Berikan Hak Pendidikan Kepada Wanita Afghanistan


Pada 16 Ogos 2021, Taliban menguasai semula tampuk pemerintahan Afghanistan. Sejak itu, para wanita Afghanistan telah berkumpul dan membuat tunjuk perasaan secara damai bagi menuntut hak-hak wanita yang pernah dinafikan oleh Taliban semasa memerintah Afghanistan pada tahun 1996 sehingga 2001. Ketika itu, wanita dilarang mendapat pendidikan dan pekerjaan; tidak dibenarkan keluar dari rumah tanpa ditemani oleh mahram lelaki atau suami; selain diwajibkan memakai burqa’ yang menutupi seluruh tubuh apabila berada di luar rumah. 

Hakikatnya, melarang wanita daripada mendapat pendidikan bukan sekadar menafikan hak wanita, bahkan menafikan hak generasi masa depan. Para wanita adalah ibu dan pendidikan tidak formal ibu di rumah adalah sekolah pertama anaknya. Saidina Umar mengatakan bahawa antara hak anak terhadap ayahnya ialah memilih ibu yang baik. Seorang ibu adalah agen perubahan kerana dia membentuk generasi masa depan. Sehubungan itu, amat penting untuk memastikan agar kaum wanita mendapat pendidikan formal yang sebaik-baiknya, kerana ia akan memberi pengaruh yang besar kepada anak-anak semasa proses mendidik dan mengasuh mereka. 

Firman Allah:

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ 

Maksud: Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

(Surah Al-’Alaq, 96:1)

Maksud Iqra’ dalam ayat ini bukan sekadar arahan membaca, tetapi merangkumi arahan belajar, mengaji, menuntut ilmu dan mendapat pendidikan (Husein Muhammad, 2014). Anas bin Malik juga pernah mendengar bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَلَبُ اْلعِلْمْ فَرِثْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksud: Menuntut ilmu adalah kewajiban bagi setiap individu muslim.

(H.R. Ibnu Majah dan dishahihkan oleh Syaikh Albani dalam Shahih wa Dha’if Sunan Ibnu Majah no. 224.)

Berdasarkan kedua-dua dalil ini, jelaslah kepada kita bahawa Islam memerintahkan umatnya tanpa mengira lelaki atau perempuan agar menimba ilmu pengetahuan. Justeru, hak mendapat pendidikan bukan untuk kaum lelaki sahaja bahkan untuk kaum perempuan juga. 

Pada 5 September 2021, pihak berkuasa pendidikan Taliban mengeluarkan dokumen yang membenarkan pelajar perempuan menyambung pengajian di kolej dan universiti dengan syarat wajib memakai jubah dan niqab. Pihak universiti pula dikehendaki memisahkan pelajar lelaki dan perempuan sekurang-kurangnya dengan tirai; selain menyediakan pintu yang berbeza bagi pelajar lelaki dan perempuan. Taliban juga mengarahkan agar pelajar perempuan hanya diajar oleh pensyarah wanita, namun boleh mempertimbangkan pensyarah lelaki yang mempunyai perwatakan dan akhlak yang baik sebagai pengganti sekiranya tiada pensyarah perempuan.

Arahan yang dikeluarkan sehari sebelum pembukaan semula universiti di negara itu, telah menyebabkan beberapa institusi tersebut hampir kosong pada hari pertama kerana kapasiti tenaga pengajar wanita, kelas dan masa yang terhad untuk mematuhi semua syarat yang ditetapkan. Selain itu, ia juga sebagai tanda protes kerana pelajar-pelajar perempuan tidak dapat menerima arahan yang mewajibkan mereka untuk berniqab. Bagi mereka  ia bukan ajaran Islam sebenar dan bukan berpandu kepada Al-Quran (Berita Harian, 2021).

Meskipun begitu, arahan ini tetap dilihat sebagai perubahan positif di mana rejim baharu Taliban sudah mula membuka ruang untuk wanita mendapatkan hak pendidikan. Semoga ia menjadi titik permulaan untuk para wanita Afghanistan memperoleh pendidikan dalam keadaan  dan suasana yang harmoni, bebas serta selamat. 

Penulis:
Siti Nazihah binti Yahya

Pengetua Sekolah Menengah Al-Hidayah, Ipoh.

Rujukan:
Berita Harian, 7 September 2021, Universiti di Afghanistan Kosong Susulan Peraturan Baharu Taliban https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2021/09/860876/universiti-di-afghanistan-kosong-susulan-peraturan-baharu-taliban 
Husein Muhammad, 2014, Islam dan Pendidikan Perempuan, Jurnal Pendidikan Islam, Vol. III, No. 2, 231-244.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *