Kepimpinan wanita pasca Covid 19 : Sumbangan dan Cabaran

Kepimpinan wanita pasca Covid 19 : Sumbangan dan Cabaran

Konsep dan syarat kepimpinan menurut Islam

Kepimpinan adalah satu amanah yang perlu ditunaikan oleh semua manusia. Ianya adalah satu perkara yang sangat dipentingkan oleh Islam agar kehidupan mereka dapat dipandu dengan baik.

Setiap manusia perlu menyedari bahawa  semua dalam kalangan kita adalah pemimpin tanpa mengira gender atau saiz tanggungan mereka. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W dalam hadisnya yang menyatakan bahawa setiap manusia adalah pemimpin yang akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin tanpa mengira ringan atau berat tanggungjawab tersebut.

Kuat dan amanah pula adalah antara indikator utama dalam mengangkat seseorang untuk menjadi pemimpin. Firman Allah dalam surah al-Qasas ayat 26 menyatakan dengan jelas syarat tersebut. Mereka yang diangkat menjadi pemimpin semestinya orang yang mampu (kuat) untuk memikul beban tugas yang dipertanggungjawabkan serta hendaklah kompeten dan berintegriti dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Sumbangan wanita dalam memimpin

Sesiapa sahaja yang menepati syarat dan mampu untuk menjalankan tugasan dengan baik boleh menjadi pemimpin, tanpa mengira jantina atau had umur. Wanita juga boleh menjadi pemimpin yang baik dan perkara tersebut telah terbukti melalui sirah Islam dahulu serta bukti nyata daripada pencapaian wanita masa kini.

Perkembangan masa kini menyaksikan ramai wanita yang berjaya menjadi  pemimpin yang cemerlang dalam bidang masing-masing. Malahan kepimpinan beberapa ketua negara wanita dalam mendepani masalah global akibat pandemik Covid-19 telah terbukti berkesan dan diakui oleh dunia. 

Kita perhatikan, gaya kepimpinan ketua-ketua negara wanita ini, adalah berteraskan hubungan dan bukan bersifat mengarah tanpa mengambil kira situasi rakyat. Cara ini memastikan pemimpin mendengar segala permasalahan dan seterusnya akan mampu mengenal pasti serta menyelesaikan masalah rakyat.

Cabaran kepimpinan masa kini

Di sebalik semua kecemerlangan yang telah berjaya dicapai oleh para wanita dalam pelbagai bidang, secara realitinya ianya masih tidak menepati sasaran komposisi sebenar penglibatan wanita dalam membuat dasar untuk negara. Masih terdapat perbezaan yang ketara antara sasaran dan kedudukan semasa wanita dalam peringkat membuat keputusan.

Kerajaan telah menetapkan sasaran 30 peratus wanita akan terlibat sebagai pembuat dasar negara. Namun sasaran ini masih belum dapat dicapai sepenuhnya. Pelbagai faktor menjadi penyebab kepada senario ini. Antara faktor utama adalah budaya dan stigma masyarakat yang memandang rendah kepada kemampuan para wanita. Stigma ini  sukar untuk dibuang dari masyarakat kita. Merendah taraf kemampuan wanita dengan beranggapan bahawa tugas utama wanita hanyalah untuk rumahtangga, anak-anak dan suami sahaja adalah satu penyakit yang perlu segera diubati.

Lebih penting lagi, para wanita sendiri harus membuang stigma ini  dari pemikiran mereka kerana sekiranya wanita juga turut terpengaruh dengan tanggapan bahawa mereka tidak mampu melaksanakan tugas memimpin, maka usaha untuk meningkatkan bilangan pemimpin dalam kalangan wanita tidak akan mampu direalisasi.

Dalam situasi pandemik sekarang, ramai wanita telah mengambil alih peranan untuk menyara keluarga, terutamanya apabila suami kehilangan pekerjaan dan hilang mata pencarian. Oleh itu wanita bekerja  tidak boleh lagi dilihat sebagai sekadar membantu keluarga. Peranan mereka menjadi lebih besar dan berat. Jadi seharusnya pandangan lebih adil diberikan kepada kaum wanita  untuk menghargai peranan mereka dalam keluarga dan masyarakat.

Selain dari pandangan masyarakat terhadap kemampuan wanita, faktor peluang juga adalah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh para wanita. Wanita perlu menghadapi persaingan gender yang agak sengit dengan kaum lelaki sehingga menyukarkan mereka untuk menonjolkan kemampuan diri mereka. Wanita tidak akan ditawarkan sesuatu jawatan utama selagi mana kemampuan  mereka tidak diiktiraf oleh kaum lelaki, namun peluang yang tersedia untuk mereka untuk menyerlahkan tidak disediakan dengan sebaiknya.

Perkara begini tidak seharusnya berlaku terutama dalam masyarakat Islam. Ini  kerana dalam Islam, lelaki dan wanita bukanlah pesaing tetapi mereka adalah penolong antara satu sama lain. Oleh itu sekiranya seseorang wanita  didapati layak dan  kompeten maka dia boleh diangkat menjadi pemimpin yang diikuti bukan yang didengki.

Saranan dan Penutup

Bagi mengiktiraf kemampuan kepimpinan wanita, terutamanya  pasca Covid-19 ini beberapa anjakan paradigma perlu dilakukan. Antaranya:

i. Mengiktiraf dan menerima kemampuan reproduktif wanita sebagai satu sumbangan besar untuk melahirkan generasi pewaris negara pada masa hadapan.

ii. Membuka lebih peluang kepada wanita untuk menonjolkan diri mereka dalam konteks yang sesuai dengan hak kesamarataan gender.

iii. Membetulkan salah tanggapan masyarakat terhadap fungsi wanita dengan memberikan peranan yang lebih besar dalam perjawatan atau kepimpinan sekiranya wanita menepati syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan.

iv. Mengiktiraf wanita sebagai pemberi solusi  yang baik terhadap kesan-kesan pasca covid terutama dari segi sifat empati, kolaborasi dan kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemimpin wanita.

Apabila anjakan paradigma ini berjaya dilakukan maka sudah pasti ianya akan mendorong wanita untuk terus maju. Mereka  juga akan mampu menerajui setiap bidang yang mereka ceburi dengan lebih baik. Oleh itu para wanita pasti akan dapat menghasilkan corak kepimpinan yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.

Norshahidah Zakaria

Wanita IKRAM Sabah

Sedutan: Bicara Bina Negara TV IKRAM

BBN17 | KEPIMPINAN WANITA MENDEPANI CABARAN MALAYSIA PASCA COVID-19