Masjid Qiblatain, Israk Mikraj, dan Tarbiah Yang Membangunkan Jiwa

Masjid Qiblatain, Israk Mikraj, dan Tarbiah Yang Membangunkan Jiwa

Jika anda pernah menjejakkan kaki ke bumi Madinah untuk melaksanakan ibadah haji atau umrah, pasti anda pernah ziarah ke sebuah masjid unik bernama “Qiblatain” (dua kiblat). Mengapa ia dinamakan dengan Qiblatain? 

 

Pada sekitar tahun ke-2 hijrah, Nabi Muhammad SAW sedang memimpin solat berjemaah menghadap Masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama kaum muslimin. Ketika itu, Allah menurunkan ayat Surah Al-Baqarah ayat 144:


قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ١٤٤

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya.

 

Serta merta, Nabi SAW yang sedang menjadi imam, berpusing menghadap Masjidil Haram, diikuti oleh para sahabat yang menjadi makmum. Oleh sebab itu, masjid ini diberi nama Qiblatain (dua kiblat) kerana terdapat dua buah mihrab kiblat yang saling berhadapan. Satu menghadap Masjidil Aqsa dan satu lagi menghadap ke Masjidil Haram.

 

Jika Masjid Qiblatain merakamkan perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram, Israk mikraj pula merakamkan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram, ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke sidratul muntaha (langit ketujuh). Oleh itu, sempena memperingati Israk Mikraj tahun ini, mari kita hayati bersama perjalanan agung ini dan menjadikannya momentum untuk membangun jiwa.

 

Sidang pembaca yang budiman,

Pelajaran pertama dapat kita ambil dari Israk Mikraj adalah, pejuang kebenaran tidak akan pernah ditinggalkan oleh Allah SWT.

Pada sekitar tahun ke-10 selepas diangkat menjadi rasul, Nabi Muhammad SAW melalui fasa yang mencabar dalam dakwah. Di tahun itu, telah wafat dua penyokong tegar perjuangan beliau, iaitu Abu Thalib dan isterinya, Khadijah. Sejarah merakamkan tahun itu sebagai ‘amul huzn atau tahun kesedihan.

Dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, Allah SWT tidak membiarkan Rasulullah SAW dalam kesedihan. Allah ‘Azza Wa Jalla memberi suntikan semangat Nabi Muhammad SAW dengan perjalanan Israk Mikraj untuk membangunkan semula jiwa Nabi SAW yang diselimuti kesedihan. 

Perkara ini senada dengan firman Allah SWT, dalam surah Muhammad ayat ke-35:

“Maka janganlah kamu lemah, dan mengajak (pihak musuh) kepada perdamaian, padahal kamulah yang lebih tinggi (kedudukannya), dan Allah berserta kamu, dan Dia tidak akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu.

 

Pelajaran kedua adalah tentang pentingnya menghayati sejarah perjuangan.

Salah satu peristiwa penting dalam Israk Mikraj adalah sebuah checkpoint di bumi Palestin, Masjidil Aqsa. Di masjid ini, Rasulullah SAW diberikan kemuliaan untuk menjadi imam solat kepada para nabi dan rasul.

Betapa bahagia hati Nabi SAW, menemui para rasul terdahulu. Semakin mantap keyakinan di hatinya bahwa beliau tidak bersendirian dalam dakwah ini. Ia adalah satu perjuangan yang sangat panjang, yang merupakan kesinambungan risalah yang dibawa oleh para nabi dan rasul terdahulu. Kepentingan ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Hud:

“Dan semua kisah para rasul yang Kami ceritakan kepadamu adalah agar dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran, pengajaran, dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.” (Hud:120)

Maha benar firman Allah. Sesungguhnya kisah para rasul terdahulu terdapat pelajaran dan menjadi asbab keteguhan hati dalam meneruskan perjuangan.

 

Pelajaran ketiga pula, adalah kepercayaan dan kebersamaan dalam perjuangan

Selepas peristiwa Israk Mikraj, keesokan harinya, Rasulullah SAW menceritakan perjalanan beliau sepanjang malam itu. Kaum Quraisy yang mendengar cerita itu, mengejek dan menuduh Muhammad SAW sebagai pendusta. Namun apabila Abu Bakar RA mendengar cerita itu, dia menjadi yang pertama membenarkannya. Abu Bakar RA berkata:

“Jika memang beliau mengatakan demikiran, maka sungguh beliau telah berkata benar. Sungguh, bahkan aku sangat mempercayai beliau lebih jauh dari itu. Aku percaya kepadanya tentang berita langit di kala pagi dan petang hari.”

Sejak peristiwa itu gelaran As-Siddiq tersemat pada diri Abu Bakar RA. Demikianlah kepercayaan dan kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq RA. Sahabat peneman setia yang meletakkan kepercayaan dan sentiasa bersama Nabi SAW dalam perjuangan. Dari Abu Bakar As-Siddiq kita belajar, bahwa perjuangan menegakkan Islam perlu kepada penyokong-penyokong yang setia dan kekal bersama dalam pasukan agar dakwah dan perjuangan ini dapat terus berjalan. 

 

Saudara dan saudari pembaca yang berbahagia,

Israk Mikraj bukan hanya peristiwa agung yang diperingati setiap tahun. Ia adalah tarbiah dari Allah SWT untuk membangun jiwa hamba-Nya dengan keimanan yang kukuh. Sebagaimana yang dicontohkan oleh sahabat setia nabi, Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA yang meyakini kebenaran Nabi Muhammad SAW tanpa keraguan.

 

Setelah beberapa tahun Israk Mikraj berlalu, Rasulullah SAW telah berhasil meneruskan tarbiah itu kepada para sahabat ridwanullah ‘alaihim (semoga Allah meredhai mereka). Buktinya dapat dilihat dari keperibadian para sahabat. Salah satunya dalam peristiwa masjid Qiblatain. Saat turun firman Allah SWT untuk mengubah arah kiblat, perintah itu dituruti serta merta. Begitulah kualiti tarbiah yang membangun jiwa. Tarbiah yang melahirkan ketabahan dan ketaatan sempurna pada Allah dan Rasul-Nya. Sudahkah kita mengambil pelajaran?

Salam Israk Mikraj 1446 Hijrah

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita IKRAM Malaysia

Kunjung Hormat MWCQP

Kunjung Hormat MWCQP

|| Lensa Wanita IKRAM || 16 Januari 2025
Kunjung Hormat Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP)
Hari ini menandakan satu langkah bermakna dalam usaha memperjuangkan hak dan solidariti untuk Al-Quds dan Palestin apabila Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat (JKWIP) menerima kunjung hormat daripada Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) di Kompleks IKRAM Pusat, Seri Kembangan.
Pertemuan ini dihadiri oleh wakil JKWIP, iaitu Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, Pn Susilawati Hamzah, Pn Dzilal Abdul Aziz, Pn Hajah Rahana Mat Ghani, Pn Ashwida Abdul Samad, dan Pn Halimah Abdul Hamid, bersama wakil MWCQP yang terdiri daripada Dr Fauziah Hassan, Pn Zuraidah Kornain, Pn Junita Joehari, Pn Norsham Abu Bakar, Pn Mas Ahmah Jonid, dan Pn Irda Farwina Md Faroque.
Pertemuan ini berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah, membincangkan langkah-langkah strategik bagi memperkukuh hubungan, memperluas kerjasama dan usaha kolektif dalam meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap isu Palestin.
Kedua-dua pihak sepakat bahawa sokongan masyarakat Malaysia amat penting, bukan hanya melalui bantuan kewangan dan doa, tetapi juga dengan melibatkan diri dalam inisiatif advokasi, pendidikan, dan penyebaran kesedaran secara berterusan. Dalam konteks Malaysia, diharapkan agar usaha ini menjadi penggerak kepada lebih banyak organisasi, institusi pendidikan, dan komuniti untuk turut sama menyumbang kepada perjuangan rakyat Palestin.
Semoga usaha ini diberkati dan menjadi titik tolak kepada keamanan dan kemerdekaan sebenar untuk Palestin 🤲
Sekitar Pertemuan
Hikmah Orang Tua & Semangat Orang Muda

Hikmah Orang Tua & Semangat Orang Muda

|| Lensa Wanita IKRAM || 11 Januari 2025
Hikmah Orang Tua & Semangat Orang Muda
Telah berlangsung satu pertemuan bermakna dan penuh mahabbah antara pimpinan Akhawat IKRAM Muda Malaysia dan Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat di TENANG Book Kafe, Bangi pada hari Sabtu, 11/1/2025 yang lalu.
Pertemuan ini membuka ruang untuk perbincangan, saling memahami antara satu sama lain tentang cabaran, perjuangan dan perancangan masa hadapan.
Semoga setiap langkah ini membawa impak besar dalam membina Khaira Ummah ✨🤝
🌸 “Tiada hal yang layak dipandang kecil, jika hatinya besar” – Kalam Hikmah
Sekitar Pertemuan
Malaysia, Women and Girls Forum (MWGF 2024)

Malaysia, Women and Girls Forum (MWGF 2024)

|| Lensa Wanita IKRAM || 12 Disember 2024
Malaysia Women and Girls Forum (MWGF 2024)

Wanita IKRAM Malaysia, yang diwakili oleh Naib Ketua Wanita, Puan Dzilal Abdul Aziz, kini hadir bersama dalam edisi keempat Malaysia Women and Girls Forum (MWGF 2024) yang bertemakan “Wanita dan Pembangunan Negara – Asas Kepelbagaian, Kesaksamaan, dan Inklusi”. Forum yang dianjurkan oleh United Nations Malaysia dan UNFPA Malaysia ini, bertempat di Conference & Convention Centre (Nexus), Kuala Lumpur.

MWGF 2024 menekankan kepentingan penglibatan wanita sebagai pemacu utama pembangunan negara, dengan menitikberatkan keadilan perwakilan bagi 50% populasi wanita Malaysia dalam setiap aspek pembangunan nasional. Adalah disarankan agar diwujudkan wakil wanita di setiap peringkat penggubalan dasar dan pelaksanaan program kebajikan, bagi memastikan keperluan dan suara wanita benar-benar didengari dan diberi perhatian sewajarnya. Forum ini turut diserikan dengan ucapan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

MWGF 2024 juga disiarkan secara langsung di platform Facebook dan YouTube rasmi UNFPA Malaysia. Semoga inisiatif dan hasil perbincangan dalam forum ini dapat membawa manfaat yang signifikan kepada masyarakat, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak, dengan memastikan setiap penyelesaian yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan mereka.

Sekitar MWGF 2024

#WanitaIKRAMMalaysia
#BangunkanJiwamu
#mwgf2024

Tahniah Ustazah Maznah Daud!

Tahniah Ustazah Maznah Daud!

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ustazah Maznah binti Daud, mantan Ketua Wanita IKRAM yang pertama (2010–2014), atas penerimaan Anugerah Pendakwah Muslimah dalam Majlis Anugerah Pendakwah Negara 2024 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan yang sangat bermakna terhadap jasa besar Ustazah Maznah dalam dunia dakwah. Semoga anugerah ini terus menginspirasi kita semua untuk berusaha dengan lebih gigih dalam menyebarkan dakwah yang membawa kebaikan kepada umat.

Semoga Ustazah Maznah terus diberkati dengan keberkatan ilmu dan amal, serta menjadi teladan yang baik kepada generasi pendakwah seterusnya. Tahniah juga diucapkan kepada seluruh pendakwah atas pengorbanan dan sumbangan yang tidak ternilai kepada umat dan negara. Semoga kita semua terus diberi kekuatan untuk terus berkhidmat dalam membawa sinar dakwah yang terang.

Kaji Selidik Mengenai Gangguan Seksual

Kaji Selidik Mengenai Gangguan Seksual

kaji selidik mengenai gangguan seksual agenda malaysia

Mari bersama Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA) dalam usaha memahami pandangan lelaki mengenai isu gangguan seksual. Pendapat anda mampu mencetus perubahan!

⏱️ Luangkan hanya 10-15 minit untuk menjawab kaji selidik yang mudah dan ringkas ini. Sebagai tanda penghargaan, anda akan menerima RM10 eWallet selepas melengkapkannya!

📲 Sedia berkongsi pandangan? Klik pautan berikut atau imbas kod QR di poster:
🔗 Versi Bahasa Melayu: https://www.surveymonkey.com/r/surveyGS-malay
🔗 English Version: https://www.surveymonkey.com/r/surveyGS-english

📧 Ada pertanyaan? Hubungi Dr. Sakeena Zahidah di: [email protected]

Jom jadikan suara anda agen perubahan! 💪

 

Penafian:

Tinjauan ini sepenuhnya dimiliki dan dikendalikan oleh Agenda Wanita Malaysia (AGENDA). Wanita Ikram Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas sebarang aspek tinjauan ini, termasuk kandungan, pengumpulan data, atau analisis. Semua maklum balas dan data yang diberikan dalam tinjauan ini adalah di bawah tanggungjawab Agenda Wanita Malaysia.