Tahniah Ustazah Maznah Daud!

Tahniah Ustazah Maznah Daud!

Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ustazah Maznah binti Daud, mantan Ketua Wanita IKRAM yang pertama (2010–2014), atas penerimaan Anugerah Pendakwah Muslimah dalam Majlis Anugerah Pendakwah Negara 2024 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan yang sangat bermakna terhadap jasa besar Ustazah Maznah dalam dunia dakwah. Semoga anugerah ini terus menginspirasi kita semua untuk berusaha dengan lebih gigih dalam menyebarkan dakwah yang membawa kebaikan kepada umat.

Semoga Ustazah Maznah terus diberkati dengan keberkatan ilmu dan amal, serta menjadi teladan yang baik kepada generasi pendakwah seterusnya. Tahniah juga diucapkan kepada seluruh pendakwah atas pengorbanan dan sumbangan yang tidak ternilai kepada umat dan negara. Semoga kita semua terus diberi kekuatan untuk terus berkhidmat dalam membawa sinar dakwah yang terang.

Kaji Selidik Mengenai Gangguan Seksual

Kaji Selidik Mengenai Gangguan Seksual

kaji selidik mengenai gangguan seksual agenda malaysia

Mari bersama Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA) dalam usaha memahami pandangan lelaki mengenai isu gangguan seksual. Pendapat anda mampu mencetus perubahan!

⏱️ Luangkan hanya 10-15 minit untuk menjawab kaji selidik yang mudah dan ringkas ini. Sebagai tanda penghargaan, anda akan menerima RM10 eWallet selepas melengkapkannya!

📲 Sedia berkongsi pandangan? Klik pautan berikut atau imbas kod QR di poster:
🔗 Versi Bahasa Melayu: https://www.surveymonkey.com/r/surveyGS-malay
🔗 English Version: https://www.surveymonkey.com/r/surveyGS-english

📧 Ada pertanyaan? Hubungi Dr. Sakeena Zahidah di: [email protected]

Jom jadikan suara anda agen perubahan! 💪

 

Penafian:

Tinjauan ini sepenuhnya dimiliki dan dikendalikan oleh Agenda Wanita Malaysia (AGENDA). Wanita Ikram Malaysia tidak bertanggungjawab ke atas sebarang aspek tinjauan ini, termasuk kandungan, pengumpulan data, atau analisis. Semua maklum balas dan data yang diberikan dalam tinjauan ini adalah di bawah tanggungjawab Agenda Wanita Malaysia.

Mahligai Cinta Perdana Raikan 34 Pasangan Pengantin

Mahligai Cinta Perdana Raikan 34 Pasangan Pengantin

Kepimpinan Wanita IKRAM telah menghadiri Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana yang diadakan pada 30 November 2024, yang telah berlangsung meriah dengan meraikan seramai 34 pasangan pengantin di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati.

mahligai cinta perdana wanita ikram lppkn Datuk Seri Nancy Shukri

Majlis anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri.

mahligai cinta perdana wanita ikram hajah nancy shukri ustazah sallawahiu

Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Haji Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dalam ucapan beliau, YB Dato’ Sri Hajah Nancy menegaskan bahawa penganjuran majlis ini bertujuan memartabatkan institusi perkahwinan sekaligus menggalakkan lebih ramai individu untuk mendirikan rumah tangga.

Beliau turut mengulas cabaran yang dihadapi keluarga di Malaysia, seperti kesukaran mengimbangkan masa bersama keluarga, kestabilan kewangan, kos sara hidup yang meningkat, dan penurunan nilai-nilai murni dalam institusi keluarga.

Statistik Perkahwinan dan Penceraian Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan penurunan bilangan perkahwinan sebanyak 12.5%, iaitu daripada 215,022 pada tahun 2022 kepada 188,100 pada tahun 2023. Masalah kewangan, kekurangan calon yang sesuai, dan fokus kepada kerjaya dikenal pasti sebagai punca utama golongan muda menangguhkan perkahwinan atau memilih untuk tidak berkahwin.

Sebagai langkah proaktif, KPWKM melalui LPPKN telah memperkenalkan Kursus Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0. Kursus ini, yang telah diadakan secara dalam talian dan fizikal pada 16 dan 23 November yang lalu, bertujuan memberi persediaan kepada pasangan untuk memahami peranan masing-masing, mengurus konflik keluarga dengan bijaksana, serta mengukuhkan institusi perkahwinan bagi mengelakkan risiko perceraian.

mahligai cinta perdana wanita ikram hajah nancy shukri ustazah sallawahiu pasangan

Turut hadir pada Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana adalah Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Pengerusi LPPKN, Puan Juwairiya Zulkifli, Timb. Pengerusi LPPKN, Hj Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah LPPKN, Hj Badlishah Sham Baharin, Presiden IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, Ketua Wanita IKRAM, Dr Ani Ahmad, Yang Dipertua MPAJ, Puan Rosmonaliza Abdul Ghani, Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga LPPKN dan pegawai-pegawai kanan kementerian serta agensi.

Wanita IKRAM mendoakan pasangan yang diraikan dapat merasai detik perkahwinan yang indah dan majlis ini dapat mengukuhkan institusi perkahwinan di Malaysia.

Sumber foto: LPPKN

Seminar Wanita Memperkasa Keluarga Madani

Seminar Wanita Memperkasa Keluarga Madani

Wanita IKRAM telah menyertai Seminar Wanita Memperkasa Keluarga Madani yang diadakan pada 27 November 2024, bertempat di Kelab Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya. Program ini adalah hasil inisiatif Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). Seminar ini berjaya menghimpunkan wanita dari pelbagai latar belakang persatuan dan pertubuhan untuk bersama-sama menggali inspirasi, berkongsi pengalaman, dan memperkukuh ilmu demi memperkasa keluarga dalam kerangka Malaysia Madani.

Seminar Wanita Memperkasa Keluarga Madani wanita ikram 1

Seminar ini menampilkan barisan penceramah hebat seperti Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh (Ketua Wanita IKRAM), YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohd Fadzil Che Din (Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)), dan YBhg. Datuk Dr. Harlina Hj Siraj (Presiden PUTERI Alumni). Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datin Seri Hajah Azlin Hezri (Timbalan Pengerusi KASIH Malaysia).

Pelbagai ilmu dan inspirasi telah dikongsikan sepanjang seminar ini, antaranya mengenai nilai teras Malaysia Madani yang diinspirasikan oleh tokoh-tokoh wanita Islam dalam Al-Quran seperti Siti Hajar dan Ratu Balqis. Peserta seminar diingatkan tentang kepentingan menjadi wanita yang teguh di jalan Allah, seperti Siti Hajar yang tidak pernah berputus asa dalam berusaha dan memimpin Nabi Ismail seiring dengan visi Nabi Ibrahim. Selain itu, Ratu Balqis turut dijadikan teladan kerana sifat ihsan dan kebijaksanaannya dalam kepimpinan, yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kedamaian.

Semoga ilmu dan inspirasi yang diperoleh sepanjang seminar ini menjadi panduan dalam memperkukuh institusi keluarga dan memajukan masyarakat.

 

Sekitar Seminar Wanita Memperkasa Keluarga Madani

Kursus Kepimpinan Kemahiran Wanita (KEKWA) Siri 2

Kursus Kepimpinan Kemahiran Wanita (KEKWA) Siri 2

Pada 23-24 November 2024, seramai 59 wanita hebat dari pelbagai lapisan masyarakat telah berkumpul di Zanas Villa, Sepang, untuk menyertai Kursus Kemahiran Kepimpinan Wanita (KEKWA) yang dianjurkan oleh Wanita IKRAM Malaysia. Program yang dimulakan pada 2023 sebagai projek rintis ini bertujuan untuk memperkasakan wanita di peringkat komuniti melalui modul kepimpinan dan latihan praktikal.

Mengapa KEKWA?

Kursus KEKWA tidak hanya memberikan pengetahuan teoritikal, tetapi juga melibatkan peserta dalam latihan praktikal yang membantu mereka memahami dan menguasai kemahiran kepimpinan dalam konteks komuniti. Ini merupakan langkah penting dalam melahirkan lebih ramai wanita yang berkemampuan untuk menjadi pemimpin dalam bidang masing-masing dan memberi impak positif kepada masyarakat sekitar.

Program ini dirancang dengan objektif untuk memberi lebih banyak peluang kepada wanita untuk berkembang dan memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial, pendidikan, dan kesihatan dalam komuniti mereka. Setelah tamat kursus, peserta akan dibimbing oleh mentor berpengalaman selama tiga bulan bagi memastikan projek komuniti mereka berjalan lancar dan mencapai matlamat yang diinginkan.

Projek Rintis 2023: Sebuah Kejayaan

Kursus rintis yang dilaksanakan pada 2023 berjaya menyaksikan pelaksanaan sembilan projek yang memberi impak positif dalam komuniti, terutamanya dalam bidang pendidikan, kesihatan, dan kebajikan sosial. Kejayaan ini membuktikan bahawa KEKWA bukan sekadar satu program latihan, tetapi satu platform untuk melahirkan pemimpin yang berkualiti, mampu memberi sumbangan langsung kepada masyarakat.

Pembinaan Wanita Pemimpin yang Berdaya

Kejayaan yang dicapai melalui KEKWA bukan sahaja memberi inspirasi kepada peserta kursus, tetapi juga kepada masyarakat di luar sana. Dengan menyertai kursus ini, wanita bukan sahaja memperoleh kemahiran kepimpinan yang berguna dalam kehidupan peribadi dan profesional mereka, tetapi mereka juga diberi peluang untuk mencipta perubahan dalam komuniti mereka. KEKWA memberi ruang kepada wanita untuk meningkatkan keyakinan diri dan kemampuan dalam menguruskan projek sosial yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Misi Membina Komuniti yang Lebih Baik

Wanita memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan struktur sosial dan ekonomi dalam masyarakat. Dengan adanya kursus seperti KEKWA, Wanita IKRAM Malaysia berusaha untuk memastikan wanita dapat memimpin perubahan yang lebih besar dalam kehidupan seharian. Dengan menekankan kepimpinan berasaskan nilai kemanusiaan dan empati, program ini bertujuan menghasilkan pemimpin wanita yang bukan sahaja berkemahiran, tetapi juga peka terhadap keperluan komuniti mereka.

Wanita Berdaya, Komuniti Berjaya

KEKWA berpegang pada prinsip bahawa apabila wanita diberdayakan, mereka dapat memberi impak yang besar bukan sahaja kepada diri mereka, tetapi juga kepada komuniti di sekeliling mereka. Prinsip ini menjadi asas kepada setiap langkah yang diambil dalam program ini. “Wanita Berdaya, Komuniti Berjaya” bukan hanya sekadar slogan, tetapi merupakan falsafah yang menggerakkan KEKWA dalam membentuk masa depan yang lebih baik untuk masyarakat Malaysia.

Sebagai penutup, kursus KEKWA bukan sahaja memberi peluang kepada wanita untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka, tetapi juga memperkasakan mereka untuk memainkan peranan penting dalam membentuk komuniti yang lebih mampan dan progresif. Dengan sokongan yang berterusan daripada mentor dan pelaksanaan projek-projek yang berjaya, KEKWA berpotensi untuk mencipta lebih banyak pemimpin wanita yang memberi manfaat kepada masyarakat dalam pelbagai bidang.

 

Sekitar KEKWA Siri 2

Kekuatan Wanita dalam Sejarah:  Pengorbanan yang Mengukir Kejayaan  Pejuang Islam

Kekuatan Wanita dalam Sejarah: Pengorbanan yang Mengukir Kejayaan Pejuang Islam

Kisah Nabi Ibrahim dan Ismail yang menjadi inspirasi dalam pengorbanan. Meski demikian, kisah ini tidak terlepas dari peranan wanita hebat, iaitu Siti Hajar sebagai seorang isteri juga seorang ibu yang telah mencontohkan pengorbanan dan keteladanan yang hebat dalam mendidik serta membesarkan Nabi Ismail alaihissalam. Lalu bagaimana peranan para wanita yang lain sepanjang sejarah, yang juga boleh kita ambil iktibar dan hikmahnya?

Kepelbagaian watak seorang ibu & keteladanan Maryam

Jika para wanita diberi pilihan, tentu kita memilih menjadi ibu dalam suasana serta lingkungan yang mendukung. Mempunyai harta yang mencukupi, suami yang baik, rumah yang selesa, tinggal di negara yang aman sentosa dan seterusnya. Namun kenyataannya tidak selalu seindah yang kita harapkan. Sejarah membuktikan para ibu dengan pelbagai watak yang berjaya mereka jalani, di sebalik kesukaran hidup. 

 

Yang pertama, adalah kisah Maryam Alaihissalam. Bayangkan anda berada dalam situasi beliau. Melahirkan anaknya Isa alaihissalam tanpa seorang suami. Pastinya ia membawa kepada fitnah dan cacian oleh masyarakat. Tentu ia adalah mimpi ngeri bagi kita. Namun dengan izin Allah SWT, Maryam memperoleh kekuatan dan pertolongan dari Rabb Yang Maha Agung.

 

Antara kelebihan Maryam AS adalah kekuatan hubungan dengan Allah SWT. Beliau mempunyai kebiasaan beribadah di mihrab. Antara keistimewaannya adalah, berkat ibadah yang ikhlas itu, Allah SWT selalu memberi rezeki berupa makanan untuknya, seperti yang diceritakan dalam surah Ali Imran ayat ke-37. 

 

Di sebalik dahsyatnya ujian yang melanda hidupnya, Maryam berjaya mendidik Isa AS menjadi seorang peribadi yang soleh. Nabi Isa AS bukan sahaja dilantik sebagai seorang rasul, tetapi juga diakui sebagai Rasul Ulul Azmi, yang dihormati kerana kesabaran dan kesungguhannya dalam menyampaikan risalah.

 

Hindun Sang Pejuang

Sirah juga merakamkan kisah Hindun binti Utbah, isteri kepada Abu Sufyan. Dia dan suaminya antara dua tokoh yang paling kuat memusuhi Rasulullah dan umat Islam, di zaman jahiliah sebelum akhirnya memeluk Islam ketika peristiwa Fathu Makkah

 

Walaupun Hindun termasuk dalam golongan yang agak lambat memeluk Islam, setelah hidayah menerangi hatinya, beliau segera mencari peluang untuk berjuang menyebarkan Islam dan berkolaborasi dengan keluarganya dalam memperjuangkan agama Allah SWT. Hindun menunjukkan komitmennya yang kuat dalam Perang Yarmuk, di mana beliau berjuang dan memberikan semangat kepada mereka yang ingin berundur dari pertempuran, termasuk suaminya, Abu Sufyan.

 

Hindun berperanan penting dalam menyokong suaminya, Abu Sufyan, dan mengingatkannya agar tetap teguh dalam memperjuangkan Islam. Selain itu, perlu diingat bahawa dari rahim Hindun lahir anaknya, Muawiyah bin Abu Sufyan, seorang sahabat terkemuka yang menjadi Gabenor pada era Umar Al-Khattab dan juga pengasas Khilafah Umayyah.

 

Ibunda Musa Yang Taat dan Penyayang

Al-Quran merakamkan dalam Surah Al-Qasas, seorang wanita mulia yang digelar “Ummi Musa”. Ketika Firaun memerintah, Firaun begitu takut dengan ramalan seorang anak lelaki yang katanya kelak akan menghancurkan kerajaannya. Perintah untuk membunuh semua bayi lelaki telah dikeluarkan. Ummi Musa yang baru sahaja melahirkan Musa begitu khawatir akan keselamatan anaknya. 

 

Biarpun diselimuti ketakutan akan keselamatan anaknya, Ummi Musa taat akan perintah Allah yang memberi ilham kepadanya untuk menghanyutkan Nabi Musa alaihissalam ke dalam Sungai Nil. Beliau percaya janji Allah bahawa Musa akan dikembalikan kepadanya. Sukar dibayangkan, jika kita berada dalam keadaan begitu, mampukah kita menghanyutkan anak tersayang ke dalam sungai? Sungguh ketaatan dan pengorbanan yang luar biasa telah dicontohkan oleh beliau. Sidang pembaca, kisah ini diabadikan di dalam Surah Taaha ayat ke-38:

 

“Letakkan anakmu di dalam sebuah peti dan alirkannya ke dalam sungai, kemudian arus sungai akan membawanya ke tebing lalu dipungut oleh musuh-Ku dan musuhnya iaitu Firaun.” Kami telah campakkan kepadamu perasaan belas kasihan supaya kamu dikasihi orang yang melihatmu dan supaya kamu diasuh dalam pemeliharaan-Ku.”

 

Ummi Musa juga menekankan tarbiyah dalam membina keperibadian anaknya. Kakak Nabi Musa dididik dengan begitu baik menjadi seorang yang yang pemberani juga penyayang. Dia memainkan peranan penting memerhatikan adiknya di dalam peti yang hanyut itu dan kemudian menawarkan untuk menunjukkan kepada keluarga Firaun, seseorang (Ummi Musa) yang mampu menyusukan Musa. Kisah ini diceritakan dalam surah Taaha ayat 39-40:

 

Nikmat Kami juga atasmu wahai Musa ketika kakakmu memerhatikan peti itu, lalu dia berkata kepada mereka yang mengambilnya, “Mahukah kamu aku tunjukkan seorang yang boleh memeliharanya dengan baik?” Maka Kami telah kembalikan kamu kepada ibumu dengan selamat supaya dia gembira dan tidak lagi bersedih.

 

Mencontohi keperibadian wanita-wanita hebat

Sidang pembaca yang dikasihi, mari kita renungi dan hayati pengorbanan para wanita hebat ini. Maryam, Hindun, dan Ummi Musa hanyalah segelintir dari ribuan susuk wanita hebat, di sebalik tokoh pejuang Islam. Mereka merelakan diri berkorban dan berjuang demi menyokong para lelaki dan ahli keluarganya menjadi pejuang Islam yang terulung.

 

Semoga kita, para wanita, juga dapat mengambil ibrah besar dari kisah mereka dan menyuntik semangat dalam diri untuk berkorban dan berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

 

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia