Tidak layak mencium bau
syurga yang harumnya dapat dihidu dari jarak yang jauh. Ada beberapa hadis yang
menyebut ia dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan (Al-Bukhari), 70 tahun
(Al-Tirmizi), 100 tahun (Al-Tabrani), 500 tahun (Ahmad).
Kalau menghidu pun
diharamkan, apa lagilah memasukinya. Jauh panggang dari api!
Dosa apakah yang dilakukan
oleh wanita yang malang itu sehinggakan mencium bau syurga pun haram baginya?
Itulah dosa yang paling
ditakuti oleh wanita yang bergelar isteri, iaitu MEMINTA CERAI! Kerana takut
tidak dapat mencium bau syurga, ramai isteri yang terpaksa menanggung sengsara
menghadapi kerenah suami yang tidak bertanggungjawab, berperangai jahat, suka
mendera dengan pelbagai cara, sama ada dalam bentuk fizikal, mental, emosi,
seksual dan sebagainya berpuluh-puluh tahun lamanya. Semua itu ditanggung
dengan penuh rasa sakit, perit dan pedih. Hendak minta cerai takut tidak dapat
mencium bau syurga.
Begitukah ajaran Islam?
Begitukah layanan terhadap
wanita bergelar isteri yang dianjurkan oleh Islam?
Perkahwinan adalah satu aqad
yang menghalalkan pergaulan antara seorang lelaki yang digelar suami dengan
seorang wanita yang digelar isteri. Dengan aqad itu juga melahirkan hak dan
tanggungjawab terhadap satu sama lain. Suami mempunyai tanggungjawab terhadap
isteri sebagaimana isteri mempunyai tanggungjawab terhadap suami.
Maksud:
“Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama
seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang
makruf…” (Al-Baqarah 2:228)
Kalau suami dibenarkan
menceraikan isteri yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami,
apakah munasabah jika isteri tidak boleh meminta cerai dari suami yang tidak
menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri? Adilkah begitu?
Mungkin yang menjadi sandaran
mereka yang mengatakan isteri yang meminta cerai tidak mencium syurga adalah
hadis yang diriwayatkan daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda
maksudnya:
“Mana-mana isteri yang meminta
cerai dengan suaminya tanpa sebab yang mengharuskan (min ghairi ba’s), haram ke
atasnya bau syurga.”
Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi
dan Ibn Majah. Al-Albani mengkategorikannya sebagai sahih.
Hadis itu menyebut “meminta
cerai tanpa sebab yang mengharuskan”. Maknanya tanpa apa-apa sebab yang
munasabah dan diterima di sisi syarak. Jika ada sebab, ia tidak haram dan tidak
diharamkan bau syurga.
Untuk lebih jelas, ikuti
kisah yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w. ini:
Isteri Thabit bin Qais r.a.
datang bertemu Rasulullah s.aw. Beliau mengadu:
“Ya Rasulullah, Thabit bin
Qais, aku tidak mencela akhlak dan agamanya, tetapi aku benci kufur selepas
Islam. (Di dalam riwayat Ibn Majah, ada tambahan:) “aku tidak mampu tanggung
kebencian.”
“Adakah engkau mahu pulangkan
kebunnya?” Tanya Rasulullah s.a.w.
“Ya” jawabnya.
Rasulullah s.a.w. perintahkan
suaminya, Thabit, “Ambillah kebunmu dan ceraikanlah dia satu talaq.”
(Al-Bukhari, Muslim dan Ibn
Majah)
Ulamak mentafsirkan ungkapan
“benci kufur selepas Islam” dengan maksud: “takut melakukan perbuatan-perbuatan
yang bercanggah dengan hukum Islam seperti benci suami, derhaka, tidak tunai
hak-haknya (Fath al-Bari)
Kalaulah minta cerai itu
haram, tidak dapat mencium bau syurga, tentu Nabi s.a.w. akan menegur isteri Thabit
ini dan mengingatkannya akibat buruk yang akan menimpanya. Namun apa yang
berlaku baginda bukan sahaja tidak menegur, malah melayani kehendaknya. Walhal
sebab yang mendorongnya meminta cerai bukan kerana didera atau tidak diberikan
haknya sebagai isteri. Tetapi sebabnya dia tidak suka kepada suaminya dan
bimbang dengan sebab itu dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab yang
sepatutnya terhadap suaminya.
Kesimpulan:
Tulisan ini tidak bertujuan
untuk menggalakkan isteri segera meminta cerai apabila berlaku perkara yang
tidak menyenangkan dengan suami.
Tujuannya hanyalah untuk
menjelaskan hak-hak isteri yang dijamin oleh Islam berdasarkan apa yang diajar
dan diamalkan oleh Nabi kita s.a.w.
Rumah tangga bukan penjara
bagi wanita. Suami tidak pernah diberi lesen untuk menyakiti dan mendera isteri
sama ada secara fizikal, mental, seksual, emosi dan apa saja cara. Dan isteri
tidak pernah dipaksa menanggung derita akibat didera atas alasan mengharap
menghidu haruman syurga.
Jangan biarkan diri menanggung
sengsara akibat kejahilan sendiri. Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap
umat Nabi Muhammad s.a.w.