Masjid Qiblatain, Israk Mikraj, dan Tarbiah Yang Membangunkan Jiwa

Masjid Qiblatain, Israk Mikraj, dan Tarbiah Yang Membangunkan Jiwa

Jika anda pernah menjejakkan kaki ke bumi Madinah untuk melaksanakan ibadah haji atau umrah, pasti anda pernah ziarah ke sebuah masjid unik bernama “Qiblatain” (dua kiblat). Mengapa ia dinamakan dengan Qiblatain? 

 

Pada sekitar tahun ke-2 hijrah, Nabi Muhammad SAW sedang memimpin solat berjemaah menghadap Masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama kaum muslimin. Ketika itu, Allah menurunkan ayat Surah Al-Baqarah ayat 144:


قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى ٱلسَّمَآءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةًۭ تَرْضَىٰهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ ۗ وَإِنَّ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا ٱللَّهُ بِغَـٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ ١٤٤

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya.

 

Serta merta, Nabi SAW yang sedang menjadi imam, berpusing menghadap Masjidil Haram, diikuti oleh para sahabat yang menjadi makmum. Oleh sebab itu, masjid ini diberi nama Qiblatain (dua kiblat) kerana terdapat dua buah mihrab kiblat yang saling berhadapan. Satu menghadap Masjidil Aqsa dan satu lagi menghadap ke Masjidil Haram.

 

Jika Masjid Qiblatain merakamkan perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram, Israk mikraj pula merakamkan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram, ke Masjidil Aqsa dan seterusnya ke sidratul muntaha (langit ketujuh). Oleh itu, sempena memperingati Israk Mikraj tahun ini, mari kita hayati bersama perjalanan agung ini dan menjadikannya momentum untuk membangun jiwa.

 

Sidang pembaca yang budiman,

Pelajaran pertama dapat kita ambil dari Israk Mikraj adalah, pejuang kebenaran tidak akan pernah ditinggalkan oleh Allah SWT.

Pada sekitar tahun ke-10 selepas diangkat menjadi rasul, Nabi Muhammad SAW melalui fasa yang mencabar dalam dakwah. Di tahun itu, telah wafat dua penyokong tegar perjuangan beliau, iaitu Abu Thalib dan isterinya, Khadijah. Sejarah merakamkan tahun itu sebagai ‘amul huzn atau tahun kesedihan.

Dengan rahmat dan kasih sayang-Nya, Allah SWT tidak membiarkan Rasulullah SAW dalam kesedihan. Allah ‘Azza Wa Jalla memberi suntikan semangat Nabi Muhammad SAW dengan perjalanan Israk Mikraj untuk membangunkan semula jiwa Nabi SAW yang diselimuti kesedihan. 

Perkara ini senada dengan firman Allah SWT, dalam surah Muhammad ayat ke-35:

“Maka janganlah kamu lemah, dan mengajak (pihak musuh) kepada perdamaian, padahal kamulah yang lebih tinggi (kedudukannya), dan Allah berserta kamu, dan Dia tidak akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu.

 

Pelajaran kedua adalah tentang pentingnya menghayati sejarah perjuangan.

Salah satu peristiwa penting dalam Israk Mikraj adalah sebuah checkpoint di bumi Palestin, Masjidil Aqsa. Di masjid ini, Rasulullah SAW diberikan kemuliaan untuk menjadi imam solat kepada para nabi dan rasul.

Betapa bahagia hati Nabi SAW, menemui para rasul terdahulu. Semakin mantap keyakinan di hatinya bahwa beliau tidak bersendirian dalam dakwah ini. Ia adalah satu perjuangan yang sangat panjang, yang merupakan kesinambungan risalah yang dibawa oleh para nabi dan rasul terdahulu. Kepentingan ini dijelaskan oleh Allah dalam surah Hud:

“Dan semua kisah para rasul yang Kami ceritakan kepadamu adalah agar dengannya Kami teguhkan hatimu; dan dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran, pengajaran, dan peringatan bagi orang-orang yang beriman.” (Hud:120)

Maha benar firman Allah. Sesungguhnya kisah para rasul terdahulu terdapat pelajaran dan menjadi asbab keteguhan hati dalam meneruskan perjuangan.

 

Pelajaran ketiga pula, adalah kepercayaan dan kebersamaan dalam perjuangan

Selepas peristiwa Israk Mikraj, keesokan harinya, Rasulullah SAW menceritakan perjalanan beliau sepanjang malam itu. Kaum Quraisy yang mendengar cerita itu, mengejek dan menuduh Muhammad SAW sebagai pendusta. Namun apabila Abu Bakar RA mendengar cerita itu, dia menjadi yang pertama membenarkannya. Abu Bakar RA berkata:

“Jika memang beliau mengatakan demikiran, maka sungguh beliau telah berkata benar. Sungguh, bahkan aku sangat mempercayai beliau lebih jauh dari itu. Aku percaya kepadanya tentang berita langit di kala pagi dan petang hari.”

Sejak peristiwa itu gelaran As-Siddiq tersemat pada diri Abu Bakar RA. Demikianlah kepercayaan dan kesetiaan Abu Bakar As-Siddiq RA. Sahabat peneman setia yang meletakkan kepercayaan dan sentiasa bersama Nabi SAW dalam perjuangan. Dari Abu Bakar As-Siddiq kita belajar, bahwa perjuangan menegakkan Islam perlu kepada penyokong-penyokong yang setia dan kekal bersama dalam pasukan agar dakwah dan perjuangan ini dapat terus berjalan. 

 

Saudara dan saudari pembaca yang berbahagia,

Israk Mikraj bukan hanya peristiwa agung yang diperingati setiap tahun. Ia adalah tarbiah dari Allah SWT untuk membangun jiwa hamba-Nya dengan keimanan yang kukuh. Sebagaimana yang dicontohkan oleh sahabat setia nabi, Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA yang meyakini kebenaran Nabi Muhammad SAW tanpa keraguan.

 

Setelah beberapa tahun Israk Mikraj berlalu, Rasulullah SAW telah berhasil meneruskan tarbiah itu kepada para sahabat ridwanullah ‘alaihim (semoga Allah meredhai mereka). Buktinya dapat dilihat dari keperibadian para sahabat. Salah satunya dalam peristiwa masjid Qiblatain. Saat turun firman Allah SWT untuk mengubah arah kiblat, perintah itu dituruti serta merta. Begitulah kualiti tarbiah yang membangun jiwa. Tarbiah yang melahirkan ketabahan dan ketaatan sempurna pada Allah dan Rasul-Nya. Sudahkah kita mengambil pelajaran?

Salam Israk Mikraj 1446 Hijrah

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita IKRAM Malaysia