Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti

Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti

Manhaj Rabbani merupakan sebuah jalan hidup yang telah ditetapkan oleh Allah Taala untuk seluruh makhlukNya. Berpegang kepada Al Quran dan Sunnah Sahihah adalah ukurannya. Para salafus soleh sangat berpegang pada manhaj ini, lantaran itu mereka berjaya mencipta tamaddun unggul yang sangat gemilang.

Frasa ini telah dipilih sebagai tema sambutan Maal Hijrah tahun ini. Sehubungan itu ummat Islam di Malaysia sewajarnya menghayati tema ini sebagai usaha kita untuk kembali bangkit menjadi ummat yang gemilang juga. Kerana kita tidak akan menjadi gemilang  melainkan mengambil sebab-sebab kejayaan yang telah dilalui generasi salaf yang gemilang itu.

Ummah berkualiti boleh dilihat dan dinilai melalui neraca-neraca berikut :

1.Sejahtera di sudut akidah: 

Ini membawa maksud seorang itu mengesakan Allah Taala, menolak unsur-unsur syirik samada dalam keyakinan atau amalannya. Fikirannya tidak dikotori oleh khurafat dan tahyul, taat kepada Allah Taala dengan melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang diharamkan Allah, bahkan menjauhi yang makruh.

Ia juga seorang yang taat kepada Rasulullah sallallahu alaihi wa sallam, melaksanakan perintah Rasulullah saw dan meninggalkan apa yang baginda larang. Menyintai Rasulullah saw, dengan mengamalkan Sunnah baginda, memperjuangkan ajarannya dan manjadikan baginda sebagai ikutan (‘role model’) sepanjang zaman. Selain itu, ia meyakini semua rukun iman yang lain dengan sempurna.

2.Ibadah yang sahih: 

Seorang muslim berkualiti adalah pemilik ibadah yang sahih, cara dan sumber ibadah itu tentu dari Allah, menurut apa yang yang dicontohkan oleh Nabi.

Tiada terkurang dalam ibadahnya dan tiada terlebih dari apa yang ditunjukkan oleh Nabi.

Beliau seorang yang ikhlas dan istiqamah dalam ibadah, melazimi ketaatan tersebut samada dalam keadaan susah atau senang, suka atau tidak, malah ia tekun beribadah.

Beliau seorang pencinta ilmu kerana itu adalah syarat kesempurnaan akal, ibadah dan membawanya ke mercu kemuliaan.

3.Akhlak yang mantap: 

Bukti iman dan takwa seorang muslim berkualiti terlihat pada keperibadiannya.

Bahkan akhlak adalah ledakan takwanya, di mana hati adalah tapak semaian asas iman. Jika baik hati maka baiklah anggota zahirnya, baiklah tutur katanya, pandangannya, tingkahlakunya malah perasaannya. 

Dia sentiasa benar dalam perbuatan dan tuturkata, memelihara amanah, ikhlas dalam perbuatan, tekun dalam pekerjaan yang diamanahkan, sentiasa bersyukur atas rezeki dari Allah, sabar dalam taat, sabar terhadap maksiat dan ujian kesusahan yang melanda.

Muslim berkualiti juga sentiasa adil ketika marah atau suka, juga dalam melayani insan di sekitarnya, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dia juga seorang yang kuat bermujahadah dengan nafsunya, melawan godaan nafsu dan syaitan yang sentiasa menyuruh berbuat maksiat dan kejahatan. Bersikap lembut, sopan, tawadhu’, tidak mencela orang lain, menjaga lisan daripada menyakiti orang lain apalagi sesama muslim samada ketika berhadapan atau di media sosial.

Seorang yang bijak mengurus masanya dan menyusun urusan peribadinya. Tidak membazir masanya pada perkara yang sia-sia seperti hiburan yang berlebihan.

4.Badan yang sihat dan kuat: 

Seorang muslim berkualiti mesti memiliki fizikal yang sihat agar dapat menunaikan segala kewajiban kepada keluarga, agama dan masyarakat dengan sempurna, kerana pengabdian seorang hamba itu kebanyakannya perlukan pengorbanan jiwa dan fizikal secara serentak seperti solat, puasa, haji dan jihad fi sabilillah. Namun jika ia sakit itu tidak bermakna ia cacat dalam pandangan agama.

5.Cerdik dalam berfikir: 

Ciri ini juga penting untuk mencapai tahap muslim berkualiti kerana Nabi adalah ‘Fathanah’.

Hal ini sangat penting baginya untuk melaksanakan kewajiban kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Apalagi jika ia menjadi pemimpin masyarakat dan negara.

Beliau seorang berwawasan tinggi, mempunyai matlamat hidup yang jelas dan cemerlang, bekerja mencapai wawasan itu dengan kemas dan berkesan.

6.Rajin berusaha untuk nafkah hidupnya: 

Beliau hendaklah mampu berusaha menyara diri dan orang di sekitarnya, malah untuk membantu orang-orang miskin yang lemah dalam masyarakatnya. Seorang muslim yang kaya lebih utama daripada yang meminta-minta pada orang. Bahkan kemandirian ekonomi adalah ciri penting untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan menjadi pemimpin yang ditaati. Dengan itu juga dia akan menjadi insan yang bermanfaat kepada orang lain di sekelilingnya.

7.Berfikiran positif: 

Muslim berkualiti semestinya sentiasa berfikiran positif, beliau mengukir kehebatan dalam minda dan diterjemahkan dalam tindakannya. Mengambil contoh dari Rasulullah saw dan para sahabat baginda, di mana ketika di Makkah mereka ditindas dengan teruk namun Nabi mengajar sahabat agar sentiasa mengharapkan kemenangan di masa depan. Setelah hijrah, hal itu menjadi kenyataan. Dia jauh sekali daripada putus asa ketika diuji.

8.Menyantuni manusia: 

Ciri yang lain ialah menyantuni insan di sekitarnya, lidahnya sentiasa mengajak kepada kebaikan dengan akhlak yang baik, mencegah yang munkar dalam keluarga dan masyarakatnya, membantu yang kekurangan, supaya dengan itu hati manusia akan terpaut padanya dan mengikuti dakwahnya. 

9.Membangun ummah: 

Ummah berkualiti menjadikan pembangunan ummah sebagai gagasan besarnya,  berusaha membangun ummah yang cemerlang persis generasi pertama Islam, menyatukan ummah bermodalkan takwa dan iman jitu serta akhlak yang teguh, perjuangan tanpa sempadan geografi atau bangsa, membawa misi Islam sejagat. Mereka berani menyuarakan teguran-teguran kepada pemimpin di negaranya malah di peringkat antarabangsa ke arah keamanan dunia. Mereka berjuang membantu saudara muslimnya walau terpaksa mengharungi cabaran getir di sempadan negara yang bergolak, demi cinta kepada saudara muslimnya.

Dalam usaha ini wanita muslimah juga turut sama menggalas bebanan, mengambil teladan dari Ummahaat mu’minaat dan sahabiyah di zaman gemilang itu, mereka turut berpenat lelah membangun ummah bersama rijal muslimin. Tidak diragukan bahawa sumbangan wanita muslimah di Malaysia berada di tahap cemerlang berbanding negara-negara Islam di dunia, dengan penampilan berbusana muslimah, sopan dan berhemah, wanita kita telah berjaya menjadi contoh unggul buat ummah di zaman ini. Alhamdulillah.

Sempena tema Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti ini, saya mengajak diri saya dan saudara saudari untuk kita bertekad mengekalkan keunggulan yang telah kita miliki ini dan berusaha memperbaiki diri demi mencapai ciri-ciri muslim berkualiti yang telah disarankan oleh para ulama’ kita seperti di atas. 

Wallahu a’lam.

Oleh : Ustazah Shahidah bt Sheikh Ahmad