kita ragu-ragu dengan keselamatan jiran kita. Ia hanya sesuai untuk keadaan sekiranya kita berasa cemburu dengan kebahagian dia.

Tindakan awal yang pantas juga perlu dilakukan. Datang memberikan nasihat kepada ‘lelaki ganas’ bukan lagi satu pilihan utama. Wanita ini tadi perlu dipindahkan segera sama ada ke pangkuan keluarga, ataupun pusat perlindungan wanita yang memang sudah sedia kurang. Ia perlu ditambah dan diperbaiki.

Untuk semua itu, peranan kerajaan dan masyarakat sangat penting. Kementerian terbabit perlu meningkatkan kempen ke akar umbi. Bukan sekadar poster di media sosial dan iklan di televisyen. Agak ironi iklan keganasan rumah tangga tertayang ketika wanita sedang ‘dibantai’ oleh yang ‘tersayang’.

Statistik sedia ada sudah menunjukkan, keganasan sangat banyak berlaku di ruang-ruang rumah yang sempit. Para pegawai perlu turun padang. Bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa kawasan. Beri mereka latihan dan pelan tindakan susulan. Jadi semua pihak tahu apa peranan mereka.

Ini baru tentang keganasan di dalam rumah, dan belum menyentuh tentang keganasan lain terhadap wanita. Tetapi inilah yang sangat kritikal dalam keadaan semasa.

Keganasan terhadap wanita tidak akan mampu dihapuskan, sekiranya hanya berharap ayah ataupun suami untuk melindungi mereka. Tidak semua wanita beruntung. Ia hanya boleh dihapuskan sekiranya, masyarakat sekitar berkongsi tanggungjawab itu sekali. Ini tugas kita semua, melindungi wanita yang tidak berdaya.

Mohamad Bahruddin bin Mohamad Bekri

Ahli Penawan (Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasioanal)

Program: Webinar Wanita Disayangi Bukan Dikasari

Program: Webinar Wanita Disayangi Bukan Dikasari

Wanita IKRAM Malaysia membawakan sebuah Webinar dalam usaha mengajak setiap individu untuk menghentikan keganasan terhadap wanita.

Webinar yang bertajuk ‘Wanita Disayangi Bukan Dikasari’ telah diadakan pada 5 Disember 2020 dengan barisan panelis bersama tajuk-tajuk seperti berikut:

Akta Berkaitan Isu Keselamatan Wanita
Oleh Dr Raja Kamariah Binti Raja Mohd Khalid (Pengarah Bahagian Pembangunan Psikologi JPW, KPWKM)

Peranan NGO Dalam Isu Keselamatan Wanita
Oleh En. Yu Ren Chung (Pengarah Advokasi WAO)

Nasihat Kepada Si Pelaku
Oleh YAA Dato’ Dr. Mohd Naim Mokhtar (Ketua Pengarah JKSM)

Rumah Perlindungan – Tempat Berteduh Sementara
Oleh Puan Azlina @Roszy Mohd Ghaffar (Pengerusi TERATAI)

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Ketua Wanita IKRAM Malaysia iaitu Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh.

Wanita IKRAM Malaysia inigin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan panelis dan juga kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

https://fb.watch/2qL_H1oF9c/

Hentikan Keganasan Terhadap Wanita

Hentikan Keganasan Terhadap Wanita

Kenyataan media sempena Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita

25 November 2020

Hentikan Keganasan Terhadap Wanita

Semenjak tahun 1999, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menetapkan tarikh 25 November sebagai Hari Antarabangsa Bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita. Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan adalah salah satu pelanggaran hak asasi manusia yang paling meluas, berterusan dan dahsyat di dunia kita hari ini serta masih banyak yang tidak dilaporkan disebabkan oleh stigma dan rasa malu yang berkaitan dengannya. Kelompok wanita yang kerap menjadi mangsa keganasan adalah wanita daripada kumpulan minoriti; orang asal, pendatang dan tebusan; wanita yang hidup dalam kemiskinan dan terasing dari pembangunan; wanita dalam tahanan, wanita cacat dan wanita berumur serta kanak-kanak perempuan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 57,519 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan sejak 2010 hingga Mac 2017. Terdapat sebanyak 23,212 kes atau 40 peratus daripadanya adalah kes keganasan rumah tangga yang melibatkan wanita sebagai mangsa. Data daripada Jabatan Statistik Malaysia pula menunjukkan bahawa kes keganasan rumah tangga adalah sebanyak 69,978 kes dari tahun 2010 sehingga Mei 2018. Manakala bagi kes penderaan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk tempoh 2010 hingga 2016 dalah sebanyak 28,365 kes. Statistik terkini PDRM iaitu pada Januari hingga November tahun lalu mempamerkan 4,963 kes melibatkan penderaan seksual terhadap wanita.

Kemunculan pandemik Covid-19 telah banyak mengesani cara hidup semua lapisan masyarakat dunia termasuk Malaysia. Antara kesan yang ketara adalah terdapat peningkatan berlakunya keganasan terhadap wanita yang semakin membimbangkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 lalu. Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Women’s Aid Organisation (WAO) telah melaporkan bahawa pertanyaan mengenai keganasan rumah tangga yang ditujukan kepada talian perkhidmatan mereka telah meningkat lebih daripada tiga kali ganda pada bulan Mei berbanding pada tahap awal PKP dijalankan.

Wanita IKRAM ingin menegaskan bahawa:

• Keganasan terhadap wanita boleh berlaku dalam rumah tangga mahupun di tempat awam yang meliputi bukan hanya keganasan yang berlaku dalam bentuk fizikal malah juga keganasan yang berbentuk seksual, psikologi dan emosi. Jenis-jenis keganasan yang berlaku merangkumi penderaan terhadap ahli keluarga yang dilakukan oleh pasangan sendiri atau ahli keluarga terdekat, rogol, gangguan jalanan, stalking (mengendap), gangguan siber dan pemerdagangan manusia.

• Wanita dan kanak-kanak sebagai golongan yang lemah perlu dilindungi dan diselamatkan sekiranya didapati keselamatan mereka terganggu

.• Pihak berkuasa seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mahkamah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) perlu terus berperanan secara bersinergi dan bersepadu dalam membanteras isu ini.

• Segala inisiatif yang telah diusahakan oleh pihak KPWKM perlu diperkasakan untuk menunjukkan keseriusan pihak kerajaan dalam isu menangani keganasan terhadap wanita. Akta gangguan seksual yang telah digubal oleh pihak kementerian bersama agensi kerajaan yang lain dan juga NGO perlu diperhebatkan usaha untuk segera diluluskan. Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga yang telah dimulakan perlu dilonjakkan peranannya bagi memastikan langkah-langkah intervensi dapat dilaksanakan.

• Infrastruktur dan sokongan dalam menangani isu ini perlu ditingkatkan seperti menambah rumah perlindungan sementara, memberikan bantuan kewangan kepada pemandiri (mangsa) secara terus di samping memperbanyakkan peruntukan kewangan kepada perkhidmatan sokongan bagi kes keganasan rumah tangga dan jenayah terhadap wanita.

• Kerajaan serta agensinya bertanggungjawab menyediakan persekitaran selamat bagi membolehkan setiap ahli masyarakat hidup dan berkembang dengan sihat serta sejahtera.

Wanita IKRAM mengajak semua warga Malaysia untuk bersama-sama:

1. Memberi kesedaran serta pendidikan tentang isu ini kepada ahli keluarga dan kenalan. Tiga isu utama yang menjadi kerisauan kepada wanita ialah gangguan seksual, eksploitasi wanita dan kanak-kanak perempuan di media serta keganasan rumahtangga. Walaupun kebanyakan kita merasakan isu yang berlaku adalah berkaitan masalah keluarga tersebut, namun apabila berlaku keganasan, ia sudah menjadi jenayah yang perlu diambil peduli oleh jiran tetangga mahupun masyarakat sekeliling.

2. Membantu pemandiri dengan mengubah persepsi wanita yang merasakan bahawa dirinya sebagai golongan lemah dan membiarkan diri terus menjadi mangsa keganasan serta perlakuan jenayah sehingga membawa kemudaratan kepada bukan sahaja diri mereka malah orang-orang di bawah jagaan mereka.

3. Merujuk serta melaporkan kepada pihak berkuasa jika berlakunya isu ini di kalangan ahli keluarga atau kenalan.

4. Menzahirkan sokongan terhadap usaha-usaha NGO seperti IKRAM dengan menyertai kempen mengenai keselamatan wanita. Sila lawati laman sesawang Wanita IKRAM dan facebook Wanita IKRAM Malaysia.

Bersama kita “Hentikan Keganasan Terhadap Wanita”

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Wanita IKRAM Sabah bantu petugas barisan hadapan

Wanita IKRAM Sabah bantu petugas barisan hadapan

Wanita Pertubuhan IKRAM Negeri Sabah telah menyumbang peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang telah disampaikan oleh YB Tuan Ir. Shahelmy Yahya, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dalam satu majlis di Wisma Wanita, Kota Kinabalu, Sabah.

Turut hadir, dalam majlis tersebut adalah Tuan Lee Chun Khiong, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Dr. Sim Jyh Ye, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perubatan, Datuk Noni Said, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah, Puan Rusnah Kuyung, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah dan Puan Hajah Siti Zainab Binti Bakar, Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Negeri Sabah.

Semua sumbangan PPE ini akan diserahkan ke hospital sekitar Negeri Sabah. Semoga sumbangan ini sedikit sebanyak membantu melancarkan tugas petugas barisan hadapan melaksanakan tugas yang berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19