Tabung Kewangan Keluarga Musim Pandemik?

Tabung Kewangan Keluarga Musim Pandemik?

Sembang Santai Ekonomi Keluarga dengan Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir

Kerap-kali  kita bercakap tentang tabung kewangan keluarga semasa ekonomi biasa-biasa.  Kini telah 18 bulan dunia menghadapi pandemik covid-19.  Kesan yang amat ketara kepada kedudukan ekonomi dunia. Malaysia tidak ketinggalan. Kesannya amat besar kepada masyarakat kita.  Ramai yang kehilangan  pendapatan kerana aktiviti ekonomi terpaksa dibekukan bagi mengawal penularan wabak covid 19.

Mari sama-sama kita ikuti apa kata pakar kewangan: 

1. Apakah ‘tabung kewangan keluarga’ masih relavan untuk diperkatakan di waktu ini?

Jawapan:

InsyaAllah masih ada lagi sebahagian besar masyarakat yang mampu membuat tabungan atau simpanan lebih-lebih lagi setelah mengambil ibrah atau pengajaran situasi kewangan semasa Pandemik. Begitu pentingnya tabungan. Apa lagi  jika kita merupakan di kalangan mereka yang terkesan – diberhentikan kerja/dikenakan potongan gaji/disuruh cuti tanpa gaji/usahawan yang terjejas akibat penutupan sektor ekonomi. Kesan tidak menyediakan tabungan kewangan sebelum Pandemik pasti sudah dirasai keperitannya sekarang. Bagi yang berjaya menyimpan secara konsisten atau istiqamah, sudah pasti anda menarik nafas lega sebab tabungan telah berjaya meringankan beban aliran wang tunai anda.

Bagi yang TIDAK terkesan anda  sekarang tidak punyai alasan  untuk tidak memulakan simpanan atau tabungan sekiranya anda masih liat melaksanakan disiplin ini. Paksa diri sekarang dan syukur bahawa  anda bukan dalam kategori mereka yang terkesan dengan pandemik.

Bagi yang cukup cukup makan, carilah ruang untuk tambah pendapatan, masa inilah peluang menggunakan apa sahaja skil atau kemahiran yang anda ada bagi membolehkan anda menjana pendapatan.  

2.  Bagaimana agaknya cara terbaik  penyimpanan dan perbelanjaan masa sebelum kita dilanda Pandemik COVID -19 ini dan  masa sekarang yang sedang kita harungi – apa perbezaannya ?

Jawapan:

Perbezaan ketara cara penyimpanan masa Covid19 dan sebelum dilanda Pandemik adalah anda mesti berhati- hati, jangan cepat percaya atau terpedaya dengan janji janji manis promoter skim cepat kaya. Sekarang semakin menjadi-menjadi skim seperti ini sebab potensi jumlah pengeluaran i-citra dan lain lain di kalangan ahli penabung KWSP.

Pilih opsyen simpanan yang selamat seperti SSPNI (Pelan Simpanan Pendidikan PTPTN) atau skim amanah saham yang diluluskan dan senang anda mengeluarkan apabila perlu.

Perbezaan cara perbelanjaan semasa Covid adalah anda mesti berhemah lebih lebih lagi. Rancanglah sebaik mungkin sebab tidak pasti bila keadaan ekonomi akan kembali normal. Jika dulu anda tidak pernah membuat “belanjawan” atau “bajet keluarga”, mulailah sekarang. Carilah pilihan yang lebih menjimatkan atau amalkan “diet perbelanjaan.”

3. Masalah kewangan dulu dan sekarang amat berbeza. Mungkin dulu kita mempunyai masalah kewangan seperti ada hutang-hutang, kita masih ada pendapatan tetap. Sekarang pendapatan kurang dari jumlah hutang yang ada, apakah yang perlu dilakukan bagi mreka yang menghadapi  situasi begini? 

Jawapan:

Bagi yang terkesan atau mereka yang dalam situasi begini contohnya pendapatan sudah tiada atau berkurangan tetapi hutang masih ada. Walaupun diberi moratorium tetapi akhirnya kena bayar juga. Tindakan untuk menjana pendapatan mesti cepat diikhtiarkan sebelum situasi moratorium ditarik semula.

Catit semua perbelanjaan yang memang amat diperlukan setiap bulan. Cuba mencari alternatif  yang paling murah. Jika tidak boleh kurangkan perbelanjaan, kita harus tingkatkan pendapatan, tiada pilihan lain, banyak peluang penjanaan pendapatan tapi hendaklah memilih yang sesuai dengan minat dan keupayaan anda. 

Aliran wang tunai terdiri dari dua kategori sahaja, belanja atau simpan. Formula kekayaan yang kami sering berkongsi adalah seperti berikut:

Wang Masuk (pendapatan/pelaburan/sewaan) – Simpanan = Perbelanjaan

Pastikan anda berunding dengan pihak bank dan nyatakan kemampuan anda dalam masa sekarang dan perancangan masa depan untuk langsaikan hutang.

4. Malu untuk menyatakan yang “saya mempunyai masalah kewangan” kerana malu dengan apa orang kata. Akhirnya hidup sengsara & takut untuk keluar dari belenggu masalah tersebut? Komen dan nasihat.

Jawapan:

Jangan malu dengan keadaan kewangan anda sebab anda bukan bersendirian, ia adalah masalah satu dunia. Berdepanlah dengan masalah kewangan anda lebih-lebih lagi dengan pihak bank yang memberi pinjaman. Semua masalah kewangan ada jalan keluarnya. Jangan membuat sebarang keputusan kewangan apabila anda dalam keadaan tidak rasional atau sedang sedih dan kecewa dengan keadaan. Dapatkan ketenangan dengan banyak membaca Al Quran dan tadabbur maknanya sekali. Apabila jiwa sudah tenang barulah keputusan boleh dibuat.

Ayat 155 dari surah Al Baqarah maksudnya:

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta.jiwa dan buah buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang orang yang sabar.”

Ayat 152 dari surah al Baqarah maksudnya:

“Maka ingatlah kepadaKu, Aku pun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepada Ku dan janganlah kamu ingkar kepadaKu.”

Jika anda buntu, banyak  tempat anda boleh mengadu seperti ke Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) agensi dibawah BNM yang melaksanakan kaunseling kewangan tanpa mengenakan caj/yuran. Jangan sekali-kali pergi ke “AhLong” untuk mendapatkan pinjaman walaupun untuk jangkamasa pendek. Pergilah mengadu nasib dengan pusat pusat zakat atau NGO berhampiran yang ramai menghulurkan bantuan.

5. Pengurusan kewangan ini bukan semata-mata hanya perbelanjaan, penyimpanan & pelaburan. 

 Ia juga perlu seimbang antara keperluan dan kehendak supaya dengan keseimbangan itu  kita merasa sedikit nikmat kehidupan. Adakah anda setuju? Ditakuti hidup ini hanya ditekankan soal bebanan sahaja, tiada sedikit pun usaha untuk bahagiakan diri dan keluarga. 

Jawapan:

Pengurusan kewangan seperti dalam Kubah Kehidupan merangkumi pelbagai aspek duniawi dan ukhrawi juga  demi mencapai Hayaan Tayyibah, kehidupan yang terbaik.

Islam pandang rendah kepada pemboros dan samakan mereka dengan saudara syaitan sepertimana dalam Surah Al Israa ayat 27 maksudnya:

“ Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula  adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Kepentingan  membezakan   di antara keperluan  dan kemahuan akan mengimbangi perbelanjaan kita. 

6. Melihat pada zaman sekarang, simpanan kewangan untuk pendidikan dan kesihatan adalah antara antara faktor penting untuk diambil kira dalam bajet keluarga. Berikutan musim Covid 19 memerlukan  banyak sokongan perubatan harian untuk hindarkan penyakit dan selain itu  pendidikan PDPR juga  menelan kos yang tinggi.  Sejauhmana dua jenis simpanan ini perlu kita cakna?

Jawapan:

Memang jika sebelum pandemik, lazimnya  kita tidak ambil cakna tentang keperluan perlindungan/takaful. Musibah seperti wabak penyakit jarang difikrkan sebagai satu keberangkalian. Tidak pernah kita bayangkan kadar kematian di satu hospital boleh meningkat ke puluhan orang sehari.

Sekarang kita harus bertindak mengambil perlindungan diri dan perlindungan untuk perubatan serta kemasukan ke hospital.

Ambillah perlindungan perubatan yang anda mampu. Untuk tabung Pendidikan anak-anak , tabungan pendidikan  SSPIN antara yang terbaik di pasaran dengan dividen tahunan mencecah 4%.

7. Ada rakyat kita sekarang ini dahulunya bekerja tetapi sekarang mula “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Mereka sudah tidak fikir perancangan kewangan pada masa akan datang, cukuplah fikirkan sekarang untuk hidup ini. Boleh kongsikan kata-kata semangat bagi mereka ?

Jawapan:

Kata kata semangat sebaiknya diambil dari Al-Quran dan hadith..

Walau apapun terjadi kita mesti pegang pada 5 perkara ini:

  1. Syukur – apapun terjadi pada kita Allah dah rancang yang terbaik.
  2. Yakin dengan janji Allah setiap perkara yang berlaku kepada kita ada hikmah yang tersimpan disebaliknya.
  3. Sedekahlah walaupun kita fikir kita dalam kesempitan ,ada yang lebih sempit.
  4. Istighfar banyak-banyak, moga Allah ampunkan dosa dan beri jalan keluar dari permasalahan
  5. Tahajud – rajinlah mengadu pada Allah dengan amalan tahajud, kekuatan akan datang pada anda sebab anda rapatkan diri dengan Yang Maha Kaya

HAJAH ROHANI BINTI DATUK HAJI MOHD SHAHIR

Penulis Buku Perancangan Kewangan Islam

Pakar Perunding Kewangan Islam

Hijrahwealth Management Sdn Bhd

2hb Ogos 2021

Episod Kedua INSIGHT – SALAM

Episod Kedua INSIGHT – SALAM

Kanak-kanak memang suka bermain dan meneroka pelbagai perkara bersama kawan-kawan, namun disebabkan PKP ini semua aktiviti menjadi terhad dan terkawal.

Krisis perkembangan mungkin berlaku dan boleh menyebabkan kesan jangkamasa panjang apabila mereka dewasa kelak.

Saksikan Episod Kedua INSIGHT – SALAM bersama Pakar Psikologi Perkembangan untuk ketahui sejauh mana keadaan ini memberi kesan terhadap perkembangan emosi dan psikologi kanak-kanak.👶🏻

INSIGHT: Episod 2: Perkembangan Kanak-kanak
🧑🏻‍💼Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai (Pakar Psikologi Perkembangan, UKM)
🧕🏻Puan Nurhakimah Mohamud
🗓️ Jumaat, 20 Ogos 2021
⏰ 9.00 Malam
🎦 TV IKRAM
🎥 FB Wanita IKRAM Malaysia

LIKE dan SHARE!
https://www.facebook.com/296975890384137/posts/4229134613834892/

Subscribe >> https://youtube.com/c/ikrammalaysiaTV

Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti

Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti

Manhaj Rabbani merupakan sebuah jalan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah Taala untuk seluruh makhlukNya. Berpegang kepada Al Quran dan Sunnah Sahihah adalah ukurannya. Para salafus soleh sangat berpegang pada manhaj ini, lantaran itu mereka berjaya mencipta tamaddun unggul yang sangat gemilang.

Frasa ini telah dipilih sebagai tema sambutan Maal Hijrah tahun ini. Sehubungan itu ummat Islam di Malaysia sewajarnya menghayati tema ini sebagai usaha kita untuk kembali bangkit menjadi ummat yang gemilang juga. Kerana kita tidak akan menjadi gemilang  melainkan mengambil sebab-sebab kejayaan yang telah dilalui generasi salaf yang gemilang itu.

Ummah berkualiti boleh dilihat dan dinilai melalui neraca-neraca berikut :

1.Sejahtera di sudut akidah: 

Ini membawa maksud seorang itu mengesakan Allah Taala, menolak unsur-unsur syirik samada dalam keyakinan atau amalannya. Fikirannya tidak dikotori oleh khurafat dan tahyul, taat kepada Allah Taala dengan melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang diharamkan Allah, bahkan menjauhi yang makruh.

Ia juga seorang yang taat kepada Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam, melaksanakan perintah Rasulullah saw dan meninggalkan apa yang baginda larang. Menyintai Rasulullah saw, dengan mengamalkan Sunnah baginda, memperjuangkan ajarannya dan manjadikan baginda sebagai ikutan (‘role model’) sepanjang zaman. Selain itu, ia meyakini semua rukun iman yang lain dengan sempurna.

2.Ibadah yang sahih: 

Seorang muslim berkualiti adalah pemilik ibadah yang sahih, cara dan sumber ibadah itu tentu dari Allah, menurut apa yang yang dicontohkan oleh Nabi.

Tiada terkurang dalam ibadahnya dan tiada terlebih dari apa yang ditunjukkan oleh Nabi.

Beliau seorang yang ikhlas dan istiqamah dalam ibadah, melazimi ketaatan tersebut samada dalam keadaan susah atau senang, suka atau tidak, malah ia tekun beribadah.

Beliau seorang pencinta ilmu kerana itu adalah syarat kesempurnaan akal, ibadah dan membawanya ke mercu kemuliaan.

3.Akhlak yang mantap: 

Bukti iman dan takwa seorang muslim berkualiti terlihat pada keperibadiannya.

Bahkan akhlak adalah ledakan takwanya, di mana hati adalah tapak semaian asas iman. Jika baik hati maka baiklah anggota zahirnya, baiklah tutur katanya, pandangannya, tingkahlakunya malah perasaannya. 

Dia sentiasa benar dalam perbuatan dan tuturkata, memelihara amanah, ikhlas dalam perbuatan, tekun dalam pekerjaan yang diamanahkan, sentiasa bersyukur atas rezeki dari Allah, sabar dalam taat, sabar terhadap maksiat dan ujian kesusahan yang melanda.

Muslim berkualiti juga sentiasa adil ketika marah atau suka, juga dalam melayani insan di sekitarnya, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dia juga seorang yang kuat bermujahadah dengan nafsunya, melawan godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa menyuruh berbuat maksiat dan kejahatan. Bersikap lembut, sopan, tawadhu’, tidak mencela orang lain, menjaga lisan daripada menyakiti orang lain apalagi sesama muslim samada ketika berhadapan atau di media sosial.

Seorang yang bijak mengurus masanya dan menyusun urusan peribadinya. Tidak membazir masanya pada perkara yang sia-sia seperti hiburan yang berlebihan.

4.Badan yang sihat dan kuat: 

Seorang muslim berkualiti mesti memiliki fizikal yang sihat agar dapat menunaikan segala kewajiban kepada keluarga, agama dan masyarakat dengan sempurna, kerana pengabdian seorang hamba itu kebanyakannya perlukan pengorbanan jiwa dan fizikal secara serentak seperti solat, puasa, haji dan jihad fi sabilillah. Namun jika ia sakit itu tidak bermakna ia cacat dalam pandangan agama.

5.Cerdik dalam berfikir: 

Ciri ini juga penting untuk mencapai tahap muslim berkualiti kerana Nabi adalah ‘Fathanah’.

Hal ini sangat penting baginya untuk melaksanakan kewajiban kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Apalagi jika ia menjadi pemimpin masyarakat dan negara.

Beliau seorang berwawasan tinggi, mempunyai matlamat hidup yang jelas dan cemerlang, bekerja mencapai wawasan itu dengan kemas dan berkesan.

6.Rajin berusaha untuk nafkah hidupnya: 

Beliau hendaklah mampu berusaha menyara diri dan orang di sekitarnya, malah untuk membantu orang-orang miskin yang lemah dalam masyarakatnya. Seorang muslim yang kaya lebih utama daripada yang meminta-minta pada orang. Bahkan kemandirian ekonomi adalah ciri penting untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan menjadi pemimpin yang ditaati. Dengan itu juga dia akan menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain di sekelilingnya.

7.Berfikiran positif: 

Muslim berkualiti semestinya sentiasa berfikiran positif, beliau mengukir kehebatan dalam minda dan diterjemahkan dalam tindakannya. Mengambil contoh dari Rasulullah saw dan para sahabat baginda, di mana ketika di Makkah mereka ditindas dengan teruk namun Nabi mengajar sahabat agar sentiasa mengharapkan kemenangan di masa depan. Setelah hijrah, hal itu menjadi kenyataan. Dia jauh sekali daripada putus asa ketika diuji.

8.Menyantuni manusia: 

Ciri yang lain ialah menyantuni insan di sekitarnya, lidahnya sentiasa mengajak kepada kebaikan dengan akhlak yang baik, mencegah yang munkar dalam keluarga dan masyarakatnya, membantu yang kekurangan, supaya dengan itu hati manusia akan terpaut padanya dan mengikuti dakwahnya. 

9.Membangun ummah: 

Ummah berkualiti menjadikan pembangunan ummah sebagai gagasan besarnya,  berusaha membangun ummah yang cemerlang persis generasi pertama Islam, menyatukan ummah bermodalkan takwa dan iman jitu serta akhlak yang teguh, perjuangan tanpa sempadan geografi atau bangsa, membawa misi Islam sejagat. Mereka berani menyuarakan teguran-teguran kepada pemimpin di negaranya malah di peringkat antarabangsa ke arah keamanan dunia. Mereka berjuang membantu saudara muslimnya walau terpaksa mengharungi cabaran getir di sempadan negara yang bergolak, demi cinta kepada saudara muslimnya.

Dalam usaha ini wanita muslimah juga turut sama menggalas bebanan, mengambil teladan dari Ummahaat mu’minaat dan sahabiyah di zaman gemilang itu, mereka turut berpenat lelah membangun ummah bersama rijal muslimin. Tidak diragukan bahawa sumbangan wanita muslimah di Malaysia berada di tahap cemerlang berbanding negara-negara Islam di dunia, dengan penampilan berbusana muslimah, sopan dan berhemah, wanita kita telah berjaya menjadi contoh unggul buat ummah di zaman ini. Alhamdulillah.

Sempena tema Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti ini, saya mengajak diri saya dan saudara saudari untuk kita bertekad mengekalkan keunggulan yang telah kita miliki ini dan berusaha memperbaiki diri demi mencapai ciri-ciri muslim berkualiti yang telah disarankan oleh para ulama’ kita seperti di atas. 

Wallahu a’lam.

Oleh : Ustazah Shahidah bt Sheikh Ahmad

INSIGHT bersama Wanita IKRAM di TV IKRAM

INSIGHT bersama Wanita IKRAM di TV IKRAM

Sukacita Wanita IKRAM Malaysia dengan kerjasama TV IKRAM, membawakan satu segmen baharu iaitu INSIGHT. Segmen ini akan membawakan pelbagai topik menarik berkaitan wanita, keluarga dan kanak-kanak.

Musim pertama ini (SEASON 1) Wanita IKRAM membawakan INSIGHT bersama SALAM, yang akan membawa aspirasi bagi membangun dan membela kanak-kanak di Malaysia.

SALAM singkatan bagi Sayangi dan Lindungi Anak-anak Malaysia merupakan usaha pembinaan suasana dan budaya sihat untuk pertumbuhan holistik anak-anak di Malaysia.

Saksikan Episod pertama INSIGHT bersama Pesuruhjaya Kanak-kanak tentang perkembangan dan pembelaan kanak-kanak pada hari ini untuk memastikan kelangsungan tamadun.

INSIGHT : Episod 1: Sayangi Kanak-kanak

Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal (Pesuruhjaya Kanak-kanak, SUHAKAM)

Puan Nurhakimah Mohamud

Jumaat, 6 Ogos 2021

9.00 Malam

TV IKRAM

FB Wanita IKRAM Malaysia

LIKE dan SHARE!

Subscribe >> https://youtube.com/c/ikrammalaysiaTV

WANGI Gelombang Taawun

WANGI Gelombang Taawun

Keprihatinan yang konsisten dipamerkan oleh Wanita IKRAM seluruh Malaysia terhadap keperluan masyarakat pada era pandemik ini.

Program WANGI diteruskan dalam suasana PKP dengan membawa tema ‘WANGI GELOMBANG TAAWUN’. Taawun bermaksud saling tolong menolong.

Hadis bagi WANGI kali ini ialah:

وَاللهُ فِى عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ اْلعَبْدُ فِى عَوْنِ اَخِيهِ

bermaksud:

Allah akan menolong seorang hamba selama hamba itu mahu menolong saudaranya.” (HR. Muslim)

Bantuan berupa kewangan dan barang-barang keperluan harian disumbangkan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dan terkesan dengan PKP.

Sebagai contoh, sumbangan sebanyak 360 bungkusan beras daripada ahli-ahli Wanita IKRAM Melaka telah diberikan untuk projek ‘Food Bank’. Selain daripada itu, beras yang dibungkus 2 kg setiap pek itu juga diagihkan kepada pihak Gedung Rezeki Ayer Molek, Team Telok Mas dan Food Bank Petronas Tangga Batu untuk dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan.