Mahligai Cinta Perdana Raikan 34 Pasangan Pengantin

Mahligai Cinta Perdana Raikan 34 Pasangan Pengantin

Kepimpinan Wanita IKRAM telah menghadiri Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana yang diadakan pada 30 November 2024, yang telah berlangsung meriah dengan meraikan seramai 34 pasangan pengantin di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati.

mahligai cinta perdana wanita ikram lppkn Datuk Seri Nancy Shukri

Majlis anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri.

mahligai cinta perdana wanita ikram hajah nancy shukri ustazah sallawahiu

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dalam ucapan beliau, YB Dato’ Sri Hajah Nancy menegaskan bahawa penganjuran majlis ini bertujuan memartabatkan institusi perkahwinan sekaligus menggalakkan lebih ramai individu untuk mendirikan rumah tangga.

Beliau turut mengulas cabaran yang dihadapi keluarga di Malaysia, seperti kesukaran mengimbangkan masa bersama keluarga, kestabilan kewangan, kos sara hidup yang meningkat, dan penurunan nilai-nilai murni dalam institusi keluarga.

Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penurunan bilangan perkahwinan sebanyak 12.5%, iaitu daripada 215,022 pada tahun 2022 kepada 188,100 pada tahun 2023. Masalah kewangan, kekurangan calon yang sesuai, dan fokus kepada kerjaya dikenal pasti sebagai punca utama golongan muda menangguhkan perkahwinan atau memilih untuk tidak berkahwin.

Sebagai langkah proaktif, KPWKM melalui LPPKN telah memperkenalkan Kursus Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0. Kursus ini, yang telah diadakan secara dalam talian dan fizikal pada 16 dan 23 November yang lalu, bertujuan memberi persediaan kepada pasangan untuk memahami peranan masing-masing, mengurus konflik keluarga dengan bijaksana, serta mengukuhkan institusi perkahwinan bagi mengelakkan risiko perceraian.

mahligai cinta perdana wanita ikram hajah nancy shukri ustazah sallawahiu pasangan

Turut hadir pada Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana adalah Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, Puan Juwairiya Zulkifli, Timb. Pengerusi LPPKN, Hj Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, Hj Badlishah Sham Baharin, Presiden IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, Ketua Wanita IKRAM, Dr Ani Ahmad, Yang Dipertua MPAJ, Puan Rosmonaliza Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN dan pegawai-pegawai kanan kementerian serta agensi.

Wanita IKRAM mendoakan pasangan yang diraikan dapat merasai detik perkahwinan yang indah dan majlis ini dapat mengukuhkan institusi perkahwinan di Malaysia.

Sumber foto: LPPKN

Akhlak Mulia Tonggak Keluarga Bahagia

Akhlak Mulia Tonggak Keluarga Bahagia

Pentingnya Akhlak Yang Mulia

Salah satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam hidup di dunia ini ialah nikmat perkahwinan dan hidup dikelilingi oleh keluarga yang baik. Namun, untuk memastikan sebuah perkahwinan itu sejahtera, ianya memerlukan komitmen yang tinggi dan kerjasama setiap pihak terutama pasangan itu sendiri. Tanpa komitmen yang tinggi dari kedua-dua suami dan isteri, rumah tangga mudah bergolak dan berakhir dengan perpisahan.  Antara faktor penting untuk memastikan rumah tangga kekal utuh dan menjadi sumber kebahagiaan suami dan isteri adalah akhlak yang mulia.

Dalam sebuah hadis yang sangat masyhur Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”1 Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan akhlak sebagai budi pekerti, kelakuan atau tabiat.2 Imam Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu.3 Dari definisi di atas, bolehlah disimpulkan bahawa yang dimaksudkan dengan akhlak mulia ialah segala perbuatan, tutur kata, mimik muka dan bahasa badan yang terpuji. Akhlak yang mulia lahir dari hati yang suci lagi bersih dan ianya tidak mungkin lahir dari hati yang kotor lagi berkarat.4 Kepentingan akhlak mulia dalam sesebuah perkahwinan boleh dilihat daripada hadis berikut:

Apabila masuk meminang oleh seorang lelaki yang kamu suka agamanya dan akhlaknya maka hendaklah kamu kahwinkan akan dia. Jika tidak maka berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”5

Hadis di atas menyebut dua perkara penting yang menjadi pertimbangan untuk menerima pinangan iaitu agama dan akhlak yang mulia. Ini menunjukkan betapa pentingnya akhlak seseorang dalam kehidupan berumah tangga dan dalam mencapai matlamat utama berumah tangga iaitu kebahagiaan.

Akhlak mulia sebagai tonggak kebahagiaan sebuah rumah tangga.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyenaraikan faktor akhlak yang buruk sebagai salah satu faktor penting berlakunya perceraian.6 Sebab itu persoalan akhlak tidak boleh dipandang ringan dalam memastikan penerusan dan kebahagiaan sesebuah rumah tangga. 

Setiap pasangan mesti bermujahadah untuk mengamalkan sebanyak mungkin sifat-sifat terpuji (mahmudah) dan meninggalkan segala sifat-sifat yang tercela (mazmumah) dalam diri masing-masing. Sekiranya akhlak mazmumah dibiarkan, lama kelamaan ia boleh mencetuskan konflik di dalam rumah tangga dan sekiranya konflik ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada perkara yang lebih buruk. Contoh-contoh akhlak yang tidak baik yang mesti ditinggalkan adalah seperti berikut:

  1. Ego. Biasanya orang yang ego merasakan bahawa dia sahaja yang betul tanpa mempedulikan perasaan orang lain.  Ini adalah salah satu dari sifat yang dikeji dan menggambarkan sifat syaitan yang sentiasa merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Dalam surah al-A’raf, ayat 12 Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?” (Iblis) menjawab, “Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah”. Orang yang ego juga sukar ditegur. Ini sangat menyulitkan dalam realiti rumah tangga kerana banyak hal yang memerlukan perbincangan antara suami dan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Bayangkan keadaan di mana seorang isteri menegur suaminya dengan baik untuk tidak memanjakan anak mereka dengan membelikan apa sahaja yang diminta oleh anak. Walaupun teguran itu ada asasnya, namun kerana egonya yang tinggi, suami tidak mengendahkan teguran isteri. Dalam senario yang lebih buruk, malah suami memarahi isterinya kerana merasakan apa yang dia lakukan tidak salah. Situasi sebegini sudah semestinya tidak sihat dalam sesebuah rumah tangga.
  2. Kurang sabar dan panas baran. Allah SWT sangat memuji orang-orang yang menahan marahnya. Allah SWT berfirman: “… dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”7 Banyak terjadi dalam masyarakat dimana suami bersifat panas baran iaitu terlalu cepat marah walaupun berlaku kesalahan yang kecil dalam rumah tangga. Adalah disarankan suami yang sebegini memperbaiki diri dengan memperbanyakkan istighfar, mengikuti kursus pengurusan marah (anger management), berjumpa dengan doktor pakar psikiatri ataupun pakar perubatan Islam jika ada kemungkinan masalah panas baran itu disebabkan oleh gangguan makhluk halus. Ini penting kerana jika masalah ini tidak dirawat, isteri atau anak-anak mungkin akan mengalami kecederaan fizikal atau terjejas emosi akibat sikap panas baran suami yang bertindak agresif apabila marah. Perceraian juga mungkin boleh dielakkan jika rawatan awal dilakukan dan tidak memandang perkara ini sebagai sesuatu yang remeh.
  3. Mengikut hawa nafsu. Allah mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan hawa nafsu dan tidak menurut kehendaknya tanpa memikirkan akibat dari perbuatan tersebut. Allah SWT berfirman: “Adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya”.8 Banyak perkara buruk boleh terjadi jika mengikut hawa nafsu dalam kehidupan berumah tangga. Contoh yang sangat relevan dengan dunia hari ini ialah ketagihan media sosial dan permainan internet. Akibat mengikut hawa nafsu, ada pasangan yang meluangkan masa berjam-jam untuk melayari internet sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Tabiat makan dan minum yang berlebih-lebihan juga boleh membawa impak kepada kesihatan yang sudah tentu memberikan kesan kepada kebahagiaan sesebuah keluarga.
  4. Mementingkan diri. Sifat ini juga boleh membawa pelbagai masalah dalam rumah tangga. Orang yang mementingkan diri biasanya jarang memikirkan nasib atau keadaan orang lain. Asalkan kehendaknya dipenuhi, dia tidak akan memikirkan keadaan orang lain walaupun mungkin kehendaknya dipenuhi dengan menyusahkan orang lain.
  5. Dendam. Sifat dendam atau sukar memaafkan akan menyulitkan perhubungan kerana pasangan yang dikahwini adalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesalahan. Allah SWT berfirman: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”9 Rasulullah SAW juga adalah seorang yang sangat pemaaf. Sifat suka memaafkan boleh menghindari seseorang dari penyakit kerana menanggung rasa marah dan benci kepada orang lain mendatangkan beban yang berat bukan sahaja kepada mental tetapi juga tubuh badan.10 Pada masa yang sama amalan suka memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan adalah juga akhlak yang terpuji.
  6. Kedekut. Kita sangat disarankan untuk selalu berlindung diri dari sifat bakhil dan berlindung dari sifat ini adalah salah satu zikir yang diulang-ulang dalam bacaan Al Ma’thurat iaitu “aku berlindung dariMu dari sifat penakut dan bakhil”. Rumah tangga yang diselubungi oleh sifat bakhil akan memberikan rasa sempit kepada penghuninya. Sebaliknya, orang yang pemurah akan dilapangkan rezekinya oleh Allah SWT dalam pelbagai sudut kehidupan termasuklah kesihatan, wang ringgit dan kasih sayang.
  7. Malas. Sifat malas juga adalah sifat yang selalu kita pohon daripada Allah SWT untuk dihindari daripada diri kita semasa membaca Al Ma’thurat. Sifat ini perlu dikikis demi kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Bayangkan perasaan seorang isteri jika setiap hari dia terpaksa menyidai tuala suaminya yang malas untuk melakukannya sendiri. Begitu juga perlakuan seorang isteri yang malas untuk membersihkan dirinya atau mengemas rumah, pasti mendatangkan kekecewaan kepada suaminya. Jika direnungkan secara mendalam, sebenarnya orang yang mempunyai sifat malas berada dalam kerugian. Kita hidup di dunia untuk melakukan sebanyak mungkin amal soleh sebagai persediaan berjumpa dengan Allah SWT di akhirat kelak namun akan dihalang oleh sifat malas. Sedangkan orang yang berjihad melawan sifat malas dan terus bersemangat melakukan amal soleh akan mendapat ganjaran yang sebaiknya daripada Allah SWT serta disenangi oleh manusia. Akhlak yang baik misalnya sifat ringan tulang suami yang suka menolong membersihkan rumah, pastinya ditulis oleh malaikat sebagai amal soleh dan pada masa yang sama memberikan kesenangan kepada isteri yang membalas dengan doa yang berterusan untuk suaminya.
  8. Suka menyalahkan orang lain. Sifat suka menyalahkan orang lain membuatkan seseorang itu tidak akan belajar dari kesalahan dirinya sendiri dan kebarangkalian untuk melakukan kesilapan yang sama amat besar. Ini adalah sikap syaitan sebagaimana Allah SWT menceritakan dalam surah al-A’raf ayat 16: “Karena Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus.” Ini berlainan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Adam dan Hawa yang mengaku kesalahan mereka kerana memakan buah yang terlarang dan tidak menyalahkan syaitan yang telah menyesatkan mereka. Allah SWT menggambarkan perkara ini dalam al-Quran: “Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”11
  9. Mulut celupar. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaknya dia berkata baik atau diam.”12 Sikap suka mengeluarkan perkataan tanpa memikirkan akibat yang boleh menyakitkan hati orang lain sebaiknya dihindarkan.  Begitu juga dalam alam rumah tangga, berapa ramai suami atau isteri yang tersinggung dengan perkataan yang dikeluarkan oleh pasangannya. Jika perkara ini berterusan berlaku, semestinya ia memberi impak yang negatif kepada kedua-dua suami dan isteri.
  10. Merendahkan atau memperkecilkan pasangan. Merendahkan pasangan apatah lagi di hadapan orang lain adalah satu perbuatan yang sangat tidak wajar. Ia akan melahirkan rasa kurang dihormati dan kurang dihargai kepada pasangan yang diperkecilkan. Semua orang mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Sewajarnya pasangan memberikan motivasi dan keyakinan kepada pasangannya dan bukan sebaliknya. Allah SWT melarang perbuatan ini sebagaimana disebutkan dalam surah al-Hujurat: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka”.13
  11. Putus Asa. Suami dan isteri mesti mengambil contoh Nabi Zakaria yang tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Nabi Zakaria tidak pernah berhenti berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat kepadanya. “Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.”14 Suami dan isteri mestilah sentiasa optimis mengharapkan apa-apa sahaja yang dihajati akan terkabul dan meskipun tidak diperkenankan oleh Allah SWT di dunia ini, pasti yang lebih baik akan diberikanNya di akhirat nanti.
  12. Gurauan yang berlebihan. Gurauan yang melampau juga termasuk dalam akhlak yang buruk kerana orang yang bergurau mungkin merasakan ianya sekadar bersenda tetapi sebenarnya ia mengguris hati orang yang mendengar.  Seorang suami mungkin merasakan dia hanya bergurau dengan isterinya apabila memanggil isterinya dengan pangggilan “si gemuk” sedangkan isterinya merasa sangat kurang senang dipanggil dengan gelaran sebegitu. Bermula dengan gurauan yang sedikit, konflik lebih buruk boleh berlaku apabila terdapat masalah lain dalam rumahtangga.
  13. Curang dan khianat. Mempunyai hubungan sulit dengan orang ketiga tidak hanya berlaku di kalangan suami tetapi juga berlaku dikalangan isteri yang bekerja. Fenomena yang sangat menyedihkan ini berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Punca terbesar berlakunya perkara ini adalah kerana kurangnya iman, ilmu dan akhlak mulia. Contoh perbuatan khianat isteri terhadap suami boleh dilihat dalam kisah isteri-isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut.15 Kedua-dua isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut mengkhianati suami mereka kerana tidak beriman dengan apa yang dibawa oleh kedua-dua nabi. Isteri Nabi Nuh membocorkan rahsia suaminya dengan memberitahu orang-orang kafir bahawa ada orang yang beriman bersama dengan Nabi Nuh. Isteri Nabi Lut pula memberitahu orang-orang kafir ketika rumah beliau didatangi tetamu istimewa.16  Kedua-dua isteri Nabi ini dijanjikan balasan neraka oleh Allah SWT.17 Sebaliknya, kisah nabi Yusuf boleh menjadi contoh bagi sifat-sifat terpuji seperti jujur, amanah, menjaga kehormatan diri, bertanggungjawab dan takut kepada Allah.
  14. Menipu. Satu hadis menyebut “sesiapa yang menipu bukan dari kalangan kami”.18 Sikap suka menipu akan menghilangkan kepercayaan antara pasangan. Rumah tangga yang ahlinya diselubungi dengan sifat curiga-mencurigai antara satu sama lain akan mengakibatkan pergaduhan dan jika tidak ditangani dengan baik boleh berakhir dengan perceraian.
  15. Dengki. Kebiasaannya, jarang terjadi isu dengki antara suami dan isteri. Namun begitu, sifat dengki masih relevan untuk dibincangkan di sini jika terdapat unsur persaingan dalam kehidupan rumah tangga. Lebih teruk lagi jika perasaan dengki disulami dengan persekitaran yang mendatangkan rasa tidak puas hati dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan. Misalnya, suami atau isteri merasa tidak senang hati dengan kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada teman atau jirannya dalam bentuk harta benda, kedudukan dan lain-lain. Perasaan ini akan menghilangkan rasa syukur dengan rezeki yang ada dan menyalahkan pasangan atas sebab yang tidak munasabah. Sentiasalah ingat kepada hadis ini apabila timbul rasa iri hati kepada orang lain: “Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.”19

Sehubungan itu, setiap pasangan mestilah berusaha untuk membendung keluarga dari elemen yang meruntuhkan keharmonian rumah tangga dengan mengenal pasti unsur-unsur mazmumah di atas dari awal lagi.  Sebaliknya, semua anggota keluarga mestilah membangunkan sebanyak mungkin akhlak mahmudah di dalam diri masing-masing. Memperolehi akhlak yang mulia membantu sebuah keluarga untuk berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran dalam kehidupan. Contoh-contoh akhlak yang baik adalah seperti berikut:

  1. Syukur. Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah satu sifat yang sangat terpuji sehingga Allah SWT memuji sikap ini dan berjanji untuk menambah nikmatNya.20 Sebaliknya kepada sesiapa yang kufur, balasan dari Allah SWT amatlah pedih. Tidak dinafikan kehidupan berumah tangga akan melalui pelbagai ujian dan cabaran. Namun dengan sentiasa bersyukur di atas kurniaan Allah SWT dan sentiasa menyedari bahawa nikmat yang dikurniakanNya jauh melebihi beban dugaanNya, Allah pasti akan menambah nikmatNya dari pelbagai aspek kehidupan seperti jiwa yang tenang, rezeki yang halal dan mencukupi dan rumah tangga yang bahagia.
  2. Sabar dan tabah. Terlalu banyak ayat-ayat Allah SWT yang menekankan sifat sabar. Di antaranya ialah: “Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar21, “Dan Dia memberi balasan kepada mereka karena kesabarannya (berupa) surga dan (pakaian) sutera22 dan “… dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting”.23 Sabar adalah sifat yang mesti wujud dalam setiap perkahwinan. Dekatkan diri kepada Allah SWT apabila diuji dengan pelbagai ujian kehidupan dan perkahwinan. Ambil wudhu dan lakukan solat dua rakaat dan berdoalah kepadaNya supaya diberikan jalan keluar daripada setiap permasalahan. Inilah cara yang ditunjukkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. “Wahai orang -orang yang beriman, mintalah pertolongan daripada Allah dengan sabar dan solat.”24 Dengan bersabar banyak perkara boleh diselesaikan dengan baik. Sebaliknya, tanpa kesabaran perkara yang kecil pun boleh membawa kepada pergaduhan besar.
  3. Kasihan belas dan prihatin terhadap pasangan. Di dalam al-Quran, Allah SWT menggabungkan cinta dan rahmah25 (belas kasihan dan prihatin) sebagai tunjang utama perkahwinan. Sifat belas kasihan dan prihatin terhadap pasangan sudah tentu akan menambahkan kasih sayang antara suami isteri. Ini kerana suami atau isteri merasakan dirinya dihargai kerana pasangannya amat mengambil berat tentang perasaannya atau keadaannya yang dalam kesakitan, kesedihan, kesusahan atau kesibukan. Keadaan ini sudah tentu menambah penghargaan suami atau isteri terhadap pasangannya kerana dia merasakan dirinya benar-benar dikasihi dan dilindungi walau dalam keadaan apa sekalipun dan bukan hanya disayangi apabila semuanya berada dalam keadaan baik-baik belaka.
  4. Hormat-menghormati. Sifat hormat-menghormati antara satu sama lain adalah sangat penting kerana tanpa sifat ini, pasangan akan cenderung untuk mengambil mudah (take for granted) perkara-perkara yang berlaku dalam rumah tangga. Dengan adanya sifat ini, hak dan tanggungjawab masing-masing dapat ditunaikan dan dilaksanakan dengan baik. Dengan adanya sifat hormat seorang isteri kepada suaminya, dia tidak akan membenarkan orang lain untuk bertamu ke rumahnya tanpa memberitahu suaminya terlebih dahulu. Begitu juga seorang suami tidak akan membuat keputusan penting berkenaan urusan keluarga tanpa mengambil kira pandangan isteri. Jika sifat ini dipupuk dengan baik antara suami dan isteri, sudah tentu ia akan menambahkan makna kasih sayang antara pasangan kerana adanya rasa dihormati dan dihargai oleh pasangan masing-masing.
  5. Toleransi. Tidak mungkin sebuah rumah tangga berdiri kukuh tanpa sifat toleransi antara suami dan isteri. Kehidupan rumah tangga yang sangat tegas mempertahankan hak yang mesti dipenuhi dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan tanpa unsur-unsur toleransi akan membawa kepada sifat tidak bertimbang rasa dan tidak bekerjasama. Islam sememangnya telah menggariskan hak dan tanggungjawab suami isteri dalam sesebuah perkahwinan untuk memastikan semua pihak faham dan menjalankan amanah dengan baik. Namun, dalam realiti hidup berumah tangga, ada masa atau keadaan yang memerlukan toleransi antara pasangan. Jika suami baru memulakan perniagaan dan perlu menggunakan semua wang yang ada pada waktu itu, toleransi dari pihak isteri untuk menggunakan wangnya sendiri dalam perbelanjaan keluarga adalah sangat dituntut. Yang penting suami tidak mengambil kesempatan atas pengorbanan yang dilakukan oleh isteri.
  6. Suka berkhidmat atau menolong. Realiti pada hari ini, ramai isteri bekerja untuk membantu suami dalam sudut kewangan. Oleh itu suami juga mestilah membantu isteri dalam melaksanakan kerja-kerja di rumah. Rungutan yang biasa kita dengar ialah, suami pulang dari kerja terus menonton TV atau menatap telefon bimbit sedangkan isteri terus ke dapur untuk memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Jika perkara ini berterusan berlaku, isteri akan keletihan dan tertekan. Seterusnya rasa tidak puas hati akan menjejaskan hubungan baik antara suami dan isteri.26 Semoga Rasulullah SAW terus menjadi ikutan kita dalam setiap aspek kehidupan. Sayyidatina Aishah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menolong isterinya melakukan kerja-kerja di rumah.27
  7. Rendah diri. Sebuah hadis menyebut: “Tidaklah seseorang merendah diri kerana Allah melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah.”28 Hadis ini jelas menunjukkan tidak pernah rugi orang yang sentiasa merendahkan dirinya, bahkan bertambah-tambah kemuliaannya di dunia dan di akhirat. Justeru, walaupun kita dikurniakan banyak kelebihan dari pasangan kita berupa harta, wang ringgit, pangkat, rupa paras, keturunan dan lain-lain, jangan sekali-kali meninggi diri dan berlagak sombong dengan pasangan. Semuanya adalah anugerah dari Allah SWT untuk dikongsi bersama. Apabila terlintas di fikiran perasaan kagum terhadap diri sendiri, disarankan untuk cepat-cepat kembali kepada Allah SWT dengan membaca “ما شاءالله لاقوة الابالله” sebagaimana yang disebutkan di dalam surah al-Kahfi.29 Semoga kita dijauhkan Allah SWT dari termasuk ke dalam golongan orang-orang yang sombong dan bongkak kerana sifat ini amat dibenciNya.30
  8. Ceria. Suami atau isteri yang sangat serius mengurangkan keceriaan dalam rumah tangga. Sedikit gurauan antara satu sama lain boleh menambahkan keceriaan dalam perhubungan.31 Begitu juga dengan suasana rumah tangga yang muram boleh mempengaruhi emosi (mood) pasangan masing-masing. Tidak salah menghiasi rumah dengan pelbagai warna atau bau wangian yang boleh menambahkan suasana ceria dan gembira. Alunan nasyid yang mengingati kebesaran Allah SWT atau kemuliaan RasulNya juga boleh menceriakan suasana rumah yang kelam.
  9. Sentiasa berdoa. Sentiasa berdoa adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Sentiasalah berdoa untuk kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga di akhirat yang kekal abadi. Di antara doa yang mesti diamalkan oleh pasangan suami isteri ialah doa mengaku kita telah menzalimi diri sendiri kerana banyak melakukan dosa samada dosa lahir atau pun batin32, doa memohon dikurniakan pasangan dan anak-anak menjadi sumber kebahagiaan33, doa supaya diri sendiri dan anak-anak tekun menunaikan solat34 dan doa supaya diakhiri penghidupan dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan dijauhkan dari pengakhiran yang buruk (suul khatimah).35
  10. Bertaubat. Sentiasa bertaubat dengan beristighfar dan juga melakukan solat sunat taubah adalah kebiasaan yang sangat mulia dan dituntut oleh agama. Keistimewaan orang yang suka bertaubat adalah dia tidak menanggung beban dosa.36 Tanpa beban itu, kehidupannya menjadi lebih baik dan dia akan jadi lebih bermotivasi untuk membuat lebih banyak kebaikan termasuklah kepada pasangannya, anak-anaknya dan seluruh keluarganya. Ada juga yang mendakwa dia tidak perlu bertaubat kerana dia tidak meminum arak, berzina, berjudi atau meninggalkan solat fardu. Malangnya dia lupa bahawa hatinya masih terdedah dengan banyak dosa-dosa batin seperti nifaq, takabbur, riya’, dengki, buruk sangka dan lain-lain.
  11. Muhasabah diri. Orang yang suka muhasabah atau menilai dirinya akan menjadi orang yang berjaya berbanding dengan orang yang merasa dirinya sudah baik dan tiada apa yang perlu diperbaiki. Orang yang suka menilai dirinya akan sentiasa berusaha untuk membuat atau mencuba yang lebih baik. Begitu juga pasangan yang baik adalah yang selalu berusaha untuk memastikan dia melakukan perkara yang lebih baik terhadap pasangannya walaupun mungkin tidak yang terbaik.

Adakah perceraian jalan keluar yang terbaik apabila seseorang mendapati pasangannya mempunyai banyak kekurangan dari aspek akhlak? 

Setelah melakukan solat istikharah, memohon dikurniakan oleh Allah SWT pasangan yang terbaik, suami dan isteri sewajarnya bersyukur dan menerima pasangan seadanya. Kedua-dua mereka mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pasti ada hikmah yang besar mereka ditemukan oleh Allah SWT untuk bersama-sama mengharungi kehidupan ini dan menghabiskan tempoh masa yang lama bersama-sama sebagai suami dan isteri.

Suami dan isteri mestilah selalu ingat-mengingati bahawa tiada kesempurnaan dalam kehidupan dunia. Kesempurnaan hanya wujud di akhirat. Begitu jugalah kehidupan berumah tangga. Pasti ada kekurangan dan kelemahan di sana sini. Suami dan isteri mestilah menyedari bahawa perkahwinan ialah salah satu proses mujahadah untuk saling bantu-membantu dan

nasihat-menasihati antara satu sama lain. Justeru halangan dan rintangan hidup berumah tangga adalah satu proses untuk membersihkan diri dari segala kekotoran dan cara untuk meningkatkan diri sehinggalah kita layak untuk menghuni syurgaNya yang kekal abadi di akhirat kelak. Dalam surah al-Nisa ayat 19 Allah berfirman: 

Jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya.”

Dalam surah al-Baqarah, ayat 216, Allah menyebut lagi:

Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Dalam kedua-dua ayat di atas Allah SWT memberitahu bahawa apa yang kita tidak suka tidak bermakna ianya tidak elok untuk kita dan apa yang kita suka tidak semestinya ianya elok untuk kita. Hakikatnya hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya tentang diri kita lahir dan batin, sekarang atau pada masa hadapan, di dunia dan di akhirat. Seorang isteri mungkin ditakdirkan Allah SWT untuk berkahwin dengan seorang suami yang sangat kedekut. Pada mulanya sifat ini sangat mengganggu kehidupannya dan tanpa kesabaran dia mungkin berfikir untuk berpisah dengan suaminya. Namun, ketika dia bersabar dan cuba mencari hikmah mengapa dia dijodohkan dengan seorang yang sangat kedekut, maka Allah SWT memberi petunjuk kepadanya bahawa Dia mahu menunjukkan kepadanya buruknya perilaku seorang yang kedekut. Barulah dia menyedari dan insaf bahawa selama ini dia sangat berkira-kira untuk membelanjakan duit gajinya untuk menolong orang-orang miskin atau berbuat kebajikan sedangkan dia tidak berkira langsung untuk membeli barang-barang keperluan hariannya seperti pakaian atau beg tangan yang mahal dan berjenama. Setelah menyedari ‘utusan Allah’ ini iaitu suaminya sendiri yang Allah SWT datangkan untuk menyedarkan dirinya perihal buruknya tingkah lakunya sebelum ini, dia bertaubat kepada Allah SWT dan cuba memperbaiki dirinya. Berkat doa dan perubahan dirinya, suaminya juga mula berubah menjadi suami yang lebih baik dan pemurah. 

Perkara yang sama mestilah dilakukan oleh seorang suami iaitu tidak terburu-buru menceraikan isterinya jika dia mendapati ada tingkah laku yang tidak disukainya. Kajian menunjukkan ramai yang menyesal37 dengan keputusan terburu-buru untuk bercerai sedangkan jika bersabar dan tidak terburu-buru membuat keputusan, perkahwinan masih boleh diselamatkan dan pasangan mampu untuk hidup bahagia dengan syarat kedua-dua suami dan isteri mestilah berusaha untuk memperbaiki diri masing-masing. 

Ada juga kes di mana akibat tidak puas hati dengan tingkah laku isteri, seorang suami menceraikan isterinya dan berkahwin dengan orang lain yang Allah SWT takdirkan mempunyai tingkah laku yang sama dengan isteri yang diceraikan. Sebenarnya Allah SWT mahu menunjukkan kepada suami tersebut bahawa sebenarnya dia yang perlu berubah menjadi lebih baik jika dia mengharapkan seorang isteri yang baik dan bukan dengan menceraikan isterinya. 

Perlu diingatkan juga bahawa syaitan sememangnya tidak pernah berputus asa untuk merosakkan anak Adam. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda:  

Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah saw berkata: Iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan lalu mengutus bala tentaranya ke seluruh penjuru dunia. Yang paling besar fitnahnya kepada manusia maka dialah yang paling dekat kedudukannya dengan iblis. Ada syaitan yang datang menemui iblis dan berkata “Aku melakukan begini dan begitu”. Lalu iblis pun berkata, “Engkau belum melakukan apa-apa”. Kemudian datang lagi syaitan yang lain dan berkata “Aku tidak meninggalkan pasangan suami isteri kecuali setelah aku pisahkan mereka”. Mendengar itu, iblis pun mengungkapkan, “Kau adalah sebaik-baik tentera”.38

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada setiap suami dan isteri kekuatan untuk terus memperkukuhkan perkahwinan yang dibina. Ingatlah, suami dan isteri ditemukan untuk saling kasih-mengasihi dan bantu-membantu untuk bersama-sama menuju syurga Allah SWT yang kekal abadi di akhirat nanti. Namun, tidak dinafikan ada kes-kes di mana perkahwinan sudah tidak boleh diselamatkan lagi kerana akhlak pasangan yang sangat buruk termasuk yang melibatkan kes-kes penderaan fizikal dan mental yang berterusan. Dalam kes sebegini, mohonlah petunjuk daripada Allah SWT untuk mencari jalan keluar yang terbaik bagi menyelesaikan konflik yang dihadapi. Jika perceraianlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah, maka bertindaklah mengikut prosedur yang betul untuk menyelamatkan diri dan anak-anak dari terus menjadi mangsa.

Saranan untuk meningkatkan diri

1. Terus bermotivasi untuk memperbaiki akhlak masing-masing. Hadis menyebut: “Orang yang paling dekat dengan Rasulullah di akhirat kelak adalah orang yang paling baik akhlaknya.”39

Motivasi apakah yang lebih baik dari kemuliaan berada dekat dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak?

2. Sentiasa memohon daripada Allah SWT semoga dikurniakan akhlak yang mulia dan berlindung denganNya dari akhlak yang buruk. Contohnya, selalu berdoa:

اللهم آت نفسي تقواها وزكها أنت خير من زكاها أنت وليها ومولاها

“Ya Allah kurniakan kepada diriku ketaqwaan, sucikanlah jiwaku, Engkaulah sebaik-baik Dzat yang menyucikannya dan Engkaulah yang menguasainya dan yang melindunginya

اللهم جنبني منكرات الأخلاق، والأهواء، والأعمال، والأدواء

“Ya Allah, jauhkan diriku dari akhlak, hawa nafsu, perbuatan-perbuatan dan penyakit-penyakit  yang buruk”

3. Berdoa dengan mengamalkan penggunaan nama-nama Allah40 yang sesuai dengan akhlak yang ingin dipohon. Contohnya, sekiranya isteri merasakan dia sangat sukar untuk memaafkan suaminya, dia boleh berulang-ulang menyebut sebanyak mungkin “Ya Halim”, kemudian berdoa semoga Allah melembutkan hatinya untuk memaafkan suaminya dan orang lain.  Sekiranya dia mempunyai masalah kurang sabar, dia boleh mengulang-ngulang sebutan “Ya Sobur” sebelum memohon dikurniakan sifat sabar.

Kesimpulan

Akhlak mulia adalah tonggak kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Dengan akhlak yang mulia pasangan suami isteri bukan sahaja boleh menjadikan rumah tangga mereka syurga di dunia malah yang jauh lebih penting dikurniakan syurga yang kekal abadi di akhirat kelak. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita segala kekuatan untuk beramal dengan akhlak mulia dalam melayari bahtera rumah tangga. Aamiin ya rabbal’aalamiin.

Prof Madya Dr Normi Binti Abdul Malek

Pensyarah Jabatan Agama Islam, 

Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa.

Unit Keluarga, Wanita IKRAM Malaysia.

 

  1. Abu ‘Abdullah Ahmad ibn Muhammad ibn Hanbal ibn Hilal ibn Asad al-Shaybani, Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2001), hadith no. 8952, jil. 4, hal. 512. ↩︎
  2. Pusat Rujukan Persuratan Melayu, “Akhlak”, Dewan Bahasa dan Pustaka, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=akhlak&d=102572&#LIHATSINI (dicapai 21 Sept 2021). ↩︎
  3. Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1982), jil. 3, hal. 52. ↩︎
  4. “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]. ↩︎
  5. Muhammad ibn ‘Isa ibn Sawrah ibn Musa ibn al-Dahhak, al-Tirmidhi, al-Jami’ al-Kabir Sunan al-Tirmidhi, (Beirut: Dar al-Gharb al-Islami,), hadith no. 1084, jil. 2, hal. 385. ↩︎
  6. Hakimi Ismail, “92 687 Pasangan Daftarkan Penceraian,” Utusan Online, March 4, 2016, http://m.utusan.com.my/berita/nasional/92-678-pasangan-daftarkan-penceraian-1.196883. ↩︎
  7. Surah ali Imran:134. ↩︎
  8. Lihat surah al-Naziat: 37-41. ↩︎
  9. Lihat surah al-Syura :40. ↩︎
  10. Toxic Emotions Can Lead to Serious Health Problems, https://www.huffpost.com › emotional-wellness_b_4612392. ↩︎
  11. Surah Al-A’raf:23. ↩︎
  12. Sunan al-Tirmidhi, hadith no. 2500, jil. 4, hal. 241. ↩︎
  13. Lihat surah al-Hujurat: 11. ↩︎
  14. Surah Maryam: 4. ↩︎
  15. Lihat surah al-Tahrim: 10. ↩︎
  16. Ibn Kathīr, Ismail ibn ‘Umar. Tafsīr Al-Qur’ān Al-‘Azim. Beirut: Dar Ibn Hazm, 1420H/2000CE, m.s. 963. ↩︎
  17. Lihat surah al-Tahrim: 10. ↩︎
  18. Ibn Majah Abu ‘Abdullah Muhammad ibn Yazid al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, (t.p.: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, t.t.), hadith no. 2225, jil. 2, hal. 749. ↩︎
  19. Sunan al-Tirmidhi, hadith no. 2513, jil. 4. ↩︎
  20. Lihat surah Ibrahim: 7. ↩︎
  21. Surah al-Baqarah: 153. ↩︎
  22. Surah al-Insan: 12. ↩︎
  23. Surah Luqman: 17. ↩︎
  24. Lihat surah al-Baqarah: 153. ↩︎
  25. Lihat surah al-Rum: 21. ↩︎
  26. Kalthom Abdullah, Noraini M. Noor and Saodah Wok, “The Perceptions of Women’s Roles and Progress: A Study of Malay Women”, Social Indicator Research, vol. 89, (2008): 453. ↩︎
  27. Lihat Muhammad Mukhsin Khan, The Translation of the Meanings of Sahih Al-Bukhari, 5th edn., Vol. 1, New Delhi: Kitab Bhavan, 1984, p.364. ↩︎
  28. Muslim ib al-Hajjaj Abu al-hasan al-Qushayri al-Naysaburi, Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath a;-‘Arabi, t.t.), hadith no. 69-(2588), jil. 4, hal. 2001. ↩︎
  29. Lihat surah al-Kahfi: 39. ↩︎
  30. Lihat surah Luqman: 18. ↩︎
  31. Rasulullah juga bergurau tetapi dengan gurauan yang sederhana. Lihat lebih lanjut Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas’ud ibn Muhammad ibn al-Farra’ al-Baghawi al-Shafi’I, Sharh al-Sunnah, (Beirut: al-Maktab al-Islami, Ed. 2, 1983), hadith no. 3607, jil. 13, hal. 183; Muhammad ibn Hibban ibn Ahmad ibn Hibban ibn Mu’adh ibn Ma’bad al-Tamimi al-Darimi, al-Ihsan fi Taqrib Sahih Ibn Hibban, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1988), jil. 2, hal. 501. ↩︎
  32. Lihat al-A’raf: 23. ↩︎
  33. Lihat al-Furqan: 74. ↩︎
  34. Lihat surah Ibrahim: 40. ↩︎
  35. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/2278-irsyad-al-hadith-siri-ke-245-doa-mati-dalam-kebaikan. ↩︎
  36. Dosa dikira sebagai beban yang berat yang dipikul oleh manusia. Lihat surah al-an’am: 31. ↩︎
  37. Alan J. Hawkins, Brian J. Willoughby & William J. Doherty, “Reasons for Divorce and Openness to
    Marital Reconciliation”, in Journal of Divorce & Remarriage, No 53, (2012), at 454; William J. Doherty
    & Leah Ward Sears, Second Chances: A Proposal to Reduce Unnecessary Divorce Presented to U.S.
    State Legislature, Institute for American Values, (2011), at 14.
    ↩︎
  38. Imam Muslim, Sahih Muslim, translated by Abdul Hamid Siddiqi, vol. 4, New Delhi: Adam Publishers & Distributors, 1999, pp. 301-302. ↩︎
  39. Musnad Ahmad, hadith no. 6767, jil. 11, hal. 380. ↩︎
  40. Lihat surah al-A’raf:180. ↩︎
Mengurus Keluarga di Abad 21

Mengurus Keluarga di Abad 21

Agak mengejutkan apabila mendapat tahu kisah sebuah keluarga generasi Y yang terdiri dari ibu, ayah dan dua orang anak berada di empat negeri yang berlainan di Malaysia. Si ibu bekerja di Selangor; si ayah mencari nafkah di Johor; anak pertama tinggal bersama dengan nenek di sebelah ibunya manakala anak kedua dijaga oleh mak mentuanya di Perlis. Sekarang si ibu mengandung lagi dan jarak antara anak pertama adalah setahun dan yang bakal lahir pun akan lebih kurang sama beza jaraknya. Pendapatan seisi keluarga sangat lumayan manakala kedua ibu bapa kelihatan bahagia dan saling redha meredhai. Apa pandangan pembaca tentang situasi keluarga ini?

Keluarga Muslim

Peranan keibubapaan adalah tugas sepenuh masa dan dalam Islam ia bermula dari sebuah keluarga apabila wujudnya seorang suami dan isteri melalui proses perkahwinan yang halal. Melalui proses perkahwinan demi perkahwinan kita akan dapati keahlian keluarga akan semakin membesar dan ada kalanya berlapis-lapis pangkat kekeluargaannya. 

Kepentingan membina keluarga muslim yang bahagia tidak boleh dinafikan sebagai satu entiti asas untuk membentuk sebuah masyarakat muslim yang harmoni. Baik sebuah keluarga itu maka akan baiklah pula masyarakat tersebut dan begitulah sebaliknya.

Matlamat Perkahwinan

Untuk membina keluarga muslim pasangan suami isteri mesti faham matlamat perkahwinan mereka. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ar Rum Ayat 21:

وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً ۗاِنَّ فِيْ ذٰلِكَ لَاٰيٰتٍ لِّقَوْمٍ يَّتَفَكَّرُوْنَ

Maksudnya:

“Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.”

Daripada ayat di atas kita boleh buat kesimpulan bahawa ada tiga elemen penting yang perlu kita minta daripada Allah SWT agar perkahwinan kita akan berkekalan hingga ke Jannah. Ia adalah sesuatu yang perlu diusahakan samada dengan tindakan semua pihak yang berkaitan dan juga doa; bukan sahaja semasa di awal perkahwinan tetapi hendaklah berterusan sepanjang hayat perkahwinan tersebut.

Elemen-elemen yang disebut secara khusus dalam ayat di atas adalah sakinah, mawaddah dan rahmah. Sakinah adalah satu perasaan yang didapati daripada perkahwinan, iaitu rasa ketenteraman dengan pasangan. Mawaddah dan rahmah pula adalah cetusan daripada rumahtangga yang juga kurniaan daripada Allah SWT. 

Realitinya “Bumi mana yang tidak ditimpa hujan”, perkahwinan mana-mana pasangan akan dipenuhi dengan pelbagai onak dan duri serta gelombang terutama apabila menghadapi kekurangan diri pasangan. Namun apabila ada sakinah kita mampu menjaga lidah agar tidak mencela pasangan kita. Ketika ada mawaddah kita mampu memilih untuk menutup sebelah mata bagi menutup kekurangan pasangan kita dan membuka sebelah mata lagi untuk fokus kepada kelebihannya. Bila ada rahmah pula kita mampu menjadikan kekurangan pasangan kita sebagai ladang untuk beramal.

Hak Anak yang Perlu Ditunaikan oleh Ibubapa

Dalam mewujudkan keluarga muslim semua ibu bapa perlu menunaikan hak-hak anak mereka. Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah Ayat 233:

 وَالْوَالِدٰتُ يُرْضِعْنَ اَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ اَرَادَ اَنْ يُّتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۗ وَعَلَى الْمَوْلُوْدِ لَهٗ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوْفِۗ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ اِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَاۤرَّ وَالِدَةٌ ۢبِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُوْدٌ لَّهٗ بِوَلَدِهٖ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذٰلِكَ ۚ فَاِنْ اَرَادَا فِصَالًا عَنْ تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗوَاِنْ اَرَدْتُّمْ اَنْ تَسْتَرْضِعُوْٓا اَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ اِذَا سَلَّمْتُمْ مَّآ اٰتَيْتُمْ بِالْمَعْرُوْفِۗ وَاتَّقُوا اللّٰهَ وَاعْلَمُوْٓا اَنَّ اللّٰهَ بِمَا تَعْمَلُوْنَ بَصِيْرٌ

Maksudnya:

“Dan ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin  menyusui secara sempurna. Dan kewajiban ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita karena anaknya dan jangan pula seorang ayah (menderita) karena anaknya. Ahli waris pun (berkewajiban) seperti itu pula. Apabila keduanya ingin menyapih dengan persetujuan dan permusyawaratan antara keduanya, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin menyusukan anakmu kepada orang lain, maka tidak ada dosa bagimu memberikan pembayaran dengan cara yang patut. Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”

Ayat di atas menyebut secara khusus berkaitan hak anak-anak dari segi penyusuan oleh ibunya selama dua tahun penuh; pembiayaan sara hidup keluarga dari sumber yang halal; dan pelaksanaan tanggungjawab keibubapaan yang membahagiakan. Selain daripada itu ibubapa wajib memberi anak-anaknya nama yang baik; mendidik mereka dengan kehidupan beragama; menjamin nasab keturunan mereka; melayan mereka dengan adil dan saksama, mengasingkan tempat tidur mereka apabila telah mumayyiz, memberi pendidikan dan kemahiran asas hidup dan menjamin keselamatan mereka di masa depan.

Jurang Generasi

Ciri-ciri sakinah, mawaddah dan rahmah boleh juga diaplikasi dalam mengurus keluarga di abad 21 dengan efektif dan berkesan. Ibu bapa perlu juga memahami zaman anak-anak mereka lahir dan dibesarkan sebagaimana kata-kata Saidina Ali RA, “Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya, karena mereka hidup di zaman mereka bukan pada zamanmu. Sesungguhnya mereka diciptakan untuk zamannya, sedangkan kalian diciptakan untuk zaman kalian.”

Masa kini, generasi manusia boleh diklasifikasi berdasarkan tahun-tahun kelahiran dan situasi dinamika dunia: Baby Boomers, Generasi X, Generasi Y, Generasi Z dan Generasi Alpha. ‘Baby Boomers’ yang secara umumnya adalah ibu dan majikan kepada Gen Y; lahir antara tahun 1946 dan 1964. Mereka berusia antara 57 ke 75 tahun; sedang meniti tahun-tahun terakhir dalam kerjaya dan ada juga yang sudah bersara. Mereka selesa menggunakan media tradisional seperti radio, surat khabar dan televisyen. Namun begitu, 90% dari mereka mempunyai akaun Facebook, Whatsapp dan Telegram untuk berhubung dengan kawan-kawan lama. Generasi ini dikatakan mempunyai ciri-ciri seperti komited, berdikari dan berdaya saing. Mereka juga mempunyai sifat-sifat sukar untuk menerima perubahan atau “degil” jika dibandingkan dengan generasi lain. Ini dipercayai berpunca daripada perubahan teknologi yang begitu pantas sehingga mengganggu keselesaan gaya hidup mereka.

Generasi X (Gen-X) yang boleh dikatakan adik beradik dan rakan sekerja Gen Y lahir di antara tahun 1966 hingga 1980. Ketika itu, teknologi berkembang pantas, namun tidaklah meluas seperti sekarang. Itu sebabnya, generasi ini menghadapi cabaran untuk menyesuaikan diri antara media digital dan bukan digital. Oleh kerana mereka hidup antara zaman ‘Baby Boomers’ dan Gen-Y,  mereka dikatakan mempunyai tanggungjawab kewangan yang tinggi dalam membesarkan anak serta menjaga ibu bapa yang semakin tua. Gen-X pula sering dikaitkan dengan personaliti seperti pandai menyelesaikan masalah, rajin mengkaji dan berfikiran logik. 

Generasi Y (Gen-Y) yang juga digelar sebagai ‘Millennials’, lahir di antara tahun 1980 hingga 1996. Generasi inilah yang pertama membesar dengan zaman Millenium baru (awal 2000an), dan cukup terkesan dengan perkembangan teknologi yang begitu pesat ketika itu. Mereka juga sering digelar sebagai ‘digital natives’ kerana telah merasai pengalaman menggunakan pelbagai media sosial sejak awal ia diciptakan seperti Friendster dan MySpace. Hasilnya, generasi ini sangat bergantung kepada internet dalam apa jua urusan. Gen-Y juga kerap dikaitkan dengan personaliti seperti yakin, sering rasa ingin tahu dan sering mempersoalkan banyak isu. Personaliti Gen-Y biasanya kurang disenangi oleh generasi yang lebih tua yang kebiasaan lebih suka dan banyak mendiamkan diri. Kemungkinan Gen-Y adalah adik beradik atau cikgu kepada Generasi Z manakala anak Gen-Y di dalam kategori Generasi Alpha. Kebanyakan anak-anak Gen-Y sudah terbiasa sejak lahir hidup dalam kemewahan jika dibandingkan dengan ibu bapa mereka yang terdiri dari generasi ‘Baby Boomers’.

Generasi Z (Gen-Z) lahir ketika teknologi sudah berkembang lengkap iaitu di antara tahun 1997 hingga 2012. Majoriti daripada generasi ini memiliki telefon bimbit sendiri seawal umur 10 tahun. Secara purata, generasi muda ini juga menghabiskan masa menggunakan telefon bimbit sehingga 3 jam sehari. Gen-Z biasanya memiliki personaliti seperti ‘multi-tasking’, bercita-cita tinggi, yakin dan sangat bergantung pada dunia digital. 

Generasi Alpha pula lahir pada tahun 2010-2025. Anak-anak zaman ini mengenal gajet dan sangat biasa menggunakan teknologi yang canggih terutama untuk berhibur walau pun umur mereka masih sangat muda. Mereka merupakan generasi dengan pertumbuhan tertinggi berbanding generasi lain masa kini. Mereka juga dijangka akan memberikan impak pada perubahan dunia disebabkan mudahnya akses dan komunikasi secara global. Oleh sebab itu, anak-anak generasi ini mungkin akan lebih mampu memperluas kemampuan komunikasi digital mereka. Walaubagaimana pun mereka terdedah kepada ancaman siber dan kesihatan mental kerana mudah dipengaruhi dengan media sosial. 

Kebanyakan ibu bapa generasi Alpha berkahwin pada usia yang agak lewat; berkerjaya dan mempunyai kuasa membeli yang tinggi serta bilangan anak yang sikit. Disebabkan oleh faktor-faktor ini, tempoh perkahwinan generasi ini kemungkinan adalah singkat. Hasil dari perkahwinan semula ibubapa, tidak mustahil mereka akan mempunyai ramai ibubapa dan adik-beradik ‘ekspres’. Anak-anak generasi ini juga berhadapan dengan nenek dan datuk yang  berpendapatan tinggi dan hidup mewah sehinggakan adakalanya tidak mahu memainkan peranan yang aktif dalam kehidupan keluarga anak-anak dan cucu-cucu mereka.

Bagaimana Mengurus Keluarga di Abad 21

Mengikut Prof Abdel Rahim Omran pada tahun 2012 dalam bukunya yang berjudul  “Family Planning in the Legacy of Islam”; faktor-faktor keupayaan utama dalam membentuk sesebuah keluarga adalah kesihatan fizikal, keupayaan ekonomi, kesediaan emosi, keluangan masa dan sokongan sosial. Berikut adalah pengamatan penulis berkaitan kelima-lima faktor tersebut. 

Pertama, kesihatan fizikal kedua ibu bapa yang sejahtera amat  penting dalam kehidupan untuk membesarkan anak-anak. Apabila ibu bapa sihat, mereka akan mampu melaksanakan tugas rutin harian yang diperlukan. Badan yang sihat puIa memberi   kesan   kepada kesihatan mental dan perasaan hati. Ia  akan melahirkan  minda  yang  cerdas serta membantu   seseorang   untuk   mendapat   tidur  yang   mencukupi.   Dengan minda dan perasaan hati yang cergas seseorang boleh melakukan sebarang aktiviti dan akan menganggap semua perkara sesuatu yang menyeronokkan serta membuatkan kita sentiasa dalam keadaan yang fokus.

Kedua, untuk membina keluarga yang bahagia keupayaan ekonomi ibu bapa adalah penting. Ketua keluarga mesti mempunyai punca pendapatan yang halal supaya rezeki yang diperoleh mempunyai keberkatan. Kedua ibu bapa perlu bijak menguruskan kewangan rumah tangga dan perancangan perbelanjaan. Banyak perceraian berlaku disebabkan cara mengurus kewangan yang buruk terutama dalam hal pengurusan hutang.

Ketiga, kesediaan emosi adalah salah satu faktor keupayaan utama dalam membentuk sebuah keluarga. Elemen ini  memainkan peranan penting  sama ada secara sedar atau tidak. Emosi memerlukan sesuatu kualiti kecerdasan.  Permasalahan rumah tangga yang berkaitan dengan hubungan suami isteri, ibu bapa dan anak-anak atau hubungan adik-beradik dapat dileraikan dengan meningkatkan kemahiran mengawal ataupun mengurus emosi dan spiritual. Kecerdasan emosi merupakan kemampuan untuk kita mengenali perasaan sendiri dan perasaan orang lain. Selain itu ia adalah kemampuan kita untuk mengatasi masalah persekitaran  secara lebih efektif. Antara ciri-ciri seorang mukmin yang baik ialah mereka yang boleh mengawal perasaan dan tindakannya. 

Keempat, sudah tentulah apabila kedua ibu bapa bekerja maka faktor keluangan masa untuk seisi keluarga menjadi keutamaan untuk dirancang bersama-sama. Mereka perlu ada masa berkualiti bersama dan juga kemahiran dalam membahagikan masa supaya urusan rumah tangga terutamanya penjagaan dan pendidikan anak-anak tidak terabai. Dengan kreativiti dan kebijaksanaan ibu bapa mampu untuk memberi fokus dan menjalankan tugas dengan sebaik mungkin di pejabat atau di rumah. 

Kelima, setiap ahli keluarga berperanan untuk membina suasana yang sejahtera dan harmoni. Keluarga asas selalunya dianggotai oleh bapa, ibu dan anak-anak sahaja. Manakala keluarga luas akan dianggotai oleh ibu bapa, anak-anak, datuk dan nenek. Sokongan sosial di dalam keluarga asas mau pun keluarga luas dilihat penting bagi memastikan kesejahteraan psikologi ahli-ahlinya, iaitu keadaan di mana individu kurang mengalami tekanan. Ia akan dapat dicapai oleh semua ahli keluarga seandainya mereka saling memberi dan menerima sokongan. 

Sokongan sosial di dalam keluarga paling awal dilihat semasa dalam proses  anak-anak membesar; ketika mereka menginjak ke usia remaja, dan seterusnya apabila mereka mencapai usia dewasa, berkahwin dan berkeluarga. Pelbagai keperluan anak-anak mengikut usia mereka memerlukan sokongan dan tunjuk ajar  yang betul dari ibu bapa; ia tiada batasan masa dan boleh dilaksanakan melalui aktiviti musyawarah dalam keluarga yang dibuat secara berterusan. 

Bagi mengurus keluarga di Abad 21 ini, ibu bapa haruslah memainkan peranan yang aktif dengan meneliti fakta-fakta dan faktor-faktor berkaitan supaya seiring dengan kehendak generasi yang diklasifikasikan untuk setiap ahli-ahli keluarga termasuk keluarga luas kita. Setiap generasi mempunyai ciri-ciri dan personaliti yang berbeza mengikut zaman mereka dilahirkan dan dibesarkan yang perlu diambil kira ketika berinteraksi bagi meminimumkan tekanan.

Berikut adalah satu analisa ringkas berkaitan keadaan ahli-ahli keluarga Gen-Y yang dinyatakan di awal artikel ini. Menurut penulis adalah diharapkan letak duduk ahli keluarganya di merata-rata pelusuk negara hanyalah bersifat sementara. Walau pun sokongan sosial yang padu daripada keluarga luas mereka adalah satu perkara yang harus dipuji namun keluangan masa untuk seisi keluarga asas telah dinafikan. Anak-anak kecil yang sedang membesar memerlukan perhatian ibu bapa secara sepenuh masa; terutama oleh si ibu. 

Si bapa pula diharapkan agar dapat meningkatkan kemahiran menguruskan emosi anak-anak dan isteri yang berjauhan. Disarankan juga si suami dapat sama-sama berbincang dengan isteri terutama mengenai perancangan kehamilan. Walaupun masing-masing redha-meredhai terhadap ketentuan Allah SWT perkara ini tidak boleh dipandang remeh demi menjaga emosi isteri. Tiada masalah untuk kedua suami isteri bekerja bagi meningkatkan sumber ekonomi keluarga dengan syarat ia dilakukan dengan niat semata-mata kerana Allah SWT. Semoga sakinah, mawaddah dan rahmah sentiasa menaungi keluarga ini agar kekal bahagia dan saling sayang-menyayangi. 

Rujukan

Akademi Dr Har – Cabaran anak-anak millennium https://www.youtube.com/watch?v=vyozbkPSm0k 

Nazurah Hassan (2021).Maksud Generasi X, Y, Z, Baby Boomers & Perbezaannya Menurut Pakar.

https://siraplimau.com/maksud-generasi-x-y-z-alpha/ 

Makna Sebenar Perkahwinan Sakinah, Mawadah, Dan Rahmah (Siti Zakiah Meskam, 2015)

http://sitizakiahmeskam.blogspot.com/2015/10/makna-sebenar-perkahwinan-sakinah.html 

Dr Hajah Azmi binti Aminuddin

IKRAM Dungun, Terengganu

6 Oktober 2021

Nama Pena: DHAA

  • Ini adalah pandangan dan pembacaan penulis.
Pembangunan Anak Perempuan

Pembangunan Anak Perempuan

Islam sangat menekankan kewajipan berbakti kepada ibu bapa baik semasa mereka masih hidup atau setelah mereka meninggal dunia. Hubungan antara anak dan ibu bapa ini telah dirakamkan di dalam pelbagai ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.

1. “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selainNya dan hendaklah berbuat baik (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara mereka atau kedua-duanya sudah sampai usia tua dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada mereka perkataan “ah!” dan janganlah kamu membentak mereka, ucapkanlah perkataan yang baik-baik (qaulan kareema) kepada mereka. Dan berbaktilah (wakhfid) kepada kedua-duanya dengan penuh kasih sayang (min rahmah) dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Sayangilah kedua-dua ibu bapaku sebagaimana mereka mendidikku ketika kecil.” (Al-Isra’ (17): 23-24)

Asas kepada hubungan dan pergaulan anak dengan ibu bapa adalah rasa kasih sayang dan rasa hormat: ihsan, qaulan kareema, min rahmah.

2. “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah (ihsan) kepada kedua-dua orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membanga diri.” (An-Nisa (4): 36)

3. “Dan Kami wajibkan kepada manusia agar (membuat) kebaikan (husna) kepada kedua orang tuanya. Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau patuhi keduanya. Hanya kepadaKu tempat kembalimu, dan akan Aku beritahu kepada mu apa yang telah kamu lakukan.” (Al-Ankabut (29): 8)

Ketaatan kepada ibu bapa adalah pada perkara kebaikan yang tidak membawa kepada syirik atau melanggar syariatNya.

4. “Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat kebaikan) kepada kedua orang tuanya. Ibunya mengandungkannya dalam keadaan lemah yang tersangat-sanagt dan menyusukannya ketika usia dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu. Dan jika keduanya memaksamu untuk menyekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, tetapi layanlah (sahibhuma) keduanya di dunia dengan baik (ma’rufa), dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Hanya kepadaKu tempat kembalimu, maka akan Aku khabarkan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Luqman (31): 14-15)

Tidak mentaati ibu bapa ketika di suruh menyekutukan Allah, tetapi masih melayani mereka dengan baik.

4. “Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya: Saya telah bertanya kepada Nabi s.a.w: Amalan manakah yang paling disukai oleh Allah? Baginda s.a.w menjawab: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian amalan manakah pula? Baginda menjawab: Kemudian berbakti (birr) kepada ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian amalan manakah pula? Baginda menjawab: Berjihad di jalan Allah. Beliau berkata lagi: Baginda telah berbicara kepada sya tentang semua itu. Seandainya saya meminta Baginda menambah lagi, pasti Baginda menambah untuk saya.”

Hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari.

Kepentingan berbakti kepada ibu bapa diletakkan selepas solat dan sebelum berjihad di jalan Allah.

5. “Berbaktilah kepada orang tua kalian, nescaya anak-anak kalian berbakti kepada kalian. Jagalah kehormatan isteri orang lain, nescaya isteri kalian terjaga kehormatannya.”

Diriwayatkan oleh At- Tabrani dengan sanad hasan dari Ibnu Umar r.a. Berbakti kepada ibu bapa mendapat balasan sama daripada anak-anak.

Kejelasan Tanggungjawab Asas Kesejahteraan Keluarga

Kejelasan Tanggungjawab Asas Kesejahteraan Keluarga

Laporan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Nasional ke-5 menyatakan bahawa perceraian berlaku adalah disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

Sebab Perceraian Lelaki Wanita
Tidak bersefahaman 56.2% 38%
Curang @ khianat kepada pasangan 11.8% 20.5%
Campurtangan keluarga pasangan 10% 6%
Pasangan tidak bertanggungjawab   15.2%
Tidak menerima poligami   2.8%
Kewangan   4.7%
Ketiadaan zuriat, perjudian, kesihatan, penderaan dan lain-lain 22% 12.8%

Kajian kadar perceraian ini meliputi semua bangsa di Malaysia dan hasil dapatannya adalah sangat membimbangkan. Keutuhan institusi keluarga adalah penting bagi semua kaum, kerana ianya dapat memberi sokongan dan tonggak ketahanan setiap individu dalam masyarakat.  Peningkatan bilangan perceraian setiap tahun terutama di kalangan pasangan muda, menunjukkan bahawa betapa rapuhnya sistem perkahwinan bagi membangunkan keluarga yang harmoni. Perancangan yang rapi untuk mengelakkan lebih banyak berlakunya perceraian dan membantu pasangan muda melalui fasa kritikal lima tahun pertama perkahwinan adalah amat penting.

Antara perkara yang perlu ditekankan dalam kursus perkahwinan adalah kesedaran akan tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap pasangan suami dan isteri setelah mendirikan rumah tangga. Setiap pasangan perlu memahaminya dan melaksanakannya dengan sebaik mungkin. Bekalan ilmu pengetahuan berkaitan tanggungjawab sebagai isteri atau suami, ibu atau bapa, dan anak atau menantu perlulah difahami dan dipraktikkan. Termasuklah mengambil iktibar pengalaman pahit dan manis alam berumah tangga yang dilalui oleh generasi ibu bapa mereka.

Dalam melaksanakan tanggungjawab rumah tangga, sebahagian kaum lelaki kurang menghayati makna sebenar istilah “qauwaamun” seperti yang dinyatakan dalam surah An-Nisa ayat 34.  Mereka beranggapan bahawa lelaki adalah pemimpin yang memerintah dan berkuasa ke atas wanita secara mutlak. Tetapi sebaliknya, “qauwaamun” bermaksud pemimpin,  pemelihara dan pelindung kepada wanita. Islam telah memerintahkan supaya wanita dimuliakan baik sebagai ibu, isteri atau pun anak perempuan. Ini bermaksud lelaki bertanggunjawab untuk memastikan kebahagiaan kepada ahli keluarganya dan tidak mengasari serta tidak mengabaikan tuntutan dan hak mereka.

Sebaliknya, wanita bertanggungjawab menyokong dan membantu suami dalam membangunkan keluarga. Wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata menjaga pengurusan rumah tangga yang baik, menjaga keperluan suami dan memelihara kesihatan keluarga, bahkan untuk mendidik, mengasuh dan membimbing anak-anak. Bagi wanita yang bekerja, perlulah mengimbangi antara kerjaya dan keluarga kerana pelbagai peranan ini boleh menggugat kestabilan dan kesejahteraan seorang wanita.

Persefahaman dengan amalan musyawarah antara suami isteri tentang kaedah menguruskan rumah tangga dan pendidikan anak-anak adalah perlu. Ini bagi mengurangkan berlakunya perselisihan pendapat tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam pengurusan rumah tangga. Oleh itu, kejelasan akan tanggungjawab serta peranan pasangan suami isteri dalam sesebuah keluarga amatlah  penting bagi mengelakkan berlakunya perceraian.

Dihasilkan oleh,

Zarina Bt Azhari

Unit Keluarga

Wanita, Pertubuhan IKRAM Malaysia