Kanser Payudara: Kita Mampu Mengubahnya!

Kanser Payudara: Kita Mampu Mengubahnya!

Bulan Oktober setiap tahun telah diangkat sebagai bulan kesedaran kanser payudara. Di Malaysia, kanser payudara telah menjadi punca kematian akibat kanser yang paling tinggi di kalangan wanita. Dianggarkan 1 daripada 19-20 wanita di Malaysia mempunyai risiko mendapat kanser ini di sepanjang hayat mereka.

Apakah punca kanser payudara?

Sehingga hari ini, para saintis masih belum berjaya menemui satu jawapan spesifik kepada persoalan ini. Mekanisma kanser payudara yang terlalu kompleks menjadikan penyakit ini masih boleh dianggap misteri dengan 1001 kebarangkalian. Walaubagaimanapun, beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan risiko untuk mendapat kanser payudara telah dapat dikenalpasti. Faktor risiko ini boleh dikelaskan kepada dua kategori iaitu faktor risiko yang boleh dikawal atau diubah, dan yang tidak boleh dikawal atau diubah.

Faktor risiko yang tidak boleh dikawal atau diubah, termasuklah jantina, umur, usia ketika pertama kali didatangi haid, dan sejarah keluarga. Secara umumnya, wanita yang berusia 45 tahun ke atas, mula didatangi haid pada usia yang lebih muda dan mempunyai ahli keluarga terdekat dengan sejarah kanser payudara, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit yang sama. Faktor luar kawal yang terakhir adalah faktor genetik, di mana mereka yang mempunyai mutasi pada gen tertentu, terutamanya gen BRCA1 (Breast Cancer gene 1) and BRCA2 (Breast Cancer gene 2) mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser payudara.

Bagi kategori faktor risiko yang boleh dikawal atau diubah, termasuk amalan penyusuan, pengambilan hormon, gaya hidup dan pendedahan kepada radiasi merupakan antara faktor risiko yang telah dikenal pasti. Secara umum, wanita yang pernah menyusukan anak dan mengamalkan gaya hidup sihat akan mempunyai risiko yang lebih rendah untuk mendapat kanser payudara. Faktor gaya hidup ini merangkumi aspek pemakanan, aktiviti fizikal atau bersenam, berat badan, dan pengambilan alkohol. Sebaliknya, pengambilan sebarang bentuk hormon seperti pil perancang atau terapi hormon gantian untuk tempoh masa tertentu dan pendedahan kepada sebarang bentuk radiasi pula dikenalpasti sebagai punca peningkatan risiko kanser payudara.

Bagaimanakah cara untuk mencegah kanser payudara?

Mengambil kira kedua-dua kategori faktor risiko ini, kanser payudara masih belum dapat dicegah secara sepenuhnya. Namun, dengan mengamalkan beberapa langkah ke arah gaya hidup yang lebih sihat, risiko untuk mendapat kanser payudara boleh dikurangkan. Antara langkah-langkah yang boleh diambil termasuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak (khususnya lemak haiwan), memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan berserat, mengekalkan berat badan unggul, serta elakkan pengambilan alkohol.

Bolehkah pesakit kanser payudara sembuh sepenuhnya?

Sehingga hari ini, terdapat beberapa pilihan rawatan yang tersedia untuk merawat pesakit kanser payudara mengikut tahap penyakit masing-masing. Namun, satu fakta penting yang perlu diketahui umum adalah kanser payudara yang dikesan di peringkat awal mempunyai peluang untuk sembuh yang lebih tinggi. Oleh yang demikian, pakar sering menyarankan para wanita untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara (PSP) dan saringan mammogram. Setiap wanita seawal usia baligh adalah disarankan melakukan PSP setiap bulan, pada hari ke 7-10 selepas didatangi haid. Bagi wanita yang telah putus haid pula, PSP tetap digalakkan untuk dilakukan secara berkala setiap bulan. PSP akan membolehkan para wanita mengesan sebarang perubahan fizikal pada payudara masing-masing, yang mungkin merupakan tanda-tanda awal kanser payudara. 

Pemeriksaan lebih teliti dan keseluruhan pula boleh dilakukan melalui pemeriksaan mamogram. Mammogram merupakan sebuah mesin x-ray payudara dengan dos radiasi yang sangat rendah untuk membolehkan kita melihat setiap komponen payudara secara terperinci, termasuk kelenjar, kulit dan otot. Mammogram kebiasaannya dilakukan untuk dua tujuan iaitu saringan dan diagnosis. Wanita yang berisiko tinggi disyorkan untuk mula menjalani saringan mamogram seawal usia 35 tahun. Bagi wanita yang berisiko rendah pula, mereka disarankan untuk menjalani saringan mamogram ketika mula mencecah usia 40 tahun. Mengikut statistik, 80-90% kanser payudara tanpa gejala telah dapat dikesan melalui saringan mamogram. Bagi tujuan diagnosis pula, pemeriksaan mamogram akan dilakukan kepada wanita yang telah mengesan perubahan pada payudara mereka melalui kaedah PSP. 

Kita mampu mengubahnya!

Marilah kita bersama-sama mengambil iktibar daripada peribahasa Melayu, sudah terhantuk baru terngadah. Walaupun kanser payudara tidak dapat dicegah, namun beberapa langkah awal akan membolehkan kita melawan pembunuh nombor satu wanita ini. Ayuh sama-sama kita mengamalkan gaya hidup sihat, serta beriltizam dengan pemeriksaan sendiri payudara dan melakukan saringan mammogram secara berkala. Tubuh badan ini adalah amanah daripada Allah, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memelihara amanah ini sebaik-baiknya. 

Dr Hanum binti Ya’akub 

(Kajian PhD berkaitan kanser payudara)

Pensyarah,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

IKRAM Kawasan Indera Mahkota, Kuantan.

Rujukan:

  1. Hadi, M. A., Hassali, M. A., Shafie, A. A., & Awaisu, A. (2010). Evaluation of breast cancer awareness among female university students in Malaysia. Pharmacy practice, 8(1), 29–34. 
  2. Yaakub, H. (2020). Pro-Mutagenic O6-Alkylguanine Adducts and Breast Cancer Risk (Doctoral dissertation). University of Manchester, United Kingdom.
  3. Cancer Research Malaysia (https://www.cancerresearch.my/our-work/breast-cancer/).