Wanita IKRAM telah menyertai Seminar Wanita Memperkasa Keluarga Madani yang diadakan pada 27 November 2024, bertempat di Kelab Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya. Program ini adalah hasil inisiatif Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP). Seminar ini berjaya menghimpunkan wanita dari pelbagai latar belakang persatuan dan pertubuhan untuk bersama-sama menggali inspirasi, berkongsi pengalaman, dan memperkukuh ilmu demi memperkasa keluarga dalam kerangka Malaysia Madani.
Seminar ini menampilkan barisan penceramah hebat seperti Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh (Ketua Wanita IKRAM), YBhg. Prof. Datuk Dr. Mohd Fadzil Che Din (Profesor Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)), dan YBhg. Datuk Dr. Harlina Hj Siraj (Presiden PUTERI Alumni). Majlis ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datin Seri Hajah Azlin Hezri (Timbalan Pengerusi KASIH Malaysia).
Pelbagai ilmu dan inspirasi telah dikongsikan sepanjang seminar ini, antaranya mengenai nilai teras Malaysia Madani yang diinspirasikan oleh tokoh-tokoh wanita Islam dalam Al-Quran seperti Siti Hajar dan Ratu Balqis. Peserta seminar diingatkan tentang kepentingan menjadi wanita yang teguh di jalan Allah, seperti Siti Hajar yang tidak pernah berputus asa dalam berusaha dan memimpin Nabi Ismail seiring dengan visi Nabi Ibrahim. Selain itu, Ratu Balqis turut dijadikan teladan kerana sifat ihsan dan kebijaksanaannya dalam kepimpinan, yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kedamaian.
Semoga ilmu dan inspirasi yang diperoleh sepanjang seminar ini menjadi panduan dalam memperkukuh institusi keluarga dan memajukan masyarakat.
Sekitar Seminar Wanita Memperkasa Keluarga Madani