Nasib Anak Pandemik

Termangu Sakinah di jendela. Angin sepoi bahasa menghembus perlahan menyentuh wajah. Seolah sedang menyapa hatinya yang sedih.

Fikiran Sakinah melayang teringatkan kata-kata Dr. Fairuz, seorang Pakar Perkembangan Kanak-Kanak, semasa mengikuti webinar tempohari. Katanya ibu bapa perlu sentiasa cakna dengan perkembangan anak-anak terutamanya dalam era pandemik ini.

“Carta Perbatuan Perkembangan Kanak-Kanak perlu dirujuk agar intervensi awal boleh dibuat kerana di situ ibu bapa boleh membandingkan tahap perkembangan anak-anak mengikut umur dari segi tumbesaran fizikal anak, perkembangan kognitif yang melibatkan IQ, perkembangan komunikasi dan pertuturan anak-anak, sosial emosi yang melibatkan pergaulan serta tingkah laku adaptif mereka seperti kebolehan anak-anak mengurus diri.” Begitu panjang lebar penerangan Dr. Fairuz dalam webinar tersebut.

Mendengar saranan Dr. Fairuz, Sakinah mula merujuk carta tersebut melalui aplikasi google sebelum membawa anaknya, Aiman yang berusia tiga tahun bertemu dengan pakar tempohari.Bukan dia tidak sedar tentang kelewatan perkembangan komunikasi Aiman jika dibandingkan dengan anak rakan baiknya, Aina dan Kak Long. Namun, Sakinah masih meyakinkan dirinya bahawa semuanya baik-baik sahaja.

“Alah mak, Aiman kan anak sulung Kak Ngah. Dia tiada kawan nak bersembang. Sebab itu dia lambat sikit bercakap.” Sakinah cuba meyakinkan emaknya apabila emaknya menyuarakan kerisauan tentang Aiman yang masih bertutur sepatah demi sepatah sedangkan umurnya sudah melepasi tiga tahun. Memang pun ada benarnya. Aiman jarang-jarang ada masa untuk bermain. Sakinah dan suami juga jarang bersembang dengannya kerana sangat sibuk dengan urusan kerja masing-masing.

“Jika aku dengar nasihat emak sebelum ini, tentu awal-awal lagi aku sudah bawa Aiman berjumpa pakar,” getus hatinya.Lagi empat bulan umur Aiman akan menginjak ke empat tahun. Namun, pertuturannya jauh ketinggalan berbanding anak-anak yang sebaya dengannya. Sepatutnya dia sudah boleh menuturkan ayat-ayat mudah serta mampu bertanya itu dan ini. Namun, Aiman hanya mampu berkomunikasi dengannya hanya dengan beberapa patah perkataan asas sahaja.

Pandemik ini memburukkan lagi keadaan. Sakinah dan suami sering sibuk dengan mesyuarat sehingga tidak sempat meluangkan masa bersama anak tunggal mereka. Kebanyakan masa Aiman diberi ipad lamanya supaya dia tidak mengganggu mesyuarat dan urusan kerja mereka. Aiman asyik menghadap video-video yang telah dimuat turun. Sakinah dan suaminya menganggap Aiman seorang anak yang baik kerana tidak mengganggu mereka menyelesaikan tuntutan kerja. Tanpa mereka sedar, masalah besar bakal muncul.

“Inilah hasilnya kerana mendedahkan Aiman dengan gajet pada awal usia tanpa kawalan,” getus hati Sakinah lagi. Sakinah sering melihat di media sosial saranan mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh American Paediatric Association agar anak-anak di bawah usia dua tahun tidak diberikan gajet. Ini kerana mereka belum mempunyai kawalan kendiri. Tanpa kawalan ibu bapa, ia boleh menyebabkan ketagihan melampau kepada anak-anak.

Interaksi yang berterusan dengan gajet ini boleh menyebabkan anak-anak kurang berinteraksi dengan orang sekeliling dan tiada eye contact. Inilah punca kepada masalah lewat perkembangan komunikasi, emosi, kognitif dan adaptasi anak-anak.

Sebenarnya, mereka memerlukan layanan, perhatian serta belaian daripada kedua ibu bapa. Sentuhan dan komunikasi secara langsung daripada ibu bapa dapat mempercepatkan lagi perkembangan anak-anak pada usia begini.

Bagi Sakinah, apa yang sudah berlaku memberi pengajaran kepadanya dan suami untuk terus belajar tentang perkembangan awal kanak-kanak. Sakinah juga bersemangat mencari ilmu-ilmu berkaitan pendidikan keibubapaan melalui pembacaan dan sebagainya. Sekarang Sakinah sedar, mendidik anak adalah seni yang perlu dipelajari, bukan kurniaan semulajadi.

Pada hari ini, bukan isu kanak-kanak sahaja yang perlu diberi perhatian. Baru-baru ini terpampang di dada-dada akhbar tentang isu bunuh diri di kalangan remaja. Mengikut Polis Diraja Malaysia (PDRM), daripada 1700 kes bunuh diri yang dilaporkan sepanjang pandemik ini, 800 daripadanya adalah daripada kalangan remaja.

Sakinah mengurut dada membaca berita itu. Dia teringat anaknya Aiman. Jauh di sudut hati, dia berdoa agar anak dan keturunannya tidak terjerumus dalam situasi seperti itu. “Kasihan apabila seawal usia remaja mereka telah diuji dengan masalah kesihatan mental. Pelbagai tekanan yang mereka terpaksa terima.” Fikir Sakinah sendirian.

Antara yang disebut di dalam artikel yang dibaca oleh Sakinah tempohari, faktor yang menyumbang kepada berlakunya perkara ini adalah seperti faktor persekitaran, faktor kecelaruan psikiatri sedia ada dan faktor peribadi seperti rendahnya harga diri (self esteem), faktor ketahanan diri serta keupayaan mengatasi pelbagai masalah dan cabaran.

“Beratnya amanah ini, ya Allah,” Sakinah mengeluh perlahan. Dia sedar anak yang berupaya mengatasi masalah dan cabaran dengan baik mempunyai risiko yang rendah menghadapi masalah kesihatan mental kelak.

“Aku mesti bantu Aiman dari sekarang agar dia mempunyai bekalan yang ampuh dalam menguruskan emosinya,” azam Sakinah. “Dari sekarang aku perlu bertindak dengan emosi yang sedar agar apa jua tindakan aku hari ini bakal menjadi cerminan tindakan Aiman kerana aku dan ayahnya adalah ‘role model’.” Gumamnya perlahan.

Sakinah menyimpul kemas azam itu. Azam yang bakal diterjemahkan dengan sebaik mungkin bersama suaminya demi kebaikan Aiman kelak. Terdengar derap kaki suami dan Aiman menghampirinya. Sakinah mendepakan tangan mahu memeluk Aiman yang sedang berlari ke arahnya.

“Ibu akan pastikan yang terbaik buatmu nak,” bisik hati Sakinah sambil mencium pipi gebu Aiman.

Hasil nukilan:

Roselinee

Wanita IKRAM Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *