Persoalan:
Haruskah wanita yang kematian suami
keluar ke kubur mengiringi jenazah dan melihat pengkebumian?
Haruskah wanita itu ke masjid untuk
menunggu jenazah dimandikan, solat jenazah atau menerima lawatan rakan-rakan
dan keluarga di sana?
Kematian suami sebagai teman perkongsian
sudah tentu satu peristiwa besar bagi seorang isteri. Perasaan berat untuk
melepaskan suami yang akan disemadikan untuk selamanya, naluri ingin melihat
peristiwa bersejarah itu sangat kuat, namun wanita solehah pasti akan lebih
mengutamakan keredhaan Allah Taala daripada kehendak jiwanya.
Seorang isteri yang kematian suami dilarang
keluar rumah tanpa keperluan mendesak.
Berikut ialah petikan Perkara-perkara larangan bagi wanita dalam tempoh iddah
kematian suami seperti yang terdapat dalam Fatwa al Kafi #977 terbitan Pejabat
Mufti Wilayah Persekutuan pada 23 Disember 2018 (c):
“Tidak
dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas
yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar
rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang
keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah
boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak,
dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang
disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk
pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan
kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam
seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk
larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.”
Mengiringi jenazah pada hari pengkebumian
bukanlah perkara kepentingan mendesak. Bahkan mungkin akan mengakibatkan
keburukan yang lain seperti bercampur dengan lelaki ajnabi ketika itu, atau
ditakuti wanita yang sedang mengalami kesedihan itu akan meratapi kepergian
suaminya, sedang ini dilarang oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.
Demikian juga wanita tidak dibenarkan ke
masjid untuk solat jenazah atau menerima lawatan rakan-rakan dan keluarga.
Bahkan ia boleh solat di rumahnya dan menerima lawatan di rumah.
DALIL
Hadis Nabi sollallahu alaihi wa sallam yang
diriwayatkan oleh al-Bukhari (307) dan Muslim (938), daripada Ummu `Atiyyah
radhiallahu anha, katanya:
كُنَّا نُنْهَى أَنْ نُحِدَّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ
ثَلَاثٍ إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا وَلَا نَكْتَحِلَ
وَلَا نَطَّيَّبَ وَلَا نَلْبَسَ ثَوْبًا مَصْبُوغًا إِلَّا ثَوْبَ عَصْبٍ وَقَدْ
رُخِّصَ لَنَا عِنْدَ الطُّهْرِ إِذَا اغْتَسَلَتْ إِحْدَانَا مِنْ مَحِيضِهَا فِي
نُبْذَةٍ مِنْ كُسْتِ أَظْفَارٍ وَكُنَّا نُنْهَى عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ
“Kami dilarang berkabung atas kematian
seseorang melebihi tiga hari kecuali berkabung atas kematian suami selama empat
bulan sepuluh hari. Kami dilarang bercelak mata, dilarang memakai wangi-wangian
dan memakai pakaian berwarna-warni melainkan ‘asbun (sejenis pakaian wanita
arab). Ketika mandi setelah suci daripada haid, kami dibenar menggunakan
sedikit minyak wangi. Kami juga dilarang mengiringi jenazah.”
Wanita solehah yang menyintai suaminya memahami
bahawa dalam tempoh iddahnya dia wajib menjaga batas hukum halal haram kerana ia
tahu sebarang perlanggaran hukum yang dilakukannya akan mengakibatkan suaminya
disiksa di dalam kubur. Na’uzubillah.
Walaubagaimanapun ada juga yang berpendapat
makruh.
Daripada Umm Atiyyah R.Anha bahawa dia berkata:
نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا
Maksudnya: Kami
(kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke kuburan) dan
Baginda (SAW) tidak melarang dengan keras (hal demikian) ke atas kami.
Hadis riwayat al-Bukhari (1278)
Menurut Imam Nawawi dalam kitab al-Majmu’ (5/277-278) larangan ini bersifat makruh tanzih (perkara yang dibenci dan menyalahi adab tetapi tidak mendatangkan dosa, contoh makan bawang mentah dan minum berdiri. Ulama fiqih menyebut, perbuatan makruh tanzih ini sebagai perbuatan khilaful aula yang bermaksud perbuatan menyalahi yang utama atau afdhal).
Inilah mazhab Syafie dan jumhur, manakala dalam Mazhab Malik tidak
menganggap makruh kecuali bagi bagi wanita muda. Diceritakan daripada al-Abdari
bahawa Imam Malik menganggapnya makruh kecuali jika jenazah itu ialah anaknya,
ibu ayahnya, dan suaminya.
Rujukan:
https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1792-hukum-isteri-mengiringi-jenazah-suami-pada-waktu-iddah
Wallahu ‘a’lam.
(Ustzh. Shahidah bt Sheikh Ahmad)