Wanita IKRAM Mengecam Semua Bentuk Gangguan Seksual

Wanita IKRAM Mengecam Semua Bentuk Gangguan Seksual

Kenyataan Media

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

1 Mei 2021

Wanita IKRAM Mengecam Semua Bentuk Gangguan Seksual

Wanita IKRAM amat terkejut dengan berita mengenai berita seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang membuat lawak jenaka mengenai rogol dan telah didedahkan oleh seorang pelajar perempuan melalui media sosial. Tambah menyedihkan lagi apabila tindakan berani pelajar perempuan ini kemudiannya menyebabkan beliau menerima ugutan rogol daripada seorang pelajar lelaki. Hal ini tambah membimbangkan dengan reaksi berbelah bahagi daripada netizen di mana ada yang mempertahankan tindakan guru lelaki berkenaan dan ada yang mengecam pelajar perempuan tersebut. Suasana terus diburukkan lagi dengan tindakan tidak acuh oleh pihak berkuasa mengenai aduan ini.

Persoalannya, adakah masyarakat memang tidak tahu bahawa apa yang berlaku ini adalah gangguan seksual terhadap pelajar perempuan tersebut? Bagaimana agaknya perasaan mereka sekiranya semuanya ini berlaku kepada anak atau saudara perempuan mereka?

Tidak kira siapa pun mereka, tiada seorang wanita pun yang boleh dilemparkan dengan kata-kata jijik dan menakutkan seperti ugutan rogol dan kecaman sebegini. Kaum lelaki seharusnya bertindak sebagai pelindung wanita sebagaimana yang disebutkan dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita)…”.

Kelebihan fizikal yang ada pada kaum lelaki bukan untuk menakutkan atau membahayakan wanita malah adalah untuk melindungi dan memastikan keselamatan mereka. Dalam hal ini, tindakan bapa pelajar perempuan tersebut membuat laporan kepada pihak polis adalah sesuatu yang patut dicontohi dan seharusnya diberi sokongan padu oleh semua pihak. Sikap bertanggungjawab sebegini tidak seharusnya diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

Wanita IKRAM memandang serius perkara sebegini dan menggesa agar:

  1. Pihak berkuasa iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia segera menjalankan siasatan tentang kes dan mengambil tindakan yang sewajarnya mengenai isu ini.
  2. Rang Undang-undang Gangguan Seksual segera diluluskan di Parlimen.
  3. Pejabat-pejabat kerajaan dan syarikat swasta termasuk institusi pengajian tinggi dan sekolah mewujudkan jawatankuasa menangani gangguan seksual di tempat mereka bagi memastikan suasana tempat kerja dan belajar yang sejahtera bagi staf dan pelajar.
  4. Ahli masyarakat terus diberi pendedahan dan didikan tentang isu gangguan seksual agar mereka tidak terlibat dan memandang mudah isu sebegini.
  5. Umat Islam benar-benar menjiwai suasana Ramadan dan mengubah sikap yang buruk serta beramal dengan sifat-sifat yang terpuji agar kita menjadi umat yang berjaya.

Ustazah Hajjah Sallawahiu Mohd Salleh

Ketua Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

#GangguanSeksualBukanBudayaKita

#IKRAMTolakGangguanSeksual

#MakeSchoolASaferPlace

#StandUpSpeakOut

Nuzul Al-Quran

Nuzul Al-Quran

Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk dan panduan untuk diikuti dan diamalkan oleh manusia agar sejahtera dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran:”Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran di mana al-Quran itu menjadi petunjuk kepada manusia dan yang menerangkan tentang pertunjuk dan pembeza antara hak dan batil” (al-Baqarah: 185)

Hukum mengiringi jenazah suami ke masjid atau ke kubur

Hukum mengiringi jenazah suami ke masjid atau ke kubur

Persoalan:

Haruskah wanita yang kematian suami keluar ke kubur mengiringi jenazah dan melihat pengkebumian?

Haruskah wanita itu ke masjid untuk menunggu jenazah dimandikan, solat jenazah atau menerima lawatan rakan-rakan dan keluarga di sana?

Kematian suami sebagai teman perkongsian sudah tentu satu peristiwa besar bagi seorang isteri. Perasaan berat untuk melepaskan suami yang akan disemadikan untuk selamanya, naluri ingin melihat peristiwa bersejarah itu sangat kuat, namun wanita solehah pasti akan lebih mengutamakan keredhaan Allah Taala daripada kehendak jiwanya.

Seorang isteri yang kematian suami dilarang keluar rumah tanpa keperluan mendesak.
Berikut ialah petikan Perkara-perkara larangan bagi wanita dalam tempoh iddah kematian suami seperti yang terdapat dalam Fatwa al Kafi #977 terbitan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 23 Disember 2018 (c):

“Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.  Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk  menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.”

Mengiringi jenazah pada hari pengkebumian bukanlah perkara kepentingan mendesak. Bahkan mungkin akan mengakibatkan keburukan yang lain seperti bercampur dengan lelaki ajnabi ketika itu, atau ditakuti wanita yang sedang mengalami kesedihan itu akan meratapi kepergian suaminya, sedang ini dilarang oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.

Demikian juga wanita tidak dibenarkan ke masjid untuk solat jenazah atau menerima lawatan rakan-rakan dan keluarga. Bahkan ia boleh solat di rumahnya dan menerima lawatan di rumah.

DALIL

Hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh al-Bukhari (307) dan Muslim (938), daripada Ummu `Atiyyah radhiallahu anha, katanya:

كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلَا نَكْتَحِلَ وَلَا نَطَّيَّبَ وَلَا نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ وَقَدْ رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ وَكُنَّا نُنْهَى عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ

“Kami dilarang berkabung atas kematian seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat bulan sepuluh hari. Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian dan memakai pakaian berwarna-warni melainkan ‘asbun (sejenis pakaian wanita arab). Ketika mandi setelah suci daripada haid, kami dibenar menggunakan sedikit minyak wangi. Kami juga dilarang mengiringi jenazah.”

Wanita solehah yang menyintai suaminya memahami bahawa dalam tempoh iddahnya dia wajib menjaga batas hukum halal haram kerana ia tahu sebarang perlanggaran hukum yang dilakukannya akan mengakibatkan suaminya disiksa di dalam kubur. Na’uzubillah.

Walaubagaimanapun ada juga yang berpendapat makruh.

Daripada Umm Atiyyah R.Anha bahawa dia berkata:

نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا

Maksudnya: Kami (kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke kuburan) dan Baginda (SAW) tidak melarang dengan keras (hal demikian) ke atas kami.

Hadis riwayat al-Bukhari (1278)

Menurut Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ (5/277-278)  larangan ini bersifat makruh tanzih (perkara yang dibenci dan menyalahi adab tetapi tidak mendatangkan dosa, contoh makan bawang mentah dan minum berdiri. Ulama fiqih menyebut, perbuatan makruh tanzih ini sebagai perbuatan khilaful aula yang bermaksud perbuatan menyalahi yang utama atau afdhal).

Inilah mazhab Syafie dan jumhur, manakala dalam Mazhab Malik tidak menganggap makruh kecuali bagi bagi wanita muda. Diceritakan daripada al-Abdari bahawa Imam Malik menganggapnya makruh kecuali jika jenazah itu ialah anaknya, ibu ayahnya, dan suaminya.

Rujukan:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1792-hukum-isteri-mengiringi-jenazah-suami-pada-waktu-iddah

Wallahu ‘a’lam.

(Ustzh. Shahidah bt Sheikh Ahmad)

Wanita IKRAM Malaysia ingin mengucapkan Selamat Berpuasa di bulan Ramadan. Moga Ramadan kali ini lebih baik daripada yang lepas.Moga dikurniakan kesihatan yang baik untuk kita menambah amal dan meningkatkan taqwa dan dengan izin Allah bertemu dengan malam al-Qadr.

#ramadankareem

#ramadhanbulanmulia

Ketua Wanita IKRAM Merasmikan Graduasi IMPAK Online

Ketua Wanita IKRAM Merasmikan Graduasi IMPAK Online

Pada 4 April 2021 yang lepas, telah berlangsung Majlis Graduasi IMPAK Online yang dirasmikan oleh Ketua wanita IKRAM Malaysia, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh. Majlis meraikan 80 peserta IMPAK (Ibu bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak) dari lokasi sekitar Kuala Lumpur iaitu PPR Jelatek, PA Sri perlis 2, Pangsamurni Keramat Jaya 2 dan PPR Taman Wahyu yang telah berjaya menamatkan 10 modul pembelajaran.

Program IMPAK Online ini adalah anjuran Petubuhan IKRAM Malaysia  dengan sokongan Yayasan Hasanah (Geran Khas Hasanah) dan telah diadakan dari Januari hingga Mac 2021. IMPAK Online telah diadakan berikutan pandemik Covid 19.

Peserta IMPAK Online

“Objektif utama program ini adalah agar golongan ibu bapa muda B40 berpeluang meningkatkan akademik anak-anak melalui kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari dalam 10 modul,” kata Pengarah Majlis, Datin Seri Junaidah Ahmad.

“Diharapkan ibu bapa yang menghadiri modul IMPAK dan majlis graduasi semalam berjaya mengaplikasikan ilmu keibubapaan ini terhadap anak-anak dan secara tidak langsung membantu anak dalam pembelajaran mereka,” ujar Junaidah.