Aduh, Kena Tipu Lagi!

Terloncat-loncat kegembiraan Salsabeela yang berumur 3 tahun itu tatkala melihat barang yang dipesan untuknya telah sampai. Tidak sabar-sabar lagi hendak melihat apakah isi di dalam bungkusan tersebut. Dia tahu tiga hari lepas kakaknya ada membuat pembelian patung permainan anak beruang besar sepemeluk menggunakan platform dalam talian. Namun kegembiraannya tidak lama apabila anak beruang yang sampai hanyalah sebesar tapak tangan kakaknya sahaja. Salsabeela menangis sebaik sahaja melihat anak beruang yang kecil itu. Disangka boleh didakap menjadi teman tidur, rupanya boleh ditatap sahaja. 

Kes yang berlaku kepada Salsabeela ini bukan kes terpencil. Ramai yang menerima nasib yang sama. Iklan menunjukkan gambar lain tetapi yang sampai adalah barang lain atau mempunyai saiz berbeza. Di dalam undang-undang kontrak, iklan merupakan salah satu pelawaan untuk tawaran (invitation to treat) yang tidak mempunyai kesan kepada satu-satu kontrak. Ianya tidak dikira sebagai satu pelawaan (offer) yang juga disebut sebagai janji di dalam Akta Kontrak 1950. Namun begitu, ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan pelawaan untuk tawaran ini bertukar kepada pelawaan mengikut kepada bahasa yang digunakan di dalam iklan, serta keadaan sekeliling semasa iklan itu dibuat. Yang pasti, tiada satu faktor khusus yang boleh diketengahkan untuk menukar pelawaan untuk tawaran kepada pelawaan.

Dalam kes pembelian atas talian, sangatlah mustahil untuk pembeli meneliti, memeriksa dan melihat secara langsung barangan yang ingin dibeli. Maka amatlah penting untuk pembeli meletakkan sikap lebih berhati-hati ketika membuat pembelian di dalam talian. 

Pertama sekali, baca iklan sebanyak tiga kali supaya segala maklumat tentang iklan yang ditawarkan itu dibaca dan difahami. Baca satu per satu dan pastikan maklumat penting berkaitan produk atau barangan tersebut seperti ukuran, jenama, kegunaan, warna, bahan pembuatan dan sebagainya telah ditelitikan. Sekiranya ada perkataan yang kurang jelas atau kabur, dapatkan penjelasan daripada pihak penjual. Membeli tanpa memahami kandungan iklan boleh memudharatkan diri kita.

Kedua, lihat respon penjual apabila soalan diajukan oleh anda sebagai prospek. Adakah penjual menjawab semua persoalan yang diajukan, ataupun cuba mengelak untuk menjawabnya. Sebaiknya minta gambar sebagai bukti supaya kita dapat menilai ketepatan kenyataan penjual. Bertanya terlalu banyak mungkin menyebabkan penjual tidak senang tetapi penjual yang jujur mencari rezeki pasti tidak mempunyai masalah untuk menjawab setiap pertanyaan prospek. 

Ketiga, lihat reputasi penjual sama ada mereka adalah penjual yang boleh dipercayai atau sebaliknya. Ini bagi mengelakkan daripada kita berhadapan dengan penipu tegar di alam maya. Sekiranya membeli di platform dalam talian, pastikan anda melihat penilaian dan komen pembeli lain di ruangan produk. Bagi pembelian melalui media sosial pula, pastikan anda telah membuat sedikit penyelidikan tentang penjual tersebut sama ada melalui carian secara umum di ruangan ‘google’ dan mana-mana media sosial, atau melalui aplikasi CCID yang dibangunkan oleh Polis Diraja Malaysia. Walaupun kedua-dua kaedah carian ini tidak dapat menyenaraikan semua penipu di Malaysia, sekurang-kurangnya kita telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak ditipu.

Keempat, jangan terlalu teruja dengan harga murah yang dipaparkan. Buat perbandingan harga dan beri tempoh kepada diri sendiri untuk berfikir secara rasional sebelum satu-satu pembelian dibuat. Pasti ianya satu kepuasan apabila dapat membeli produk yang diingini pada harga yang murah tetapi sikap waspada itu tetap perlu. Silap-silap gigit jari pula.

Kelima, setelah mengambil langkah berjaga-jaga di atas dan pembelian dilakukan, pastikan segala butiran disimpan dengan rapi. Butiran ini boleh dirujuk kembali setelah pembelian dibuat sekiranya ada apa-apa yang berlaku di kemudian hari. Segala kenyataan yang dikeluarkan oleh penjual boleh dikira sebagai terma penting di dalam pembelian tersebut.

Namun begitu, sekiranya masih terdapat masalah selepas pembelian dibuat, seperti barangan yang dihantar tidak menepati pernyataan, bilangan barangan salah, warna tidak seperti diberitahu, saiz yang berbeza dan sebagainya, pembeli boleh menghubungi penjual untuk mendapatkan penjelasan. Adalah lebih baik sekiranya pertikaian kontrak ini diselesaikan oleh pihak berkontrak (penjual dan pembeli) dahulu sebelum dibawa ke pihak ketiga. Sekiranya perkara tersebut tidak dapat diselesaikan antara kedua-dua pihak berkontrak, pembeli boleh membuat aduan kepada penyedia platform jualan dalam talian tersebut. Walau bagaimanapun, bagi pembelian yang dilakukan di luar platform, pembeli boleh mengambil tindakan berikut;

  1. Melaporkan penipuan ke balai polis terdekat. Pastikan segala butiran penting ditulis di dalam laporan seperti nama penjual, alamat penjual sekiranya ada, no akaun penjual, butiran transaksi dan sebagainya. Simpan salinan laporan tersebut dan pastikan nombor laporan ditulis dengan jelas untuk rujukan akan datang,
  2. Sekiranya jumlah kerugian di bawah RM 500,000 pembeli boleh merujuk kes kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dengan melayari laman sesawang https://ttpm.kpdnhep.gov.my/portal/home. Baca dengan teliti segala arahan yang terdapat di dalam laman sesawang tersebut dan hubungi mana-mana cawangan KPDNHEP terdekat sekiranya memerlukan penjelasan.

Usaha yang kita lakukan ini perlulah disertai dengan munajat dan doa perlindungan Allah SWT daripada anasir tidak baik, serta diberi jalan keluar terbaik daripada apa-apa masalah yang berlaku. Semoga panduan ini dapat membantu kita menghindari penipuan dalam jual beli.

Dalam kes Salsabeela tadi, kakaknya tidak membaca penerangan penjual di dalam iklan. Memang ada dinyatakan ukuran anak beruang tersebut dan gambar kedua berkenaan ukuran anak beruang yang dijual. Ada tiga saiz dengan tiga harga berbeza. Kakak berniat membeli anak beruang paling besar dengan harga paling murah.

Farhanin Abdullah Asuhaimi

Nama Pena: Hanin Asuhaimi
Gong Badak/ IKRAM Kuala Nerus, Terengganu

27/10/2021

* Ini adalah pandangan penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *