Kekuatan Wanita dalam Sejarah:  Pengorbanan yang Mengukir Kejayaan  Pejuang Islam

Kekuatan Wanita dalam Sejarah: Pengorbanan yang Mengukir Kejayaan Pejuang Islam

Kisah Nabi Ibrahim dan Ismail yang menjadi inspirasi dalam pengorbanan. Meski demikian, kisah ini tidak terlepas dari peranan wanita hebat, iaitu Siti Hajar sebagai seorang isteri juga seorang ibu yang telah mencontohkan pengorbanan dan keteladanan yang hebat dalam mendidik serta membesarkan Nabi Ismail alaihissalam. Lalu bagaimana peranan para wanita yang lain sepanjang sejarah, yang juga boleh kita ambil iktibar dan hikmahnya?

Kepelbagaian watak seorang ibu & keteladanan Maryam

Jika para wanita diberi pilihan, tentu kita memilih menjadi ibu dalam suasana serta lingkungan yang mendukung. Mempunyai harta yang mencukupi, suami yang baik, rumah yang selesa, tinggal di negara yang aman sentosa dan seterusnya. Namun kenyataannya tidak selalu seindah yang kita harapkan. Sejarah membuktikan para ibu dengan pelbagai watak yang berjaya mereka jalani, di sebalik kesukaran hidup. 

 

Yang pertama, adalah kisah Maryam Alaihissalam. Bayangkan anda berada dalam situasi beliau. Melahirkan anaknya Isa alaihissalam tanpa seorang suami. Pastinya ia membawa kepada fitnah dan cacian oleh masyarakat. Tentu ia adalah mimpi ngeri bagi kita. Namun dengan izin Allah SWT, Maryam memperoleh kekuatan dan pertolongan dari Rabb Yang Maha Agung.

 

Antara kelebihan Maryam AS adalah kekuatan hubungan dengan Allah SWT. Beliau mempunyai kebiasaan beribadah di mihrab. Antara keistimewaannya adalah, berkat ibadah yang ikhlas itu, Allah SWT selalu memberi rezeki berupa makanan untuknya, seperti yang diceritakan dalam surah Ali Imran ayat ke-37. 

 

Di sebalik dahsyatnya ujian yang melanda hidupnya, Maryam berjaya mendidik Isa AS menjadi seorang peribadi yang soleh. Nabi Isa AS bukan sahaja dilantik sebagai seorang rasul, tetapi juga diakui sebagai Rasul Ulul Azmi, yang dihormati kerana kesabaran dan kesungguhannya dalam menyampaikan risalah.

 

Hindun Sang Pejuang

Sirah juga merakamkan kisah Hindun binti Utbah, isteri kepada Abu Sufyan. Dia dan suaminya antara dua tokoh yang paling kuat memusuhi Rasulullah dan umat Islam, di zaman jahiliah sebelum akhirnya memeluk Islam ketika peristiwa Fathu Makkah

 

Walaupun Hindun termasuk dalam golongan yang agak lambat memeluk Islam, setelah hidayah menerangi hatinya, beliau segera mencari peluang untuk berjuang menyebarkan Islam dan berkolaborasi dengan keluarganya dalam memperjuangkan agama Allah SWT. Hindun menunjukkan komitmennya yang kuat dalam Perang Yarmuk, di mana beliau berjuang dan memberikan semangat kepada mereka yang ingin berundur dari pertempuran, termasuk suaminya, Abu Sufyan.

 

Hindun berperanan penting dalam menyokong suaminya, Abu Sufyan, dan mengingatkannya agar tetap teguh dalam memperjuangkan Islam. Selain itu, perlu diingat bahawa dari rahim Hindun lahir anaknya, Muawiyah bin Abu Sufyan, seorang sahabat terkemuka yang menjadi Gabenor pada era Umar Al-Khattab dan juga pengasas Khilafah Umayyah.

 

Ibunda Musa Yang Taat dan Penyayang

Al-Quran merakamkan dalam Surah Al-Qasas, seorang wanita mulia yang digelar “Ummi Musa”. Ketika Firaun memerintah, Firaun begitu takut dengan ramalan seorang anak lelaki yang katanya kelak akan menghancurkan kerajaannya. Perintah untuk membunuh semua bayi lelaki telah dikeluarkan. Ummi Musa yang baru sahaja melahirkan Musa begitu khawatir akan keselamatan anaknya. 

 

Biarpun diselimuti ketakutan akan keselamatan anaknya, Ummi Musa taat akan perintah Allah yang memberi ilham kepadanya untuk menghanyutkan Nabi Musa alaihissalam ke dalam Sungai Nil. Beliau percaya janji Allah bahawa Musa akan dikembalikan kepadanya. Sukar dibayangkan, jika kita berada dalam keadaan begitu, mampukah kita menghanyutkan anak tersayang ke dalam sungai? Sungguh ketaatan dan pengorbanan yang luar biasa telah dicontohkan oleh beliau. Sidang pembaca, kisah ini diabadikan di dalam Surah Taaha ayat ke-38:

 

“Letakkan anakmu di dalam sebuah peti dan alirkannya ke dalam sungai, kemudian arus sungai akan membawanya ke tebing lalu dipungut oleh musuh-Ku dan musuhnya iaitu Firaun.” Kami telah campakkan kepadamu perasaan belas kasihan supaya kamu dikasihi orang yang melihatmu dan supaya kamu diasuh dalam pemeliharaan-Ku.”

 

Ummi Musa juga menekankan tarbiyah dalam membina keperibadian anaknya. Kakak Nabi Musa dididik dengan begitu baik menjadi seorang yang yang pemberani juga penyayang. Dia memainkan peranan penting memerhatikan adiknya di dalam peti yang hanyut itu dan kemudian menawarkan untuk menunjukkan kepada keluarga Firaun, seseorang (Ummi Musa) yang mampu menyusukan Musa. Kisah ini diceritakan dalam surah Taaha ayat 39-40:

 

Nikmat Kami juga atasmu wahai Musa ketika kakakmu memerhatikan peti itu, lalu dia berkata kepada mereka yang mengambilnya, “Mahukah kamu aku tunjukkan seorang yang boleh memeliharanya dengan baik?” Maka Kami telah kembalikan kamu kepada ibumu dengan selamat supaya dia gembira dan tidak lagi bersedih.

 

Mencontohi keperibadian wanita-wanita hebat

Sidang pembaca yang dikasihi, mari kita renungi dan hayati pengorbanan para wanita hebat ini. Maryam, Hindun, dan Ummi Musa hanyalah segelintir dari ribuan susuk wanita hebat, di sebalik tokoh pejuang Islam. Mereka merelakan diri berkorban dan berjuang demi menyokong para lelaki dan ahli keluarganya menjadi pejuang Islam yang terulung.

 

Semoga kita, para wanita, juga dapat mengambil ibrah besar dari kisah mereka dan menyuntik semangat dalam diri untuk berkorban dan berjuang menegakkan kalimah Allah di muka bumi.

 

Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh
Ketua Wanita
Pertubuhan IKRAM Malaysia