[KENYATAAN MEDIA] WANITA IKRAM MENYERU MANGSA GANGGUAN SEKSUAL UNTUK TAMPIL BERSUARA BAGI MENDAPATKAN KEADILAN DAN PEMBELAAN

[KENYATAAN MEDIA] WANITA IKRAM MENYERU MANGSA GANGGUAN SEKSUAL UNTUK TAMPIL BERSUARA BAGI MENDAPATKAN KEADILAN DAN PEMBELAAN

Wanita IKRAM sentiasa mengambil peduli isu-isu gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Pendedahan yang dibuat oleh seorang pelakon remaja baru-baru ini mengenai serangan seksual yang dilaluinya semasa kecil wajar dipandang serius, dilaporkan dan disiasat oleh pihak berkuasa agar perlindungan dan keadilan dapat diberikan kepada mangsa.

Pendedahan pelakon remaja tersebut juga telah membuka mata masyarakat bahawa isu gangguan seksual dan keganasan rumahtangga yang berlaku dalam kalangan masyarakat bukan isu terpencil dan tidak boleh dipandang remeh. 

Wanita IKRAM menyeru agar mangsa-mangsa gangguan seksual tidak berdiam diri dan mengambil langkah sewajarnya bagi mempertahankan maruah, rohani, fizikal dan mental mereka. Langkah pertama yang disarankan kepada mangsa-mangsa gangguan seksual adalah untuk tampil bersuara dan melaporkan perbuatan pelaku tersebut kepada pihak berkuasa.

Semestinya untuk tampil bersuara, mangsa memerlukan kekuatan dan keberanian. Oleh itu, mangsa gangguan seksual turut disarankan mendapatkan sokongan mental dan emosi daripada individu yang dipercayai ataupun merujuk masalah mereka kepada pihak kaunselor yang terlatih.

Mangsa-mangsa gangguan seksual juga disaran untuk mendapatkan rawatan dan perlindungan daripada pihak yang tepat agar kesejahteraan dan keselamatan mangsa-mangsa sentiasa dilindungi dan mereka tidak berasa keseorangan dalam mendapatkan keadilan dan pembelaan.

Selain mangsa, masyarakat juga memainkan peranan dalam memerangi gangguan seksual daripada terus berlaku. Setelah suatu laporan gangguan seksual difailkan oleh mangsa kepada pihak berkuasa, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengganggu mangsa dan pelaku serta memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

Siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa mestilah telus dan adil agar pembelaan dapat diberikan kepada pihak-pihak yang terlibat. Dengan adanya ekosistem yang selamat dan proaktif, masalah gangguan seksual dapat teguh bersama diperangi demi mewujudkan Malaysia sebagai negara yang rahmah dan sejahtera.

Ustazah Sallawahiu binti Mohd Salleh

Ketua Wanita IKRAM

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kenyataan Media “Drama Berunsur Lucah Bukan Budaya Kita” 

Kenyataan Media “Drama Berunsur Lucah Bukan Budaya Kita” 

Kenyataan Media

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia

Bersama Malaysians Against Pornography (MAP)

“DRAMA BERUNSUR LUCAH BUKAN BUDAYA KITA” 

Baru-baru ini tular di media sosial klip pendek drama Melayu berjudul ‘Perempuan Itu’ yang dijangkakan tayangannya pada bulan Ramadan ini, memaparkan adegan berunsur seksual dan lucah. Walaupun klip video tersebut telah diturunkan daripada media sosial dan pelakon serta syarikat tersebut telah memohon maaf, namun begitu perancangan adegan sedemikian tidak seharusnya dihasilkan sejak dari mula. 

Adegan berunsur seksual dan lucah, sama ada secara langsung atau berkias, tidak sepatutnya dinormalisasikan dalam industri filem dan hiburan. Adegan pornografi seperti ini merosakkan pemikiran anak muda dan paling ditakuti sekiranya ia menjadi ikutan gaya hidup seterusnya budaya dalam kalangan remaja. Ia juga menjatuhkan maruah wanita dan menjadikan wanita sebagai objek seksual. 

Kejayaan sesebuah filem atau drama tidak bergantung kepada adegan murahan seperti aksi lucah tetapi mesej yang hendak disampaikan untuk membangunkan masyarakat. Adegan ini jelas mengambil mudah syariat agama dan menimbulkan salah faham terhadap agama Islam disebabkan majoriti pelakon serta syarikat produksinya terdiri daripada orang Islam. 

Oleh itu, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (Wanita IKRAM) dan Malaysians Against Pornography (MAP) menggesa:- 

1.  Pelakon, pengarah, penyunting, dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam industri perfileman dan hiburan lebih prihatin dalam menjaga batas agama dan nilai masyarakat. Pengisian drama dan filem di Malaysia harus mengetengahkan nilai bermoral tinggi berlandaskan syariat agama dan budaya masyarakat Malaysia. Sebarang pelanggaran etika yang menyalahi budaya dan moral masyarakat Malaysia daripada mana-mana pihak harus diambil tindakan tegas.

2. Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Lembaga Penapis Filem Malaysia berkaitan perlu meneliti garis panduan agar lebih jelas berhubung perkara ini terutamanya perihal mengukuhkan penguatkuasaan bagi mengelak insiden-insiden seperti ini sama ada di media perdana atau media sosial, berulang kembali. 

3. Penggantungan siaran drama “Perempuan Itu” daripada ditayangkan dalam media perdana disebabkan dengan jelas cuba meraih publisiti murahan dan mengandungi unsur-unsur gangguan seksual secara terang-terangan. 

Wanita IKRAM serta MAP menyarankan semua pihak untuk bersama-sama membanteras apa sahaja bahan pornografi daripada disebarkan dan menular serta menjadi satu normalisasi kepada masyarakat.  

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh 

Ketua Wanita 

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia 

Dr Shamsuriani Mohd Jamal 

Pengerusi 

Malaysian Against Pornography (MAP)

serta disokong oleh

Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (Teratai)

Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional (PENAWAN)

Persatuan Suri Rumah Rahmah (SRR)

Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM)

Pertubuhan Mawaddah Malaysia

KENYATAAN MEDIA

KENYATAAN MEDIA

bersempena

HARI WANITA SEDUNIA 2022

Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan “Selamat Hari Wanita Sedunia” kepada semua wanita di mana sahaja anda berada.

Tanggal 8 Mac disambut saban tahun sebagai ‘Hari Wanita Sedunia’ bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian wanita dalam pelbagai bidang termasuk sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan tanpa mengira perbezaan negara, etnik, linguistik, budaya, ekonomi atau politik.

Wanita IKRAM menyambut baik tema sambutan Hari Wanita Sedunia 2022 yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat iaitu “Saksama Bersama”. Tema ini adalah selari dengan tema yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu “Gender Equality Today for a Sustainable Tomorrow” atau “Kesaksamaan Gender Hari Ini Untuk Kelestarian Masa Depan” yang menyeru secara khusus kepada tindakan menangani krisis iklim untuk wanita oleh wanita. Walaupun tema PBB tersebut adalah memfokuskan kepada peranan wanita dalam menangani krisis iklim, namun seruan untuk memperkasakan wanita adalah sangat sinergistik dengan tema “Saksama Bersama”.

Suasana negara yang sangat tidak menentu baik dari segi politik dan ekonomi serta kesan krisis iklim seperti perubahan cuaca yang mendadak dan banjir besar menuntut semua wanita untuk terlibat secara aktif melakukan perubahan. Laporan PBB pada tahun 2022 telah menunjukkan bahawa negara yang mempunyai peratus wanita yang lebih tinggi di parlimen cenderung untuk mengamalkan dasar negara yang lebih bijaksana dengan tadbir urus sumber yang lebih saksama dan inklusif. Secara umumnya, wanita cenderung untuk mempertimbangkan keluarga dan komuniti dalam proses membuat keputusan iaitu aspek yang penting untuk mencapai penyelesaian holistik dan menghasilkan tindakan yang berkesan dalam semua situasi. Usaha semua pihak harus digembeling untuk mengkaji peluang serta kekangan yang wujud dalam memperkasakan wanita agar terus bersuara dan terlibat sama dalam membuat keputusan bagi memastikan masa depan negara yang mampan dan saksama untuk semua lapisan masyarakat. 

Seruan “Saksama Bersama” sempena Hari Wanita Sedunia 2022 sewajarnya berlandaskan lunas-lunas agama yang meraikan fitrah manusiawi dengan penuh keadilan. Oleh itu, bersempena dengan sambutan Hari Wanita Sedunia 2022, Wanita IKRAM menyeru kepada semua pihak, khususnya wanita untuk terus berusaha:

1.   Meningkatkan keterampilan dan keyakinan diri serta mengambil inisiatif merancang untuk mengisi semua peluang yang ada demi membela dan memartabatkan kedudukan wanita bersesuaian dengan peranan dan tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT; 

2. Bersama atas dasar semangat lengkap melengkapi dengan kaum lelaki, suami dan bapa dalam melaksanakan tanggungjawab membangunkan keluarga dan mendidik generasi masa hadapan yang berakhlak, bermaruah dan berdaya saing bagi memajukan negara;

3.  Melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan secara berterusan bagi membela golongan wanita yang teraniaya;

4.  Berperanan dalam menentukan kepimpinan negara yang kompeten dan berintegriti bagi memastikan agenda pembangunan dan pembelaan kepada wanita serta pembangunan negara dilaksanakan dengan adil dan saksama. Wanita perlu memahami bahawa pengaruh dan sokongan kita mampu membawa Malaysia menjadi sebuah negara harmoni yang bebas dari segala penyelewengan dan rasuah.

Semoga penglibatan yang lebih aktif oleh semua wanita dapat membawa masa depan yang lebih saksama untuk wanita dan masyarakat keseluruhannya. 

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh 

Ketua Wanita 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Kenyataan Media Bersempena KEMPEN “GANGGUAN SEKSUAL KATAKAN TIDAK”

Kenyataan Media Bersempena KEMPEN “GANGGUAN SEKSUAL KATAKAN TIDAK”

Isu Gangguan Seksual semakin banyak ditimbulkan dalam media masa akhir-akhir ini, yang menggambarkan peningkatan keprihatinan masyarakat terhadap isu tersebut. Namun begitu, sebahagian besar daripada ahli masyarakat mungkin kurang jelas dengan maksud gangguan seksual sehingga menganggap buli siber sebagai berbeza daripada gangguan seksual.

Gangguan seksual adalah sebarang jenis tingkah laku dan komen berbaur seksual atau lucah yang tidak diingini sama ada secara tersurat atau tersirat yang menyebabkan seseorang berasa takut, malu, terancam, terseksa, terhina, direndahkan atau berasa tidak selesa oleh tindakan tersebut. Oleh itu, gangguan seksual siber adalah termasuk dalam buli siber.

Ajaran Islam mengeji perbuatan melemparkan kata-kata yang buruk kepada orang lain, apatah lagi perkataan dan perbuatan yang membawa konotasi lucah sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelar (yang buruk). Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk (fasik) sesudah iman. Dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang dzalim.” (Al-Hujuraat: 11)

Bersempena Hari Antarabangsa Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita yang disambut setiap tahun pada tarikh 25 November, Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia dengan kerjasama Gerakan Tampil Bersuara terpanggil untuk mengadakan Kempen “Gangguan Seksual Katakan Tidak” untuk mencapai objektif berikut:

1. Memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai isu gangguan seksual.

2. Menyebarluas maklumat mengenai peruntukan undang-undang dalam isu gangguan seksual.

3. Memberi kesedaran berkenaan peranan individu, keluarga, masyarakat, institusi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani isu gangguan seksual.

Kempen “GANGGUAN SEKSUAL KATAKAN TIDAK” ini meliputi:

1.Slot In.Sight TV IKRAM mengenai empat topik utama berkaitan isu gangguan seksual pada 5 dan 19 November 2021 serta 3 dan 17 Disember 2021.

2. Survei kefahaman masyarakat tentang isu gangguan seksual

3. Sebaran video pendek hasil daripada program Analisis pada Mei 2021.

4. Pertandingan menulis artikel informatif berkenaan isu bermula 7 November sehingga 7 Disember 2021.

5. Pos tiktok @mediawanitaikram.

6. Video sokongan, IG Live dan FB Live oleh selebriti.

7. Sesi Clubhouse tentang isu gangguan seksual pada 10 Disember 2021 sempena Hari Hak Asasi Manusia.

8. Poster sokongan ‘Teal Challenge’ oleh masyarakat umum.

Wanita IKRAM dan Gerakan Tampil Bersuara dengan besar hati menyeru dan mengajak semua lapisan rakyat Malaysia bersatu suara, tampil menyokong dan menjayakan kempen ini.

Semoga kempen ini diberkati Allah s.w.t. dan dapat menyumbang kepada segala usaha untuk mendidik masyarakat berkenaan isu ini secara khususnya dan memperbaiki akhlak masyarakat Malaysia secara umumnya.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh

Ketua WanitaPertubuhan IKRAM Malaysia

Nur Najihah Muhaimin

Pengarah Bersama

Gerakan Tampil Bersuara

Kenyataan Media sempena Hari Ibu 2021

Kenyataan Media sempena Hari Ibu 2021

Ibu pelindung, ibu dilindungi

Wanita IKRAM Malaysia mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua wanita yang bergelar ibu.

Hari Ibu disambut pada hari Ahad kedua bulan Mei setiap tahun. Pada tahun ini, Sambutan Hari Ibu jatuh pada 9hb Mei dan membawa tema “Ibu Pelindung, Ibu Dilindungi”.

Dalam sebuah hadis daripada koleksi Imam Bukhari, telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w. pernah ditanya akan individu yang paling berhak ditujukan amal bakti. Rasulullah s.a.w lantas menjawab “Ibu!” sebanyak tiga kali, dan jawapan keempat, baru disebut “Ayah!”

Hadith ini jelas mengiktiraf pengorbanan seorang insan bergelar ibu terhadap anak-anaknya, bermula daripada penjagaan anak-anak di dalam rahimnya sehinggalah mereka remaja belia.

Seorang ibu memainkan peranan penting dalam memastikan suami dan anak-anaknya beroleh kesejahteraan dalam kehidupan berkeluarga. Ini termasuk memastikan penerapan nilai dan akhlak mulia, keseimbangan pemakanan, serta kesihatan mental dan jasmani ahli keluarganya.

Dalam usaha negara untuk membendung penularan COVID-19 di dalam masyarakat masa kini, kejelasan kefahaman terhadap usaha vaksinisasi dan dokongan usaha tersebut daripada seorang ibu dapat memastikan seluruh ahli keluarganya turut dilindungi daripada jangkitan virus tersebut, dengan izinNya.

Dengan segala pengorbanan yang telah dicurahkan, maka selayaknya insan bergelar “ibu” ini, dikasihi dan dihormati oleh ahli keluarga sehingga ke akhir hayatnya. Semestinya tidak wajar seorang ibu itu disisih dan diabaikan, apatah lagi didera.

Berita Harian Online pada 21hb. Feb 2021 telah melaporkan seorang ibu tua ditinggalkan di tepi jalan oleh anggota keluarga sendiri. Paling menyedihkan apabila kerap terjadi kes-kes jenayah terhadap ibu sehingga berlakunya pembunuhan. Malangnya, jenayah tersebut biasanya dilakukan oleh anak sendiri yang kebanyakkannya terkait kes penyalahggunaan dadah.

Namun tidak dinafikan, kadang-kadang, kedengaran kes ibu mendera anak-anak sehingga mengakibatkan kematian. Naluri keibuan dan sikap ibu sebagai pelindung bagaikan terhapus sama sekali.

Kedua-dua senario ibu sebagai mangsa dan pemangsa ini tidak boleh di ambil mudah. Ianya boleh menjadi wabak yang akan meruntuhkan sistem kekeluargaan di negara ini.

Mengikut tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS 2019), kadar kemurungan golongan dewasa di Malaysia adalah 2.3 peratus iaitu seramai setengah juta orang. Manakala Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 24 hb. Disember 2020 masih kekal pada tahap sederhana iaitu 7.72.

Sudah pasti, tekanan emosi dan masalah kesihatan mental termasuk kemurungan akibat kesempitan hidup serta hilang arah tujuan yang sebenar menjadi antara sebab senario di atas terjadi. Semestinya perkara ini perlu dihalusi dan ditangani agar masalah-masalah ini dapat dibendung dan ditangani dengan baik.

Oleh itu, bersempena Sambutan Hari Ibu 2021, Wanita IKRAM ingin menyarankan dan mengajak semua untuk;

  1. Memupuk kembali nilai murni di dalam keluarga untuk menghormati dan menyayangi kaum ibu terutama yang sudah berusia pada setiap masa dan ketika.
  2. Mengukuhkan insititusi kekeluargan dengan menyemarakkan ikatan kasih sayang antara satu sama lain di dalam keluarga.
  3. Memberi kesedaran kepada masyarakat secara berterusan dengan ilmu pengetahuan dan peranan sebagai ahli keluarga yang bertanggungjawab.
  4. Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensinya perlu sentiasa memantau Akta Keganasan Rumahtangga 1994 serta dapat mewujudkan Akta Melindungi Warga Emas bagi melindungi kaum ibu daripada penderaan dan pengabaian oleh anggota keluarga.

Hargailah ibu tersayang selagi mereka masih ada di sisi. Semoga hikmah pandemik mengangkat kembali kemuliaan dan martabat seorang ibu di mata dunia.

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia

KeluargaRahmah

IbuPelindungIbuDilindungi

IKRAMCaknaVaksinasiCOVID19