Menangani cabaran pandemik

Menangani cabaran pandemik

Sembang Santai Ekonomi Keluarga dengan Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir

Sedar tak sedar, sudah lebih setahun kita lalui pandemik Covid 19. Saya masih ingat lagi apabila bulan Mac 2020 saya menawar khidmat perkongsian cara-cara menangani kewangan keluarga supaya ada yang dapat manfaat dari perkongsian tersebut.

Maka stesen radio, TV, wartawan akhbar, majalah semua inginkan pandangan supaya dapat disebarkan lebih meluas. Bukan kerana inginkan populariti atau kejar glamor tetapi rasa kebertanggungjawaban atas kurniaan Allah Swt ke atas diri sendiri sedikit ilmu untuk berkongsi.

Satu undangan oleh RTM saya terima untuk mengisi slot bantuan prihatin yang kerajaan mula umumkan. Sewaktu menunggu slot saya, sempat saya berbincang dengan wakil ejensi kerajaan yang berkongsi kisah sedih tentang seorang suami kepada pramugari yang membunuhnya akibat tekanan kewangan. Terkejut dan begitu terkesan saya mendengar cerita yang dikongsi beliau. Saya nekad dari hari itu untuk terus menangani isu kemelut kewangan yang dihadapi orang ramai akibat pandemik supaya keadaan yang menyayat hati itu tidak berulang.

Sememangnya keadaan ini kita semua tidak pernah lalui di mana banyak sektor ekonomi terkesan dengan tindakan PKP, PKPD dan lain lain. Sektor penerbangan, perhotelan dan restoran serta khidmat pelancongan paling terkesan dengan penutupan beberapa hotel pada tahun 2020. Kita mula dikejutkan dengan berita tentang pemberhentian pekerja dari sektor penerbangan dan berkaitan dengan pelancongan. Kisah juruterbang menjadi pengusaha warung “burger” dan melakukan perkhidmatan penghantaran mula mendapat perhatian ‘social media dan akhbar- akhbar tempatan.

Apa tindakan harus kita ambil seandainya kita merupakan mereka yang terkesan? Adakah anda diberhentikan kerja? Suami anda diberhentikan kerja? Anda seorang peniaga warung, restoran atau kedai pakaian yang terpaksa tutup? Mari kita sama sama cuba merungkaikan masalah yang dihadapi.

    Akhbar pada 25 November 2020: The Edge Malaysia

Mengikut laporan akhbar diatas, dianggarkan 2.4 juta kehilangan pekerjaan dan  46% daripada mereka terdiri dari  yang bekerja sendiri. Dijangka peningkatan sebanyak 37% permohonan untuk menjadi  penghantar GrabFood dan PandaFood. Lebih menyedihkan, 71% daripada mereka yang bekerja sendiri mempunyai rizab wang hanya mencukupi untuk satu bulan sahaja.

Kesan kemelut kewangan ke atas rumah tangga adalah peningkatan 57% panggilan kecemasan bagi wanita dalam permasalahan rumah tangga akibat tekanan. Seramai 6.4 juta pelajar terkesan akibat PKP.

Jom kita ambil pengajaran dari ayat suci Al Quran untuk menangani kemelut kewangan yang sedang kita hadapi.

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).(Al Baqarah  2:214)

Ternyata Allah sedang menguji kita. Yakinlah apa pun keadaan yang kita sedang hadapi telah diolah khas buat kita. Jangan persalahkan sesiapa dan jangan sekali-kali menyalahkan ketentuan takdir. Istighfar banyak banyak disusuli dengan solat taubat. Sudah pasti ada kesilapan kita dalam menguruskan kewangan keluarga kita.

 “Sesungguhnya beserta kesulitan ada kemudahan” –  Al Syarh 94:5

Satu lagi ayat Al Quran yang menjanjikan kesulitan yang kita hadapi Allah sudah sertakan sekali solusinya. Hanya kita perlu usaha mencarinya.

Sebelum saya beri beberapa cadangan untuk kita nilai situasi semasa kita, anda perlu terus terang dengan pasangan dan ahli keluarga tentang apa yang terjadi pada diri anda dari sudut pekerjaan dan pendapatan. Mengaku pada pasangan jika anda diberhentikan atau dikenakan potongan gaji. Anda bukan seorang sebab ramai juga yang terkesan. Berdepan dengan situasi kewangan semasa dan jangan takut.

Antara tindakan yang anda boleh ambil adalah:

  1. Senaraikan kesemua pendapatan keluarga buat masa sekarang
  2. Senaraikan kesemua perbelanjaan bulanan anda termasuk ansuran pinjaman
  3. Senaraikan hutang hutang berserta cagaran dan jumlah ansuran serta jadual bayarannya
  4. Senaraikan kesemua simpanan dan pelaburan anda dan pasangan serta anak anak
  5. Senaraikan perancangan kewangan keluarga anda sebelum terjadi pandemik

Setiap satu senarai harus di “adjust” untuk ambil kira situasi terkini pendapatan keluarga. Senarai pertama sudah pasti akan terjejas jika anda dalam kategori diberhentikan kerja, dikenakan potongan gaji atau disuruh bercuti tanpa gaji. Jadi senarai pendapatan akan berkurangan.

Senarai kedua kena juga ambil kira tabiat perbelanjaan harus berubah mengikut situasi semasa. Jika dulu banyak dibelanjakan makan di luar, sekarang PKP tidak boleh sudah makan di luar. Alhamdulillah ini secara tidak langsung sudah mengurangkan perbelanjaan keluarga.Tentang ansuran pinjaman pastikan anda mendapat pelepasan atau moratorium yang diberi oleh pihak bank. Ini akan sedikit sebanyak meringankan beban kewangan anda.

Senarai ketiga mengenai hutang yang anda tanggung. Senarai ini akan membantu anda memastikan semua ansuran bulanan diambil kemudahan moratorium.

Senarai empat adalah rizab kewangan keluarga yang anda miliki.Tidak salah kita campurkan sekali simpanan anak-anak demi untuk kelangsungan hidup sekeluarga. Pengeluaran i-sinar KWSP dan sebarang bantuan prihatin yang pihak kerajaan hulurkan juga harus anda mohon.

Senarai terakhir untuk anda menilai kembali kesan pandemik ke atas pencapiannya dan mungkin perlu untuk anda nilai kembali sasaran matlamat kewangan anda jangka masa pendek dan sederhana.

Cukup dulu setakat ini celoteh dari saya, kita akan sambung di penulisan yang seterusnya InsyaAllah.

Hjh Rohani binti Datuk Hj Mohd Shahir

Penulis Buku Perancangan Kewangan Islam

Pakar Perunding Kewangan Islam

30hb Mei 2021

Sambutan 10 Tahun Sayap Wanita IKRAM: Satu Dekad Bersama Membina Malaysia Rahmah

Sambutan 10 Tahun Sayap Wanita IKRAM: Satu Dekad Bersama Membina Malaysia Rahmah

Seri Kembangan – Tanggal 5 Jun 2021 telah melakarkan sejarah dengan terlaksananya Sambutan 10 Tahun Sayap Wanita IKRAM, dengan tema Satu Dekad Bersama Membina Malaysia Rahmah. Majlis yang bermula jam 10.00 pagi itu telah berlangsung secara dalam talian melalui platform Zoom serta siaran langsung dari YouTube.

Bacaan al-Quran surah al-Ankabut dari ayat 1 sehingga 11 yang dilantunkan oleh Ustazah Datin Hamidah Ibrahim diharap dapat menambah keberkatan majlis ukhuwah ini.

Majlis Sambutan 10 Tahun Wanita IKRAM diteruskan dengan ucapan aluan daripada Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu binti Mohd Salleh. Beliau menyeru Wanita IKRAM agar terus mencetak pahlawan-pahlawan agar Malaysia tidak kepupusan para pahlawan dalam membina Malaysia rahmah. Beliau turut mengingatkan semua ahli Wanita agar sentiasa ikhlas dalam melaksanakan kerja-kerja dakwah dalam usaha membina Malaysia rahmah, seterusnya meraih kedudukan paling terhormat di sisi Allah s.w.t.

Majlis gilang-gemilang yang julung-julung kali diadakan ini telah dapat disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Presiden IKRAM, Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Ahmad. Beliau mendoakan agar sayap Wanita IKRAM terus maju jaya dalam melaksanakan misi membina negara rahmah yang gemilang. Majlis seterusnya disajikan dengan pelancaran video khas 10 tahun Sayap Wanita IKRAM, diikuti dengan pemasyhuran logo 10 tahun Sayap Wanita IKRAM dan pelancaran buku sempena 10 tahun Sayap Wanita IKRAM.

Penubuhan Sayap Wanita IKRAM Malaysia pada 3 Oktober 2010 yang lalu pastinya menjadi memori indah yang akan terus diingati. Majlis yang diadakan ini adalah bertujuan untuk meraikan sambutan 10 tahun penubuhan sayap Wanita IKRAM bersama mantan pimpinan Wanita IKRAM sesi 2010 sehingga 2020 khasnya, dan Wanita IKRAM secara umumnya tidak kira di mana mereka berada. Perkongsian pengalaman suka duka para pimpinan terdahulu dalam membina negara rahmah adalah antara slot yang dinantikan oleh ahli wanita.

Majlis yang dijalankan secara santai ini juga diharap dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli Wanita IKRAM seluruh dunia. Sesi pertama majlis sambutan ini diakhiri dengan sesi fotografi dalam platform Zoom bersama para jemputan dalam kalangan barisan Jawatankuasa IKRAM Pusat, barisan mantan pimpinan Wanita IKRAM dan Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat.

Sesi kedua majlis ini diteruskan lagi secara eksklusif buat para Wanita IKRAM seluruh dunia dengan menyaksikan persembahan khas daripada Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat sesi 2018 hingga 2022.

Majlis diteruskan lagi dengan perkongsian bersama mantan pimpinan iaitu Ustazah Maznah binti Daud (Ketua Wanita, Sesi 2010-2014) mewakili syaikhah dan Puan Anfaal binti Saari (Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat, Sesi 2014-2018) mewakili generasi muda.  Selain itu, Datin Dr. Amalina Abdullah (Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat, Sesi 2012 – 2014) turut tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam persembahan deklamasi sajak. Seterusnya, majlis dimeriahkan dengan sesi kuiz bersama seluruh ahli Wanita IKRAM.

Majlis diteruskan dengan penampilan khas daripada Pn. Iman binti Dzulkefly melalui nyanyian dua buah lagu. Selain itu, Pn. Zul’aini binti Zainal Abidin bersama Zila turut memeriahkan majlis melalui paduan nyanyian dan alat instrumen daripada mereka.

Majlis yang dipenuhi dengan suasana ukhuwah ini diteruskan dengan sesi perkongsian bersama mantan pimpinan Wanita IKRAM Malaysia. Ucapan demi ucapan merupakan azimat yang akan terus tersemat di hati seluruh ahli Wanita IKRAM.

Majlis ini pastinya akan menjadi majlis yang akan terus dikenang kerana pelaksanaannya dalam norma baharu di waktu negara sedang dilanda pandemik Covid-19. Penangguhan demi penangguhan terpaksa dibuat memandangkan usaha untuk melaksanakan majlis ini dalam keadaan bertemu fizikal tidak dapat dicapai. Walaupun majlis ini dijalankan secara dalam talian, ia tetap meriah dengan pengendalian hebat daripada pasangan pengacara majlis, Ustazah Nur Salisa binti Ali dan Pn. Norlizayati binti Ramlan.

Majlis anjuran Jawatankuasa Wanita IKRAM Pusat dengan Kerjasama Wanita IKRAM Kuala Lumpur ini akhirnya melabuhkan tirainya. Bacaan doa penutup telah disempurnakan oleh Ustazah Zaimah binti Yaha.

Sebagai penutup tirai, video penghormatan kepada 15 pimpinan Wanita IKRAM pusat, negeri dan kawasan (Sesi 2010 sehingga 2020) yang telah terlebih dahulu dijemput Ilahi dipaparkan. Mudah-mudahan Allah memilih dan menempatkan mereka bersama para syuhada’ dalam perjuangan agamaNya. Perkongsian ini juga adalah sebagai usaha mengingati perjuangan mereka dalam usaha-usaha pembinaan negara rahmah.