Kes Nafkah di Mahkamah Syariah

Kes Nafkah di Mahkamah Syariah

statistik kes nafkah wanita malaysia ikram

Kadar kes perceraian semakin meningkat dalam kalangan pasangan yang baru berkahwin.

Menurut Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), satu pertiga kes perceraian berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan dan kebanyakannya berpunca daripada kecuaian suami dalam memberikan nafkah.

Isu berkenaan nafkah ini tidak boleh dipandang remeh kerana berdasarkan sebuah hadis, nafkah ini bukan sahaja tanggungjawab dan kewajipan bagi suami, malah ia turut menjadi sedekah kepada isteri dan anak serta merupakan pahala untuk para ayah.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu.” (HR Muslim, No. 995)

Akhlak Mulia Tonggak Keluarga Bahagia

Akhlak Mulia Tonggak Keluarga Bahagia

Pentingnya Akhlak Yang Mulia

Salah satu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT dalam hidup di dunia ini ialah nikmat perkahwinan dan hidup dikelilingi oleh keluarga yang baik. Namun, untuk memastikan sebuah perkahwinan itu sejahtera, ianya memerlukan komitmen yang tinggi dan kerjasama setiap pihak terutama pasangan itu sendiri. Tanpa komitmen yang tinggi dari kedua-dua suami dan isteri, rumah tangga mudah bergolak dan berakhir dengan perpisahan.  Antara faktor penting untuk memastikan rumah tangga kekal utuh dan menjadi sumber kebahagiaan suami dan isteri adalah akhlak yang mulia.

Dalam sebuah hadis yang sangat masyhur Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”1 Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan akhlak sebagai budi pekerti, kelakuan atau tabiat.2 Imam Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu.3 Dari definisi di atas, bolehlah disimpulkan bahawa yang dimaksudkan dengan akhlak mulia ialah segala perbuatan, tutur kata, mimik muka dan bahasa badan yang terpuji. Akhlak yang mulia lahir dari hati yang suci lagi bersih dan ianya tidak mungkin lahir dari hati yang kotor lagi berkarat.4 Kepentingan akhlak mulia dalam sesebuah perkahwinan boleh dilihat daripada hadis berikut:

Apabila masuk meminang oleh seorang lelaki yang kamu suka agamanya dan akhlaknya maka hendaklah kamu kahwinkan akan dia. Jika tidak maka berlakulah fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”5

Hadis di atas menyebut dua perkara penting yang menjadi pertimbangan untuk menerima pinangan iaitu agama dan akhlak yang mulia. Ini menunjukkan betapa pentingnya akhlak seseorang dalam kehidupan berumah tangga dan dalam mencapai matlamat utama berumah tangga iaitu kebahagiaan.

Akhlak mulia sebagai tonggak kebahagiaan sebuah rumah tangga.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyenaraikan faktor akhlak yang buruk sebagai salah satu faktor penting berlakunya perceraian.6 Sebab itu persoalan akhlak tidak boleh dipandang ringan dalam memastikan penerusan dan kebahagiaan sesebuah rumah tangga. 

Setiap pasangan mesti bermujahadah untuk mengamalkan sebanyak mungkin sifat-sifat terpuji (mahmudah) dan meninggalkan segala sifat-sifat yang tercela (mazmumah) dalam diri masing-masing. Sekiranya akhlak mazmumah dibiarkan, lama kelamaan ia boleh mencetuskan konflik di dalam rumah tangga dan sekiranya konflik ini tidak ditangani dengan baik, ia boleh membawa kepada perkara yang lebih buruk. Contoh-contoh akhlak yang tidak baik yang mesti ditinggalkan adalah seperti berikut:

  1. Ego. Biasanya orang yang ego merasakan bahawa dia sahaja yang betul tanpa mempedulikan perasaan orang lain.  Ini adalah salah satu dari sifat yang dikeji dan menggambarkan sifat syaitan yang sentiasa merasakan dirinya lebih baik dari orang lain. Dalam surah al-A’raf, ayat 12 Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?” (Iblis) menjawab, “Aku lebih baik daripada dia. Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah”. Orang yang ego juga sukar ditegur. Ini sangat menyulitkan dalam realiti rumah tangga kerana banyak hal yang memerlukan perbincangan antara suami dan isteri sebelum sesuatu keputusan dibuat. Bayangkan keadaan di mana seorang isteri menegur suaminya dengan baik untuk tidak memanjakan anak mereka dengan membelikan apa sahaja yang diminta oleh anak. Walaupun teguran itu ada asasnya, namun kerana egonya yang tinggi, suami tidak mengendahkan teguran isteri. Dalam senario yang lebih buruk, malah suami memarahi isterinya kerana merasakan apa yang dia lakukan tidak salah. Situasi sebegini sudah semestinya tidak sihat dalam sesebuah rumah tangga.
  2. Kurang sabar dan panas baran. Allah SWT sangat memuji orang-orang yang menahan marahnya. Allah SWT berfirman: “… dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.”7 Banyak terjadi dalam masyarakat dimana suami bersifat panas baran iaitu terlalu cepat marah walaupun berlaku kesalahan yang kecil dalam rumah tangga. Adalah disarankan suami yang sebegini memperbaiki diri dengan memperbanyakkan istighfar, mengikuti kursus pengurusan marah (anger management), berjumpa dengan doktor pakar psikiatri ataupun pakar perubatan Islam jika ada kemungkinan masalah panas baran itu disebabkan oleh gangguan makhluk halus. Ini penting kerana jika masalah ini tidak dirawat, isteri atau anak-anak mungkin akan mengalami kecederaan fizikal atau terjejas emosi akibat sikap panas baran suami yang bertindak agresif apabila marah. Perceraian juga mungkin boleh dielakkan jika rawatan awal dilakukan dan tidak memandang perkara ini sebagai sesuatu yang remeh.
  3. Mengikut hawa nafsu. Allah mengingatkan kita supaya berhati-hati dengan hawa nafsu dan tidak menurut kehendaknya tanpa memikirkan akibat dari perbuatan tersebut. Allah SWT berfirman: “Adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya), serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata, maka sesungguhnya neraka Jahanamlah tempat kediamannya. Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya”.8 Banyak perkara buruk boleh terjadi jika mengikut hawa nafsu dalam kehidupan berumah tangga. Contoh yang sangat relevan dengan dunia hari ini ialah ketagihan media sosial dan permainan internet. Akibat mengikut hawa nafsu, ada pasangan yang meluangkan masa berjam-jam untuk melayari internet sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami atau isteri. Tabiat makan dan minum yang berlebih-lebihan juga boleh membawa impak kepada kesihatan yang sudah tentu memberikan kesan kepada kebahagiaan sesebuah keluarga.
  4. Mementingkan diri. Sifat ini juga boleh membawa pelbagai masalah dalam rumah tangga. Orang yang mementingkan diri biasanya jarang memikirkan nasib atau keadaan orang lain. Asalkan kehendaknya dipenuhi, dia tidak akan memikirkan keadaan orang lain walaupun mungkin kehendaknya dipenuhi dengan menyusahkan orang lain.
  5. Dendam. Sifat dendam atau sukar memaafkan akan menyulitkan perhubungan kerana pasangan yang dikahwini adalah manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesalahan. Allah SWT berfirman: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim.”9 Rasulullah SAW juga adalah seorang yang sangat pemaaf. Sifat suka memaafkan boleh menghindari seseorang dari penyakit kerana menanggung rasa marah dan benci kepada orang lain mendatangkan beban yang berat bukan sahaja kepada mental tetapi juga tubuh badan.10 Pada masa yang sama amalan suka memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan adalah juga akhlak yang terpuji.
  6. Kedekut. Kita sangat disarankan untuk selalu berlindung diri dari sifat bakhil dan berlindung dari sifat ini adalah salah satu zikir yang diulang-ulang dalam bacaan Al Ma’thurat iaitu “aku berlindung dariMu dari sifat penakut dan bakhil”. Rumah tangga yang diselubungi oleh sifat bakhil akan memberikan rasa sempit kepada penghuninya. Sebaliknya, orang yang pemurah akan dilapangkan rezekinya oleh Allah SWT dalam pelbagai sudut kehidupan termasuklah kesihatan, wang ringgit dan kasih sayang.
  7. Malas. Sifat malas juga adalah sifat yang selalu kita pohon daripada Allah SWT untuk dihindari daripada diri kita semasa membaca Al Ma’thurat. Sifat ini perlu dikikis demi kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Bayangkan perasaan seorang isteri jika setiap hari dia terpaksa menyidai tuala suaminya yang malas untuk melakukannya sendiri. Begitu juga perlakuan seorang isteri yang malas untuk membersihkan dirinya atau mengemas rumah, pasti mendatangkan kekecewaan kepada suaminya. Jika direnungkan secara mendalam, sebenarnya orang yang mempunyai sifat malas berada dalam kerugian. Kita hidup di dunia untuk melakukan sebanyak mungkin amal soleh sebagai persediaan berjumpa dengan Allah SWT di akhirat kelak namun akan dihalang oleh sifat malas. Sedangkan orang yang berjihad melawan sifat malas dan terus bersemangat melakukan amal soleh akan mendapat ganjaran yang sebaiknya daripada Allah SWT serta disenangi oleh manusia. Akhlak yang baik misalnya sifat ringan tulang suami yang suka menolong membersihkan rumah, pastinya ditulis oleh malaikat sebagai amal soleh dan pada masa yang sama memberikan kesenangan kepada isteri yang membalas dengan doa yang berterusan untuk suaminya.
  8. Suka menyalahkan orang lain. Sifat suka menyalahkan orang lain membuatkan seseorang itu tidak akan belajar dari kesalahan dirinya sendiri dan kebarangkalian untuk melakukan kesilapan yang sama amat besar. Ini adalah sikap syaitan sebagaimana Allah SWT menceritakan dalam surah al-A’raf ayat 16: “Karena Engkau telah menyesatkan aku, pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalanMu yang lurus.” Ini berlainan dengan apa yang ditunjukkan oleh Nabi Adam dan Hawa yang mengaku kesalahan mereka kerana memakan buah yang terlarang dan tidak menyalahkan syaitan yang telah menyesatkan mereka. Allah SWT menggambarkan perkara ini dalam al-Quran: “Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”11
  9. Mulut celupar. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaknya dia berkata baik atau diam.”12 Sikap suka mengeluarkan perkataan tanpa memikirkan akibat yang boleh menyakitkan hati orang lain sebaiknya dihindarkan.  Begitu juga dalam alam rumah tangga, berapa ramai suami atau isteri yang tersinggung dengan perkataan yang dikeluarkan oleh pasangannya. Jika perkara ini berterusan berlaku, semestinya ia memberi impak yang negatif kepada kedua-dua suami dan isteri.
  10. Merendahkan atau memperkecilkan pasangan. Merendahkan pasangan apatah lagi di hadapan orang lain adalah satu perbuatan yang sangat tidak wajar. Ia akan melahirkan rasa kurang dihormati dan kurang dihargai kepada pasangan yang diperkecilkan. Semua orang mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Sewajarnya pasangan memberikan motivasi dan keyakinan kepada pasangannya dan bukan sebaliknya. Allah SWT melarang perbuatan ini sebagaimana disebutkan dalam surah al-Hujurat: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka”.13
  11. Putus Asa. Suami dan isteri mesti mengambil contoh Nabi Zakaria yang tidak pernah berputus asa dengan rahmat Allah SWT. Nabi Zakaria tidak pernah berhenti berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan zuriat kepadanya. “Ia merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.”14 Suami dan isteri mestilah sentiasa optimis mengharapkan apa-apa sahaja yang dihajati akan terkabul dan meskipun tidak diperkenankan oleh Allah SWT di dunia ini, pasti yang lebih baik akan diberikanNya di akhirat nanti.
  12. Gurauan yang berlebihan. Gurauan yang melampau juga termasuk dalam akhlak yang buruk kerana orang yang bergurau mungkin merasakan ianya sekadar bersenda tetapi sebenarnya ia mengguris hati orang yang mendengar.  Seorang suami mungkin merasakan dia hanya bergurau dengan isterinya apabila memanggil isterinya dengan pangggilan “si gemuk” sedangkan isterinya merasa sangat kurang senang dipanggil dengan gelaran sebegitu. Bermula dengan gurauan yang sedikit, konflik lebih buruk boleh berlaku apabila terdapat masalah lain dalam rumahtangga.
  13. Curang dan khianat. Mempunyai hubungan sulit dengan orang ketiga tidak hanya berlaku di kalangan suami tetapi juga berlaku dikalangan isteri yang bekerja. Fenomena yang sangat menyedihkan ini berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Punca terbesar berlakunya perkara ini adalah kerana kurangnya iman, ilmu dan akhlak mulia. Contoh perbuatan khianat isteri terhadap suami boleh dilihat dalam kisah isteri-isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut.15 Kedua-dua isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut mengkhianati suami mereka kerana tidak beriman dengan apa yang dibawa oleh kedua-dua nabi. Isteri Nabi Nuh membocorkan rahsia suaminya dengan memberitahu orang-orang kafir bahawa ada orang yang beriman bersama dengan Nabi Nuh. Isteri Nabi Lut pula memberitahu orang-orang kafir ketika rumah beliau didatangi tetamu istimewa.16  Kedua-dua isteri Nabi ini dijanjikan balasan neraka oleh Allah SWT.17 Sebaliknya, kisah nabi Yusuf boleh menjadi contoh bagi sifat-sifat terpuji seperti jujur, amanah, menjaga kehormatan diri, bertanggungjawab dan takut kepada Allah.
  14. Menipu. Satu hadis menyebut “sesiapa yang menipu bukan dari kalangan kami”.18 Sikap suka menipu akan menghilangkan kepercayaan antara pasangan. Rumah tangga yang ahlinya diselubungi dengan sifat curiga-mencurigai antara satu sama lain akan mengakibatkan pergaduhan dan jika tidak ditangani dengan baik boleh berakhir dengan perceraian.
  15. Dengki. Kebiasaannya, jarang terjadi isu dengki antara suami dan isteri. Namun begitu, sifat dengki masih relevan untuk dibincangkan di sini jika terdapat unsur persaingan dalam kehidupan rumah tangga. Lebih teruk lagi jika perasaan dengki disulami dengan persekitaran yang mendatangkan rasa tidak puas hati dengan rezeki yang Allah SWT kurniakan. Misalnya, suami atau isteri merasa tidak senang hati dengan kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada teman atau jirannya dalam bentuk harta benda, kedudukan dan lain-lain. Perasaan ini akan menghilangkan rasa syukur dengan rezeki yang ada dan menyalahkan pasangan atas sebab yang tidak munasabah. Sentiasalah ingat kepada hadis ini apabila timbul rasa iri hati kepada orang lain: “Pandanglah orang yang berada di bawahmu (dalam masalah harta dan dunia) dan janganlah engkau pandang orang yang berada di atasmu (dalam masalah ini). Dengan demikian, hal itu akan membuatmu tidak meremehkan nikmat Allah padamu.”19

Sehubungan itu, setiap pasangan mestilah berusaha untuk membendung keluarga dari elemen yang meruntuhkan keharmonian rumah tangga dengan mengenal pasti unsur-unsur mazmumah di atas dari awal lagi.  Sebaliknya, semua anggota keluarga mestilah membangunkan sebanyak mungkin akhlak mahmudah di dalam diri masing-masing. Memperolehi akhlak yang mulia membantu sebuah keluarga untuk berdaya tahan dan mampu menghadapi cabaran dalam kehidupan. Contoh-contoh akhlak yang baik adalah seperti berikut:

  1. Syukur. Sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT adalah satu sifat yang sangat terpuji sehingga Allah SWT memuji sikap ini dan berjanji untuk menambah nikmatNya.20 Sebaliknya kepada sesiapa yang kufur, balasan dari Allah SWT amatlah pedih. Tidak dinafikan kehidupan berumah tangga akan melalui pelbagai ujian dan cabaran. Namun dengan sentiasa bersyukur di atas kurniaan Allah SWT dan sentiasa menyedari bahawa nikmat yang dikurniakanNya jauh melebihi beban dugaanNya, Allah pasti akan menambah nikmatNya dari pelbagai aspek kehidupan seperti jiwa yang tenang, rezeki yang halal dan mencukupi dan rumah tangga yang bahagia.
  2. Sabar dan tabah. Terlalu banyak ayat-ayat Allah SWT yang menekankan sifat sabar. Di antaranya ialah: “Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar21, “Dan Dia memberi balasan kepada mereka karena kesabarannya (berupa) surga dan (pakaian) sutera22 dan “… dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting”.23 Sabar adalah sifat yang mesti wujud dalam setiap perkahwinan. Dekatkan diri kepada Allah SWT apabila diuji dengan pelbagai ujian kehidupan dan perkahwinan. Ambil wudhu dan lakukan solat dua rakaat dan berdoalah kepadaNya supaya diberikan jalan keluar daripada setiap permasalahan. Inilah cara yang ditunjukkan oleh Allah SWT dalam al-Quran. “Wahai orang -orang yang beriman, mintalah pertolongan daripada Allah dengan sabar dan solat.”24 Dengan bersabar banyak perkara boleh diselesaikan dengan baik. Sebaliknya, tanpa kesabaran perkara yang kecil pun boleh membawa kepada pergaduhan besar.
  3. Kasihan belas dan prihatin terhadap pasangan. Di dalam al-Quran, Allah SWT menggabungkan cinta dan rahmah25 (belas kasihan dan prihatin) sebagai tunjang utama perkahwinan. Sifat belas kasihan dan prihatin terhadap pasangan sudah tentu akan menambahkan kasih sayang antara suami isteri. Ini kerana suami atau isteri merasakan dirinya dihargai kerana pasangannya amat mengambil berat tentang perasaannya atau keadaannya yang dalam kesakitan, kesedihan, kesusahan atau kesibukan. Keadaan ini sudah tentu menambah penghargaan suami atau isteri terhadap pasangannya kerana dia merasakan dirinya benar-benar dikasihi dan dilindungi walau dalam keadaan apa sekalipun dan bukan hanya disayangi apabila semuanya berada dalam keadaan baik-baik belaka.
  4. Hormat-menghormati. Sifat hormat-menghormati antara satu sama lain adalah sangat penting kerana tanpa sifat ini, pasangan akan cenderung untuk mengambil mudah (take for granted) perkara-perkara yang berlaku dalam rumah tangga. Dengan adanya sifat ini, hak dan tanggungjawab masing-masing dapat ditunaikan dan dilaksanakan dengan baik. Dengan adanya sifat hormat seorang isteri kepada suaminya, dia tidak akan membenarkan orang lain untuk bertamu ke rumahnya tanpa memberitahu suaminya terlebih dahulu. Begitu juga seorang suami tidak akan membuat keputusan penting berkenaan urusan keluarga tanpa mengambil kira pandangan isteri. Jika sifat ini dipupuk dengan baik antara suami dan isteri, sudah tentu ia akan menambahkan makna kasih sayang antara pasangan kerana adanya rasa dihormati dan dihargai oleh pasangan masing-masing.
  5. Toleransi. Tidak mungkin sebuah rumah tangga berdiri kukuh tanpa sifat toleransi antara suami dan isteri. Kehidupan rumah tangga yang sangat tegas mempertahankan hak yang mesti dipenuhi dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan tanpa unsur-unsur toleransi akan membawa kepada sifat tidak bertimbang rasa dan tidak bekerjasama. Islam sememangnya telah menggariskan hak dan tanggungjawab suami isteri dalam sesebuah perkahwinan untuk memastikan semua pihak faham dan menjalankan amanah dengan baik. Namun, dalam realiti hidup berumah tangga, ada masa atau keadaan yang memerlukan toleransi antara pasangan. Jika suami baru memulakan perniagaan dan perlu menggunakan semua wang yang ada pada waktu itu, toleransi dari pihak isteri untuk menggunakan wangnya sendiri dalam perbelanjaan keluarga adalah sangat dituntut. Yang penting suami tidak mengambil kesempatan atas pengorbanan yang dilakukan oleh isteri.
  6. Suka berkhidmat atau menolong. Realiti pada hari ini, ramai isteri bekerja untuk membantu suami dalam sudut kewangan. Oleh itu suami juga mestilah membantu isteri dalam melaksanakan kerja-kerja di rumah. Rungutan yang biasa kita dengar ialah, suami pulang dari kerja terus menonton TV atau menatap telefon bimbit sedangkan isteri terus ke dapur untuk memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Jika perkara ini berterusan berlaku, isteri akan keletihan dan tertekan. Seterusnya rasa tidak puas hati akan menjejaskan hubungan baik antara suami dan isteri.26 Semoga Rasulullah SAW terus menjadi ikutan kita dalam setiap aspek kehidupan. Sayyidatina Aishah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menolong isterinya melakukan kerja-kerja di rumah.27
  7. Rendah diri. Sebuah hadis menyebut: “Tidaklah seseorang merendah diri kerana Allah melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah.”28 Hadis ini jelas menunjukkan tidak pernah rugi orang yang sentiasa merendahkan dirinya, bahkan bertambah-tambah kemuliaannya di dunia dan di akhirat. Justeru, walaupun kita dikurniakan banyak kelebihan dari pasangan kita berupa harta, wang ringgit, pangkat, rupa paras, keturunan dan lain-lain, jangan sekali-kali meninggi diri dan berlagak sombong dengan pasangan. Semuanya adalah anugerah dari Allah SWT untuk dikongsi bersama. Apabila terlintas di fikiran perasaan kagum terhadap diri sendiri, disarankan untuk cepat-cepat kembali kepada Allah SWT dengan membaca “ما شاءالله لاقوة الابالله” sebagaimana yang disebutkan di dalam surah al-Kahfi.29 Semoga kita dijauhkan Allah SWT dari termasuk ke dalam golongan orang-orang yang sombong dan bongkak kerana sifat ini amat dibenciNya.30
  8. Ceria. Suami atau isteri yang sangat serius mengurangkan keceriaan dalam rumah tangga. Sedikit gurauan antara satu sama lain boleh menambahkan keceriaan dalam perhubungan.31 Begitu juga dengan suasana rumah tangga yang muram boleh mempengaruhi emosi (mood) pasangan masing-masing. Tidak salah menghiasi rumah dengan pelbagai warna atau bau wangian yang boleh menambahkan suasana ceria dan gembira. Alunan nasyid yang mengingati kebesaran Allah SWT atau kemuliaan RasulNya juga boleh menceriakan suasana rumah yang kelam.
  9. Sentiasa berdoa. Sentiasa berdoa adalah amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Sentiasalah berdoa untuk kebahagiaan hidup di dunia ini dan juga di akhirat yang kekal abadi. Di antara doa yang mesti diamalkan oleh pasangan suami isteri ialah doa mengaku kita telah menzalimi diri sendiri kerana banyak melakukan dosa samada dosa lahir atau pun batin32, doa memohon dikurniakan pasangan dan anak-anak menjadi sumber kebahagiaan33, doa supaya diri sendiri dan anak-anak tekun menunaikan solat34 dan doa supaya diakhiri penghidupan dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan dijauhkan dari pengakhiran yang buruk (suul khatimah).35
  10. Bertaubat. Sentiasa bertaubat dengan beristighfar dan juga melakukan solat sunat taubah adalah kebiasaan yang sangat mulia dan dituntut oleh agama. Keistimewaan orang yang suka bertaubat adalah dia tidak menanggung beban dosa.36 Tanpa beban itu, kehidupannya menjadi lebih baik dan dia akan jadi lebih bermotivasi untuk membuat lebih banyak kebaikan termasuklah kepada pasangannya, anak-anaknya dan seluruh keluarganya. Ada juga yang mendakwa dia tidak perlu bertaubat kerana dia tidak meminum arak, berzina, berjudi atau meninggalkan solat fardu. Malangnya dia lupa bahawa hatinya masih terdedah dengan banyak dosa-dosa batin seperti nifaq, takabbur, riya’, dengki, buruk sangka dan lain-lain.
  11. Muhasabah diri. Orang yang suka muhasabah atau menilai dirinya akan menjadi orang yang berjaya berbanding dengan orang yang merasa dirinya sudah baik dan tiada apa yang perlu diperbaiki. Orang yang suka menilai dirinya akan sentiasa berusaha untuk membuat atau mencuba yang lebih baik. Begitu juga pasangan yang baik adalah yang selalu berusaha untuk memastikan dia melakukan perkara yang lebih baik terhadap pasangannya walaupun mungkin tidak yang terbaik.

Adakah perceraian jalan keluar yang terbaik apabila seseorang mendapati pasangannya mempunyai banyak kekurangan dari aspek akhlak? 

Setelah melakukan solat istikharah, memohon dikurniakan oleh Allah SWT pasangan yang terbaik, suami dan isteri sewajarnya bersyukur dan menerima pasangan seadanya. Kedua-dua mereka mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing. Pasti ada hikmah yang besar mereka ditemukan oleh Allah SWT untuk bersama-sama mengharungi kehidupan ini dan menghabiskan tempoh masa yang lama bersama-sama sebagai suami dan isteri.

Suami dan isteri mestilah selalu ingat-mengingati bahawa tiada kesempurnaan dalam kehidupan dunia. Kesempurnaan hanya wujud di akhirat. Begitu jugalah kehidupan berumah tangga. Pasti ada kekurangan dan kelemahan di sana sini. Suami dan isteri mestilah menyedari bahawa perkahwinan ialah salah satu proses mujahadah untuk saling bantu-membantu dan

nasihat-menasihati antara satu sama lain. Justeru halangan dan rintangan hidup berumah tangga adalah satu proses untuk membersihkan diri dari segala kekotoran dan cara untuk meningkatkan diri sehinggalah kita layak untuk menghuni syurgaNya yang kekal abadi di akhirat kelak. Dalam surah al-Nisa ayat 19 Allah berfirman: 

Jika kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan kebaikan yang banyak padanya.”

Dalam surah al-Baqarah, ayat 216, Allah menyebut lagi:

Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Dalam kedua-dua ayat di atas Allah SWT memberitahu bahawa apa yang kita tidak suka tidak bermakna ianya tidak elok untuk kita dan apa yang kita suka tidak semestinya ianya elok untuk kita. Hakikatnya hanya Allah SWT yang mengetahui segala-galanya tentang diri kita lahir dan batin, sekarang atau pada masa hadapan, di dunia dan di akhirat. Seorang isteri mungkin ditakdirkan Allah SWT untuk berkahwin dengan seorang suami yang sangat kedekut. Pada mulanya sifat ini sangat mengganggu kehidupannya dan tanpa kesabaran dia mungkin berfikir untuk berpisah dengan suaminya. Namun, ketika dia bersabar dan cuba mencari hikmah mengapa dia dijodohkan dengan seorang yang sangat kedekut, maka Allah SWT memberi petunjuk kepadanya bahawa Dia mahu menunjukkan kepadanya buruknya perilaku seorang yang kedekut. Barulah dia menyedari dan insaf bahawa selama ini dia sangat berkira-kira untuk membelanjakan duit gajinya untuk menolong orang-orang miskin atau berbuat kebajikan sedangkan dia tidak berkira langsung untuk membeli barang-barang keperluan hariannya seperti pakaian atau beg tangan yang mahal dan berjenama. Setelah menyedari ‘utusan Allah’ ini iaitu suaminya sendiri yang Allah SWT datangkan untuk menyedarkan dirinya perihal buruknya tingkah lakunya sebelum ini, dia bertaubat kepada Allah SWT dan cuba memperbaiki dirinya. Berkat doa dan perubahan dirinya, suaminya juga mula berubah menjadi suami yang lebih baik dan pemurah. 

Perkara yang sama mestilah dilakukan oleh seorang suami iaitu tidak terburu-buru menceraikan isterinya jika dia mendapati ada tingkah laku yang tidak disukainya. Kajian menunjukkan ramai yang menyesal37 dengan keputusan terburu-buru untuk bercerai sedangkan jika bersabar dan tidak terburu-buru membuat keputusan, perkahwinan masih boleh diselamatkan dan pasangan mampu untuk hidup bahagia dengan syarat kedua-dua suami dan isteri mestilah berusaha untuk memperbaiki diri masing-masing. 

Ada juga kes di mana akibat tidak puas hati dengan tingkah laku isteri, seorang suami menceraikan isterinya dan berkahwin dengan orang lain yang Allah SWT takdirkan mempunyai tingkah laku yang sama dengan isteri yang diceraikan. Sebenarnya Allah SWT mahu menunjukkan kepada suami tersebut bahawa sebenarnya dia yang perlu berubah menjadi lebih baik jika dia mengharapkan seorang isteri yang baik dan bukan dengan menceraikan isterinya. 

Perlu diingatkan juga bahawa syaitan sememangnya tidak pernah berputus asa untuk merosakkan anak Adam. Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda:  

Jabir meriwayatkan bahawa Rasulullah saw berkata: Iblis meletakkan singgahsananya di atas lautan lalu mengutus bala tentaranya ke seluruh penjuru dunia. Yang paling besar fitnahnya kepada manusia maka dialah yang paling dekat kedudukannya dengan iblis. Ada syaitan yang datang menemui iblis dan berkata “Aku melakukan begini dan begitu”. Lalu iblis pun berkata, “Engkau belum melakukan apa-apa”. Kemudian datang lagi syaitan yang lain dan berkata “Aku tidak meninggalkan pasangan suami isteri kecuali setelah aku pisahkan mereka”. Mendengar itu, iblis pun mengungkapkan, “Kau adalah sebaik-baik tentera”.38

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada setiap suami dan isteri kekuatan untuk terus memperkukuhkan perkahwinan yang dibina. Ingatlah, suami dan isteri ditemukan untuk saling kasih-mengasihi dan bantu-membantu untuk bersama-sama menuju syurga Allah SWT yang kekal abadi di akhirat nanti. Namun, tidak dinafikan ada kes-kes di mana perkahwinan sudah tidak boleh diselamatkan lagi kerana akhlak pasangan yang sangat buruk termasuk yang melibatkan kes-kes penderaan fizikal dan mental yang berterusan. Dalam kes sebegini, mohonlah petunjuk daripada Allah SWT untuk mencari jalan keluar yang terbaik bagi menyelesaikan konflik yang dihadapi. Jika perceraianlah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah, maka bertindaklah mengikut prosedur yang betul untuk menyelamatkan diri dan anak-anak dari terus menjadi mangsa.

Saranan untuk meningkatkan diri

1. Terus bermotivasi untuk memperbaiki akhlak masing-masing. Hadis menyebut: “Orang yang paling dekat dengan Rasulullah di akhirat kelak adalah orang yang paling baik akhlaknya.”39

Motivasi apakah yang lebih baik dari kemuliaan berada dekat dengan Rasulullah SAW di akhirat kelak?

2. Sentiasa memohon daripada Allah SWT semoga dikurniakan akhlak yang mulia dan berlindung denganNya dari akhlak yang buruk. Contohnya, selalu berdoa:

اللهم آت نفسي تقواها وزكها أنت خير من زكاها أنت وليها ومولاها

“Ya Allah kurniakan kepada diriku ketaqwaan, sucikanlah jiwaku, Engkaulah sebaik-baik Dzat yang menyucikannya dan Engkaulah yang menguasainya dan yang melindunginya

اللهم جنبني منكرات الأخلاق، والأهواء، والأعمال، والأدواء

“Ya Allah, jauhkan diriku dari akhlak, hawa nafsu, perbuatan-perbuatan dan penyakit-penyakit  yang buruk”

3. Berdoa dengan mengamalkan penggunaan nama-nama Allah40 yang sesuai dengan akhlak yang ingin dipohon. Contohnya, sekiranya isteri merasakan dia sangat sukar untuk memaafkan suaminya, dia boleh berulang-ulang menyebut sebanyak mungkin “Ya Halim”, kemudian berdoa semoga Allah melembutkan hatinya untuk memaafkan suaminya dan orang lain.  Sekiranya dia mempunyai masalah kurang sabar, dia boleh mengulang-ngulang sebutan “Ya Sobur” sebelum memohon dikurniakan sifat sabar.

Kesimpulan

Akhlak mulia adalah tonggak kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Dengan akhlak yang mulia pasangan suami isteri bukan sahaja boleh menjadikan rumah tangga mereka syurga di dunia malah yang jauh lebih penting dikurniakan syurga yang kekal abadi di akhirat kelak. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita segala kekuatan untuk beramal dengan akhlak mulia dalam melayari bahtera rumah tangga. Aamiin ya rabbal’aalamiin.

Prof Madya Dr Normi Binti Abdul Malek

Pensyarah Jabatan Agama Islam, 

Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa.

Unit Keluarga, Wanita IKRAM Malaysia.

 

  1. Abu ‘Abdullah Ahmad ibn Muhammad ibn Hanbal ibn Hilal ibn Asad al-Shaybani, Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 2001), hadith no. 8952, jil. 4, hal. 512. ↩︎
  2. Pusat Rujukan Persuratan Melayu, “Akhlak”, Dewan Bahasa dan Pustaka, https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=akhlak&d=102572&#LIHATSINI (dicapai 21 Sept 2021). ↩︎
  3. Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, (Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1982), jil. 3, hal. 52. ↩︎
  4. “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).” [Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)]. ↩︎
  5. Muhammad ibn ‘Isa ibn Sawrah ibn Musa ibn al-Dahhak, al-Tirmidhi, al-Jami’ al-Kabir Sunan al-Tirmidhi, (Beirut: Dar al-Gharb al-Islami,), hadith no. 1084, jil. 2, hal. 385. ↩︎
  6. Hakimi Ismail, “92 687 Pasangan Daftarkan Penceraian,” Utusan Online, March 4, 2016, http://m.utusan.com.my/berita/nasional/92-678-pasangan-daftarkan-penceraian-1.196883. ↩︎
  7. Surah ali Imran:134. ↩︎
  8. Lihat surah al-Naziat: 37-41. ↩︎
  9. Lihat surah al-Syura :40. ↩︎
  10. Toxic Emotions Can Lead to Serious Health Problems, https://www.huffpost.com › emotional-wellness_b_4612392. ↩︎
  11. Surah Al-A’raf:23. ↩︎
  12. Sunan al-Tirmidhi, hadith no. 2500, jil. 4, hal. 241. ↩︎
  13. Lihat surah al-Hujurat: 11. ↩︎
  14. Surah Maryam: 4. ↩︎
  15. Lihat surah al-Tahrim: 10. ↩︎
  16. Ibn Kathīr, Ismail ibn ‘Umar. Tafsīr Al-Qur’ān Al-‘Azim. Beirut: Dar Ibn Hazm, 1420H/2000CE, m.s. 963. ↩︎
  17. Lihat surah al-Tahrim: 10. ↩︎
  18. Ibn Majah Abu ‘Abdullah Muhammad ibn Yazid al-Qazwini, Sunan Ibn Majah, (t.p.: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah, t.t.), hadith no. 2225, jil. 2, hal. 749. ↩︎
  19. Sunan al-Tirmidhi, hadith no. 2513, jil. 4. ↩︎
  20. Lihat surah Ibrahim: 7. ↩︎
  21. Surah al-Baqarah: 153. ↩︎
  22. Surah al-Insan: 12. ↩︎
  23. Surah Luqman: 17. ↩︎
  24. Lihat surah al-Baqarah: 153. ↩︎
  25. Lihat surah al-Rum: 21. ↩︎
  26. Kalthom Abdullah, Noraini M. Noor and Saodah Wok, “The Perceptions of Women’s Roles and Progress: A Study of Malay Women”, Social Indicator Research, vol. 89, (2008): 453. ↩︎
  27. Lihat Muhammad Mukhsin Khan, The Translation of the Meanings of Sahih Al-Bukhari, 5th edn., Vol. 1, New Delhi: Kitab Bhavan, 1984, p.364. ↩︎
  28. Muslim ib al-Hajjaj Abu al-hasan al-Qushayri al-Naysaburi, Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath a;-‘Arabi, t.t.), hadith no. 69-(2588), jil. 4, hal. 2001. ↩︎
  29. Lihat surah al-Kahfi: 39. ↩︎
  30. Lihat surah Luqman: 18. ↩︎
  31. Rasulullah juga bergurau tetapi dengan gurauan yang sederhana. Lihat lebih lanjut Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas’ud ibn Muhammad ibn al-Farra’ al-Baghawi al-Shafi’I, Sharh al-Sunnah, (Beirut: al-Maktab al-Islami, Ed. 2, 1983), hadith no. 3607, jil. 13, hal. 183; Muhammad ibn Hibban ibn Ahmad ibn Hibban ibn Mu’adh ibn Ma’bad al-Tamimi al-Darimi, al-Ihsan fi Taqrib Sahih Ibn Hibban, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1988), jil. 2, hal. 501. ↩︎
  32. Lihat al-A’raf: 23. ↩︎
  33. Lihat al-Furqan: 74. ↩︎
  34. Lihat surah Ibrahim: 40. ↩︎
  35. https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/2278-irsyad-al-hadith-siri-ke-245-doa-mati-dalam-kebaikan. ↩︎
  36. Dosa dikira sebagai beban yang berat yang dipikul oleh manusia. Lihat surah al-an’am: 31. ↩︎
  37. Alan J. Hawkins, Brian J. Willoughby & William J. Doherty, “Reasons for Divorce and Openness to
    Marital Reconciliation”, in Journal of Divorce & Remarriage, No 53, (2012), at 454; William J. Doherty
    & Leah Ward Sears, Second Chances: A Proposal to Reduce Unnecessary Divorce Presented to U.S.
    State Legislature, Institute for American Values, (2011), at 14.
    ↩︎
  38. Imam Muslim, Sahih Muslim, translated by Abdul Hamid Siddiqi, vol. 4, New Delhi: Adam Publishers & Distributors, 1999, pp. 301-302. ↩︎
  39. Musnad Ahmad, hadith no. 6767, jil. 11, hal. 380. ↩︎
  40. Lihat surah al-A’raf:180. ↩︎
Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak 2023

Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak 2023

Sambutan-Hari-kanak2-2023 wanita ikram

Pada 20 Nov, sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia, telah berlangsung secara ‘online’ Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak 2021 anjuran bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia, Wanita IKRAM Malaysia, SALAM dan KIND.

Antara acara yang telah dijalankan adalah:

1. Pelancaran Sambutan Hari Kanak-kanak

2. Pemasyhuran Pertandingan Pidato Piala Ketua Wanita IKRAM

3. Forum Sayangi dan Lindungi Anak-anak Malaysia

Ahli Panel termasuk:

1. Dr. Alizi Alias – Pengerusi Psikospiritual IKRAM (PSI) & Ahli Psikologi Organisasi

2. Pn. Dzilal Abdul Aziz – Pengurus, Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI) & Kaunselor Berdaftar

PERBINCANGAN MEJA BULAT: ISU NAFKAH ISTERI DAN ANAK

PERBINCANGAN MEJA BULAT: ISU NAFKAH ISTERI DAN ANAK

SERI KEMBANGAN – Jawatankuasa Advokasi dan Polisi, Wanita IKRAM Malaysia telah menganjurkan Perbincangan Meja Bulat bertajuk “Isu Nafkah Isteri dan Anak” di Pejabat Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 8 Januari 2023, Ahad lalu.

Program ini telah dikendalikan oleh Tuan Zulsyahmi Hussaini bin Kamarulzaman yang merupakan ahli Jawatankuasa Advokasi dan Polisi sebagai moderator, dan disertai oleh 20 orang peserta yang terdiri daripada ahli jawatankuasa penganjur dan golongan pakar dari pelbagai bidang.

Antara matlamat utama perbincangan meja bulat ini diadakan adalah untuk menyediakan ruang kepada golongan pakar mengetengahkan pandangan, pengalaman, penglibatan dan cadangan berkaitan isu nafkah terutamanya di Malaysia.

“Perbincangan ini sebagai langkah permulaan untuk mengenal pasti isu utama yang perlu ditangani dalam konteks pemberian nafkah kepada isteri dan anak,” kata Dr. Roohaida Othman sebagai Pengerusi JK Advokasi & Polisi, Wanita IKRAM Malaysia. Tambahnya lagi, ia bagi membincangkan langkah intervensi kepada pihak yang berkaitan bagi menangani isu pengabaian nafkah isteri dan anak.

Sesi tersebut diteruskan dengan pembentangan daripada Pensyarah Jabatan Amalan Guaman, Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof. Dr. Hajah Najibah binti Md Zain.

“Daripada sudut perundangan, isu nafkah ini sudah sangat baik cuma dari segi kefahaman dan pelaksanaan dalam kalangan masyarakat sendiri tentang pemberian nafkah ini perlu diberikan perhatian,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr Najibah turut menerangkan secara terperinci tentang nafkah daripada sudut dalil agama, peruntukan undang-undang, tanggungjawab membayar nafkah, tatacara pelaksanaan nafkah dalam undang-undang serta khidmat Bahagian Sokongan Keluarga (BSK).

Slot seterusnya merupakan sesi perbincangan bersama golongan pakar yang hadir daripada Institusi Keluarga Utuh (IKU) En. Rozalli Hashim dan Puan Zarina Azhari, Pertubuhan Kesejahteraan Psikospiritual Malaysia (PKPM), Dr. Amer Hudhaifah Hamzah dan Dr. Zaiton Ismail, wakil Jawatankuasa Asatizah IKRAM Ustaz Burhanuddin Lukman dan Ustazah Maznah Daud.

Turut bersama Ketua Masyarakat Progresif IKRAM En. Ainullotfi Abdul Latif, Peguam Syarie Pn. Raihan Mustafa Kamal, dan Muhammad Hanif Yahaya, Perancang Kewangan & ahli Malaysian Financial Planning Council (MFP).

Program seterusnya dirancakkan lagi dengan sesi perbincangan bersama pakar yang menjawab persoalan-persoalan daripada senario sebenar tentang isu nafkah ini.

“Nafkah tidak mutlak untuk anak sekiranya suami tidak mampu, isteri juga wajib menanggung anak itu sekiranya isteri mampu,” ujar Ustaz Burhanuddin Lukman.

Dalam pada itu, Pn. Raihan pula menerangkan bahawa jumlah nafkah isteri adalah subjektif dan peguam akan melihat dari sudut keperluan dan kemampuan suami.

“Walaupun isteri turut serta dalam membantu ekonomi keluarga, pihak suami tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab kerana ia boleh menimbulkan konflik dalam rumah tangga tersebut,” jelas Pn. Zarina.

Menurut Dr. Zaiton kepentingan pasangan untuk memahami tentang asas nafkah seperti kewajipan dalam memberikan nafkah adalah kepada suami.

“Sebelum berkahwin lagi perlu ada perbincangan untuk mencapai kesefahaman tentang bahagian kewangan yang boleh dikongsi bersama pasangan demi mencapai kesejahteraan rumah tangga tersebut,” tegas Dr. Zaiton.

Dalam perkembangan berkaitan, Naib Ketua Wanita IKRAM Malaysia Dr Sabariah Baharun menjelaskan bahawa sedar atau tidak, isu nafkah merupakan antara faktor besar yang menyumbang kepada perceraian berpunca daripada kurangnya kefahaman daripada kedua-dua belah pihak.

“Semoga perbincangan meja bulat yang diadakan bersama peguam syarie, pakar kewangan dan kaunselor ini dapat membina momentum serta meneruskan usaha advokasi untuk meningkatkan kesedaran dalam masyarakat tentang isu nafkah ini,” harapannya.

 

Nor Shahirah Shaik Amir

Pegawai Media, Jabatan Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

WANITA IKRAM MALAYSIA TEGUH BERSAMA DALAM KEMPEN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN 2022

WANITA IKRAM MALAYSIA TEGUH BERSAMA DALAM KEMPEN SAMBUTAN BULAN KEBANGSAAN 2022

Wanita IKRAM Malaysia menyambut baik Sambutan Bulan Kebangsaan yang bertemakan ‘Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama’ bermula dari 1 Ogos hingga 16 September 2022 anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Sambutan Bulan Kebangsaan (SBK) pada tahun ini lebih dinantikan kerana ia merupakan kali pertama disambut secara fizikal setelah hampir dua tahun perintah kawalan pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Antara aktiviti yang dianjurkan oleh Wanita IKRAM Malaysia sepanjang kempen SBK 2022 ialah flash mob, kitar semula, Merdeka Chef dan Bicara Bina Negara (BBN).

Setiap aktiviti yang dijalankan, bertujuan untuk menyokong objektif kempen iaitu menyemarakkan semangat cintakan negara, memupuk perpaduan nasional dalam masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya serta mengajak perkongsian nilai-nilai murni yang sama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Flash Mob

Aktiviti flash mob kali ini mendapat penglibatan yang sangat luar biasa daripada Wanita IKRAM negeri seluruh Malaysia.

Setiap negeri mempunyai keunikan tersendiri dalam melaksanakan flash mob mereka. Antaranya, terdapat negeri yang membuat flash mob di tepi pantai, pusat membeli belah dan tidak kurang juga yang membuat persembahan di kawasan sekolah. 

Ketua Wanita IKRAM Malaysia, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh bersama Pengarah SBK Wanita, Dr. Zaharah Sulaiman, turut turun padang bagi menyertai aktiviti flash mob di Putrajaya.

Flash mob yang diadakan sempena Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2022 itu dilaksanakan secara serentak di seluruh Malaysia bermula pada pukul 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. 

Kehadiran pengunjung yang dianggarkan sekitar 2119 orang bagi 15 negeri amat memberangsangkan.

Tidak kurang hebat juga, aktiviti flash mob yang diadakan oleh Wanita IKRAM Sabah berjaya mendapat liputan daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Foto 1: Perkongsian gambar bagi aktiviti flash mob dari Wanita IKRAM Negeri

Harmoni Merdeka 

Wanita IKRAM berpeluang untuk berkolaborasi bersama Harmoni Malaysia dan telah bersiaran secara langsung pada hari dan masa yang sama iaitu pada 31 Ogos 2022 dari 10 pagi sehingga 12 tengah hari.

Bagi yang tidak dapat menghadiri aktiviti ini tetapi mahu merasai kebersamaan dan kemeriahan program tersebut, boleh menontonnya di platform YouTube.

Program yang dikenali dengan Harmoni Merdeka ini meliputi ucapan daripada Presiden IKRAM serta Presiden Harmoni Malaysia, kuiz berkaitan dengan kemerdekaan, siaran eksperimen sosial (Terjah Rakyat Malaysia) dan juga aktiviti flash mob dari Wanita IKRAM.

Sesi Harmoni Merdeka ini cukup menarik kerana ia menonjolkan sambutan kemerdekaan oleh golongan anak muda dan juga wanita bersama keluarga.

Foto 2: Poster Siaran Langsung Harmoni Merdeka

BBN

Satu slot Bicara Bina Negara (BBN) yang bertajuk ‘Teguh Bersama Memerangi Gangguan Seksual Terhadap Wanita’ telah diadakan pada 3 September 2022.

Slot ini merupakan kerjasama antara Wanita IKRAM Malaysia diwakili oleh Nur Amirah binti Mohd Pauzi sebagai moderator, Gerakan Tampil Bersuara yang diwakili oleh Tuan Amir Khusyairi bin Mohamad Tanusi, All Women’s Action Society (AWAM) oleh Puan Betty Yeoh dan Ahli Parlimen dari Batu Kawan YB Kasthuriraani Patto.

Sesi BBN kali ini membincangkan tentang pentingnya kewujudan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual 2021 untuk diluluskan. 

Akta yang sedia ada hanya akan memberikan hukuman jika terbukti perbuatan gangguan seksual secara fizikal tetapi RUU kali ini mengetengahkan keperluan untuk menjelaskan definisi gangguan seksual secara lebih terperinci iaitu sebarang gurauan atau kata-kata yang berunsur lucah serta mewujudkan tribunal bagi menyediakan saluran buat mangsa yang terkesan dari sudut emosi untuk membuat aduan. 

YB Kasthuriraani menekankan kepentingan untuk menormalisasikan perbincangan bersama kenalan, termasuk di peringkat institusi, badan bukan kerajaan serta masyarakat awam supaya mereka lebih peka dan memahami tentang konsep RUU Antigangguan Seksual ini.

Beliau juga mengingatkan supaya isu gangguan seksual ini perlu dipandang sama berat jika terjadi kepada kaum lelaki bukan sahaja wanita.

Foto 3: Sesi BBN “Teguh Bersama Memerangi Gangguan Seksual Terhadap Wanita”

MERDEKA CHEF

Apakah cara yang lebih baik untuk mengukuhkan perpaduan negara selain daripada makanan?

Tercetusnya aktiviti Merdeka Chef ini adalah bertujuan untuk meraikan kepelbagaian kaum dan bangsa melalui pertandingan masakan.

Aktiviti yang diadakan dari 1 Ogos hingga 19 September 2022 juga adalah untuk mengajak masyarakat kepada ‘rakyat sebagai satu entiti’ melalui semangat setiakawan.

Sebanyak 13 negeri dan 27 kawasan yang telah terlibat dalam melaksanakan aktiviti Merdeka Chef ini.

Foto 4: Pelaksanaan aktiviti Merdeka Chef dari Wanita IKRAM Selangor, Melaka, Kelantan & Kuala Lumpur

KITAR SEMULA

Sepanjang kempen SBK 2022, turut diadakan aktiviti kitar semula. Antara objektif pelaksanaan aktiviti ini adalah bagi mengukuhkan perasaan cintakan negara dengan memelihara alam sekitar dari kemusnahan dan pencemaran.

Sebanyak RM12,526.80 telah berjaya dikumpul bermula 1 Ogos hingga 19 September 2022 yang mendapat penglibatan secara aktif dari 14 negeri dan 33 kawasan dalam menggerakkan aktiviti kitar semula di tempat mereka.

Foto 5: Pelaksanaan aktiviti kitar semula dari Wanita IKRAM Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Kelantan, Selangor & Perlis

KAMI

Acara kemuncak bagi kempen SBK ini adalah Karnival ‘Kita Anak Malaysia’ (KAMI) yang telah diadakan pada 16 September 2022 sempena Hari Malaysia ke-59.

Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terlibat sama dalam menganjurkan empat aktiviti iaitu; Pameran Wanita IKRAM Malaysia, Pameran bersama Wanita IKRAM, TERATAI dan AWAM, Speaker’s Corner dan pertandingan Boling Perpaduan.

Pameran Wanita IKRAM Malaysia

Wanita IKRAM turut berpeluang mengadakan aktiviti interaktif bersama pengunjung di mana, mereka diberi peluang untuk menuliskan harapan buat negara Malaysia. Seramai 226 orang yang telah menukilkan harapan mereka, antaranya adalah supaya negara Malaysia kekal sebagai negara yang selamat, bebas rasuah dan saling menghormati rakyat berbilang kaum dan bangsa.

Foto 6: Papan Interaktif “Harapan untuk Malaysia” di Pameran Wanita IKRAM

Pameran Wanita IKRAM bersama TERATAI dan AWAM

Wanita IKRAM berpeluang bekerjasama bersama Teratak Rumah Wanita Islam (TERATAI) dan AWAM bagi menyediakan ruang kepada pengunjung yang berminat untuk mendapatkan khidmat kaunseling dan guaman.

Selain itu, pengunjung juga dapat menunjukkan sokongan mereka untuk ‘Teguh Bersama Memerangi Keganasan Terhadap Wanita’ melalui aktiviti Thumb Paint yang disediakan di reruai ini.

Foto 7: Sokongan untuk ‘Teguh Bersama Memerangi Keganasan Terhadap Wanita’

Speakers’ Corner

Slot Speakers’ Corner oleh Pn. Dzilal Abdul Aziz (AJK Advokasi & Polisi Wanita IKRAM & Pengurus TERATAI) bersama Ms. Lilian Kok (Pengurus AWAM) semasa KAMI diadakan adalah bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat umum tentang kepentingan memastikan keselamatan dan kesejahteraan wanita di Malaysia serta talian yang boleh dicapai sekiranya memerlukan bantuan khidmat kaunseling dan guaman.

Pertandingan Boling Perpaduan

Pertandingan Boling Perpaduan merupakan anjuran bersama Wanita IKRAM Malaysia dan Wanita IKRAM Selangor.

Pertandingan ini dibuka khas buat badan bukan kerajaan (NGO) yang pernah libat urus bersama Wanita IKRAM Malaysia dan institusi di bawah Wanita IKRAM. Seramai 32 orang yang menyertai pertandingan ini dari pelbagai NGO/institusi termasuk Wanita Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Persatuan Jururawat Malaysia (MNA), Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Persatuan Kebajikan Wanita 1 Malaysia (WAN1M), Hidayah Centre Foundation (HCF), Sekretariat Hal Ehwal Wanita ABIM (SALWA) dan Wanita IKRAM Kawasan Ampang Jaya.

Foto 8: Pemenang bagi Pertandingan Boling Perpaduan

PENUTUP

Kempen SBK pada tahun ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari pelbagai pihak termasuk institusi, badan bukan kerajaan, Wanita IKRAM negeri dan kawasan. Tidak kurang juga kemeriahan dari penglibatan masyarakat umum khususnya dari negeri Selangor dan Kuala Lumpur. 

Aktiviti sebegini amat wajar untuk diteruskan kerana ia memberikan impak terhadap pengukuhan perpaduan nasional serta menonjolkan sikap rahmah sesama ahli dalam masyarakat yang terdiri dari pelbagai kaum dan bangsa sepanjang pelaksanaan kempen. 

Tidak lupa juga, peranan wanita yang memainkan peranan yang sama penting bersama lelaki dalam membina dan menguatkan jalinan perpaduan antara pelbagai kaum di Malaysia.

Nor Shahirah Shaik Amir

Pegawai Media

Jabatan Wanita

Pertubuhan IKRAM Malaysia

[KENYATAAN MEDIA] WANITA IKRAM MENYERU MANGSA GANGGUAN SEKSUAL UNTUK TAMPIL BERSUARA BAGI MENDAPATKAN KEADILAN DAN PEMBELAAN

[KENYATAAN MEDIA] WANITA IKRAM MENYERU MANGSA GANGGUAN SEKSUAL UNTUK TAMPIL BERSUARA BAGI MENDAPATKAN KEADILAN DAN PEMBELAAN

Wanita IKRAM sentiasa mengambil peduli isu-isu gangguan seksual yang berlaku dalam kalangan masyarakat. Pendedahan yang dibuat oleh seorang pelakon remaja baru-baru ini mengenai serangan seksual yang dilaluinya semasa kecil wajar dipandang serius, dilaporkan dan disiasat oleh pihak berkuasa agar perlindungan dan keadilan dapat diberikan kepada mangsa.

Pendedahan pelakon remaja tersebut juga telah membuka mata masyarakat bahawa isu gangguan seksual dan keganasan rumahtangga yang berlaku dalam kalangan masyarakat bukan isu terpencil dan tidak boleh dipandang remeh. 

Wanita IKRAM menyeru agar mangsa-mangsa gangguan seksual tidak berdiam diri dan mengambil langkah sewajarnya bagi mempertahankan maruah, rohani, fizikal dan mental mereka. Langkah pertama yang disarankan kepada mangsa-mangsa gangguan seksual adalah untuk tampil bersuara dan melaporkan perbuatan pelaku tersebut kepada pihak berkuasa.

Semestinya untuk tampil bersuara, mangsa memerlukan kekuatan dan keberanian. Oleh itu, mangsa gangguan seksual turut disarankan mendapatkan sokongan mental dan emosi daripada individu yang dipercayai ataupun merujuk masalah mereka kepada pihak kaunselor yang terlatih.

Mangsa-mangsa gangguan seksual juga disaran untuk mendapatkan rawatan dan perlindungan daripada pihak yang tepat agar kesejahteraan dan keselamatan mangsa-mangsa sentiasa dilindungi dan mereka tidak berasa keseorangan dalam mendapatkan keadilan dan pembelaan.

Selain mangsa, masyarakat juga memainkan peranan dalam memerangi gangguan seksual daripada terus berlaku. Setelah suatu laporan gangguan seksual difailkan oleh mangsa kepada pihak berkuasa, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengganggu mangsa dan pelaku serta memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

Siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa mestilah telus dan adil agar pembelaan dapat diberikan kepada pihak-pihak yang terlibat. Dengan adanya ekosistem yang selamat dan proaktif, masalah gangguan seksual dapat teguh bersama diperangi demi mewujudkan Malaysia sebagai negara yang rahmah dan sejahtera.

Ustazah Sallawahiu binti Mohd Salleh

Ketua Wanita IKRAM

Pertubuhan IKRAM Malaysia