Kurangnya Penghayatan Ilmu, Hanyut Kita Dibawa Arus

Kurangnya Penghayatan Ilmu, Hanyut Kita Dibawa Arus

Budaya ilmu merupakan amalan yang menjadi rutin bagi masyarakat seluruh dunia. Tanpa budaya ilmu hidup ini tidak bermakna. Kita diajar membaca sejak kita masih kecil lagi. Bermula seawal empat tahun kita telah diajar mengenal huruf Hijaiyah untuk membaca muqaddam dan seterusnya al-Quran. Kita juga diajar mengenal huruf Rumi bagi tujuan untuk membaca tulisan Roman yang banyak digunakan di seluruh dunia.

Tahukah anda, saat Rasulullah SAW diberi amanah sebagai pembawa risalah, baginda ialah seorang yang ummi bermaksud buta huruf. Buta huruf yang dimaksudkan adalah buta mengenai ayat-ayat Al-Quran yang diturunkan pada saat itu. Ia sangat berbeza dengan bahasa Arab sedia ada. Rasulullah SAW menjawab, beliau tidak tahu apabila disuruh membaca. Apabila malaikat Jibril AS memintanya membaca ayat pertama al-Alaq ayat 1:

اِقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِيْ خَلَق

Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan (al-Alaq:1).

Lalu Malaikat Jibril AS memeluk Rasulullah SAW sehingga sangat sukar untuk bernafas. Keadaan ini berulang selama tiga kali. Akhirnya, dengan izin Allah SWT, Rasulullah SAW boleh membaca ayat tersebut dengan baik dan terus menanti wahyu-wahyu seterusnya.

Apa yang boleh diambil iktibar dari peristiwa ini? Usaha! Percubaan pertama belum tentu kita berjaya. Apa yang perlu, teruskan usaha dan melangkah ke hadapan. Membaca dengan maklumat yang membawa manfaat kepada kita semua.

Dewasa ini, ramai yang kerap membaca tetapi kurang memahami apa yang dibaca. Kita hanya membaca dan terus menghebahkan tanpa menyelidik kesahihan maklumat tersebut. Terlalu banyak mesej berantai yang dihebahkan tanpa bukti yang nyata. Agak-agaknya kenapa ya perkara ini berlaku? 

Kita tidak buta, tidak sama sekali. Kita sangat celik kerana kita boleh membaca. Tetapi sebahagian kita terlalu alpa mengejar populariti, memberikan maklumat tanpa memahami dan menyelidiki maklumat tersebut. Dalam minda, ‘Bukan kerja kita pun nak sahkan maklumat ni. Dah dihebahkan. Betullah maklumat itu. Kalau tak, takkan tersebar.’ Fikir mereka. 

Kesannya, wujud satu aplikasi yang diberi nama ‘sebenarnya.com.’ Medium pencarian kesahihan maklumat di hujung jari namun kita lebih gemar mengharapkan orang lain membantu mencari kesahihan maklumat tersebut. Kita lihat orang, kita ikut trend. Ramai memberikan suka dan ikut, kita pun ikut juga. Pada saat ini, kita seumpama lalang. Angin bertiup ke kanan, maka ke kananlah kita, angin bertiup ke kiri, maka ke kirilah kita. Kita hilang jati diri. 

Budaya ilmu juga menjadikan seseorang sentiasa berfikir tentang kebaikan dan keburukan sesuatu tindakan. Membaca membuka mata hati untuk menilai sesuatu perkara. Tetapi, atas pengaruh penjajahan yang telah diterapkan dalam pendidikan tanpa kita sedar, kecemerlangan pencapaian menjadi nilaian bukannya kecemerlangan akhlak. 

Kecemerlangan pencapaian menjadi rebutan kerana penempatan universiti yang ditawarkan. Akhlak yang baik hadirnya bersama dengan penghayatan ilmu yang benar. Ini dipersetujui oleh penulis buku ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ tulisan Stephen R. Covey. Bukunya mencatatkan tujuh akhlak yang benar akan membawa kepada pembinaan kecemerlangan akademik dan sahsiah. Anak-anaknya juga mengakui, apa yang ayah mereka terapkan kepada mereka sehingga mereka berjaya.

Budaya ilmu semakin luntur seumpama air hujan yang mengalir. Kita bukan tiada buku yang bermanfaat, kita bukan tiada tokoh yang berkualiti, tetapi mentaliti budaya dan penerapan ilmu yang kurang mendalam merosakkan jati diri kita tanpa sedar. Kita hanyut dan leka dengan kejayaan silam dan ketaksuban tanpa kesudahan.

Jati diri seorang muslim semakin berkurangan kerana pengamalan Islam semakin larut antara benar dan batil. Al-Quran dan al-Sunnah digunakan atas kepentingan peribadi. Ramai semakin lesu dalam berfikir dan dalam membuat keputusan dan tindakan.

Imam Syafie menyatakan ilmu itu seumpama binatang buruan. Perlu dicari dan dipilih yang terbaik. Apabila diperolehi, perlu diikat dengan tali supaya tidak terlepas. Begitulah ilmu, perlu dicari dan dipilih yang terbaik. Apabila dapat, perlu diamalkan dan dijaga kerapiannya supaya tidak lupa dan luput dari ingatan. Moga kita tidak terleka dengan hamparan dan permainan palsu dunia, moga kita terpelihara daripada fitnah akhir zaman. 

Penulis: Intan Nurulamalia Binti Ahmad Sapar (Inas)

Daripada: Ikram Kuala Selangor

  • Ini adalah pandangan penulis