Harta Sepencarian

Harta Sepencarian

APA?
Harta yang dikumpul oleh suami dan isteri semasa tempoh perkahwinan bagi manfaat perkahwinan. Harta di sini adalah harta alih (cth wang simpanan di dalam bank, kwsp dsb) dan harta tak alih (cth tanah, rumah dsb).
Harta yang dikumpulkan sebelum berlakunya perkahwinan, tetapi untuk tujuan perkahwinan adalah dikira harta sepencarian.
Harta pusaka atau harta bawaan bukan dan tidak boleh jadi harta sepencarian kerana bukan dimiliki oleh suami/isteri semasa tempoh perkahwinan atau untuk untuk manfaat perkahwinan tersebut.

SIAPA?
Siapa yang boleh menuntut harta sepencarian? Bekas isteri atau bekas suami boleh menuntut. Balu juga boleh menuntut. Di dalam situasi seorang suami berpoligami, seorang isteri yang dimadukan juga boleh menuntut harta sepencarian, walaupun masih berkahwin dengan suami tersebut.

Suri rumah berhak menuntut walaupun tidak memberi sumbangan secara langsung terhadap perkahwinan. Pihak mahkamah akan menentukan sumbangan tidak langsung yang diberikan oleh suri rumah seperti menjaga rumah, membesarkan anak dan sebagainya.

Anak-anak tidak boleh menuntut bagi pihak ibu atau ayah kerana mereka bukan di dalam kategori suami atau isteri, walaupun jika berlaku kematian semasa proses perbicaraan di mahkamah sedang berjalan.

BILA?
Tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan setelah berlakunya perceraian di dalam sebuah rumahtangga. Tiada had masa diperlukan untuk membuat tuntutan harta sepencarian, walaupun perceraian sudah berlaku 10 atau 15 tahun sekalipun, tetap boleh menuntut. Namun, bagi mengelakkan perkara tidak diingini, dan memudahkan pihak mahkamah membuat keputusan, adalah amat digalakkan untuk membuat tuntutan sejurus selepas berlakunya perceraian.

BAGAIMANA?
Tuntutan harta sepencarian boleh dilakukan di Mahkamah Tinggi di tempat di mana lafaz cerai dilakukan. Pihak-pihak boleh memilih untuk membuat tuntutan sendiri tetapi adalah amat digalakkan untuk melantik peguam yang bertauliah untuk memudahkan proses permohonan harta sepencarian agar dapat berjalan dengan lancar kerana banyak pihak yang akan terlibat seperti Pejabat Tanah, pihak bank dan lain-lain.

ISU-ISU
Adakah perniagaan boleh dikira sebagai harta sepencarian?
Jika perniagaan tersebut adalah milik suami dan isteri semasa perkahwinan, boleh dikira sebagai harta sepencarian. Jika perniagaan adalah milik suami dan rakan-rakan kongsi, ia tidak boleh dikatakan sebagai harta sepencarian, maka bekas isteri tidak berhak menuntutnya.
Jika pihak mahkamah sudah memberikan keputusan sesuatu kes harta sepencarian, bilakah pihak-pihak akan mendapat wang tersebut?
Pihak mahkamah biasanya akan meletakkan tempoh masa bagi pihak untuk menerima wang yang ditetapkan, namun, pihak-pihak dinasihatkan agar meletakkan tempoh masa yang munasabah di dalam permohonan harta sepencarian yang dilakukan.

Credit fb : Rabiatul Adawiyah Ramli
Disediakan oleh: Munibah Azraai