Kepentingan Emosi
Sebagaimana dinyatakan di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, yang bermaksud:
“Daripada Amir telah berkata, aku mendengar al-Nu’man bin Basyir katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di dalam jasad manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik maka baiklah seluruh jasad, tetapi jika ia rosak, maka rosaklah juga jasad. Daging yang dimaksudkan itu ialah hati”.
Hadis di atas menjadi asas utama keimanan di mana kebaikan seseorang bergantung kepada hati yang mulia. Peribadi yang baik berpunca dari hati yang baik. Di dalam hati inilah terbitnya emosi yang menjadi nadi kepada peribadi seseorang yang dilahirkan kepada bentuk tingkah laku. Jika qalbu penting untuk menentukan baiknya peribadi, maka begitulah juga emosi adalah penting untuk kita mengetahui tentang keadaan hati .
Apakah itu emosi? Emosi adalah perasaan yang tercetus, hasil dari reaksi kepada suatu fikiran yang timbul disebabkan oleh suatu rangsangan sama ada berbentuk dalaman atau luaran. Di sini terdapat perkaitan antara emosi dan pemikiran. Emosi dan tingkah laku juga saling berkaitan.
Mengikut pandangan Al Ghazali (Salasiah, 2016), spritual dan kerohanian terdiri daripada 4 elemen, iaitu an nafs, al qalb, al ruh dan al ‘aqal. Perkataan al qalb adalah yang paling banyak diulang di dalam buku Ihya karangan beliau.
Terdapat dua pengertian tentang al qalb. Pertamanya, bermaksud segumpal daging yang berbentuk bulat panjang dan terletak di sebelah kiri dada manusia di kenali juga dengan hati jasmani. Ianya mempunyai rongga darah dan berperanan sebagai sumber roh.
Keduanya, bermaksud hati yang halus bersifat ketuhanan (rabbaniyah) dan ruhaniyah (hati rohani). Hati rohani ini berkait rapat dengan hati jasmani.
Kepentingan mengetahui tentang emosi adalah untuk memahami bagaimana emosi itu terjadi dan bagaimana mengurusnya, untuk diri sendiri dan untuk orang lain. Memahami aspek-aspek emosi mendatangkan manfaat untuk diri sendiri, keluarga, kerja dan komuniti. Selain itu ianya penting untuk membina kekuatan dalaman, perhubungan yang baik, kepimpinan berkesan, dan meningkatkan motivasi.
Al Ghazali mengatakan, “Jika sekiranya taufik itu membantu kamu dan terbit dalam diri kamu dorongan ke arah kesempurnaan, kamu akan boleh mencapainya menerusi mujahadah dan tidak mungkin kamu mengetahui apa yang kamu kehendaki tanpa mengenali diri kamu terlebih dahulu dari segi potensi dan kekuatannya. Mujahadah adalah proses rawatan kepada jiwa dengan cara menyucikannya (tazkiyah) bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan”.
Oleh itu mengenali diri amat penting sebelum bermujahadah ke arah kesempurnaan. Bermujahadah pula bertujuan untuk menjadi orang yang berjaya seperti di dalam firman Allah didalam surah As Syam, ayat 9 dan 10.
“Berjaya lah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan) dan sesungguhnya hampa lah orang yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan segala sebab kekotoran maksiat)”.
Terdapat juga contoh pada hadis Rasulullah SAW tentang bagaimana beliau mengetahui keadaan emosi saidatina Aisyah.
Rasulullah SAW berkata kepadaku: “Aku tahu apabila kamu gembira denganku, dan apabila kamu marah padaku”. Aku bertanya: “Bagaimana kamu mengetahuinya?” Baginda SAW menjawab: “Apabila kamu gembira, kamu akan berkata ‘Tidak, demi Tuhan Muhammad’, dan apabila kamu marah, kamu akan berkata ‘Tidak, demi Tuhan Ibrahim’. Lalu aku berkata: “Benar, wahai Rasulullah, aku tidak menyebut namamu sewaktu aku marah padamu” (Sahih Muslim, 2439).
Kecerdasan Emosi
Mengikut pandangan Wicks dan rakan-rakannya (Salem Press Encyclopedia of Health, 2020), kecerdasan emosi adalah kebolehan untuk memantau perasaan dan emosi diri dan orang lain dan menggunakan pengetahuan tersebut untuk membimbing tingkah laku seseorang. Ianya juga bermakna kemampuan untuk mengenalpasti dan mengawal emosi dalam diri dan orang lain.
Penulisan oleh Wendy (Everything You Need to Know about Emotional Intelligence & Leadership, 2012) memberikan maksud kecerdasan emosi sebagai kebolehan intelek untuk mengenalpasti, memahami dan mengawal emosi. Intelek membawa maksud kemampuan belajar dan menggunakan ilmu, kemahiran, dan mendapat kefahaman. Mereka yang mempunyai kecerdasan emosi mampu menggunakan kemahiran ini untuk menguruskan perhubungan dengan rakan sebaya, rakan sekerja, ahli keluarga, pemimpin dan pengikut.
Carolyn Saarni (1999) mengusulkan 8 keterampilan yang menjadi dasar kepada kecerdasan emosi:
- Kesedaran tentang status emosi, termasuk kemungkinan mengalami berbagai emosi.
- Kemampuan mengenali dan memahami emosi orang lain menggunakan situasi dan isyarat yang terlihat.
- Kemampuan untuk menggunakan kosa kata emosi dan istilah untuk mengungkapkannya.
- Kapasiti untuk empati dan simpati dalam pengalaman emosi orang lain.
Simpati – memahami emosi orang lain dan turut rasa sedih, kecewa, dan lain-lain nya. Empati – lebih mendalam, menerima perspektif orang lain , di samping memahami situasi yang dilalui.
- Kemampuan menyedari bahawa emosi di dalam tidak selalu berhubungan dengan ekspresi luar. Tidak kongruen (tidak harmoni) berlaku jika terdapat kelainan yang ketara antara identiti diri pada umum, ideal dan diri sebenar.
- Kapasiti untuk menyesuaikan diri dengan emosi yang menekan melalui regulasi diri.
- Kesedaran bahawa hubungan sejati didefinisikan oleh bagaimana emosi dikomunikasikan dalam perhubungan, dan wujudkah ruang dan kefahaman?
- Kapasiti untuk efikasi-diri emosional: pandangan tentang diri bahwa ia mampu menerima pengalaman emosi. Efikasi diri adalah satu kepercayaan diri pada kemampuan untuk mengurus dan melaksanakan tindakan yang diperlukan ketika menghadapi sesuatu isu dan kepercayaan untuk berjaya dalam tindakan tersebut (Albert Bandura). Elemen utama pada efikasi-diri adalah kesedaran diri, konsep diri, harga diri dan persepsi diri.
Kecerdasan Emosi dan Kepimpinan
Wendy Morton memetik satu tulisan tentang pemimpin yang mempunyai kecerdasan emosi tinggi selalunya lebih berkesan daripada pemimpin yang mempunyai kecerdasan emosi yang rendah; lebih mudah menggerakkan aspek sosial dalam organisasi dan warga organisasi (Goleman, 1998).
Pandangan tradisi tentang pemimpin dan pengikut yang perlu melepaskan emosi dan respon pada emosi ketika masuk kerja tidak lagi menjadi norma dalam pekerjaan. Kepercayaan yang lebih realistik ialah emosi mempunyai pengaruh positif ke atas suasana kerja, khusus dalam aspek motivasi dan kepimpinan. Kecerdasan emosi yang tinggi dan kepimpinan berkesan mempunyai jalinan yang kuat. Seseorang itu perlu membina kemampuan dan kemahiran untuk mencapai tahap emosi yang cerdas.
Kepimpinan adalah berkenaan pembinaan pengaruh dalam kalangan pengikut untuk mencapai matlamat yang sama. Dalam suasana kerja, pemimpin berusaha memberikan motivasi kepada pengikut untuk membina komitmen, dedikasi dan pencapaian kepada matlamat organisasi. Kepimpinan adalah berkenaan perhubungan kemanusiaan. Membina dan mengekalkan perhubungan yang positif dan kukuh adalah konsep utama kecerdasan emosi. Pemimpin semestinya menggunakan kuasa dengan rasa tanggungjawab, dan mempamerkan rasa peka dan prihatin terhadap pengikut. Selain kecerdasan emosi, aspek membuat keputusan, kebebasan, pemerkasaan, agresif dan pembinaan perhubungan dituntut daripada suatu kepimpinan.
Bagaimana kecerdasan emosi sangat penting kepada pemimpin yang berkuasa? Apabila memahami dan menguruskan emosi dengan cerdas, seorang pemimpin itu mengamalkan etika dan prinsip yang bagus. Pertamanya, pemimpin akan dapat menghalakan emosi kearah positif dan menghapuskan pengaruh emosi yang toksik. Keduanya, pemimpin menggunakan emosi positif sebagai motivasi pengikut untuk mencapai perolehan yang optimum. Jika pemimpin menafikan aspek emosi pengikut, ia menghalang kemampuan pengikut untuk menjadi cemerlang dan berjaya dalam pekerjaan. Dalam kata lain pemimpin yang cerdas emosi memberikan sinar dan pemimpin yang tidak, membantutkan diri pengikut. Seterusnya Wendy memberikan garis panduan bagaimana untuk menguruskan emosi sendiri dan orang lain.
Cara menguruskan emosi sendiri
- Mengenal pasti emosi negatif yang boleh mengesani pekerjaan – contohnya pergaduhan dengan pasangan menghasilkan emosi negatif dan kenal pasti kesedaran ini sebelum berhadapan dengan pengikut dan rakan sekerja.
- Meluahkan perasaan dengan cara yang sesuai. Tidak wajar diluahkan kekecewaan kepada orang bawahan, tetapi gunakan peluang ini untuk memberikan pengajaran dan membangunkan skil kepada individu.
- Kawal lintasan yang tidak wajar – contohnya, ruangkan masa untuk reflek dan kawal semula emosi ketika situasi menjadi emosional.
- Tanamkan kesedaran kendiri – contohnya ambil masa untuk mengenal pasti emosi yang terbit dengan tepat dan fahami kenapa emosi itu yang dialami.
- Kekalkan penyesuaian diri – contohnya perubahan situasi menuntut anda mengenal pasti apakah respon emosi yang sepatutnya wujud terhadap perubahan itu.
Cara menguruskan emosi orang lain.
- Gunakan empati – contohnya tunjukkan kepada orang bawahan, pengikut, rakan sekerja dan penyelia bahawa anda faham emosi mereka dan hargai perspektif mereka.
- Bina perhubungan yang kukuh dan bermanfaat dengan orang bawahan, pengikut, rakan sekerja dan penyelia berdasarkan kepercayaan, hormat dan integriti.
- Kerja secara bersepadu dan bekerjasama. Unjurkan partisipasi dan rasa hormat dalam perhubungan antara individu dan dalam kumpulan.
- Bangunkan orang lain. Menjadi mentor, jurulatih dan tunjuk ajar pengikut untuk membina kepimpinan masa hadapan dalam organisasi.
- Membina resilien. Hadapi keadaan stres dengan sifat toleransi dan kawal lintasan untuk menghalang emosi negatif daripada menghapuskan rasa optimis dan yakin pada diri.
Kenali diri untuk menjadi hamba yang tawadu’
Kenalilah diri sendiri, terutamanya bagi mereka yang menjadi pemimpin kerana apabila seseorang itu mengenali dirinya secara hakiki, dia akan mampu pula menyedari bahawa dirinya adalah seorang hamba Allah SWT yang hina. Justeru itu, tiada sikap yang layak baginya kecuali tawadu’. Apabila dia telah mengenali Tuhannya, dia akan insaf bahawa kesombongan dan kebesaran itu tidak layak bagi dirinya kecuali Allah SWT (al Ghazali, 2000).
Oleh sebab emosi sangat terkait rapat dengan hati atau spiritual pada diri seseorang insan, maka peliharalah emosi kerana faktor dalaman lebih berpengaruh dalam membentuk tingkah laku seseorang yang menjadi punca permasalahan manusia. Hal ini berlaku kerana hati mempunyai hubungan rapat dengan anggota badan. Tingkah laku yang baik atau buruk adalah merupakan pilihan manusia kerana Allah SWT telah mengurniakan akal fikiran dan kebebasan sepenuhnya kepada manusia (Surah Al-Insan 76:3).
Maksudnya: Sesungguhnya kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat) ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).
Di tulis oleh,
Zarina binti Azhari
AJK Wanita IKRAM Pusat
Mei 2021