Apa Khabar Solatmu?

Apa Khabar Solatmu?

Solat adalah anugerah Allah yang paling istimewa kepada hamba yang amat dikasihiNya. Ia adalah hadiah paling agung yang tidak ternilai harganya. Lantaran itu ia dikurniakan melalui satu undangan khas, tidak dihantar atau dikirim melalui sesiapapun hatta pembawa wahyu yang paling amanah.

Justeru, Rasulullah s.a.w. sangat menghargai dan mencintai solat. Baginya solat adalah penyejuk mata dan penawar hati. Baginda pernah mengungkapkan di dalam sepotong hadis yang diriwatkan oleh Ahmad dan an-Nasaei “Dan dijadikan ketenangan mataku pada solat”.

Solat adalah masa dan ketika untuk baginda berehat dari segala kepenatan dan bebanan tugas yang berat. Dengarkan apa yang diluahkannya kepada muazzinnya, Bilal bin Rabah apabila masuk waktu solat: “Bawalah kami berehat dengannya wahai Bilal!!!(Maksudnya, baginda menitahkan Bilal agar segera melaungkan azan supaya dengan mendirikan solat baginda s.a.w. dapat berehat)” Riwayat Ahmad dan Abu Daud

Bagaimana agaknya solat kita? Adakah kita benar-benar berasa tenang dan damai di dalam solat? Berasa betapa indahnya bermunajat dengan Rabb Yang Maha Pengasih Maha Penyayang? Berasa lega kerana dapat meluahkan segala derita yang mencengkam, menyampaikan segala hajat yang terpendam? Berasa puas kerana yakin doa yang dipohon pasti terqabul, hajat yang diminta pasti terlaksana kerana Dia yang menyuruh kita berdoa, Dia yang mengajar kita apa dan bagaimana hendak meminta?

Atau sebaliknya, kita rasa solat seperti penjara yang mengekang pergerakan kita, yang mengikat anggota kita daripada bergerak bebas kecuali mengikut langkah-langkah yang telah ditentukan? Adakah kita selalu rasa penat berdiri tegak, menghabiskan bacaan-bacaan laksana mentera yang tidak difahami dan dihayati?

Sesungguhnya Allah SWT sendiri mengatakan bahawa solat itu berat, sukar, membebankan jika tidak ada kekhusyukan di dalamnya, “…. dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;” (Al-Baqarah 2:45)

Ya, kata kuncinya adalah KHUSYUK. Perhatikanlah firman Allah ini:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya;” (Al-Mu’minuun 23:1-2)
Dengan terang dan jelas dinyatakan bahawa orang beriman yang berjaya adalah yang khusyuk di dalam solatnya.
Maka berusahalah sedaya mampu untuk mendapatkan khusyuk. Antaranya ialah dengan memahami maksud setiap ayat yang dibaca serta menghayati hikmah setiap pergerakan yang diatur begitu rapi dan sempurna di dalam solat.

Klik di sini

Ustazah Maznah Daud

Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM