|| Lensa Wanita IKRAM || 4 Januari 2025
Kursus Kemahiran Kepimpinan Wanita (KEKWA Sesi 2)
Alhamdulillah, KEKWA Sesi 2 yang dipengerusikan oleh Pn. Halimah Abd Hamid, Timbalan Pengarah KEKWA, telah berjaya dilaksanakan secara dalam talian dengan fokus kepada pembangunan kepimpinan digital dan kemahiran komunikasi berkesan dalam komuniti. Program yang dianjurkan oleh Wanita IKRAM Malaysia ini telah menghimpunkan seramai 45 orang peserta yang komited untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka dalam era digital.
Antara slot menarik dalam KEKWA 2.0 ini adalah Modul 5 bertajuk “Membina Kepercayaan Komuniti di Media Sosial” yang disampaikan oleh Cik Rahmah Pauzi, Konsultan Kandungan (Konten) dan Komunikasi. Modul ini memberi penekanan kepada kepentingan penjenamaan diri, pembentukan suara jenama yang unik, dan pembinaan persona yang tepat dalam membina kepercayaan serta pengikut yang setia di platform media sosial.
Program diteruskan dengan sesi bual bicara yang informatif bertajuk “Langkah Prihatin Memimpin Komuniti” oleh Pn. Dzilal Abd Aziz, Naib Ketua Wanita IKRAM Malaysia sebagai moderator dan Datin Paduka Che Asmah Ibrahim, Pengerusi Youth Empowerment Foundation Malaysia sebagai pembicara. Beliau berkongsi pengalaman dan pandangan berharga tentang kepentingan wanita dalam kepimpinan komuniti.
Antara intipati perbincangan yang diketengahkan termasuk:
✅Kepentingan pengurusan diri dan keluarga sebagai asas sebelum memimpin komuniti
✅Pembinaan sistem sokongan dan daya tahan diri
✅Pendekatan berperingkat dalam pembinaan asas kepimpinan yang kukuh
✅Kepentingan kemahiran mendengar aktif dan komunikasi yang jelas dalam menangani cabaran kepimpinan
Dr. Shamsuriani Md Jamal, Pengarah KEKWA, dalam ucapan penutupnya menekankan komitmen program ini dalam melahirkan pemimpin wanita yang berkaliber dan berkesan dalam era digital. Beliau turut menyuarakan harapan agar semua peserta dapat menjadi ejen perubahan kepada masyarakat dalam dunia digital, seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
Semoga KEKWA dapat terus menjadi platform yang signifikan dalam membentuk dan memperkasakan kepimpinan wanita untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat.
Sekitar KEKWA SIRI 2
#KEKWA2025
#WanitaIKRAMMalaysia
#WanitaWibawaKomunitiBerjaya