Tugas Hakiki Seorang Suri

Tugas Hakiki Seorang Suri

Adakah wajib ke atas isteri melaksanakan kerja-kerja rumah dan menyediakan segala keperluan suami  seperti memasak, membasuh, menggosok baju dan sebagainya?

Ulamak berbeza pendapat mengenai hal ini. Jumhur berpendapat tidak wajib. Sebahagian ulamak berpendapat wajib.

Perinciannya adalah seperti berikut:

Pertama: Mazhab Hanafi

Imam ‘Alaa’ ad-Din al-Kasani berkata: “Sekiranya suami membawa balik bahan-bahan makanan yang perlu dimasak tetapi isteri enggan memasak, suami tidak ada hak untuk memaksanya. Sebaliknya suami hendaklah membawa balik makanan yang telah sedia untuk dimakan.”

Al-Faqih Abu al-Laits berkata: “Ini sekiranya isteri itu tidak mampu untuk memasak atau dia daripada keluarga yang berkedudukan. Adapun sekiranya dia daripada keluarga yang biasa mengurus diri sendiri, dia boleh dipaksa untuk memasak. Dan sekiranya isteri mempunyai pembantu maka nafkah serta pakaian pembantu wajib ke atas suami menanggungnya.”

Dan kerja-kerja mengurus rumah, menurut “Al-Fatawa Al-Hindiyyah” di dalam Fiqh Mazhab Hanafi, wajib ke atas isteri dari sudut keagamaan sekalipun dari sudut undang-undang hakim tidak boleh memaksa isteri melakukannya.

Ini bermakna, suami tidak harus mengupah isteri untuk masak dan membuat roti. Dan jika isteri melakukannya dia tidak harus mengambil upah untuk itu. Imam ‘Alaa’ ad-Din al-Kasani memberikan alasan kenapa isteri tidak harus mengambil upah ialah kerana pekerjaan itu wajib ke atasnya dari sudut keagamaan. Jika dia mengambilnya maka ia seumpama rasuah. Jadi, tidak halal baginya.

Kedua: Mazhab Maliki

Di dalam kitab “Asy-Syarh Al-Kabir”, kitab fiqh Mazhab Maliki dinyatakan: “Sekiranya suami berkemampuan, dan isteri pula dari kalangan orang atasan yang pada kebiasaannya tidak membuat kerja rumah, atau suami orang berkedudukan dan tidak selesa isteri berkhidmat untuknya walaupun isteri dari kalangan mereka yang biasa melakukan kerja rumah, maka wajib ke atas suami menyediakan khadam (pembantu) kepada  isterinya.

Jika suami fakir, dan isteri sama ada dari kalangan mereka yang berkedudukan atau tidak, wajib ke atas isteri melakukan kerja rumah seperti menguli tepung, menyapu rumah, memasak dan seumpamanya di dalam rumahnya untuk suami sahaja, bukan untuk tetamunya. Termasuklah perkara-perkara yang termasuk di dalam adat kebiasaan seperti membasuh baju.”

Ketiga: Mazhab Syafi’ei

Di dalam kitab “Al-Muhazzab”, kitab fiqh Mazhab Syafi’ei karangan  Abu Ishaq Asy-Syirazi dinyatakan: “Tidak wajib ke atas isteri berkhidmat kepada suami dengan melakukan kerja mengisar, memasak, membasuh dan lain-lain. Ini kerana aqad nikah adalah aqad untuk mengahalalkan pergaulan dan kemesraan. Maka isteri tidak diwajibkan lebih daripada itu.”

Lanjutan daripada itu, Imam an-Nawawi mengulas di dalam kitab al-Majmu’: “Tidak wajib ke atas wanita berkhidmat untuk lelaki atau untuk rumah kerana aqad (perkahwinan) adalah untuk menghalalkan pergaulan. Tetapi khidmatnya adalah sesuatu yang diperakui syara’ berdasarkan hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim daripada Jabir r.a.

Jabir berkata: Rasulullah s.a.w. berkata kepadaku: “Adakah engkau telah berkahwin?”

Aku menjawab: “Sudah!”

Baginda bertanya: “Gadis atau janda?”

Aku menjawab: “Janda.”

Baginda bersabda: “Kenapa tidak mengahwini gadis? Lebih pantas untuk kalian bergurau senda?”

Aku menjelaskan: “Ya Rasulullah, ayahku terbunuh di dalam peperangan Uhud dan dia meninggalkan sembilan orang anak perempuan. Aku tidak suka menambah perempuan sebaya yang sama tidak mahir seperti mereka. Tetapi aku memilih wanita yang boleh menyikat rambut mereka dan mengurus mereka.”

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Engkau betul.”

Kata Imam an-Nawawi: maka sesiapa yang mempunyai anak, adik beradik serta keluarga, tidak salah bagi lelaki berkahwin dengan tujuan mengharap khidmat isterinya sekalipun hal itu tidak wajib ke atas seorang isteri. Tetapi ia boleh diambil kira daripada adat dan kebiasaan yang berlaku. Kerana itu Nabi s.a.w. tidak membantah apa yang dilakukan oleh Jabir.

Keempat: Mazhab Hanbali

Fuqaha’ Mazhab Hanbali berkata: “Tidak wajib ke atas wanita berkhidmat untuk suami dengan melakukan kerja-kerja seperti membuat roti, memasak, menyapu rumah, mengisi air di dalam kolah dan seumpamanya. Ini ditegaskan oleh Ahmad. Kerana tujuan aqad ialah halal pergaulan. Maka isteri tidak boleh diwajibkan yang lain daripada itu seperti membela haiwan dan menuai hasil tanaman.”

Sungguhpun begitu, mereka berkata: “Namun lebih utama baginya (isteri) melakukan kerja-kerja yang pada kebiasaannya dilakukan oleh wanita. Kerana ia merupakan satu adat di mana urusan kehidupan tidak teratur dan hal rumahtangga tidak berjalan lancar tanpanya.”

Kelima: pilihan Ibn Taimiah

Syeikhul Islam Ibn Taimiah berkata: “Wajib ke atas isteri berkhidmat kepada suami dengan makruf sepadan dengan kedudukan kedua-duanya. Ia berbeza mengikut keadaan dan tempat. Penduduk kampung tidak sama dengan penduduk bandar, orang kuat tidak sama dengan orang lemah.” Pendapat ini dipersetujui oleh Abu Bakar bin Syaibah dan Abu Ishaq al-Juzjani. Kedua-duanya berhujjah dengan kisah Ali dan Fatimah di mana Nabi s.a.w. memutuskan Fatimah melakukan kerja-kerja di rumah, Ali melakukan kerja-kerja di luar rumah.

Setelah mengemukakan pendapat para fuqaha’ pelbagai mazhab, Dr Abdul Karim Zaidan cenderung kepada pendapat Ibn Taimiah, iaitu isteri wajib menjalankan kerja rumah dengan makruf mengikut keadaan dan adat sesuatu tempat. Dalil-dalilnya:

Dalil Pertama:

Fatimah binti Rasulullah s.a.w. berjumpa Nabi meminta seorang khadam. Maka baginda berkata kepada puterinya itu: “Mahukah aku beritahumu apa yang lebih baik daripada itu? Engkau bertasbih ketika hendak tidur 33 kali, bertahmid 33 kali dan bertabir 34 kali…” Riwayat al-Bukhari.

Pengajarannya, Nabi tidak perintahkan Ali mengambil alih tugas itu sama ada dengan dia gantikan Fatimah atau carikan khadam atau upah orang lain melakukan. Jika sekiranya urusan itu tugas Ali, tentu baginda akan perintahkan Ali berbuat demikian.

Dalil Kedua:

Hadis Asmaa’ binti Abu Bakar r.a. yang diriwayatkan oleh al-Bukhari. Asmaa’ r.a. berkata: “Ketika Zubair mengahwiniku, dia tidak mempunyai apa-apa harta di muka bumi ini selain daripada seekor binatang untuk menjirus tanaman dan seekor kuda. Akulah yang memberi makan kudanya, aku menjirus tanaman dan menguli tepung. Aku tidak begitu mahir membuat roti. Beberapa orang jiranku dari kalangan wanita Ansar membuat roti untukku. Mereka adalah wanita-wanita yang jujur. Aku juga menjunjung benih dari tanah yang disewakan Rasulullah s.a.w. kepada Zubair sejauh 2/3 farsakh. (Ukuran 1 farsakh adalah 3 batu)

Pada suatu hari, sedang aku sedang berjalan sambil menjunjung benih di atas kepala, aku terserempak dengan Rasulullah s.a.w. bersama beberapa orang sahabat dari kalangan Ansar. Rasulullah s.a.w. menawarkan aku naik di atas unta di belakangnya. Tetapi aku malu untuk berjalan bersama kaum lelaki. Dan ingat sikap cemburu Zubair. Rasulullah s.a.w. faham bahawa aku malu untuk menerima pelawaannya. Lalu baginda berlalu pergi. Bila bertemu Zubair, aku ceritakan apa yang berlaku. Dia berkata: “Sesunguhnya kamu menjunjung benih itu lebih berat bagiku daripada kamu menaiki unta bersama Rasulullah s.a.w..”

Selanjutnya Asmaa’ berkata: “Aku berterusan melakukan kerja-kerja tersebut sehinggalah Abu Bakar menghantar kepadaku seorang khadam yang menguruskan kuda. Ia benar-benar seperti telah memerdekakanku.” Riwayat Al-Bukhari.

Ibn al-Qayyim berkata, manakala Nabi s.a.w. melihat Asmaa’ menjunjung benih di atas kepalanya, baginda tidak membantah dan tidak menegur Zubair yang membiarkan Asmaa’ melakukan kerja-kerja tersebut. Ini menjadi dalil baginda memperakui isteri melakukan pekerjaan untuk suami.

Dalil ketiga:

Hadis Jabir yang telah disebutkan di atas.

Dalil keempat:

Aqad yang dilakukan merupakan aqad yang mutlaq, iaitu tidak dikaitkan dengan sebarang penentuan tugas tertentu. Maka ia berjalan mengikut adat dan uruf. Dari segi uruf masyarakat, isteri melayani keperluan suami dan melakukan pekerjaan yang berkaitan dengan pengurusan rumah tangga. Dalam hal ini, Imam al-Qurtubi berkata: “Perkara ini merupakan sesuatu yang berkaitan dengan uruf. Dan uruf adalah satu daripada asas dalam menentukan hukum Syarak. Kaum wanita Arab yang tinggal di desa dan kampung berkhidmat kepada suami dengan menyediakan air dan mengurus binatang ternakan.”

KESIMPULAN

Selepas mengemukakan hujjah-hujjah di atas, Dr Abdul Karim membuat kesimpulan:

Dalam masyarakat sekarang, kebanyakan isteri berkhidmat kepada suami dengan menyediakan keperluannya dan mengurus hal-hal berkaitan dengan rumah yang pelbagai. Kadang-kadang semua urusan itu dilakukan sendiri, kadang-kadang dibantu oleh orang gaji jika suami berkemampuan. Jadi, ada baiknya jika suami mengetahui bahawa jumhur fuqahak berpendapat bahawa tidak wajib ke atas isteri berkhidmat kepada suami dan melakukan kerja-kerja rumah.

Aku berkata bahawa ada faedah untuk suami mengetahui hal itu supaya dia tidak menekan dan membebankan isteri dengan pelbagai permintaan yang banyak dan menuntut itu dan ini. Supaya dia tidak mudah menghukum dan menyalahkan isteri jika terdapat kelemahan dan kekurangan di pihaknya kerana perkara itu tidak wajib ke atasnya di sisi jumhur ulamak sekalipun ada sebahagian ulamak berpendapat ia adalah wajib, termasuk aku sendiri.

Dengan adanya perselisihan pendapat seperti ini, maka suami seharusnya melihat apa yang dilakukan oleh isteri di rumah itu sebagai sesuatu yang lebih dekat kepada amalan sunat dan bakti sukarela yang tidak wajib ke atasnya, ataupun dia melakukan pekerjaan yang khilaf di sisi ulamak dari segi hukumnya sama ada wajib atau tidak.

Maka suami mestilah berlaku lemah lembut terhadap isteri, memberi galakan kepada ister agar melakukan yang terbaik dan membantu meringankan bebanannya yang berat. Petikan daripada Al-Muafassol fi Ahkam al-Mar’ah, juz 7 hal 302-308.

Oleh: Ustazah Maznah Daud

Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM