Nuzul Quran : Titik Tolak yang Mengangkat Martabat Wanita

Nuzul Quran : Titik Tolak yang Mengangkat Martabat Wanita

Terlahir sebagai wanita di zaman arab jahiliyyah, adalah mimpi ngeri yang begitu menakutkan. Bayangkan anda menyaksikan anak perempuan sendiri, ditanam ketika masih kecil, dipandang sebelah mata, dinafikan hak dalam harta, perkahwinan, sosial dan banyak lagi aspek lainnya dalam kehidupan. 

Turunnya wahyu al-Quran ke atas Baginda Nabi Muhammad SAW, adalah sebuah titik tolak kepada kehidupan yang lebih baik bagi masyarakat arab, terutama para wanita. 

Menghayati semangat nuzul quran pada tahun ini, mari kita renungkan semula beberapa ayat al-Quran yang mengangkat martabat wanita dan mendorong semangat wanita untuk turut sama dengan lelaki dalam mengejar pahala dan peluang amal kebaikan.

 

Penghargaan al-Quran terhadap suara wanita
Di dalam al-Quran terdapat sebuah surah yang dimulakan dengan ayat yang begitu meyentuh hati para wanita. Surah tersebut dinamakan Al-Mujadalah. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil ia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Al-Mujadalah:1)

Dalam ayat ini, Allah Azza Wa Jalla, menyatakan bahwa Dia mendengar, keluhan seorang wanita, Khaulah binti Tsalabah yang mengadu kepada Nabi SAW perihal perilaku ‘zihar’ oleh suaminya. Ketika nabi SAW berdiam diri dan belum mampu memberikan jawapan, Allah SWT sendiri menjawab dengan turunnya ayat yang menetapkan kifarah (denda) yang perlu ditunaikan atas kesalahan suaminya itu.

Meraikan hak wanita dalam urusan harta dan pewarisan

Antara penindasan terhadap hak wanita yang ketara di zaman jahiliyyah, adalah berkenaan kepemilikan harta dan pewarisan. Lebih keji lagi, wanita dianggap sebagai objek yang boleh diwariskan ketika suaminya meninggal. Kezaliman ini akhirnya terhapus dengan turunnya beberapa ayat al-Quran tentang wanita yang berhak menerima harta warisan mengikut ketentuan faraid (An-Nisa’:11). Al-Quran juga mengakui hak bahagian harta wanita yang tidak boleh diambil sewenang-wenang. Firman Allah SWT:

 

Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuan dengan jalan paksa. Janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Pergaulilah mereka dengan cara yang patut. Jika kamu tidak menyukai mereka, (bersabarlah) karena boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya.” (QS. An-Nisa’: 19)

 

Peluang dan ganjaran yang setara bagi lelaki dan wanita dalam beramal


Dengan turunnya al-Quran, Allah SWT bukan sahaja mengakhiri penindasan terhadap wanita, namun Allah SWT juga menjelaskan bahwa lelaki dan perempuan mempunyai peluang yang sama untuk beramal soleh, serta berperanan dalam masyarakat.

 

Ummu Salamah pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang status wanita yang ikut berhijrah. Adakah mereka juga mendapat ganjaran setara dengan lelaki yang berhijrah? Allah Azza Wa Jalla menegaskan:

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): ‘Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan ugamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan ugamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh… (Ali Imran: 95)

Dalam sambungan ayat tersebut, Allah SWT menjanjikan ganjaran berupa pengampunan, dan dimasukkan ke dalam syurga Allah. Sebuah pengakhiran yang mulia, bagi para lelaki dan wanita yang berkorban dan berhijrah demi mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.

Piagam Wanita Islam: Prinsip kesamarataan lelaki dan wanita 

Sidang pembaca yang dimuliakan, selepas merenungi beberapa firman Allah SWT di atas, izinkan saya mengajak anda semua menghayati sebuah konsep yang sangat penting dalam hak dan kesetaraan wanita di masa kini, yang termaktub dalam sebuah piagam, bernama piagam wanita Islam:

Pertama
Mengiktiraf kepentingan peranan wanita dalam pembangunan diri, keluarga dan masyarakat yang mana peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi dalam usaha mewujudkan umat pertengahan.

Kedua
Mengiktiraf prinsip kesamarataan dan kesaksamaan lelaki dan wanita menurut nilai-nilai Islam dengan mengambil kira fungsi biologi dan peranan setiap jantina dan kemampuan mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada keluarga dan masyarakat. 


Ketiga
Mengiktiraf dan menuntut lelaki dan wanita berperanan dalam memantapkan dan mengukuhkan institusi keluarga. 

Piagam ini telah dilancarkan pada tahun 2017 dalam bentuk sebuah buku kecil yang membahas lebih rinci mengenai tiga konsep di atas. Ia merupakan sebuah terjemahan konsep kesamarataan dan kesaksamaan yang singkat dan padat berpandukan al-Quran, sunnah, dan fikrah para ulama, serta mengambil kira sudut pandang perkembangan ilmu semasa. Besar harapan kami, agar piagam ini dapat dijadikan panduan kita bersama dalam mengharungi cabaran wanita dalam berperanan. Baik dalam ruang lingkup peranan sebagai isteri, ibu, anak, wanita yang berkerjaya/berniaga, serta peranan-peranan lainnya. 

Akhir kalam, semoga peristiwa nuzul quran mengingatkan kita, bahwa al-Quran telah menjadi titik tolak dalam meletakkan martabat wanita di tempat yang selayaknya. Perspektif al-Quran tidak melihat hak wanita, dalam terma feminism barat yang sempit, akan tetapi di atas kefahaman yang mendalam terhadap fitrah wanita, menghargai psikologi, emosi, dan fizikalnya. Melalui pendekatan ini, al-Quran dan sunnah memberikan wanita panduan dan inspirasi untuk berganding bahu dengan lelaki demi melaksanakan misi memakmurkan bumi Allah dengan nilai Islam dan rahmah. Semoga kita diberikan taufik dan inayah untuk memahami dan mengamalkannya.

Salam Nuzul Quran 1446 Hijrah

Ustazah Sallawahiu binti Mohd Salleh
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

Mahligai Cinta Perdana Raikan 34 Pasangan Pengantin

Mahligai Cinta Perdana Raikan 34 Pasangan Pengantin

Kepimpinan Wanita IKRAM telah menghadiri Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana yang diadakan pada 30 November 2024, yang telah berlangsung meriah dengan meraikan seramai 34 pasangan pengantin di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati.

mahligai cinta perdana wanita ikram lppkn Datuk Seri Nancy Shukri

Majlis anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri.

mahligai cinta perdana wanita ikram hajah nancy shukri ustazah sallawahiu

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dalam ucapan beliau, YB Dato’ Sri Hajah Nancy menegaskan bahawa penganjuran majlis ini bertujuan memartabatkan institusi perkahwinan sekaligus menggalakkan lebih ramai individu untuk mendirikan rumah tangga.

Beliau turut mengulas cabaran yang dihadapi keluarga di Malaysia, seperti kesukaran mengimbangkan masa bersama keluarga, kestabilan kewangan, kos sara hidup yang meningkat, dan penurunan nilai-nilai murni dalam institusi keluarga.

Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penurunan bilangan perkahwinan sebanyak 12.5%, iaitu daripada 215,022 pada tahun 2022 kepada 188,100 pada tahun 2023. Masalah kewangan, kekurangan calon yang sesuai, dan fokus kepada kerjaya dikenal pasti sebagai punca utama golongan muda menangguhkan perkahwinan atau memilih untuk tidak berkahwin.

Sebagai langkah proaktif, KPWKM melalui LPPKN telah memperkenalkan Kursus Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0. Kursus ini, yang telah diadakan secara dalam talian dan fizikal pada 16 dan 23 November yang lalu, bertujuan memberi persediaan kepada pasangan untuk memahami peranan masing-masing, mengurus konflik keluarga dengan bijaksana, serta mengukuhkan institusi perkahwinan bagi mengelakkan risiko perceraian.

mahligai cinta perdana wanita ikram hajah nancy shukri ustazah sallawahiu pasangan

Turut hadir pada Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana adalah Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, Puan Juwairiya Zulkifli, Timb. Pengerusi LPPKN, Hj Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, Hj Badlishah Sham Baharin, Presiden IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, Ketua Wanita IKRAM, Dr Ani Ahmad, Yang Dipertua MPAJ, Puan Rosmonaliza Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN dan pegawai-pegawai kanan kementerian serta agensi.

Wanita IKRAM mendoakan pasangan yang diraikan dapat merasai detik perkahwinan yang indah dan majlis ini dapat mengukuhkan institusi perkahwinan di Malaysia.

Sumber foto: LPPKN

Gangguan Seksual: Apa Peranan Kita?

Gangguan Seksual: Apa Peranan Kita?

wanita IKRAM - Gangguan Seksual Peranan Mangsa Individu Saksi

Gangguan seksual adalah isu serius yang memerlukan perhatian khusus dari semua pihak, terutama bagi mangsa. Jika Anda atau seseorang yang Anda kenal menjadi mangsa gangguan seksual, ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk mendapatkan bantuan dan melindungi diri.

Pertama, penting untuk bercerita kepada orang yang dipercayai, seperti kawan rapat, ahli keluarga, atau kaunselor. Dukungan emosional dari mereka dapat membantu mangsa merasa lebih kuat dan tidak sendirian dalam menghadapi situasi ini.

Kedua, bersiaplah dengan segala kemungkinan. Kumpulkan bukti seperti tangkap layar telefon atau merakam perbualan dapat menjadi langkah penting. Bukti ini tidak hanya memperkuat laporan, tetapi juga memberikan kejelasan mengenai situasi yang dialami.

Setelah itu, membuat aduan kepada pihak berkuasa adalah langkah yang krusial. Melaporkan gangguan seksual kepada tribunal atau polis adalah cara untuk menuntut keadilan. Pihak berkuasa memiliki tanggung jawab untuk menyelidiki laporan dan mengambil tindakan yang sesuai.

Akhirnya, dapatkan bantuan daripada pihak yang berkenaan. Terdapat pelbagai saluran untuk mendapatkan bantuan, seperti menghubungi talian kasih di 15999 atau membuat aduan melalui WhatsApp ke nombor 019=2615999. Anda juga boleh melaporkan kejadian tersebut kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mendapatkan sokongan lebih lanjut.

Sebagai individu, kita juga memiliki peranan penting dalam menciptakan lingkungan yang lebih aman. Dengan memberi dukungan kepada mangsa dan bersikap proaktif dalam melaporkan kejadian, kita dapat membantu mengatasi masalah gangguan seksual di masyarakat. Mari kita ambil langkah tegas untuk melindungi diri sendiri dan orang lain.